Wednesday, January 21, 2009

Serban : Antara Trend, Sunnah dan Undang-Undang

Sudah lama saya tidak berbicara tentang undang2. Entah mengapa hari ini terdetik saya untuk bercakap semula bilamana saya terbaca di dada sebuah akhbar tempatan semalam, sebuah berita mengenai seorang pelajar sekolah pondok Pasir Tumbuh Kelantan, telah disaman pada 20 September 2007 kerana kesalahan tidak memakai topi keledar kerana memakai serban ketika menunggang motorsikal dan Hakim Mahkamah pada 20 Januari 2009 telah mendapati OKS (Org Kena Saman) adalah bersalah dan menjatuhkan hukuman denda RM90 atau dipenjara 2 hari. Ahmad Nasir bin Darus, 27, memilih untuk dipenjara 2 hari.

Sudah lama saya tidak bercakap ttg undang2 semenjak saya menamatkan pengajian undang2 di UIA hampir 10 tahun yg lalu, saya kembali menghadap meja dan case file bilamana diminta untuk membantu Team Legal Task Force bersama Tetuan Shukor & Baljit untuk mengendalikan kes saman Rufaqa Corporation Sdn Bhd terhadap Pengarah JAKIM serta beberapa defendan lain beberapa tahun yang lalu.

Sejak dulu lagi masalah Artikel 121(1A) dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menemui titik penyelesaian. Manakan mungkin, undang2 Islam apabila bertembung dgn undang sivil, pasti masalah akan menemui jalan buntu. Kerana masing2 mengemukakan hujah dan undang2 dari sudut dan bidang masing2, umpama ayam bercakap dengan itik. Saya tidak pro atau contra kepada mana2 pihak tetapi ingin melihat isu ini dari sudut sunnah, trend dan undang2 itu sendiri. Kerajaan sudah bertindak untuk menggubal undang2 pemakaian tali pinggang keledar belakang (yang akn memberi keuntungkan kpd kontraktor pembekal tali pinggang, sptmana keuntungan yg diperolehi oleh kontraktor dan pembekal lampu brek ketiga ketika undang2 mewajibkan setiap kereta memasang lampu brek ketiga dikuatkuasakan.

Dari sudut agama Islam, memakai serban itu satu sunnah atau amalan tambahan, manakala bagi yang beragama sikh, memakai serban itu satu kemestian bagi penganut mereka kerana kaum lelaki sikh dilarang utk memotong rambut mereka. Atas faktor menghormati agama, penganut agama sikh diberi exception utk menaiki motorsikal tanpa perlu menanggalkan serban mereka.

Dari sudut undang2, Ahmad Nasir telah disabit dengan kesalahan kerana pihak mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan tiada keterangan saksi lain yang dapat mengesahkan OKS (orang kena saman) seorang lebai. rujuk Harian Metro 20 Januari 2009. Phk pendakwaraya bertubi2 melontarkan soalan samada Ahmad Nasir, yg berumur 25 tahun pd ketika itu, memenuhi kriteria seseorang yg layak digelar 'lebai' ataupun tidak. Peguam Ahmad Rezal Effandi (junior saya di UIA) akan cuba memfailkan rayuan ke mahkamah tinggi kerana sekiranya kes ini dibawa ke mahkamah tinggi maka ia akan menjadi bahan akademik dan rujukan kerana terdapat kekaburan pada istilah 'lebai' dalam peruntukan undang-undang,

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan (anak kepada ulama tersohor Yang Berbahagia Ustaz Hassan Azhari) sudah pun memberikan komennya di dalam Utusan Malaysia. Beliau berkata tindakan polis menyaman itu ialah utk mengelak wujudnya trend pelajar sekolah menjadikan alasan sama untuk tidak memakai topi keselamatan itu. Beliau menambah, seharusnya perkara tersebut tidak berlaku kerana ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa pengguna semasa di jalan raya. Saya masih menunggu respon daripada Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Suret Singh (gambar kanan) berkaitan isu memakai serban ketika menunggang motorsikal.

Berkenaan dengan istilah 'trend' yg dibangkitkan tadi, saya trus teringat sebuah kumpulan nasyid@lagu dakwah yg baru melancarkan album baru2 ini, dalam satu sesi temuramah dengan wartawan, Kumpulan nasyid yang menggelarkan diri mereka sebagai Algebra berkata bahawa mereka cukup bangga dengan imej berserban yang ditampilkan ketika muncul mengadakan persembahan pentas ataupun semasa berada di khalayak ramai. "Bagi kami, serban bukan sahaja melambangkan salah satu imej atau pakaian orang Islam, tetapi secara tidak langsung ia juga merupakan suatu fesyen yang cantik untuk diikuti termasuklah di kalangan remaja hari ini." ulas salah seorang anggota kumpulan tersebut. Apakah trend itu akan menjadi ikutan remaja, atau sekadar publisiti dan gimik untuk melambangkan identiti yg lain drp yg lain?

Apakah sama pahala seorang gadis yg memakai tudung ekin atau tudung sarimah atau tudung wahida kerana ikut trend dengan seorang gadis yg memakai tudung kerana merasakan itu satu kemestian dan kewajipan utk memelihara aurat mengikut agamanya? dan apakah sama waktu era raihan dahulu, seorang remaja memakai kopiah dan baju raihan kerana kwn2nya yg lain sudah memakainya (oleh sbb tidak mahu malu dan digelar ketinggalan zaman) dengan seorang yg memakai kopiah dan baju raihan kerana ingin tampil sbg remaja dgn penampilan serta peribadi yg sopan sekaligus mencerminkan akhlak dan role model kpd remaja2 yg lain. Niat adalah penentu samada kita beroleh pahala ataupun tidak.

Dari sudut hukum, umum sedia maklum bahawa di dalam Islam memakai serban itu hukumnya sunat kerana mengikut contoh amalan Rasulullah. Perlu diingat di dalam Islam ada perkara yg wajib, sunat, haram, makruh dan mubah@harus. Janganlah bila masuk bab poligami sahaja nak ikut sunnah Nabi tapi bab sunat mendirikan sembahyang awal waktu, memakai alas kepala@kopiah serta memakai pakaian yang bersih dan berwangi2an ketika bersembahyang tak sempat pula kita pertahankan..

Perlu juga diingat, ada masa dan ketika perkara yang haram boleh jatuh harus, perkara yg sunat boleh jadi haram, perkara yg harus boleh jadi wajib, dan sebagainya mengikut keadaan dan situasi, dharurat ataupun tidak. Saya suka mengambil satu contoh yang paling mudah dan sering kita amalkan samada secara sengaja atau tidak sengaja setiap hari : MENGUAP.. Bila masa menguap boleh jadi sunat, haram, makruh, wajib dan harus?
1- Bila menguap SUNAT kita menutup dengan belah belakang tangan kiri sambil membaca a'uzubillahiminassyaitanirrajim. Dapat pahala ibadah.
2- HARAM menguap seorang isteri (menguap ala2 badak berendam gitu) di hadapan suami - Haram hukumnya kerana boleh menimbulkan kebencian.
3- MAKRUH menguap seseorang itu, ala2 badak berendam, walaupun seorang diri,di tengah padang, di malam yg gelap, kerana di kiri kanan kita ada malaikat yg melihat, (malaikat pun meluat nak tengok!) - Ini adalah kerana dalam Islam ada adab2 dan kesopanan. Barulah nampak indahnya Islam. Nak buat yg sunat bukan mesti di hadapan orang..
4- WAJIB menguap. di tengah padang, ketika berkawat, di tengah panas, berjam2 berdiri tegak, tak dibenarkan berkelip mata, ditahan2 menguap sehingga pengsan! pada waktu itu, wajiblah dia menguap, kerana ia memudharat dan mendatangkan kerosakan pada akal dan tubuh badan.
5- Dan akhir sekali HARUS menguap samada cara berdiri, duduk, baring atau apa jua kedudukan sekalipun kerana tidak ada pahala ataupun dosa atas sebab itu.

