Friday, August 10, 2012

Hikmah Al-Quran dan Ramadhan



Firman Allah: “Bulan Ramadhan bulan yang mana diturunkan padanya Al-Quran untuk jadi petunjuk kepada manusia dan untuk menunjukkan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebenaran itu. Dan untuk membuktikan bahawa Al-Quran adalah pemisah antara yang hak dengan yang batil.”

Dalam ayat ini baru kita tahu bulan Ramadhan ini besar, agung. Dan di bulan agung ini Tuhan datangkan ibu ilmu iaitu Al-Quran, ilmu yang tak pernah disentuh lagi oleh manusia, belum ada manusia campur tangan samada yang sebelum mahupun sesudah. Dia merupakan barang pure dari Tuhan untuk manusia. Tuhan tak kata untuk orang beriman sebab waktu Quran mula diturunkan mana ada orang beriman, sebab itu diseru untuk manusia yang belum beriman. Bila datangnya Al-Quran manusia yang tak beriman terus jadi  beriman. Kalau begitu apa yang kita faham kedatangan setiap kali bulan Ramadhan bermakna kedatangan ilmu dari Tuhan. Setiap kali Ramadhan datang, setiap kali pula umat islam yang mungkin di bulan-bulan lain tak ada kesempatan nak mengkaji ilmu Al- Quran maka diperuntukkan satu bulan untuk mengkaji ilmu Al-Quran. Oleh sebab itu Tuhan jadikan bulan Ramadhan puasa.

Bila berpuasa ikut sistem Tuhan, bukan sekadar tak makan tak minum tapi nafsu yang berpuasa, fikiran yang berpuasa, jiwa yang berpuasa, perasaan yang berpuasa. Orang itu saja yang boleh jadikan sebulan itu dia dapat ilmu Al-Quran yang banyak. Sebab puasa itu, sepertimana yang digambarkan tadi. Bukan tak makan tak minum, boleh menerima ilmu wahyu, mudah boleh terima ilmu, mudah faham. Itu untungnya disuruh puasa.

Sebab jiwa yang bersih dari nafsu dan akal yang bersih dari nafsu sangat mudah memahami ilmu Al-Quran, itulah hikmahnya digandingkan Al-Quran dengan puasa. Jadi kalau puasa ikut sistem yang sebenar, kemudian kita belajar Al-Quran, sembahyang sebulan Ramadhan ikut sistem yang sebenar, ertinya kita masuk belajar di universiti Tuhan yang ilmunya sangat banyak, itulah maksudnya. Tapi pelik setiap kali Ramadhan datang  kita tak dapat ilmu Al-Quran, setiap kali Ramadhan datang, kita tak dapat ilmu wahyu. Inikan sudah melanggar sistem, sudah jauh dari apa yang dikehendaki oleh tuhan seolah-olahnya bila Ramadhan fikir nak makan sedap, ini konsep Ramadhan sudah beralih. Yang baik sikit nakkan fadhilat yang banyak. Itu baik sikit tapi itupun dah terseleweng. Padahal kedatangan Ramadhan nak canai hati supaya datang ilmu Al-Quran, dikaji, di tadabbur, mudah difaham, mudah dihayati, mudah diamalkan.

Pernahkah  kita rasa bila Ramadhan datang itu yang kita target dan jadi cita-cita kita. Tak pernah. Jangan-jangan  baru hari ini kita dengar. Padahal Ramadhan ertinya masuk universiti Tuhan nak terima ilmu dari 30 juz Quran, 6666  ayat dan 114 surah. Tuhan ada berkata, Maksudnya:
“Ilmu Tuhan itu sebanyak yang ada dalam Al-Quran. Kalau ditulis dengan dakwat hingga kering dakwat seluruh dunia, datangkan dakwat sebanyak itu lagi, takkan habis ilmu Tuhan yang tersirat dalam Al-Quran”.

