Friday, September 20, 2013

I Am Only A Traveller In This World

In Kitab al-Majmu', Imam al-Nawawi mentions that al-Shafi'ee used a walking stick for which he was asked: "Why do you carry a stick when you are neither old nor ailing?" He replied: "To remember I am only a traveller in this world."

*********************************************

Aku Hanyalah Seorang Pengembara Di Dunia Ini

Aku seorang pengembara, musafir di perjalanan,
Melihat keindahan alam dan dunia ciptaan Tuhan
sambil mencari barang dan bekal untuk dibawa pulang
Di dalam permusafiran pulang banyak gangguan
Sering sahaja aku melupakan bahawa aku di dalam perjalanan
Akhirat adalah destinasi akhirku, Akhirat adalah kampung abadi
Dan aku hanyalah pemegang passport sementara di dunia ini

Di dalam perjalanan pulang aku sering sahaja dilekakan
Gangguan-gangguan yang memperdayakan
hingga aku melupakan bekalan ilmu pengetahuan
yang menjadi penyuluh dan panduan sepanjang jalan
Sehingga kadangkalanya aku terlupa bahawa aku adalah di dalam perjalanan pulang
ke kampung Akhirat, kampong halaman, kampung idaman

Aku tidak tahu apakah aku pulang membawa kekayaan iman taqwa dan amal bakti
Ataupun kekayaan yang diperolehi hasil keegoan dan kepentingan diri
Sehingga sanggup menindas dan menjatuhkan orang, bermusuhan dan menzalimi
Kejayaan dan kekayaan yang merupakan barang-barang yang aku bawa ini
Hasil dari permusafiranku di dunia ke kampung Akhirat nanti
Apakah boleh laku dan diterima di kampung abadi
 
Kalau seseorang tidak membawa apa-apa sudah tentulah akan miskin kedana
Namun begitu yang membawa barang-barang pula belum tentu diterima
Kalau tidak diterima, maka senasiblah seperti mereka yang pulang tidak membawa bekal apa-apa
Aduh..! aku bimbang sebenarnya samada aku tidak boleh membawa
Ataupun membawa barang tapi tidak berguna dan sia-sia
Aduh..! kalau setelah sampai di sana baru kutahu barang yang kubawa tidak berguna
Alangkah malangnya seumur hidup permusafiranku di dunia tidak ada erti apa-apa

Tuhan pimpinlah aku di dalam pengembaraan ini
Agar perjalanan dan permusafiranku selamat sampai ke destinasi
dengan membawa pulang barangan yang berharga yang Engkau redhai
Supaya aku pulang tidak kecewa dan menjadi orang yang tersangat rugi
Aku adalah hamba, yang menjadi pengembara,
mencari bekalan dan membawa barangan ke Akhirat sana,
Tuhan, pimpinlah aku dan tunjukkanlah jalan
Di dalam permusafiranku di dunia yang penuh ranjau dan cabaran

