Showing posts with label Tuhan. Show all posts
Showing posts with label Tuhan. Show all posts

Friday, September 20, 2013

I Am Only A Traveller In This World

In Kitab al-Majmu', Imam al-Nawawi mentions that al-Shafi'ee used a walking stick for which he was asked: "Why do you carry a stick when you are neither old nor ailing?" He replied: "To remember I am only a traveller in this world."

*********************************************

Aku Hanyalah Seorang Pengembara Di Dunia Ini

Aku seorang pengembara, musafir di perjalanan,
Melihat keindahan alam dan dunia ciptaan Tuhan
sambil mencari barang dan bekal untuk dibawa pulang
Di dalam permusafiran pulang banyak gangguan
Sering sahaja aku melupakan bahawa aku di dalam perjalanan
Akhirat adalah destinasi akhirku, Akhirat adalah kampung abadi
Dan aku hanyalah pemegang passport sementara di dunia ini

Di dalam perjalanan pulang aku sering sahaja dilekakan
Gangguan-gangguan yang memperdayakan
hingga aku melupakan bekalan ilmu pengetahuan
yang menjadi penyuluh dan panduan sepanjang jalan
Sehingga kadangkalanya aku terlupa bahawa aku adalah di dalam perjalanan pulang
ke kampung Akhirat, kampong halaman, kampung idaman

Aku tidak tahu apakah aku pulang membawa kekayaan iman taqwa dan amal bakti
Ataupun kekayaan yang diperolehi hasil keegoan dan kepentingan diri
Sehingga sanggup menindas dan menjatuhkan orang, bermusuhan dan menzalimi
Kejayaan dan kekayaan yang merupakan barang-barang yang aku bawa ini
Hasil dari permusafiranku di dunia ke kampung Akhirat nanti
Apakah boleh laku dan diterima di kampung abadi
 
Kalau seseorang tidak membawa apa-apa sudah tentulah akan miskin kedana
Namun begitu yang membawa barang-barang pula belum tentu diterima
Kalau tidak diterima, maka senasiblah seperti mereka yang pulang tidak membawa bekal apa-apa
Aduh..! aku bimbang sebenarnya samada aku tidak boleh membawa
Ataupun membawa barang tapi tidak berguna dan sia-sia
Aduh..! kalau setelah sampai di sana baru kutahu barang yang kubawa tidak berguna
Alangkah malangnya seumur hidup permusafiranku di dunia tidak ada erti apa-apa

Tuhan pimpinlah aku di dalam pengembaraan ini
Agar perjalanan dan permusafiranku selamat sampai ke destinasi
dengan membawa pulang barangan yang berharga yang Engkau redhai
Supaya aku pulang tidak kecewa dan menjadi orang yang tersangat rugi
Aku adalah hamba, yang menjadi pengembara,
mencari bekalan dan membawa barangan ke Akhirat sana,
Tuhan, pimpinlah aku dan tunjukkanlah jalan
Di dalam permusafiranku di dunia yang penuh ranjau dan cabaran

Monday, February 21, 2011

Antara betis pelumba basikal negara dan betis Saidina Ali

Melihat kepada berita muka depan akhbar baru2 ini yang bertarikh 21 Februari 2011, rata2nya memaparkan gambar pelumba basikal kebangsaan, Azizul Hasni Awang yang mengalami kecederaan di betis beliau lantaran terlibat dengan kemalangan bersama tiga pelumba lain dalam final round Kejohanan Basikal Track World Cup di Manchester, England.

Apa yang menarik perhatian saya bilamana akhbar melaporkan bahawa Azizul tetap meneruskan perlumbaan selepas kemalangan dan hanya menyedari tentang kecederaan yang dialami selepas menamatkan saingan. Gambar foto pula menunjukkan keadaan Azizul selepas menamatkan perlumbaan dengan sebilah serpihan kayu kelihatan jelas tertusuk di betis kiri beliau.