Kalau itulah yang digambarkan oleh Tuhan, tak terasa apa-apa Ramadhan kita?  Tak rasa nak berhadapan dengan sesuatu yang besar? Padahal Tuhan berkata, kalau kering dakwat di dunia ini kemudian didatangkan dakwat sebanyak itu juga pun tak habis ilmu Tuhan. Kalau kita nak berhadapan dengan Ramadhan kita berfikir begini jadilah. Sebab ilmu Tuhan itu hebat tak mungkin ditarget semua, kalau sedikit jadilah, masuk sedikit di atas banyak . Kalau sedikit dari seribu atau sejuta itukan banyak. Kalau sedikit dari satu itu memanglah sedikit, ini tidak yang kita maksud  sedikit dari sejuta itu nisbah tapi itu banyak. Tapi pernahkah kita berfikir begitu. Inilah generasi umat Islam. Bulan ilmu tak terasa nak berhadapan dengan ilmu, terasa nak berhadapan dengan lapar saja. Waktu lapar, makan banyak-banyak waktu maghrib, terus rehat-rehat sekejap baru sembahyang. Bukankah sudah jauh dari konsep puasa sebenar.

Bulan Ramadhan bulan ilmu. Tapi 20 tahun berpuasa tak dapat ilmu. Baca juga Al-Quran, bertambahkah ilmu? Padahal Al-Quran itu kalau kita ambil kulit pun jadilah itupun kalau nisbah benda. Kalau ilmunya ibarat barang berketul tak larat nak bawa. Apa itu kulit? Seperti nak dapat ilmu Al Quran bagaimana diturunkan? Malaikat bawa wahyu bagaimana bentuknya? Macamana ayat itu turun? Itu kulit. Ada ayat Mekah,ada ayat Madinah. Apa maksud ayat Mekah, apa maksud ayat Madinah ? Itu pun kulit. Ada yang turun dalam perjalanan, ada ketika bermukim. Itu semua ilmu kulit. Tak tahu tak apa, takkan nak makan kulit? Ilmu kulit pun kalau kita dapat sudah berapa banyak. Ada waktu ayat turun waktu malam ada siang, ada musim sejuk ada musim panas. Itu semua tentang kulit Al-Quran. Kalau kita belajar kulit itu pun dah banyak. Ada kala diturunkan waktu di kenderaan , adakala di rumah isterinya. Itu semua ilmu kulit. Kalau kita nak belajar ilmu Al-Quran itu aduh, kulit pun perlu juga, boleh dibakar. Setengah orang kutip kulit kayu dijual, ada faedah. Ada faedah mengaji tentang kulit Al-Quran pun hebat. Itu belum mengkaji yang dalam Al-Quran.

Ilmu yang dalam kulit sikit tapi belum dalam betul ialah misalnya dikatakan Al-Quran itu petunjuk bagi manusia, dalam Al-Quran ada bukti yang Al Quran itu petunjuk, ada hujah akal membuktikan kebenrannya. Itu kulit dalam, kulit nipis. Kalau ibarat ubi, tadi kulit luar yang ini kulit dalam, sedap dimakan. Tapi bukan itu yang dimaksudkan oleh Tuhan, lebih dari itu. Al-Quran ada ilmu yang mempunyai kekuatan mental, perasaan, fizikal. Lebih-lebih lagi kalau Tuhan anugerahkan kepada seseorang yang dia benar-benar mempunyai perasaan kekuatan fadhilat Al-Quran. Jadi untuk menggambarkan walaupun kita tak dapat isinya. Cuma untuk membuktikan kalau isinya didapati, hebatnya. Seolah-olah nak dapat isi tadi tak munasabah kena mengaji dari ayat ke ayat, lafaz ke lafaz.  Cuma nak dirasakan bersama supaya cara ini  insya Allah terasa Al-Quran luar biasa, ilmu yang agung, siapa yang miliki ilmu Al-Quran ertinya boleh memiliki ilmu dunia akhirat. Memiliki ilmu tentang perkara yang ghaib dan yang lahir. Yang ghaib kalau Al-Quran tak cerita orang tak tahu tentang adanya Tuhan. adanya arasyh, kursi, sirotal mustakim. Sirotal mustakim kalau perah otak pun takkan terbongkar keberadaan itu semua.