Monday, September 9, 2013

Memoir 31 Ogos 1957

Doa Syeikh Ahmad bin Mohd Said (Mufti Pertama) Pada Hari Kemerdekaan 1957

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سَائِرَ العُمَّالِ وَالوُزَرَاءِ وَالسَّلاَطِينَ وَالمُلُوكِ وَالأُمَرَاءِ لِرِعَايَةِ أُمُورِ الدِّينِ وَالمُحَافَظَةِ عَلَى حُقُوقِ المُسْلِمِينَ وَإِقَامَةِ العَدْلِ فِى الأَحْكَامِ وَالتَّمَسُّـكِ بِفَضَائِلِ الإِسْلاَمِ،
اَللَّهُمَّ وَأَصْلِحْ بِهِمْ شُئُونَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ حَتَّى تَتَرَقَّى وَتَتَقَدَّمَ إِلَى أَعْلَى مَا يَتَحَقَّقُ بِهِ بُلُوغُ الأُمْنِيَّةِ. اَللَّهُمَّ وَانْصُرْنَا مَعَاشِرَةَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ وَاهْدِنَا وَسَدِّدْنَا خَيْرَ البَرِيَّةِ وَاهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْـتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّآلِينَ،
اَللَّهُمَّ اكْشِفْ عَنَّا الكُرُبَاتِ وَسَـلِّمْنَا نَحْنُ مِمَّا فِيهِ مِنَ الآفَاتِ وَاحْفَظْنَا مِنْ كُلِّ سُوءٍ وَمَلاَمٍ وَبَـلِّغْنَا كُلَّ مَقْصُودٍ وَمُرَامٍ وَأَصْلِحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ غَيْرِنَا حَتَّى تَكُونَ فِى أَمَانٍ وَسَلاَمٍ. وَفَرِّجْ عَنَّا كُرُبَاتِنَا فَرْجًا عَاجِلاً بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ،
اَللَّهُمَّ كُنْ لَنَا وَلَهُمْ وَلِهَذَهِ البِلاَدِ حَافِظًا مِنْ جَمِيعِ البَلاَيَا وَدَافِعًا عَنَّا وَعَنْهُمْ جَمِيعَ الرَّزَايَا، وَانْصُرْنَا عَلَى الأَعْدَاءِ وَالحُسَّادِ وَاحْلُلْ غَضَبَكَ وَنِقْمَتَكَ عَلَى البَغْيِ وَالفَسَادِ اَللَّهُمَّ وَاحْرُسْ بِعَيْنِكَ الَّتِي لاَ تَنَامُ وَاكْـنُفْ بِكَنَفِكَ وَرُكْنِكَ الَّذِي لاَ يُرَام. اَللَّهُمَّ اِرْمِ رَايَةَ الإِسْلاَمِ مَنْشُورَةً وَمَوَاطِنَ الدِّينِ وَالحَـقِّ مَعْمُورَةً.

Yang bermaksud, Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekelian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan. Ya Allah! Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.

Oleh,
Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, doa ini dibaca ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31hb Ogos 1957.

--------------------------------------------
 Memoir 31 Ogos, adalah hasil nukilan dan lakaran penulis bersempena Cabaran Melukis Komik 24 Jam (24 Hours Comic Challenge 2007) bertempat di Cineleisure Damansara, bermula jam 12 tghari 20 Oktober hingga jam 12 tghari 21 Oktober hari berikutnya. 24 jam untuk 24 mukasurat, sarat dengan mesej dan falsafah kemerdekaan untuk renungan pembaca bersama.. Moga ada manfaatnya.. :)

























Tuesday, August 27, 2013

La Tahzan: Jangan bersedih untuk Mesir..



Dr. Aidh Qarni seorang ulama di Saudi yang terkenal dengan bukunya "La Tahzan" menulis di ansarportsaid.net hari Sabtu 24 Ogos 2013 tentang bagaimana seorang muslim menyingkapi keadaan Mesir saat ini. Berikut petikan tulisan beliau:

Ketika aku sedang menagis kerana meratapi apa yang menimpa umat ini di seluruh dunia Islam, terutama di Mesir dan Syria, ada seorang kawanku datang bertanya, "Kenapa kau bersedih?" Aku menjawab, "Aku bersedih kerana agamaku sedang dalam kesulitan." Diapun menjawab, "Islam adalah agama Allah swt. Dia sendiri yang akan menolongnya. Bukankah Allah swt. berfirman, '"Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang". Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. '"[Al-Mujadalah: 21].

Aku berkata, "Kalau begitu, aku menangis kerana orang-orang yang dibunuh secara zalim." Dia pun menjawab, "Mereka telah berbahagia, in sya'a Allah, hidup dan mendapatkan rezeki di sisi Allah swt."

Aku berkata, "Kalau begitu, aku menangis kerana orang-orang yang terluka, tertawan dan tertindas." Dia menjawab, "Segala musibah yang menimpa seorang muslim, hingga duri yang menusuknya, pasti akan menjadi penghapus dosa dan kesalahannya. Ujian dari Allah swt adalah kaffaratudz dzunub. "

Aku berkata, "Kalau begitu, aku menangis kerana janda yang kehilangan suaminya, anak yatim yang kehilangan ayahnya." Dia menjawab, "Allah swt. akan menolong mereka. Kerana Allah swt. adalah penolong bagi orang-orang yang soleh. "

Aku berkata, "Kalau begitu aku menangis kerana ibu yang kehilangan anak-anaknya, atau orang yang kehilangan orang-orang yang dikasihinya." Dia menjawab, "Hanya orang yang sabar, yang pahalanya diberikan tanpa hitung-hitung."


