Thursday, May 28, 2009

Pemimpin Bukan Wakil Rakyat Tetapi Wakil Tuhan

Nabi Musa a.s. merupakan salah seorang rasul yang memiliki darjat Ulul Azmi. Darjat Ulul Azmi ini hanya dikurniakan oleh Allah SWT kepada rasul-rasul-Nya yang sangat sabar dengan kerenah atau ragam umatnya.Nabi Musa a.s. sebelum mencapai darjat tersebut telah dianugerahkan oleh Allah SWT satu pengalaman dan sekaligus menjadi pengajaran untuk bagaimana hendak bersabar menghadapi kaumnya.Nabi Musa a.s. pernah diberi pengalaman sebagai seorang pengikut kepada Nabi Khidir a.s. Pengalaman tersebut sengaja Allah SWT lakukan kepada Nabi Musa a.s. Melalui pengalaman itu, Nabi Musa a.s. difahamkan oleh Allah SWT tentang betapa sukar dan susahnya seorang pengikut itu hendak memahami kemahuan dan kehendak seorang pemimpin,lebih-lebih lagi paling sukar ialah hendak berlaku taat kepada pemimpin.


Apabila Nabi Musa a.s. menjadi “pengikut” kepada Nabi Khidir, syarat utama yang diberikan ialah jangan persoalkan tindakan pemimpin. Ertinya pengikut jangan persoalkan apa saja keputusan, rancangan dan tindak-tanduk pemimpin terutamanya dalam aspek yang tidak difahami. Seorang pemimpin sejati yang dipimpin oleh Allah SWT, ideanya, keputusan,perancangan dan tindak-tanduknya adalah tepat dan selaras dengan kehendak Allah SWT.

Itulah ertinya pemimpin yang dipimpin oleh Allah SWT. Pada diri pemimpin itu dikurniakan ilham dan juga dilimpahkan oleh Allah SWT hikmah yang tidak terhingga. Pemimpin saja yang dapat menyelami berbagai hikmah di sebalik sesuatu perkara.

Bagi pengikut pula, mereka jangan mudah mempersoalkan pemimpin. Janganlah kerana ada sesuatu yang kita tidak faham atau sesuatu yang akal tidak dapat mencapainya, lantas mempersoalkannya, lebih-lebih lagilah tidak boleh memprotesnya.Melainkan perlu yakin dan taat saja. Ketaatan itu bukannya satu kesalahan bahkan sangat dituntut. Ini bagi memudahkan seorang pemimpin mengendalikan urusan dan perancangan untuk pengikut. Tentulah akan banyak gangguan apabila pengikut asyik mempersoalkan dan memprotes sesuatu yang datangnya dari pemimpin.

Pengalaman dengan Nabi Khidir itu telah menjadikan Nabi Musa a.s. dapat menyelami dan memahami sikap seorang pengikut. Mulai saat kegagalan dirinya sebagai pengikut yang tidak boleh tahan dengan tindak-tanduk Nabi Khidir a.s. sebagai pemimpinnya, maka Nabi Musa a.s. sangat bersabar terhadap umatnya. Dari sudut kewajaran, memanglah pengikut mesti taat dan menurut saja kepimpinan seseorang pemimpin.

Dari segi teorinya,begitulah yang sepatutnya dan yang sebaiknya. Namun dalam realitinya, para pengikut tidak mudah untuk taat setia. Kerana untuk berlaku taat, pengikut perlu terlebih dahulu menundukkan nafsunya sendiri terutama sifat egonya.Sangat sedikit di kalangan pengikut ini yang dapat tembus pemahamannya terhadap pemimpin. Lantaran tidak faham dan juga tidak taat pula maka tercetuslah berbagai kontra dan perbezaan pendapat dan pandangan. Maka dari situlah Nabi Musa a.s. menetapkan satu pendirian bahawa selaku pemimpin umat maka dirinya perlu memiliki sifat sabar yang tinggi.Di atas kesabaran Nabi Musa a.s. terhadap kaumnya itulah maka Nabi Musa a.s. mencapai darjat Ulul Azmi.

Nabi Musa a.s. berhadapan dengan Firaun yang kejam. Ancaman keras dan zalim Firaun itu memaksa Nabi Musa a.s. melarikan diri dari bumi Mesir. Nabi Musa a.s. bersembunyi dan mendapat perlindungan Nabi Shuib a.s. di daerah Madyan. Apabila Nabi Musa a.s. kembali ke bumi Firaun, ketika itu bukan sahaja menghadapi ancaman Firaun, Hamman wazir Firaun dan juga Qarun, tetapi juga menghadapi kaumnya Bani Israil yang terkenal degil dan keras kepala. Bani Israil ini seringkali memperlecehkan dan mempermainkan Nabi Musa a.s.