Begitu juga tahu ilmu lahir, ilmu kehidupan yang ada hubungan dengan manusia. Al-Quran memberitahu ilmu yang ada hubugan dengan manusia, kita ambil yang besar. Kita mengaji Al-Quran sama ada di sekolah atau faham sedikit banyak bahasa Arab, waktu Ramadhan ambil peluang kaji-kaji, kita akan tahu ilmu manusia, bangsa-bangsa, watak manusia, saikologi, masyrakat, politik, kepimpinan, kebudayaaan, pendidikan, sejarah dan ilmu yang besar-besar yang semua kita dengar ada daalm Al-Quran. Tentang ilmu perhubungan, padang pasir, sungai, perjuangan, tentang bagaimana nak buat kesatuan, bangunkan jemaah, semua ada dalam Al-Quran. Itu baru setakat  kulit lapis kedua.

Ilmu lapis ketiga dah masuk isi bukan pati (santan) itu untuk manusia  luarbiasa.  Kalau dapat santan cukup sudah boleh makan, sudah sampai peringkat boleh diguna pembinaan badan, cukup untuk bangunkan mental, roh, perasaan kita.  Siapa dapat ilmu politik dan sebagainya dari Al-Quran itu sudah cukup orang kagum, orang hairan, orang tak jemu. Bila dengar ustaz itu bersyarah orang nak lagi, kita lapis ketiga pun tak dapat walaupun masuk universiti. Buktinya cuba awak cerita mengenai masyarakat manusia dirujuk pada Al-Quran, tak boleh. Cuba awak cerita sejarah dalam Al-Quran dan hubung kaitkan dengan sejarah akan datang (hari ini), tak boleh. Dia akan cerita seketul-seketul. Cerita Nabi Isa, Nuh, itu anak tadika pun boleh tahu.

Kalau ditanya cuba cerita ilmu ekonomi dirujuk kepada Al-Quran dan Hadis. Cuba cerita ilmu perjuangan dirujuk kepada Al-Quran dan Hadis, watak-watak manusia hasil mempelajari Al-Quran dan Hadis. Kalau setakat itu pun dah agak penting apa yang kita dapat selama ini?  Tak dapat apa-apa, Ramadhan datang habis begitu saja, tak dapat apa-apa. Hanya dapat lapar dan haus saja.

Jadi kalau kita boleh dapat ilmu tahap tiga ini, sebab dia sudah ada hubungan dengan kehidupan manusia di sudut apa pun, sebab Al-Quran itu untuk manusia. Kalau ada ustaz ada ilmu itu orang buru orang tak jemu dengar. Tapi hari ini bila orang Islam nak tahu ilmu, buka kitab orang putih walhal semuanya ada dalam Al Quran. Kalaulah  kita boleh dapat ilmu Al-Quran tahap 3 itu dah cukup hebat. Sebab ilmu itu untuk manusia, ada hubungan dengan manusia. Ertinya matlamat sudah sampai, tapi ada yang lebih dari itu.

Selepas itu supaya terasa Al-Quran maha besarnya Tuhan. Oleh karena Tuhan Maha Agung maka ilmuNya Maha Agung dan Maha Besar. Walaupun apa yang akan dicakapkan ini tak mungkin kita dapat lagi. Hanya nak menyedarkan kita bahawa ada ilmu yang lebih dalam dari Al-Quran itu. Ilmu Al Quran selain lapis 1, 2 dan 3 tadi, yang ketiga itu karena dah susah dia bercampur ada yang tersurat ada yang tersirat. Yang tersurat mungkin boleh faham. Katalah kita baca satu ayat, yang tersurat ½ ayat, yang lain tersirat. Itu susah. Separuh tersurat separuh tersirat. Yang tersurat agak mudah, yang tersirat susah. Kalau tak boleh faham yang tersurat banyaklah tempang macam orang kaki sebelah. Nak jalan betul kena pakai kaki kayu itu pun sudah susah.