Merujuk balik pada kes serban di atas, suka saya mengambil contoh yang pernah dibuat oleh Ust Ashaari Muhammad, Pengerusi Eksekutif Rufaqa Corporation bilamana timbul isu serban dan jubah boleh mengancam keselamatan negara. Beliau telah memberi tamsilan yang mudah: Memakai serban dan jubah itu SUNAT, mematuhi undang-undang (tidak kira samada undang2 Islam ataupun undang2 kerajaan yg memerintah) adalah WAJIB. Apabila bertembung antara yg sunat dan yang wajib, maka hukumnya buatlah yang wajib. Untuk berdakwah atau menegakkan kalimah Allah itu tidak semestinya dengan berserban dan berpurdah. Sekiranya atas faktor terlalu mempertahankan sunnah itu sehingga timbul pergaduhan, ataupun atas faktor mempertahankan yg sunat itu maka kita dipenjarakan sehingga kita tidak boleh lagi keluar utk berdakwah dan menyampaikan risalah Allah kpd masyarakat, sehingga masyarakat yang ada menjadi rosak. Maka pada ketika itu, pakai serban pun boleh jatuh hukum HARAM..!

Saya quote kembali SMS yg saya terima daripada Saudara Ahmad Rezal Effande sebagai respon kpd SMS yg saya hntr kpdnya semalam : "Undang-undang pemakaian topi keldear wajib digubal semula.. Terima kasih kerana prihatin." Perkataan WAJIB di sini perlu diberi perhatian oleh pemimpin, ulama, penggubal dan pengguna bagi memastikan KESELAMATAN dan juga KESEJAHTERAAN rakyat Malaysia yg berbilang bangsa dan agama sentiasa terjamin dunia dan Akhirat.

Pesanan Khidmat Masyarakat Dari Bengkel Rohani :
Berhati-Hatilah di Jalan Raya, Ingatlah Orang Yang Tersayang...
(walaupun sayang semua tapi WAJIBlah berhati-hati...)

Tuesday, January 20, 2009

Klon Obama dan Aqidah Umat Islam

Tarikh 20 Januari 2009 bakal melakar sejarah dunia bilamana buat julung2 kalinya seorang pemimpin kulit hitam diberi kepercayaan untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-44, satu kerusi panas yg menjadi perhatian seluruh dunia.
Umum sudah mengetahui bahawa Barrack Obama atau nama penuhnya Barack Hussein Obama yg dilahirkan pada 14 Ogos 1961 adalah seorang rakyat Amerika berketurunan campur Kenya dan Hawaii, pernah dibesarkan di Indonesia malah fasih berbahasa Indonesia. Ramai yang berharap kenaikan Obama akan memberi sinar kepada negara dunia ketiga bahkan dunia amat berharap agar perlantikan Obama akan memberi sinar baru kepada umat Islam dan negara Islam seluruhnya.

Di dalam buku tulisannya "The Audacity of Hope", Obama mengatakan bahawa dia dibesarkan di dalam keluarga yang tidak berapa menitik beratkan soal agama. Ibunya dibesarkan di dalam keluarga yg tidak mengamalkan kristian dan mengistilahkan bapanya sebagai "raised a Muslim," but a "confirmed atheist". Selanjutnya beliau mengatakan bapa tiri beliau sebagai "a man who saw religion as not particularly useful."

Secara umum, kita sendiri akan berasa sedih sekiranya mendengar kisah orang yg dibesarkan tanpa didikan agama yg sempurna. Tambah menakutkan bilamana ada sumber dan maklumat yg mengatakan Obama itu sendiri berdarah yahudi!

Kita tidak mahu sejarah Mustafa Kamal Ataturk berulang lagi. Orientalis cukup meng'highlight' Ataturk sbg bapa pemodenan Islam (itulah yang saya baca dan hafal ketika mentelaah buku teks sejarah semasa darjah 3 dulu!) sdgkan sejarah ttg Ataturk membunuh ulama tariqat dan sufi serta menukar laungan azan daripada bahasa arab ke bahasa Turki tidak pernah didedahkan. Mustafa Kamal Ataturk adalah berketurunan yahudi dan dihasilkan melalui perancangan licik yahudi utk menghancurkan kegemilangan Islam dan Empayar Turki Osmaniah yg pernah menakluk 2/3 dunia satu ketika dahulu.

Apakah mungkin Obama itu juga berdarah yahudi, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Apa yang saya tahu, Obama berkemungkinan juga berdarah Indonesia... (apakah mungkin berlaku pertukaran bayi semasa kecil seperti yg sering kita lihat dalam Sinetron di kaca tv?). Apa yang pasti perlantikan Obama telah mengubah nasib seorang jurugambar bernama Ilham Anas di Indonesia..!
Foto kiri ialah Barrack Obama di Stesen Keretapi Philadelphia, Pennsylvania pada 17 Januari 2009 manakala foto kanan ialah Ilham Anas dengan senyuman ala Obama di kantornya di Jakarta diambil pada 17 Januari 2009 yang kini mendapat side income apabila tampil sebagai 'Obama Double'. Pelanduk dua serupa ???

Sejarah kegemilangan umat Islam perlu dikaji dengan mendalam kerana disitulah tersimpan segala rahsia kegemilangan umat Islam terdahulu. Kebanyakan fakta sejarah hari ini telah diseleweng dan di'sorok' oleh para pengkaji dan orientalis barat kerana mereka takut umat Islam akan kembali bangkit menjadi empayar.

Kita sendiri telah dirosakkan secara halus oleh penjajah bilamana sistem Islam telah diubahsuai dan dihadkan kepada amal ibadah semata2 di bawah bidang kuasa Sultan, manakala sistem lain spt pendidikan, pentadbiran, ekonomi, undang2, semuanya telah di'barat'kan dan di'sekular'kan iaitu dipisahkan dengan Tuhan. sedangkan apabila disebut Islam ialah adalah satu 'cara hidup' yg di dalamnya terkandung pendidikan, ekonomi (muamalat), perundangan, politik, dan banyak lagi perkara selain drp urusan amal ibadah dan penentuan tarikh hari raya puasa yg setiap tahun akan dimaklumkan oleh penyimpan mohor2 besar diraja.

Kita patut berasa beruntung, pelik bercampur bangga, kerana negara Sepanyol yg pada asalnya krisitian, telah berubah kepada 100% Islam slps penaklukan tentera Tariq ibnu Ziad. namun lama kelamaan apabila umat Islam telah mula leka, cinta dunia dan lupa kpd Tuhan, maka tentera krinstian berjaya menawan kembali Sepanyol dan negara itu kini 100% kristian. (gambar foto ruang dalam Masjid Cordova di Sepanyol yg cukup indah dan tinggi hasil seninya)

Akan tetapi negara Malaysia yg pernah dijajah oleh banyak negara seperti portugis,belanda,inggeris,jepun,komunis bertahun2 lamanya, tapi Maha Suci Allah, sistem kita berjaya dirosakkan oleh mereka, tapi aqidah rakyat Tanah Melayu tidak pernah berganjak walau sedikit. Pasti ada maksud Tuhan di situ. Apakah benar kebangkitan Islam itu akan berlaku dan umat Islam negara kita dipelihara oleh Tuhan ke arah itu.


