Thursday, January 24, 2013

Salam Maulidurasul 1434H - Rasulullah Yang Sangat Menyayangi Kanak-Kanak

SALAM MAULIDURASUL kepada semua. Nabi Muhammad SAW amat gemar kepada kanak-kanak yang dipanggil sebagai bunga-bunga di dalam kebun Allah. Kanak-kanak adalah generasi pelapis yang bakal menjadi pemimpin pada masa yang akan datang.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan suatu ketika Rasulullah saw. mencium cucu Baginda saw, Hassan dan ketika itu ada duduk bersama Baginda saw. Al-Afra bin Habis At-Tamimi. Al-Afra lalu berkata: “Aku ada sepuluh orang anak tapi aku tak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Maka Rasulullah saw. pun bersabda, “ Sesiapa yang tidak menyayangi anak-anak tidak akan disayangi dan dirahmati Allah.”

Di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a bermaksud: “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak kasihan belas terhadap anak-anak.” 
Baginda saw. pernah pergi ketempat anaknya Ibrahim menyusu di rumah seorang tukang besi walaupun jauh. Ia membelai dan mencium anaknya dengan kasih sayang. Apabila Ibrahim meninggal Baginda saw. mengalirkan air mata. Rasulullah saw. amat menyayangi cucu-cucu beliau. Pernah suatu hari, cucu beliau Saidina Hussin  berada di masjid ketika Baginda saw. sedang sujud. Saidina Hussin memanjat belakang Nabi saw. Baginda saw sengaja memanjangkan sujud  sehingga para sahabat menyangka bahawa ia adalah satu perintah baru dari Allah swt. untuk memanjangkan sujud . Selepas Rasulullah saw . selesai mengerjakan solat, mereka bertanyakan beliau tentang sujud yang lama itu. Rasulullah saw menjawab, Cucuku telah memanjat belakang ku , maka aku mahu memuaskan hatinya. Aku hanya bangun dari sujud apabila ia telah puas hati. 
Dalam satu hadis yang lain Nabi saw. bersabda: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya”. (Riwayat al-Bukhari). 
Jika seorang bayi dibawa kepadanya, baginda meletakkan di atas ribanya. Jika ditemui kanak-kanak di jalan baginda akan mendukung kanak-kanak itu. Apabila Nabi saw diberi buah-buahan pada musimnya untuk pertama kali, akan diberikan buah itu kepada kanak-kanak.

Sekali–sekala Baginda saw. mempunyai masa dan kesempatan bermain dengan kanak-kanak. Pernah Rasulullah saw. berjumpa sekumpulan kanak-kanak sedang bermain, lalu
baginda meminta mereka berdiri sebaris mengadap beliau. Selepas itu Nabi saw. duduk di satu tempat yang agak jauh dari kanak-kanak itu. Kemudian Baginda saw. meminta mereka berlari mendapatkan beliau, siapa yang sampai dahulu akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak itu berlari dengan sekuat-kuatnya menuju baginda, sehingga ada yang sampai melanggar paha dan perut Baginda saw. Selepas itu Nabi saw. memeluk mereka semua dengan penuh kasih sayang.
Rasulullah s.a.w. selalu beramah mesra dengan kanak-kanak dan tidak pernah memukul walaupun seorang kanak-kanak di sepanjang hidupnya. Rasulullah s.a.w. banyak mengamalkan konsep pemberian ganjaran dan bukannya pemberian denda dalam hal mendisiplin kanak-kanak.
Rasulullah saw. selalu memberikan salam dahulu kepada kanak-kanak. Ini mendidik mereka dan menanamkan dalam diri mereka agar bersegera memberi salam. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pernah satu ketika Rasulullah saw mengutus beliau untuk melakukan satu tugas. Dalam perjalanan beliau berjumpa beberapa orang budak lelaki. Maka beliau duduk bersama kanak-kanak tersebut.. Apabila Rasulullah saw mendekati mereka, Rasulullah saw dengan segera memberi salam kepada mereka. Peristiwa ini memberi kesan yang mendalam kepada Anas bin Malik. Sehingga akhir hayat beliau, baginda selalu bersegera memberi salam.  
SALAM MAULIDIRASUL ~ 12 RABI'UL AWAL 1434 HIJRIYYAH

Video clip: Rindu Muhammad Ku - Haddad Alwi feat Anti & Vita

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...