Melihat keadaan pelumba Negara yang tidak sedar betisnya tertusuk kayu terus menyebabkan saya teringat kisah Saidina Ali Karamallahu Wajhah yg betisnya tertusuk panah ketika peperangan. Lantaran ketiadaan bius dan ubat pelali pada waktu itu, maka Saidina Ali telah mengambil keputusn untuk mendirikan solat sunat dua rakaat, maka pada waktu itulah para sahabat yang lain telah mencabut panah tersebut dalam keadaan Saidina Ali tidak sedar dan tidak langsung berasa sakit. Begitulah sekali hebatnya perihal orang yang ‘Khusyuk’ dengan sesuatu perkara yang mana dia akan tenggelam dengan keasyikan dan asyik makhsyuk terhadap perkara yang dikhusyukkannya itu hingga tidak akan sedar atau tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya.

Lantaran tingginya rasa cinta kepada negara dan terlalu asyik mahsyuk dengan perlumbaan maka pelumba negara itu tidak sedar akan betisnya tertusuk sebilah kayu ketika perlumbaan basikal itu.. Saya menyeru kepada semua pembaca untuk menggunapakai kaedah dan formula yang sama iaitu dgn menambah kecintaan kepada Tuhan dan melahirkan rasa terlalu asyik mahsyuk (khusyuk) dengan Tuhan agar kita dapat menikmati rasa khusyuk di dalam solat sehingga mencapai satu tahap seperti Saidina Ali yang tidak menyedari apabila sahabat lain telah mencabut panah yang tertusuk di betisnya itu.

Janganlah kita membandingkan amal ibadah kita dengan amalan baginda Saidina Ali yang ibarat langit dengan bumi, tetapi paling tidak kita ambil sikap mencuba bersungguh-sungguh dan bercita-cita ke arah kesempurnaan ibadah seperti Saidina Ali mudah2an kita dianugerah rasa khusyuk seperti baginda.

Mustahil? Tidak..! Pelumba basikal negara sudah buktikan, bahkan diri kita juga sudah membuktikan, tetapi untuk perkara2 selain daripada Tuhan. Kita boleh khusyuk terhadap pekerjaan kita, kita boleh khusyuk terhadap minat kita untuk memancing hingga tidak sedar sudah berjam2 kita mencangkung di tepi kolam, kita boleh khusyuk untuk membasuk, mengilat dan mempolish kereta hingga tidak dengar isteri sedang memanggil masuk ke rumah, bahkan ada yang sanggup menghabiskan beribu2 ringgit utk menambah pelbagai aksesori lantaran terlalu minat, asyik dan khusyuk dengan kereta. Kita boleh khusyuk menghadap televisyen yang sedang menayangkan pelakon hindustan kegemaran kita hingga tidak sedar suami sedang membuat muka masam di sebelah lantaran berkali2 panggilan dari bilik tidur tidak dijawab..!

Suka saya untuk membuat satu hipotesis dan perbandingan khusyuk ini dengan sesuatu yang menjadi minat dan kesukaan kebanyakan orang pada hari ini... Alangkah baiknya sekiranya minat dan khusyuk itu dapat kita latih dan asah untuk menambahkan minat dan kecintaan kita terhadap Allah SWT dan kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW.

1. kalau mlm ni ada final bola piala dunia, pukul 3 pagi pun kita sanggup bangun. tp utk bangun malam bertahajud bahkan utk solat subuh sekalipun, terasa berat sangat lah nak angkat selimut.. itu tandanya kita khusyuk dgn bola lebih drp khusyuk dgn Tuhan..

2. kalau utk bermain bola selama 90 minit dan masa tambahan (kalau masih seri jaringan) lagi 30 minit dan sekiranya masih seri lagi kalau boleh nak minta lg masa tambahan, kita x terasa kepayahan dan kepenatannya lantaran stamina kita yg cukup hebat.. akan tetapi utk selesaikan solat fardhu yg tak smpai 10 minit itu terasa berat dan amat payahnya, bahkan kalau boleh nak cepat2 habis.. itu tandanya kita khusyuk dgn bola lebih drp khusyuk dgn Tuhan..