Satu kisah menyayat hati yg pernah saya dengar daripada seorang pendakwah yang pernah mengikuti rombongan dakwah kumpulan Al-Arqam ke Sepanyol satu ketika dahulu, bilamana ahli rombongan yang berjubah serban itu bertemu seorang kanak2 kristian yang comel, kanak2 itu dengan penuh teruja berkata, datuk saya dulu ada memakai pakaian sama seperti pakaian tuan2 semua.. Bermakna, datuk kpd kanak2 kristian itu sblm ini beragama Islam dan peristiwa yg hampir sama telah berlaku kpd presiden AS yg ke-44, bilamana aqidah keluarganya tidak dapat dipertahankan. Apakah kita ingin anak cucu kita melalui pengalaman yg sama..?

Friday, January 16, 2009

Macamana Nak Boikot Yahudi ?


Boleh dikatakan saban kali menatap berita di kaca tv, mahupun setiap kali melayari internet, terutamanya laman blog di Malaysia ini, rata2 sedang mengutarakan kempen anti dan boikot barangan buatan yahudi. Di parlimen juga ada dibahaskan, bahkan rapat umum juga turut dianjurkan sbg bantahan dan menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Israel dan yahudi. Sentimen ini cukup meluas hingga kita pun terasa malu untuk singgah walau pun hanya sekadar lalu di sebelah drive thru McD ataupun utk memegang botol Coca Cola.. Nak minum kopi starbuck rasanya x berbaloi pulak dalam situasi harga barang semakin hari semakin naik ini.. Anda dah mula boikot ke?

Sambil2 nak boikot tu, terfikir juga oleh kita, bagaimana agaknya perasaan kwn2 kita yg bekerja di McD, KFC, Pizza Hut, 7-E dan lain2 premis tajaan yahudi atau lebih tepat lagi franchise drp syarikat Amerika itu? Barangkali mereka blh menjawab, "aku x beli produk yahudi, aku cuma bekerja di sini dan mereka yg bayar gaji pada aku..!" untuk menyedapkan hati...

Siapa di kalangan kita yg blh benar2 mengatakan diri mereka bersih dari produk yahudi? produk yahudi jenama colgate pun dah di'islam'kan melalui colgate kayu sugi..! Produk2 Nestle spt susu dan milo memang menjadi basahan tekak anak kita saban hari. Lebih lagi menggagalkan usaha kita memboikot produk yahudi, bilamana artikel yg ditaip ketika ini dihasilkan dengan menggunakan PC dengan chipset intel yg dikilangkan oleh kilang yahudi di israel! Barangkali ramai yg masih belum sedar... Saya sertakan beberapa bukti.. Hmm.. habis tu macamana nak boikot yahudi ???

Taburan kilang intel seluruh dunia
Taburan kilang intel di Israel

Hmm.. x ingat pula bila last time kita menjamah maggi.. mungkin sebab dah ada saingan spt mi sedap ataupun mamee slurp... mungkin ini satu2 caranya untuk kita mengalahkan yahudi. melalui perang saraf ataupun psy-war.. namun ia mestilah berasaskan iman dan taqwa yg kukuh, bukan sekadar omongan kosong ataupun slogan, tanpa ada sebarang tindakan atau alternatif kepada produk atau barangan keluaran yahudi ini.

Sempena tahun baru 1430H ini, sama2lah kita mengimbau sejarah sahabat Nabi SAW, Abd Rahman bin Auf yg diamanahkn oleh baginda utk membangunkan ekonomi Islam seawal2 umat Islam berhijrah ke Madinah yg mana pd ketika itu ekonomi madinah dimonopoli oleh org yahudi. Umat Islam ditekan dan terpaksa membeli barang drp org yahudi yg menjual dgn harga yg mahal ala sistem kapitalis di Pasar Ukaaz pd ketika itu.

Apa yg Abd Rahman bin Auf buat ialah bermunajat dgn Tuhan dan hasil keberkatan Rasulullah dan ketakwaan Abd Rahman makan Tuhan ilhamkan ilmu2 ekonomi yg tidak dijangka oleh yahudi. Maka Abd Rahman dgn sedikit modal yg ada telah membeli unta2 dari ceruk kampung dan menjualkannya di kota (Madinah) dengan kaedah jual dgn harga modal!

Utk kita lebih faham saya dtgkan contoh, harga modal membeli unta di kampung RM1000, manakala harga jual RM1000 juga. maka berbondong2lah saudagar arab dtg utk membeli. cuma masalahnya unta2 itu tidak mempunyai tali. Maka Abd Rahman telah mengenakan harga pada setiap tali yg ingin dibeli oleh saudagar2 itu td. Maka keuntungan pada ketika itu ialah darpada hasil jual beli tali unta (yg telah diberi siap2 oleh supplier unta di kampung). Bagi pihak org madinah di waktu itu, harga itu sdh cukup murah, krn ia dijual dgn harga kampung!

Satu ketika lain, Rasulullah telah meminta Abd Rahman utk menyelesaikan masalah air yg dihidapi oleh umat Islam ketika itu iaitu setiap org Islam pd ketika itu setiap hari dikehendaki membeli air drp satu2nya perigi milik org yahudi di Madinah. Maka apa yg Abd Rahman buat pd ketika itu, beliau telah berpakat dan membuat MoU utk membeli separuh daripada perigi itu dengan satu tawaran harga yg tdk boleh ditolak oleh org yahudi. Maka perjanjiannya ialah, hasil jualan perigi akan digilirkan selang sehari, yakni 1 hari hasil jualan adalah milik Abd Rahman dan 1 hari esoknya adalah milik org yahudi.

Maka dengan kebijaksanaan Sahabat Nabi yg dijanji Syurga ini, umat Islam telah bersepakat utk datang beramai2 pada hari jualan milik Abd Rahman dan membeli stok air siap2 utk 2 hari dgn harga yg murah (dan berkemampuan). Maka pada hari berikutnya org yahudi melihat tidak ada umat Islam seorg pun yg dtg membeli air. Umat Islam dtg kembali pada hari berikutnya utk membeli stok air selama 2 hari, dan hari berikutnya org yahudi semakin gelisah krn tidak ada sales dan customer yg datang melainkan beberapa kerat org yahudi. Wal hasil, org yahudi telah gulung tikar di Pasar Ukaaz yg dimonopoli oleh mereka sblm ini.

Beginilah formula yg telah tercatat di dalam sejarah dan perjuangan baginda SAW dan para sahabat yg sepatutnya kita contohi yg mana sejarah ini tidak dihighlightkan dalam mana2 buku sejarah (hasil tulisan orientalis) krn takut umat Islam akan bangkit dan menggunapakai ilmu dan kaedah Rasulullah menentang yahudi ini, iaitu umat Islam perlu berdiri sendiri dan menghasilkan produk2 keperluan mereka sendiri bagi memenuhi tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah masyarakat setempat.