Apabila datang larangan supaya tidak menangkap ikan hari Sabtu, Bani Israil ini sengaja melanggar larangan tersebut malah mempermainkannya. Mereka memasang pukat pada hari Jumaat. Apabila mereka mengangkat pukat pada Hari Sabtu, mereka dengan mudah memberi alasan bahawa ikan itu telah memasuki pukat pada Hari Jumaat, cuma mereka mengangkatnya pada hari Sabtu.

Begitu juga dengan peristiwa lembu betina (Al Baqarah) yang menjadi salah satu surah dalam Al-Quran. Mereka mempertanyakan lembu yang hendak dipilih itu atas maksud mempermain-mainkan Nabi Musa a.s. dan memperlihatkan kedegilan mereka. Dalam tempoh yang singkat saja Nabi Musa a.s. menaiki Thur Sina untuk bermunajat kepada Allah SWT,sekembalinya dari munajat itu sebahagian pengikutnya sudah berpaling menjadi penyembah berhala.

Ragam umat yang bermacam-macam inilah memerlukan sifat sabar seorang pemimpin. Pemimpin yang sabar saja yang bakal berjaya memimpin umat. Kesabaran itu pula hanya akan diperolehi dengan bantuan Allah SWT. Maka pemimpin itu perlu sedar bahawa Allah SWT pilih dirinya menjadi pemimpin itu semata-mata sebagai wakil Allah SWT. Wakil Allah SWT ertinya membuat kerja-kerja bagi pihak Allah SWT. Dirinya hanyalah sekadar salah seorang dari hamba Allah SWT, dan tidak lebih dari itu. Siapanya manusia ini, semuanya adalah hamba ciptaan Allah SWT. Di sisi Allah SWT tiada sebarang perbezaan. Hanya yang membezakan dirinya dengan manusia lain ialah pada fungsi, amanah, tanggungjawab dan tugas.

Pemimpin adalah hamba Allah SWT yang diberi peranan dan tanggungjawab untuk memimpin hamba Allah SWT yang lain. Peranan dan tanggungjawab itu perlu dilaksanakan bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Allah SWT jualah yang akan menyempurnakan urusan kepimpinan itu.

Apabila seseorang pemimpin itu hilang kesabarannya maka dengan sendiri dia sudah cuba memesongkan peranan pemimpin sebagai wakil Allah SWT kepada mewakili dirinya sendiri. Dalam keadaan itu maka bantuan Allah SWT sudah terputus. Maka kepimpinannya gagal dan manusia tidak terpimpin. Jadi pilihlah pemimpin sebaik-baiknya...

Monday, May 11, 2009

Bukan Senang Nak Jadi Pemimpin

Kalau kita lihat sejarah para rasul, walaupun rasul-rasul itu punya kekuatan, hanya tiga orang rasul saja yang memerintah. Mereka ialah Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Rasulullah SAW. Rasul-rasul yang lain tidak memerintah. Mereka cuma memimpin tapi tidak memerintah. Itu Rasul, belum lagi nabi-nabi yang diutuskan. Para nabi diberi wahyu tetapi cukup untuk diri dia sahaja dan bukan untuk disampaikan berbeza dengan peranan rasul yang perlu menyampaikan wahyu itu dan memimpin umatnya.

Peliknya, mengapa kita berjuang, ghairah sangat hendak memerintah? Padahal para nabi yang mana nabi itu orangnya luar biasa, bukan saja memerintah, kalau dia tidak memimpin orang pun tidak menjadi satu kesalahan. Cukup dia menjaga dirinya sahaja. Maksudnya, hendak pimpin orang bukan senang. Mesti ada satu keistimewaan khususiah yang Allah bagi pada orang itu. Di sini kita hendak bawakan suatu cerita. Cerita ini semua orang tahu, iaitu cerita Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s. Tapi hikmahnya banyak orang tidak tahu. Cerita ini sama ada diceritakan dalam kitab mahupun disampaikan oleh tok-tok guru, hanya dikatakan Allah hendak beritahu pada Nabi Musa bahawa ada orang yang lebih alim dari dia. Itu kupasan dan ulasan yang biasa kita dengar.