3. kalau jersey bola yg original dgn harga yg beratus ringgit dan kasut but bola yg berjenama sanggup kita keluarkan belanja yg mahal, tetapi utk mendirikan solat kita sekadar memakai kain pelikat cap gajah yg sudah lusuh, dan berbaju melayu raya 3 tahun lepas, (brgkali ada yg hanya berbaju pagoda) serta memakai kopiah berharga 5 hengget, itu tandanya kita lebih khusyuk dgn bola drp khusyuk dgn Tuhan..

4. kalau saban hari (bukan setiap masa) kita boleh bercakap, berbincang, bercerita dan mengupdate status ttg bola dan pasukan kegemaran, melayari website pasukan bola sepak dan mengikuti perkembangan pemain kegemaran kita, tetapi amat jarang kita menyebut, bertasbih, memuji, dan memperkatakan sesuatu yg berkait dgn Tuhan, mengaitkan setiap kejadian, keindahan alam ataupun malapetaka dan bencana kpd kekuasaan Tuhan, melayari website utk mendalami ilmu islam atau bermuzakarah dgn teman2 FB berkenaan isu2 agama, fardhu ain dan semasa berkenaan islam, dan mengikuti perkembangan serta menghayati sejarah perjuangan Baginda Nabi Muhammad SAW, itu tandanya kita lebih khusyuk dgn bola drp khusyuk dgn Tuhan dan kekasih Tuhan..

Justeru, untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat, pertingkatkanlah rasa khusyuk kita kpd Tuhan, pertambahkan rasa kecintaan kita kpd Nabi SAW yg telah mengajar kita bersembahyang, dan sama2lah kita mengotakan janji dan ikrar yang kita bacakan saban hari dan waktu setiap kali kita mendirikan solat: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya dan semata-mata kerana Allah Tuhan sekalian alam..

Friday, January 8, 2010

Panduan Hijrah

Sayidina Umar Al Khattab, ketika menjadi khalifah, ditabalkannya bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam senarai bulan-bulan Islam, serta dirayakan sebagai bulan untuk tahun baru Islam. Sunnah ini walaupun tidak berlaku sejak Nabi Adam hingga ke zaman Nabi Muhammad, tapi demi kebesaran Rasulullah berhijrah, sunnah ini diambil pakai oleh seluruh umat Islam sedunia, hingga ke hari ini. Setiap 1 Muharram dunia Islam merayakan sambutan tahun baru ini. Dengan mengambil ruh hijrah sebagai temanya. Terima kasih Sayidina Umar kerana besarnya jasamu.

Hijrah di segi bahasa bererti berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Manakala menurut perspektif Islam pengertiannya lebih luas daripada itu. Hijrah ertinya ialah mengubah sikap-sikap negatif yang lahir mahupun yang batin kepada sikap-sikap positif lahir dan batin. Memahami dan menghayati maksud hijrah inilah maka para rasul dan orang-orang mukmin telah berjuang sesungguh hati untuk mengubah diri dan para pengikut daripada seluruh sikap-sikap negatif lahir dan batin kepada seluruh sikap-sikap positif yang lahir dan batin.

Perjuangan untuk hijrah ini sesungguhnya adalah perjuangan maha berat dan besar. Ini merujuk pada perkataan Rasulullah SAW kepada sahabat sekembalinya mereka daripada Perang Badar:

“Sesungguhnya kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan besar.”

Sahabat bertanya, “Peperangan apa Ya Rasulullah.”

Rasulullah bersabda, “Peperangan melawan hawa nafsu.”

Ini bererti, hijrah dan perubahan itu bukan sekadar perubahan sikap yang lahir dan luaran sahaja tetapi termasuk juga sikap yang bersifat rohani dan batiniyah. Penghayatan hijrah itu bukan sekadar di mulut ataupun perubahan secara fizikal, tetapi perubahan fikiran, tindakan, pertuturan, akhlak dan hati. Juga perubahan dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah, hijrah daripada perkara yang didorong dan disukai oleh nafsu kepada perkara yang menyakitkan nafsu. Ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Daripada pemarah kepada penyabar, daripada pendendam kepada pemaaf, daripada sombong kepada rendah diri, daripada mementingkan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain, daripada kedekut dan tamak kepada pemurah dan baik hati, daripada zalim kepada membela nasib orang yang memerlukan, daripada lupakan Tuhan kepada kenal, cinta dan takutkan Tuhan.