Selain usaha halus para orientalis yg mengkaji Islam ini, kita harus menangkis serangan yahudi dari sudut media, telivisyen, internet dan lain-lain. Sedarkah kita filem2 keluaran hollywood banyak memaparkan isu pertembungan baik dan jahat, kisah peperangan spt Lord of the Ring, Starwars dan yg paling ketara ialah hero cilik yg belajar di sekolah sihir bernama Harry Potter, sedangkan umum umat Islam tahu bahawa dajjal itu adalah ketua bagi seluruh ahli sihir. Tanpa sedar kita menyokong dan mengiyakan hakikat ini apabila kita menonton wayang atau membeli buku tulisan JK Rowling yg sold out di toko2 buku utama di Kuala Lumpur dalam masa x smpai 3 jam walaupun berharga RM109.90 senaskhah..!

Namun perlu diingat, formula dan kaedah perjuangan Rasul ini tidak akan berhasil sekiranya tidak disertakan dengan iman dan taqwa serta rasa cinta dan takutkan Tuhan. Sekiranya kita benar2 ingin menentang yahudi, bukanlah dengan cara kekerasan ataupun peperangan senjata (kerana mereka pastinya 100 kali ganda lebih kuat drp kita!) tapi kita hanya boleh mengalahkan mereka dengan kekuatan ruh dan doa. Maka persiapkanlah diri kita dengan iman dan taqwa. Sesungguhnya doa itu adalah senjata orang mukmin.. Moga2 Allah memperkenankan doa kita semua.. Amiinn..

Tuesday, January 13, 2009

Kenapa Umat Islam Terhina Di Mana-Mana

Apabila ahli ibadah tidak takutkan Tuhan, akhlak mereka hilang,
mereka telah menjatuhkan maruah Islam secara tidak sedar kepada pandangan orang
Apabila pejuang-pejuang Islam menjadi militan, keindahan Islam hilang
Kepercayaan orang kepada Islam hilang,
mereka takut dengan Islam dan umat Islam

Apabila orang yang rajin ke masjid tidak ada disiplin
orang yang tidak datang lebih baik daripada yang datang
Orang yang datang telah mencemarkan rumah Allah, yang tidak datang mungkin ada keuzuran

Apabila umat Islam mundur,
orang lain akan menyangka ajaran Islamlah yang menjadi penyebab kemunduran
Padahal umat Islam telah lari daripada ajarannya
Di antaranya umat Islam hidup nafsi-nafsi
Rasa bersama dan bekerjasama di antara yang miskin dan yang kaya tidak ada

Cerdik pandai dengan yang tidak terpelajar tidak seia sekata
Kekayaan individu tidak dapat dirasa merata dan bersama
Tenaga orang miskin tidak punya bersama masing-masing ada haluan
Orang bandar dengan orang kampung macam ayam hutan dengan ayam kampung

Akhirnya perpaduan dan persatuan tidak ada
Tidak terjadi satu di dalam ramai, ramai di dalam satu
Maka terjadilah salah satu sebab bangsa menjadi lemah

Lebih-lebih lagilah Tuhan sudah tidak dipeduli sekalipun ahli-ahli ibadah
Tuhan ada dengan tiada sama aja pada mereka
Pejuang-pejuang Islam pula banyak memperkatakan syariat, mempromosikan Tuhan sedikit sangat
Padahal Tuhan adalah aset pertama dan utama
Tuhan tidak dimanfaatkan oleh umat Islam
kerana harta lebih besar dan utama kepada mereka
Tuhan pun membiarkan kita
Padahnya kita rasa bersama, kita hina di mana-mana
Insaflah wahai umat Islam!
Kembalilah kepada Tuhan yang Maha Esa dan Maha Kuasa
Tuhan akan membela kita…

Sunday, January 11, 2009

Ada Apa Dengan Yahudi ?

Saya mulakan dengan menyelitkan sedikit fakta tentang orang Yahudi yang saya extract daripada internet.. Orang Yahudi mengaku mereka keturunan Nabi Daud. Mereka percaya kawasan sekitar Bukit Zion atau Palestin adalah bekas kerajaan Nabi Daud yang telah ditawan dari Bani Al-Yabusiyyah. Mereka memilih gabungan segi tiga betul dan segi tiga terbalik sebagai lambang mereka. Segitiga terbalik bermaksud materialisme, manakala segi tiga betul melambangkan spiritualisme. Gabungan kedua-duanya segi tiga betul dan terbalik itu membentuk bintang berbucu enam yang menjadi lambang Yahudi hingga kini.

Bangsa Yahudi menganggap mereka bangsa pilihan dan bangsa-bangsa lain mereka panggil kafir atau goyem. Mereka menganggap bangsa mereka adalah satu-satunya penghuni syurga. Kalaupun masuk neraka pun hanya untuk seketika sebelum masuk ke syurga untuk selamanya.

Agama Yahudi hanya untuk mereka cenderung untuk bersikap ekskusif, menolak orang lain kerana berasa bangsa lain tidak setaraf dengan mereka. Perkataan Zionisme diambil sempena nama Bukit Zion. Pertubuhan Zionis Sedunia diwujudkan pada tahun 1897
dengan matlamat menguasai seluruh alam khas untuk bangsa mereka di Zion (Palestin).

Kongres pertama Pertubuhan Zionis Sedunia berlangsung di Basle, Switzerland pada 1897. Usul Protocols of Zion mengandungi perancangan terperinci untuk menguasai Palestin dan seluruh dunia telah diterima tanpa bangkangan. Antara strateginya ialah menyebar fitnah, mencetuskan perbalahan dan permusuhan di kalangan negara-negara Eropah. Israel wujud pada 1948 dengan keluasan 20,770 kilometer persegi, terletak di antara Mesir, Semenanjong Gaza, Jordan, Lebanon dan Syria. Ia sebenarnya adalah sebahagian daripada bumi Palestin yang dirampas melalui perang dengan sokongan Britain dan Amerika.

Dalam konteks perjuangan hari ini, mereka berjuang habis-habisan untuk memastikan matlamat mereka tercapai. Di sini saya ingin mengupas tentang orang atau bangsa yang berjuang yang ada di dunia ini.

1- Berjuang untuk diri sendiri : Ada orang tujuan dan matlamat hidupnya adalah untuk kepentingan, keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan diri sendiri. Buat apa aku pening-pening nak fikir tentang orang lain. Aku tak kacau engkau, engkau jangan kacau aku. Ini adalah golongan yang hidup nafsi-nafsi dan tidak bergaul dengan masyarakat. Dalam ertikata lain, tidak ada langsung jiwa pejuang.

2- Berjuang untuk keluarga : Golongan ini lebih baik (sedikit) daripada golongan yang pertama. Sebab paling tidak dia turut memikirkan hal ehwal keluarga dia, tapi tidak hal ehwal keluarga orang lain, jiran tetangga mahupun masyarakat sekitarnya. Dia bersungguh-sungguh berjuang, bekerja seharian, mencari rezeki untuk menyara keluarga, ambil overtime, buat kerja part time, demi memastikan keperluan harian keluarganya selesai. Namun untuk memikirkan hal ehwal orang lain belum tentu lagi. Alhamdulillah, cukuplah selesai makan minum anak isteri, susu dan pampers dah beli, baju sekolah anak dah selesai, ada budget lebih sikit boleh bawak anak isteri jalan-jalan hujung minggu ini. Mereka hebat berjuang untuk kepentingan keluarga, tapi masih dalam kategori tidak kuat berjuang dalam konteks yang lebih besar.