Kebanyakannya tersirat. Kalau tak faham tersurat tidak boleh keluarkan apa maksud atau kehendak Al-Quran dengan kata lain kehendak Tuhan. Kalau ada ulama diberikan ilmu itu Masya Allah yang ketiga sudah luar biasa, itu pun sudah tak ada.  Tapi lapis 4 lebih hebat, lebih dahsyat. Sebab semua yang tersirat nak disuratkan. Kan payah. Kalau Tuhan bagi Ilmu itu pada seseorang bolehkah diremeh-remehkan orang itu?  Tidak. Tuhan tak akan berikan Ilmu itu pada sebarang orang. Mesti orang pilihan.  Siapa dapat bukan sebarang, sekadar itu. Sekadar baru terbelelak terkejut. Ilmu Al-Quran yang tersirat ini, yang ilmu itu hanya ada pada orang yang boleh dibilangan jari saja itu pun di zaman lepas, sekarang tak ada.

Ilmu mengenai  hukum-hakam berkait dengan perkara wajib, sunat, haram, makruh, istilahnya ilmu feqah. Kalau orang itu belajar bahasa Arab tinggi sekalipun, kalau Tuhan tak beri anugerah pada orang itu untuk faham macamana nak kaitkan ayat dengan ayat, Hadits dengan ayat, ayat dengan hadits dia tak boleh keluarkan hukum lagi dia tak boleh nak putuskan haram hukumnya atau tak, dia tak jadi qat’i lagi. Yang ini wajib tak boleh lagi, ini makruh tak boleh lagi, ini haram tak boleh lagi, ini fardhu ain tak boleh lagi. Nak campurkan ayat dengan ayat, nak kaitkan hadits dengan ayat, nak huraikan hadits merujuk dengan ayat itu baru boleh keluarkan hukum yang sebenar, kalau tidak macam samar-samar. Kalau wajib jelas wajib, kalau makruh jelas makruh, kalau haram jelas haram, orang macam itu diberi gelaran mujtahid. Orang itu mengistimbat atau mengeluarkan hukum setelah di hubung-kaitkan satu ayat dengan satu ayat, ayat dengan hadits, hadits dengan ayat baru dapat ditetapkan hukumnya orang itu dikatakan mujtahid.

Dalam sepanjang zaman ada 11 orang saja termasuklah imam mazhab yang 4 , sebab yang 4 ini kitabnya masih ada yang lain kitabnya dah tak ada. 7 lagi mujtahid kita tak tahu mereka sebab kitab mereka dah tak ada dimusnahkan oleh tentera Monggol semasa dia menyerang Baghdad. Jadi kitab dah tak ada, kita tak tahu ajaran mujtahid-mujthahid yang 7 lagi itu. Kalau ada lagi kitab, kita akan berhadapan dengan ahli sunnah yang menganut 11 mazhab sekarang tinggal 4. Diantara namanya Auza’i dan lain-lain. Yang mampu jadi mujtahid setakat ini dalam dunia islam hanya ada 11 orang  kalau adapun yang lain hanya setengah aspek seperti Imam Sayuti setengah aspek saja dia tidak ikut Imam Shafii setengah aspek yang lain. Macam Imam Nawawi walaupun dia ikut Imam Shafii setengah, setengahnya ada yang tak ikut, dia ijtihad sendiri. Tapi sedikit, kecil sangat.  Seolah dia ikut semua. Imam Shafii dengan Imam Nawawi 700 tahun jaraknya. Di antaranya Imam Shafii waktu puasa pakai wangi-wangian makruh, Imam Nawawi tidak, seolah-olah dia berkata Imam Shafii engkau banyak jasa pada aku yang lain aku ikut yang ini aku tak ikut. Guru atas angin, kata Imam Nawawi sunat orang puasa pakai minyak wangi, di sini  kongsi dengan Imam Nawawi. Saya pakai atas dasar ilmu saya buat atas dasar ilmu yang lain semua ikut Imam Shafii.