Tapi di sini yang hendak diceritakan adalah satu kupasan baru yang lebih penting lagi daripada kupasan yang di atas. Seperti yang kita sedia maklum, Nabi Musa bertaraf rasul dan Nabi Khidir bertaraf nabi, masing-masing memikul peranan yang berbeza. Maka Allah SWT telah pertemukan Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s. untuk memberi ilmu kepada kita di akhir zaman ini, dan Allah telah tukar peranan masing-masing. Seolah-olah Allah berkata, Hai Musa engkau pemimpin, sekarang Aku tukar kedudukan engkau jadi pengikut. Tiga hari saja. Nak tengok, berjaya tak jadi pengikut. Seolah-olah Allah bercakap pada Nabi Khidir, Hai Khidir, kamu bukan pemimpin, tapi kali ini aku nak lantik engkau jadi pemimpin tiga hari saja. Berjaya tak?

Jadi bila ditemukan Nabi Musa dan Nabi Khidir, Nabi Musa pun ikutlah Nabi Khidir. Nabi Khidir yang kini jadi pemimpin berkata, Kalau nak ikut aku, jangan banyak cakap, ikut saja. Kalau banyak tanya nanti berpisahlah kita.

Jadi, mereka pun mula berjalan lalu berlakulah episod pertama. Terjadilah hal yang pelik. Nabi Khidir memecahkan perahu. Nabi Musa tidak tahan, dia tidak boleh terima dan bertanya, sedangkan dia sudah berjanji tidak akan bertanya. Nabi Khidir pun mengingatkan, Bukankah aku cakap jangan tanya, nanti berpisah kita. Nabi Musa meminta maaf dan Nabi Khidir pun memberi peluang lagi kepada Nabi Musa mengikutinya.

Berjalan lagi, jumpa peristiwa pelik kedua. Nabi Khidir bunuh budak. Nampak macam melanggar syariat. Nabi Musa tidak tahan, dia bertanya lagi mempersoalkan pemimpinnya. Sekali lagi dia diingatkan oleh Nabi Khidir akan janjinya. Kali ketiga berlaku lagi. Nabi Khidir pun memutuskan untuk berpisah.

Apa yang kita faham, bila bertukar peranan, kedua-duanya gagal. Pemimpin gagal, pengikut pun gagal. Pengikut tidak sanggup taat. Yang pemimpin pula, kerana dia hanya seorang nabi, Allah tidak kuatkan dia seperti rasul. Sebagai seorang pemimpin sepatutnya perlu bersabar dalam mendidik dan berhadapan dengan karenah anak buah. Itulah keistimewaannya. Sebab itulah rasul-rasul yang dapat ulul azmi adalah mereka yang paling sabar.

Jadi apa yang kita faham, seorang itu walaupun bukan rasul, tapi dia bertaraf mujaddid yang ditunjuk oleh Allah, maka Allah akan bekalkan kesabaran yang luar biasa kepadanya. Orang lain tidak boleh buat dan tidak akan tahan. Begitu juga hendak jadi pengikut pada seorang pemimpin yang sebenar, bukan senang hendak taat. Nampak lain sikit, sudah mula hendak persoalkan. Ada perkara yang pelik sikit, dia rasa itu tidak betul. Seolah-olah dia lebih pandai dari pemimpin.

Antara pemimpin dengan pengikut, Allah bagi jarak ilmu yang terlalu jauh. Jadi pengikut juga perlu sabar untuk taat. Cuba tengok Nabi Khidir, atas dasar ilmu dia layak jadi pemimpin, tapi atas dasar ketabahan hati dia tidak layak. Sebab itu, jika kita lihat Nabi Adam selepas dia dibuang ke bumi dan bertaubat dengan bersujud selama 40 tahun sampai pokok tumbuh besar di kelilingnya, pun tidak dapat gelaran Ulul Azmi. Mengapa? Dia sujud itu bukan memimpin. Itu antara dia dengan Tuhan sahaja. Dengan Tuhan dia rasa lazat, tapi cuba pimpin manusia dengan bermacam-macam ragam, susah dalam berhadapan dengan musuh, berhadapan dengan kerenah anak buah. Ini bukan sesuatu yang senang untuk dihadapi. Nabi Musa sampai tersesat di padang pasir 40 tahun lamanya kerana memimpin Bani Israil, barulah beliau mendapat darjat Ulul Azmi.

Jadi setiap orang kenalah redha dengan kedudukan masing-masing. Mungkin keupayaan yang dikurniakan oleh Allah itulah merupakan saluran untuk kita berbuat kebaktian. Oleh itu janganlah kecil hati dan bersyukurlah Allah tidak pilih kita jadi pemimpin kerana ditakuti kita tidak layak. Bila tidak layak tapi ingin juga memimpin, ia boleh menjadi punca kerosakan yang besar kepada manusia. Moga kita sentiasa mendapat petunjuk dan pimpinan Allah sentiasa.

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...