3- Berjuang untuk masyarakat/bangsa : Golongan sebegini lebih menjurus kepada semangat kebangsaan, dalam konteks tanahair kita boleh juga dimasukkan semangat kepartian. Namun ia masih belum cukup global. Sebab apa, apabila mereka sudah mencapai matlamat untuk membela bangsa mereka, mereka sudah tidak lagi memikirkan dalam konteks yang lebih universal dan antarabangsa, hanya sekadar perjuangan di dalam ruang lingkup negara sahaja dan perjuangan itu akan bernoktah di situ.

4- Berjuang untuk agama : Perjuangan atas nama agama lebih luas, global dan universal. Perjuangan atas nama agama tidak ada batas dan sempadan. Perjuangan atas nama agama adalah perjuangan atas nama Tuhan. Dalam dunia ini ada tiga golongan yang berjuang atas nama Tuhan ini. Mari kita lihat satu persatu perjuangan siapa yang lebih hebat:

i- Orang Kristian : Orang kristian berjuang atas nama agama, untuk menarik orang lain menganut agama kristian. Mereka akan berhabis-habisan berdakwah, membina gereja, menghantar missionaries ke ceruk dunia seperti ke padang pasir afrika, ke hutan amazon, bahkan ke perkampungan orang asli dan pedalaman sabah dan sarawak dalam konteks negara kita. Mereka sanggup menaja dan mengeluarkan belanja yang besar untuk memastikan orang lain menganut agama mereka.

Memang hebat perjuangan orang kristian. Siapalah di antara kita yang sanggup dihantar ke perkampungan orang asli (dan akhirnya berkahwin dengan anak Tok Batin!) untuk mengislamkan seluruh kampung orang asli. Namun di Malaysia, pujian harus diberikan kepada pihak jabatan agama yang turun padang untuk berdakwah ke kawasan pedalaman. Namun agama kristian bukan agama kebenaran dan perjuangan mereka tidak ada nilainya di Akhirat.

ii- Orang Yahudi : Berbeza dengan orang kristian, pendekatan orang yahudi lebih licik dan halus. Mereka berjuang bersungguh-sungguh kerana agama mereka, tapi mereka sama sekali tidak berdakwah kepada orang lain supaya menganut agama mereka. Kita ketepikan dahulu isu palestin dan pembunuhan umat Islam yang tidak berdosa buat seketika untuk kita fikirkan tentang falsafah dan strategi perjuangan mereka... "Engkau tak payah masuk agama aku, tapi aku akan pastikan cara hidup engkau adalah sama dengan cara hidup aku!".

Ini adalah lebih berbahaya daripada muncung senapang. Kalau seorang Islam ditembak mudah2an dia mendapat syahid. Tapi kalau aqidah kita dirosakkan dan cara hidup kita saling tak tumpah seperti orang yahudi, bagaimana kalau seorang Islam itu ditarik nyawanya ketika sedang menari sambil meneguk arak di pusat hiburan di kelilingi wanita bukan mahramnya?

Orang yahudi tak kisah kalau kita tak masuk yahudi, asalkan cara hidup kita yahudi, cara makan kita yahudi, cara hiburan kita yahudi, cara bergaul kita yahudi cara pendidikan kita yahudi, cara berekonomi kita yahudi, cara berpolitik kita yahudi, cara berkeluarga kita yahudi! Tapi umat Islam tidak sedar serangan secara halus ini. Bahkan media kita tidak segan2 silu menerima dan mengimport bahan2 hiburan dari luar yang sama sekali tidak mencermin budaya dan adat resam ketimuran dan Islam.

Dewasa ini, kita cukup risau apabila menonton televisyen yang kerap memaparkan babak, adegan bahkan iklan yang tidak sesuai ditontoni oleh kanak-kanak, bukannya dalam slot lewat malam tetapi di waktu prime time! siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan dalam soal ini. Orang yahudilah yang bertepuk tangan kerana hasil usaha dan perjuangan mereka merosakkan umat Islam berjaya, walaupun tidak ada seorangpun umat Islam yang masuk agama yahudi... Namun perjuangan mereka hanya menempa kejayaan di dunia sahaja kerana perjuangan mereka tidak dijanjikan.

iii- Orang Islam : Golongan terakhir yang berjuang atas nama agama dan atas nama Tuhan ialah umat Islam. Orang kristian dan yahudi berjuang hanya berteraskan kekuatan fizikal dan lahiriah sahaja. Mereka cukup mengkaji dan amat menggeruni kisah sejarah bilamana bilangan tentera Islam yang sedikit mampu menewaskan tentera kafir Quraish kemudian menjatuhkan empayar Rom dan Parsi dengan berbekalkan senjata dan kekuatan lahiriah yang sedikit. Tetapi umat Islam kuat ketika itu kerana mereka ada Tuhan di belakang mereka. Tentera Islam tidak akan menang sekiranya Tuhan tidak mem'backing' kita!

Orang Islam mempunyai kelebihan daripada kristian dan yahudi kerana orang Islam mampu memperolehi dua kekuatan iaitu kekuatan lahiriah dan kekuatan ruh. Ketiga-tiganya berjuang atas nama Tuhan tetapi Allah hanya akan memberi kemenanga mutlaq ke tangan orang Islam. Kekuatan ruh adalah satu2nya perkara yang tidak ada pada orang kristian dan yahudi. Tapi kenapa hari ini Allah Taala seolah2 tidak mem'backing' umat Islam sendiri. Umat Islam dihina dan terhina di bumi sendiri. Tentang itu, sama-samalah kita muhasabah dan koreksi diri.

Apakah kita sudah memiliki ciri-ciri seorang muslim dan mukmin seperti generasi didikan Rasulullah dan para sahabat yang mampu menakluk 3/4 dunia? Apakah kita benar2 mengamalkan cara hidup Islam di dalam setiap aktiviti dan aspek kehidupan kita? Sekiranya kita benar2 berjuang atas nama Tuhan, masa kan Tuhan tidak mem'backing' kita. Sepatutunya di tangan kita umat Islam inilah akan berlaku kejayaan demi kejayaan, kemenangan demi kemenangan, kerana kita berjuang atas nama Islam dan atas nama Allah. Apalah sangat dengan orang Kristian dan orang Yahudi itu.. Yakinlah dengan janji Tuhan bahawa sesungguhnya Allah itu adalah Pembela bagi orang yang bertaqwa.

Sama2lah kita berusaha untuk memperbaiki diri dan meng'upgrade' iman kita setaraf dengan iman baginda Rasulullah dan para sahabat kerana pada ketika itu, Tuhan tidak akan melengah2kan bantuan dan kejayaan sekiranya kita berjuang atas nama Islam.. senjata dan meriam tidak langsung menjadi halangan, kerana para malaikat dan rijalullah menjadi tembok dan bentengnya... dan pada ketika itulah... Ada apa dengan yahudi...

Thursday, January 8, 2009

Hari Pertama Persekolahanku - Satu Penilaian Semula...