Aku berkata, "Aku bersedih kerana ahli kebatilan berkuasa di bumi ini, mengalahkan ahli kebenaran." Dia menjawab "Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri. Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahannam dan itu adalah tempat yang seburuk-buruknya. "[Ali Imran: 196-197].

Dia pun mengakhiri pembicaraan kita dengan sebuah nasihat, "Kerana itulah tidak ada alasan kita 
menangis. Hapuslah airmatamu. Yakinilah janji Allah swt. Kalau Dia sudah berjanji, tidak ada yang akan dapat menghalang-Nya. Perbaikilah dirimu sehingga menjadi orang yang layak termasuk dalam firman Allah swt. "Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa. "[Al-Qashash: 83]

credit goes to: tim dakwatuna

Monday, February 18, 2013

Uwais Al-Qarni : Terkenal di langit, tidak di bumi


Dia seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang,kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya. Hidup sezaman dengan Rasulullah tetapi mereka tidak pernah bersua muka kerana Uwais tinggal di Yaman. Kerap membaca al-Quran dan selalu menangis tatkala membacanya. Pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut. Satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakan sebagai selendang.  
Siapalah dia di mata manusia. Tidak banyak yang mengenalinya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara yang mentertawa dan mempermainkannya.Ada yang menuduhnya sebagai pencuri. Manusia mengumpat dan mencelanya kerana kemiskinannya.Uwais telah lama yatim, tiada sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua dan lumpuh.

Sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup untuk menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Jika ada wang lebih, Uwais gunakan bagi membantu jirannya yang juga hidup miskin sepertinya.Uwais al-Qarni peluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke negeri Yaman. Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mengurangkan ibadahnya walau sedikit. Dia tetap berpuasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.
Ramai tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru pulang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengannya. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah. Apatah lagi ibunya sakit dan perlu dirawat.


Hari berganti hari, dan kerinduannya untuk bertemu Nabi tidak terbendung. Pada suatu hari Uwais meluahkan juga isi hatinya kepada ibunya dan memohon izin untuk menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.Si ibu dengan rasa terharu meredhai pemergian Uwais dan berpesan agar segera pulang.Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar menemani ibunya selama mana dia pergi.

Maka berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih kurang 400km dari Yaman. Medan yang begitu panas diharunginya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam mahupun padang pasir yang luas yang boleh menyesatkan. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.Namun setibanya Uwais al-Qarni di depan rumah Nabi, 'Aisyah R.A memaklumkan bahawa Nabi berada di medan perang.Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kepulangan Nabi S.A.W dari medan perang.Namun masih terngiang di telinga pesan ibunya agar cepat pulang ke Yaman.Atas ketaatan kepada ibunya, Dia akhirnya pulang dengan hati yang pilu setelah menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W 
 
Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W terus menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Baginda menjelaskan bahawa Uwais adalah anak yang taat kepada ibunya.Walau tidak dikenali di dunia,namanya sangat terkenal di kalangan penghuni di langit sana .Mendengar perkataan baginda S.A.W, 'Aisyah R.A dan para sahabat terpegun.Menurut 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan pemuda itu telah segera pulang ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit.
Rasulullah S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya."

Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:
"Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."
Setelah wafat Nabi S.A.W, suatu ketika khalifah Umar dan Ali K.W. teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni. Sejak itu, setiap kafilah yang datang dari Yaman, mereka selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni sehingga lah satu ketika akhirnya mereka dipertemukan,bilamana Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah.Pada ketika itu ibunya telahpun wafat.Kesempatan itu diambil oleh Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka sebagaimana pesan Nabi S.A.W.Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah, "Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata, "Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripadamu".
Kerana desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.Setelah itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada Uwais, segera sahaja Uwais menolak dengan halus dan berkata,"Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi."

Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah ramai orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada ramai orang yang menunggu untuk mengkafankannya.Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada ramai orang yang menggali kuburnya hingga selesai. 
Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebut untuk mengusungnya.Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang sewaktu hayatnya.Mereka saling bertanya-tanya;
"Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."
Mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahui siapa sebenarnya Uwais al-Qarni. "Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di kalangan penduduk bumi tetapi namanya sangat tersohor di langit sana."