Ilmu hikmah terbahagi dua. Ilmu hikmah ini sangat tersirat. Kalaulah seseorang itu bukan orang Tuhan memang tak logik,  sebab ilmu itu bukan menggunakan akal lagi, kalau tadi ada juga akal. Akal yang dikuatkan oleh ruh. Orang jadi mursyid akalnya dikuatkan oleh ruh sebab itu dia boleh berijtihad. Yang ini lebih dalam lagi tapi bukan satu kategori. Ilmu hikmah mungkin tak pernah kita dengar. Lebih-lebih lagi dipelajari. Kalau dengar pun bukan ilmu hikmah yang dimaksudkan ini. Kalau kita belajar falsafah dikatakan ilmu hikmah, bukan itu yang dimaksudkan. Sebab itu tak ada hubungan dengan Al-Quran itupun terkeliru sebab dikatakan ilmu hikmah. Itu tak masuk Al-Quran, itu hanya akal, otak, itu adalah failasuf . Kita sedang belajar nak mengetahui ilmu tahap 4.


1) Ilmu hikmah pertama iaitu ilmu yang Tuhan beri pada seorang ulama yang kalau kita baca yang tersurat tak mungkin dapat. Ada rahsia-rahsia Al Quran yang Tuhan beritahu dia, ini dikatakan ilmu hikmah. Diantaranya ilmu murah rezeki, ilmu perubatan, ilmu nak tolak sihir, nak tolak jin, jalan atas air, nak tolak bukit, makan satu hari kenyang sebulan itu ilmu hikmah, tak salah kalau dia ambil berkat Al-Quran bahkan yang ajar ialah wali-wali. Oleh kerana muridnya tak dapat dibagi atas dasar berkat. Kalau engkau buat ini akan jadi begitu.  Bukan senang nak buat ini ambil satu ayat Al-Quran gabung dengan satu ayat Al-Quran keluarlah satu ilmu baru, bukan senang nak buat itu, orang kata ilmu khadam.

2)  Ilmu hikmah kedua. Ini diberi pada seorang syeikh atau guru untuk perjuangan dizamannya. Ini diberi pada ahli-ahli tareqat, wirid zikir yang diberikan kepada tuk guru untuk kekuatan di zamannya. Sesuai untuk keperluan dizamannya.  Inilah yang dimaksud ilmu hikmah dua yaitu satu pakej yang diberikan kepada seorang syeikh dizamannya iaitu ilmu wirid, ada kaedah berjuang, ada kaedah melahirkan jemaah termasuk ilmunya satu pakej termasuk wirid. Itulah hikmah diberi kepada seorang syeikh untuk dapat kekuatan perjuangan dizamannya mengikut saiz, ada taraf jemaah, ada taraf negara, ada taraf ummah. Disini memberi faham kepada kita bahawa pejuang yang dimusnahkan Amerika sebenarnya dia tak dapat ilmu hikmah dua ini. Dia reka sendiri, sebab itu terkorban sana terkorban sini. Kalau ada yang mati syahid lihat tidak kalah. Itu anugerah Tuhan. Diilhamkan untuk syeikh tareqat untuk perjuangan di zamannya sesuai dengan saiz.

Kemenangan juga pakej ikut saiz. Itulah ilmu hikmah kedua. Siapa berjuang tidak dapat ilmu itu, tak ada pekej itu, itulah yang teruk. Berjuang  itu bukan direka-reka, agak-agak. baca ayat, berjuang, ayat ada yang tersirat kalau tidak diberitahu Tuhan akan berhadapan dengan kegagalan dan kehinaaan. Ilmu itu bukan senang, itu orang luarbiasa. begitulah secara teorinya ilmu Al-Quran kalau kita faham tentang Al-Quran, setiap Ramadhan kita buat kajian, kita akan dapati Al-Quran jadi luarbiasa kalau dapat kulit pun jadilah tapi kulit pun tak dapat.

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...