Hari ini hari pertama persekolahan ku.. Hari Jumaat penuh berkat..
Aku perlu menghadiri ujian diagnostik utk menentukan kelas mana yg akan aku duduki di kalangan pelajar tahun 1 di sekolah rendah ini.
Seawal subuh lagi aku sudah bangun dan bersiap-siap.
Selesai sahaja solat fardhu subuh bersama ibu dan ayahku, aku terus mengenakan pakaian sekolah baru yang dibeli oleh kedua ibubapa ku.

Mama, hari ni Huda akan pergi sekolah ye..?
Huda akan dapat ramai kawan..
Huda nak belajar bersungguh-sungguh..
Nak jadi anak solehah, taat cakap guru, taat cakap ibu ayah..

Mama dan Babah turut hadir ke sekolah untuk mendaftarkan aku.
Ramai sungguh para pelajar tahun 1 dengan pelbagai gaya dan ragam.
Namun ketika ujian diagnostik, ibu bapa tak dibenarkan hadir di kelas.
Mama dan Babah menunggu di kantin sambil mendengar taklimat dari Guru Besar.
Selesai ujian cikgu berpesan supaya datang semula pada hari Isnin untuk melihat keputusan.
Cikgu kata pelajar tahun 1 masuk kelas sesi petang,
jadi aku perlu datang sebelum jam 1 ke sekolah..

Hari Isnin berikutnya Mama dan Babah sekali lagi menghantar aku ke sekolah,
Suasana agak sesak dengan kehadiran pelajar tahun lain, serta pelajar sesi pagi yang pulang.
Mama kata Huda dapat masuk kelas satu, markah ujian dapat penuh..!
Alhamdulillah, InsyaAllah Huda akan belajar bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu dunia dan Akhirat..! Supaya dapat memberi contoh teladan dan manfaat kepada semua.

Jam 1.30 ptg semua pelajar berkumpul di gelanggang sepak takraw,
Aku pun beratur di dalam barisan 1 Utarid, kelas pertama, planet pertama di dalam cakerawala
Aku sempat menghulur tangan utk bersalam dgn Mama dan Babah sebelum pergi meninggalkan mereka untuk masuk ke kelas ku di tingkat 4 bangunan sekolah.
Bermacam-macam perasaan bermain di benak hatiku..
Nak kata sedih pun ada, gembira pun ada jugak..!
Aku amat berharap agar dapat menjadi anak murid yang bagus di dalam sistem pendidikan yang bersepadu ini.
Aku cukup seronok, belajar, berkawan, sehingga aku tidak sedar loceng sekolah sudah berbunyi menandakan tamat sesi persekolahan jam 6.00 ptg.
Aku pulang ke rumah dengan penuh rasa teruja, tidak sabar untuk menceritakan pengalaman kepada Mama dan Babah.
Kembali ke rumah aku terus mandi dan bersiap-siap, aku melihat Mama dan Babah sudah bersiap-siap di tikar sembahyang menunggu masuk waktu maghrib.

Aku terdiam sejenak.. seketika kemudian aku terfikir...
Aku tertanya-tanya, apa yang Mamah dan Babah selalu ajar, awal-awal pendidikan mengenal Allah, Tuhan yang mencipta.
Falsafah Pendidikan terkandung di dalam Sembahyang lima waktu yang didirikan sehari semalam.
Rasa kehambaan, rasa bertuhan, disiplin, ketepatan waktu, ketaatan, kepimpinan dan kepengikutan, semuanya terkandung dan terangkai ketika kita menunaikan solat berjemaah,
Seterusnya diaplikasi ke dalam kehidupan harian, barulah kita dapat mencapai kejayaan dunia dan Akhirat...

Tapi aku musykil, sekiranya sistem pendidikan bersepadu ini bertujuan untuk melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang,
Kenapa aku tidak diperingatkan untuk menunaikan solat zohor dan asar di sekolah tadi..?
???

11.21 pm
8 Januari 2009
Rawang, Selangor.

Wednesday, January 7, 2009

Hijrah Dulu dan Kini

Hijrah di segi bahasa bererti berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Manakala menurut perspektif Islam pengertiannya lebih luas daripada itu. Hijrah ertinya ialah mengubah sikap-sikap negatif yang lahir mahupun yang batin kepada sikap-sikap positif lahir dan batin. Memahami dan menghayati maksud hijrah inilah maka para rasul dan orang-orang mukmin telah berjuang sesungguh hati untuk mengubah diri dan para pengikut daripada seluruh sikap-sikap negatif lahir dan batin kepada seluruh sikap-sikap positif yang lahir dan batin.

Perjuangan untuk hijrah ini sesungguhnya adalah perjuangan maha berat dan besar. Ini merujuk pada perkataan Rasulullah SAW kepada sahabat sekembalinya mereka daripada Perang Badar:

“Sesungguhnya kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan besar.”

Sahabat bertanya, “Peperangan apa Ya Rasulullah.”

Rasulullah bersabda, “Peperangan melawan hawa nafsu.”

Ini bererti, hijrah dan perubahan itu bukan sekadar perubahan sikap yang lahir dan luaran sahaja tetapi termasuk juga sikap yang bersifat rohani dan batiniyah. Penghayatan hijrah itu bukan sekadar di mulut ataupun perubahan secara fizikal, tetapi perubahan fikiran, tindakan, pertuturan, akhlak dan hati. Juga perubahan dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah, hijrah daripada perkara yang didorong dan disukai oleh nafsu kepada perkara yang menyakitkan nafsu. Ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Daripada pemarah kepada penyabar, daripada pendendam kepada pemaaf, daripada sombong kepada rendah diri, daripada mementingkan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain, daripada kedekut dan tamak kepada pemurah dan baik hati, daripada zalim kepada membela nasib orang yang memerlukan, daripada lupakan Tuhan kepada kenal, cinta dan takutkan Tuhan.

Untuk memenangi peperangan ini Rasulullah sendiri mengambil ¾ daripada masa hidup mereka. Ini adalah kerana ia adalah terlalu sulit dan susah. Kemenangan batin inilah yang membawa kepada kemenangan lahir. Namun akhirnya para kekasih Allah dan pengikutnya dijanjikan Allah, dapat memenangi nafsu dan syaitan-syaitan mereka. Mereka benar-benar dapat mengubah seluruh lahir dan batin yang negatif kepada seluruh sifat positif lahir dan batin.

Maka di hari dan detik berlaku dan sempurnanya penghijrahan itulah, maka Allah pun menunaikan janji-Nya kepada manusia pilihannya yakni terjadinya mukjizat-mukjizat besar yang disenaraikan di atas ini. Aneh juga mengapa Allah memilih untuk melakukan sejarah yang menggemparkan, pelik, tidak logik serta tidak masuk akal ini di bulan Muharram. Memang terdapat juga kemenangan rahmat itu ditakdirkan di bulan-bulan lain seperti Ramadhan tetapi kebanyakan sejarah dan kisah yang popular dan tercatat di dalam sejarah ini terjadi di bulan Muharram. Agung dan Maha berkatnya bulan ini, marilah kita merebutnya.

Kita umat Islam seluruh dunia hari ini sedang amat memerlukan berlakunya janji Tuhan seperti terjadinya kepada kaum-kaum di zaman mereka. Kita semua adalah hamba-hamba-Nya dan pasti kita juga akan beroleh pertolongan sedemikian rupanya sekiranya kita menepati syarat dan mampu mengharungi ujian sepertimana para rasul dan pengikut mereka. Selaku umat Islam, sepatutnya kita berlumba-lumba untuk mengulangi sejarah agar kita juga dapat menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad yang berjaya di dunia dan akhirat. Namun kita terlebih dahulu perlu mematuhi syarat-syaratnya. Marilah kita ulangi sejarah hijrahnya umat Islam terdahulu daripada seluruh sifat-sifat jahat kepada sifat-sifat yang baik.