Thursday, January 24, 2013

Salam Maulidurasul 1434H - Rasulullah Yang Sangat Menyayangi Kanak-Kanak

SALAM MAULIDURASUL kepada semua. Nabi Muhammad SAW amat gemar kepada kanak-kanak yang dipanggil sebagai bunga-bunga di dalam kebun Allah. Kanak-kanak adalah generasi pelapis yang bakal menjadi pemimpin pada masa yang akan datang.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan suatu ketika Rasulullah saw. mencium cucu Baginda saw, Hassan dan ketika itu ada duduk bersama Baginda saw. Al-Afra bin Habis At-Tamimi. Al-Afra lalu berkata: “Aku ada sepuluh orang anak tapi aku tak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Maka Rasulullah saw. pun bersabda, “ Sesiapa yang tidak menyayangi anak-anak tidak akan disayangi dan dirahmati Allah.”

Di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a bermaksud: “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak kasihan belas terhadap anak-anak.” 
Baginda saw. pernah pergi ketempat anaknya Ibrahim menyusu di rumah seorang tukang besi walaupun jauh. Ia membelai dan mencium anaknya dengan kasih sayang. Apabila Ibrahim meninggal Baginda saw. mengalirkan air mata. Rasulullah saw. amat menyayangi cucu-cucu beliau. Pernah suatu hari, cucu beliau Saidina Hussin  berada di masjid ketika Baginda saw. sedang sujud. Saidina Hussin memanjat belakang Nabi saw. Baginda saw sengaja memanjangkan sujud  sehingga para sahabat menyangka bahawa ia adalah satu perintah baru dari Allah swt. untuk memanjangkan sujud . Selepas Rasulullah saw . selesai mengerjakan solat, mereka bertanyakan beliau tentang sujud yang lama itu. Rasulullah saw menjawab, Cucuku telah memanjat belakang ku , maka aku mahu memuaskan hatinya. Aku hanya bangun dari sujud apabila ia telah puas hati. 
Dalam satu hadis yang lain Nabi saw. bersabda: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya”. (Riwayat al-Bukhari). 
Jika seorang bayi dibawa kepadanya, baginda meletakkan di atas ribanya. Jika ditemui kanak-kanak di jalan baginda akan mendukung kanak-kanak itu. Apabila Nabi saw diberi buah-buahan pada musimnya untuk pertama kali, akan diberikan buah itu kepada kanak-kanak.

Sekali–sekala Baginda saw. mempunyai masa dan kesempatan bermain dengan kanak-kanak. Pernah Rasulullah saw. berjumpa sekumpulan kanak-kanak sedang bermain, lalu
baginda meminta mereka berdiri sebaris mengadap beliau. Selepas itu Nabi saw. duduk di satu tempat yang agak jauh dari kanak-kanak itu. Kemudian Baginda saw. meminta mereka berlari mendapatkan beliau, siapa yang sampai dahulu akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak itu berlari dengan sekuat-kuatnya menuju baginda, sehingga ada yang sampai melanggar paha dan perut Baginda saw. Selepas itu Nabi saw. memeluk mereka semua dengan penuh kasih sayang.
Rasulullah s.a.w. selalu beramah mesra dengan kanak-kanak dan tidak pernah memukul walaupun seorang kanak-kanak di sepanjang hidupnya. Rasulullah s.a.w. banyak mengamalkan konsep pemberian ganjaran dan bukannya pemberian denda dalam hal mendisiplin kanak-kanak.
Rasulullah saw. selalu memberikan salam dahulu kepada kanak-kanak. Ini mendidik mereka dan menanamkan dalam diri mereka agar bersegera memberi salam. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pernah satu ketika Rasulullah saw mengutus beliau untuk melakukan satu tugas. Dalam perjalanan beliau berjumpa beberapa orang budak lelaki. Maka beliau duduk bersama kanak-kanak tersebut.. Apabila Rasulullah saw mendekati mereka, Rasulullah saw dengan segera memberi salam kepada mereka. Peristiwa ini memberi kesan yang mendalam kepada Anas bin Malik. Sehingga akhir hayat beliau, baginda selalu bersegera memberi salam.  
SALAM MAULIDIRASUL ~ 12 RABI'UL AWAL 1434 HIJRIYYAH

Video clip: Rindu Muhammad Ku - Haddad Alwi feat Anti & Vita

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...