Di antara syarat itu ialah:

  1. Hijrah daripada tidak kenal kepada kenalkan Tuhan.
  2. Hijrah daripada tidak takut dan tidak cinta Allah kepada bertaqwa.
  3. Hijrah daripada tidak kenal syariat kepada kenal syariat Tuhan.
  4. Hijrah daripada tidak mengamalkan syariat kepada mengamalkannya.
  5. Hijrah daripada tidak berkasih sayang atau benci membenci kepada berkasih sayang.
  6. Hijrah daripada tidak bekerjasama kepada kerjasama.
  7. Hijrah daripada kemungkaran dan kejahatan kepada kebajikan dan kebaikan.
  8. Hijrah daripada zalim kepada adil.
  9. Hijrah daripada sombong kepada merendah diri.
  10. Hijrah daripada bakhil kepada pemurah.
  11. Hijrah daripada bangsa yang tamak kepada pemurah.
  12. Hijrah daripada bangsa yang tidak maaf bermaaf kepada maaf memaafkan.
  13. Hijrah daripada bangsa yang berpecah-belah kepada bersatu.
  14. Hijrah daripada bangsa yang menipu kepada jujur.
  15. Hijrah daripada yang khianat kepada yang amanah.
  16. Hijrah daripada yang jahil kepada berilmu.
  17. Hijrah daripada yang terkenang-kenangkan dunia kepada terkenang-kenangkan Akhirat.
  18. Hijrah daripada bersangka jahat kepada bersangka baik.
  19. Hijrah daripada menurutkan nafsu kepada menurut perintah Allah.
  20. Hijrah daripada mementingkan diri kepada mementingkan orang lain.
  21. Hijrah daripada cinta dunia kepada cinta Akhirat.
  22. Hijrah daripada susah dengan hal-hal dunia kepada susahkan hal-hal Akhirat.
  23. Hijrah daripada perjuangkan dunia kepada perjuangkan Tuhan.

Selain dari perlunya berlaku penghijrahan seperti yang dinyatakan di atas, umat Islam secara umumnya juga perlu melakukan hijrah dalam aspek sikap iaitu membuang yang negatif dan sebaliknya menyuburkan sikap yang positif. Mengikis sifat pesimis sebaliknya diganti dengan sifat optimis, malas kepada rajin dan kecewa kepada tidak mudah putus asa.

Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk kita beribadah dan mentaati Allah, maka perlu pula kita berusaha untuk meningkatkan taraf hidup umat Islam sendiri. Setiap yang melata di bumi Allah telah disediakan rezeki baginya. Cacing di celah batu lagi kan hidup, inikan pula manusia yang telah dikurniakan kelebihan akal fikiran olah Allah dan dapat berusaha dengan lebih sempurna untuk memburu rezeki tersebut.

Kemajuan dan pembangunan umat juga perlu sentiasa dikembangkan. Kalaupun tidak lebih maju sekurang-kurangnya setaraf dengan kemajuan bangsa-bangsa lain. Ini bertujuan agar umat ini benar-benar berdikari tanpa bersandar kepada orang lain.

Kegawatan ekonomi yang pernah berlaku juga memberi pengalaman perit kepada kita sepertimana isu berkaitan dengan harga makanan import. Itu dalam keadaan di mana pembekal makanan luar tidak menyekat sumber makanan. Haya kosnya meningkat lantaran kejatuhan nilai ringgit. Bagaimanakah kesnya andai kata mereka memusuhi kita dan menyekat bekalan makanan seperti di Iraq, Libya dan Afghanistan. Justeru kita juga perlu berhijrah dari terlalu banyak bergantung kepada pihak luar ke arah lebih berdikari. Usaha para peniaga dan usahawan bumiputra untuk bergiat dalam bidang perniagaan, penternakan dan pertanian harus dipuji dan disokong oleh semua pihak.

Kalau kita selaku umat Islam ingin benar-benar berhijrah, sekiranya kita mahu benar-benar memperjuangkannya, nescaya Allah tidak akan sia-siakan. Bila-bila masa dalam setahun ini kita akan dapat hasil yang Allah janjikan itu. Baik di dalam membina rumahtangga cemerlang, dalam menyusun organisasi, dalam mentadbir perniagaan mahupun dalam mengatur pengikut dan masyarakat. Sama-samalah kita rebut kemenangan di bulan Muharram.

Ya Allah, jadikanlah Muharram ini waktu untuk berlakunya perubahan hati dan sifat-sifat kami. Baikilah segala kerosakan diri, kerosakan keluarga, kerosakan masyarakat dan kerosakan negara-negara serta kerosakan di tahap dunia yang sedang berlaku. Ubahlah nasib umat Islam di akhir zaman ini, seperti yang telah Engkau ubah nasib umat Islam sebelum ini, hanya dengan sekelip mata. Kuasa Engkau tidak terbatas Tuhan, pun tiada siapa mampu menghalang.

Demikianlah formula yang Allah rezekikan untuk umat Islam di zaman ini. Segalanya sudah terkandung di dalam sejarah, cuma tidak ramai yang mampu mengungkai hikmah di sebaliknya. Inilah formula kemenangan untuk diri sendiri dan kemenangan untuk umat Islam, iaitu TAQWA. Ia menjadi syarat penentu kemenangan.

Monday, January 5, 2009

Muharram Bulan Kemenangan


Ahlan wa sahlan dan selamat datang wahai Muharram 1430 Hijrah. Seluruh hari orang mukmin merindui ketibaanmu. Dunia Islam yang sedang muram dan lesu amat ternanti-nanti akan ketibaanmu. Ini adalah kerana Allah telah memilih Muharram sebagai bulan yang terkandung di dalamnya pelbagai peristiwa bersejarah yang cukup agung dan bermakna buat umat Islam.

Maka apabila kamu tiba wahai Muharaam, di saat-saat dunia Islam dilanda pelbagai dugaan dan cabaran, ia membawa makna dan harapan besar buat umat Islam seluruhnya. Bukankah pada bulan Muharram ini juga Allah telah menjanjikan khabar-khabar gembira buat para kekasih-Nya yang terdiri daripada para Rasul dan Nabi ‘alaihimus solatuwassalam dan pengikut-pengikutnya.

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda, riwayat Ibnu Abbas, dicatatkan oleh Syeikh Abdul Kadir Jailani dalam kitabnya Al Ghunniyah, bahawa:

Di antara peristiwa-peristiwa yang Allah lakukan pada peristiwa As Syura (10 Muharram) ialah:

  1. Nabi Adam diciptakan dan dimasukkan ke Syurga.
  2. Nabi Ibrahim dilahirkan.
  3. Nabi Ibrahim diselamatkan daripada dibakar oleh api Namrud.
  4. Nabi Ismail diganti dengan qibas (kambing) dalam peristiwa korban.
  5. Firaun ditenggelamkan di Laut Merah dan Nabi Musa serta pengikutnya diselamatkan.
  6. Nabi Ayub disembuhkan daripada penyakitnya.
  7. Taubat Nabi Adam diterima
  8. Taubat Nabi Daud diterima.
  9. Nabi Isa dilahirkan serta Nabi Isa diangkat ke langit.
  10. Nabi Sulaiman naik takhta dan berkuasa.
  11. Kapal Nabi Nuh selamat berlabuh di bukit Judi, manakala musuh-musuhnya karam.
  12. Pertama kali hujan turun ke bumi.

Sedutan dari kitab lain:

  1. Nabi Yaakob dapat melihat semula.
  2. Nabi Yunus keluar dari perut ikan Nun.

Demikianlah di antara sekian banyak peristiwa yang Allah lakukan kepada kekasih-Nya sempena Muharram. Iaitu setelah mereka melalui pelbagai dugaan dan cabaran, setelah pengikut mereka yang menyerah diri dan taat setia mempertahankan iman diuji dengan pelbagai rintangan dan kesusahan. Demikianlah juga istimewanya Muharram sehingga Allah pilih untuk dijadikan bulan di mana Rasul kita selamat tiba ke Madinah Munawwarah, terlepas daripada kejahatan-kejahatan musuhnya. Sesungguhnya pengikut Nabi Muhammad itu telah berhijrah daripada masyarakat jahiliyyah kepada umat yang bertaqwa.

Sebab itulah Sayidina Umar Al Khattab, ketika menjadi khalifah, ditabalkannya bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam senarai bulan-bulan Islam, serta dirayakan sebagai bulan untuk tahun baru Islam. Sunnah ini walaupun tidak berlaku sejak Nabi Adam, tapi demi kebesaran Rasulullah berhijrah, sunnah ini diambil pakai oleh seluruh umat Islam sedunia, hingga ke hari ini. Setiap 1 Muharram dunia Islam merayakan sambutan tahun baru ini. Dengan mengambil ruh hijrah sebagai temanya. Terima kasih Sayidina Umar kerana besarnya jasamu.

Friday, January 2, 2009

Tik.. Tik.. Tik...



Tik...
Tik...
Tik...



Setiap detik ia berbunyi, semakin jauh melangkah pergi...
Tik, tik, tik... Perginya tetap pergi, samada kita mengiringi atau membatu diri.
Tik, tik, tik... Kita yang masih alpa, tidak menyedari, terkadang tidak peduli.
Masa yang berlalu... tidak akan kembali...

Tap, tap, tap...
Satu demi satu, langkah diatur kemas,
Tap, tap, tap... Semakin ke hadapan, semakin ramai, semakin rimas.
Tap, tap, tap... Bunyian bising, hiruk pikuk, suasana semakin panas.
Makin ramai manusia berhimpun, menunggu, menanti cemas...

Prap, prap, pap...
Tangan ditepuk, tanda kegembiraan.
Prap, prap, pap... Tangan bertepuk lagi, teruja kegirangan.
Prap, prap, pap... Manusia bertepuk tangan, menggunung harapan
Seketika kemudian, suasana bungkam...


Tik, tik, tik...
Detik itu kembali terngiang,
Tik, tik, tik... Jarum saat bergerak mengiringi jarum panjang.
Tik, tik, tik... angka dua belas jelas terpampang
Tik, tik, TUPP..! sekujur tubuh, rebah di atas padang...

Dub, dub, dub...
Dadaku berdegup kencang, cemas teramat sangat
Dub, dub, dub... seorang lelaki rebah, tatkala jam berdenting kuat.
Dub, dub, dub... tahun baru kali ini, aku sedar dan ingin bertaubat.
Dub, dub, dub... usiaku bukan bertambah, tetapi ajal ku yang semakin dekat...

Ya Allah... Kau jadikanlah tahun baru 2009 dan Muharram 1430 Hijrah ini, sebagai tahun untuk aku memperbaiki diri, mempertingkatkan keimanan dan menanam keazaman utk menjadi seorang Hamba Allah yang beriman dan Khalifah Allah yang bertaqwa.

12.04 am,
3 Januari 2009,
Rawang, Selangor.

Thursday, January 1, 2009

Salam Tahun Baru...

Assalamualaikum wbt...

Selamat melangkah ke tahun baru 1430 Hijrah dan 2009 Masihi. Entah kenapa pada tahun baru kali ini Tuhan gerakkan hati aku untuk menulis... Sedangkan sebelum ini aku rajin jugak menulis. Tulis skrip, tulis sajak, tulis lirik, tulis cerpen, tulis artikel dan bermacam2 lagi bentuk penulisan. Namun waktu itu agaknya, belum masa untuk aku menulis blog. Tuhan sahaja yang tahu hikmahnya.

Alhamdulillah... Tahun baru kali ini Tuhan beri keringanan dan kemudahan untuk aku menulis blog aku sendiri yang aku beri nama 'Bengkel Rohani'. Kenapa bengkel? Sedangkan aku ni bukan pandai sangat bab2 baiki kenderaan nih... Cuma berbekalkan sedikit ilmu, bakat dan ilham yang Tuhan kurniakan, maka aku gagahkan jari jemari aku untuk menaip dan berkongsi pengalaman bersama para pembaca dan pengunjung sekalian. Moga ada manfaatnya.

Berbalik kepada persoalan 'kenapa bengkel'..? Aku pasti ramai di kalangan kita yang memiliki kenderaan sendiri, kalau pun tidak memiliki 100% tapi pastinya ia masih dalam proses pembayaran di bank. Kenderaan yang digunapakai dengan begitu kerap ataupun untuk satu2 perjalanan yang jauh mestilah diservis dan dibaikpulih untuk memastikan ia boleh diguna lagi pada masa akan datang dan supaya jangkahayatnya lebih panjang. Oleh sebab itu, sama ada kita suka atau tidak, kita perlu membawa kereta kita ke bengkel. Kalau kita terbabit dengan satu2 kemalangan, samada secara sengaja atau tidak. Kita terpaksa membawa kenderaan kita ke bengkel untuk dibaiki.

Namun dalam pada itu, bukan waktu rosak sahaja kita bawa kereta ke bengkel. Ada orang suka ke bengkel untuk modify dan mengupgrade kenderaan mereka yang dah sedia tiptop dan berkeadaan baik. Maknanya orang yang datang ke bengkel bukanlah semata2 orang yang mengalami kerosakan kenderaan, utk overhaul ataupun mengganti sparepart, tetapi ia turut didatangi oleh orang yang ingin menambahbaik dan mengupgrade kenderaan mereka supaya dapat berjalan dengan lebih lancar, mampu memberi performance yang mantap serta memberi impak yang maksima. Jadi x salah kalau kita sekali sekali bertandang ke bengkel rohani untuk membaiki diri ataupun mengupgrade iman kita.

Sama-samalah kita meng'servis' hati dan minda untuk kebaikan kita bersama... Kerana Allah Taala. Selamat Berblog..!

p.s. Kepada rakan2 bloggers yg lain, sudi2kanlah utk menitipkan sebarang komen atau cadangan utk memeriahkan lagi blog yg serba dhaif ini.. 'Tetamu datang membawa rahmat, perginya pula penghapusan dosa kita..."

p.p.s. Blog ini tidak ada kaitan dengan laman web bengkelrohani.com, sebarang persamaan barangkali adalah secara kebetulan dan kerana sudah tercatat di Luh Mahfuz dan dikehendaki oleh Allah jua adanya...

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...