Untuk memenangi peperangan ini Rasulullah sendiri mengambil ¾ daripada masa hidup mereka. Ini adalah kerana ia adalah terlalu sulit dan susah. Kemenangan batin inilah yang membawa kepada kemenangan lahir. Namun akhirnya para kekasih Allah dan pengikutnya dijanjikan Allah, dapat memenangi hawa nafsu dan syaitan-syaitan mereka. Mereka benar-benar dapat mengubah seluruh lahir dan batin yang negatif kepada seluruh sifat positif lahir dan batin.

Maka di hari dan detik berlaku dan sempurnanya penghijrahan itulah, maka Allah pun menunaikan janji-Nya kepada manusia pilihannya yakni terjadinya mukjizat-mukjizat besar dalam sejarah Islam dan para Nabi terdahulu. Aneh juga mengapa Allah memilih untuk melakukan sejarah yang menggemparkan, pelik, tidak logik serta tidak masuk akal ini di bulan Muharram. Memang terdapat juga kemenangan rahmat itu ditakdirkan di bulan-bulan lain seperti Ramadhan tetapi kebanyakan sejarah dan kisah yang popular dan tercatat di dalam sirah para anbiya' ini terjadi di bulan Muharram. Agung dan maha berkatnya bulan ini, marilah kita merebutnya.

Kita umat Islam seluruh dunia hari ini sedang amat memerlukan berlakunya janji Tuhan seperti terjadinya kepada kaum-kaum dan umat terdahulu. Kita semua adalah hamba-hamba-Nya dan pasti kita juga akan beroleh pertolongan sedemikian rupa sekiranya kita menepati syarat dan mampu mengharungi ujian sepertimana para rasul dan pengikut mereka dahulu. Selaku umat Islam, sepatutnya kita berlumba-lumba untuk mengulangi sejarah agar kita juga dapat menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad yang berjaya di dunia dan akhirat. Namun kita terlebih dahulu perlu mematuhi syarat-syaratnya. Marilah kita ulangi sejarah hijrahnya umat Islam terdahulu daripada seluruh sifat-sifat jahat kepada sifat-sifat yang baik.

Di antara syarat itu ialah:

1. Hijrah daripada tidak kenal kepada kenalkan Tuhan.
2. Hijrah daripada tidak takut dan tidak cinta Allah kepada bertaqwa.
3. Hijrah daripada tidak kenal syariat kepada kenal syariat Tuhan.
4. Hijrah daripada tidak mengamalkan syariat kepada mengamalkannya.
5. Hijrah daripada tidak berkasih sayang atau benci membenci kepada berkasih sayang.
6. Hijrah daripada tidak bekerjasama kepada kerjasama.
7. Hijrah daripada kemungkaran dan kejahatan kepada kebajikan dan kebaikan.
8. Hijrah daripada zalim kepada adil.
9. Hijrah daripada sombong kepada merendah diri.
10. Hijrah daripada bakhil kepada pemurah.
11. Hijrah daripada bangsa yang tamak kepada pemurah.
12. Hijrah daripada bangsa yang tidak maaf bermaaf kepada maaf memaafkan.
13. Hijrah daripada bangsa yang berpecah-belah kepada bersatu.
14. Hijrah daripada bangsa yang menipu kepada jujur.
15. Hijrah daripada yang khianat kepada yang amanah.
16. Hijrah daripada yang jahil kepada berilmu.
17. Hijrah daripada yang terkenang-kenangkan dunia kepada terkenang-kenangkan Akhirat.
18. Hijrah daripada bersangka jahat kepada bersangka baik.
19. Hijrah daripada menurutkan nafsu kepada menurut perintah Allah.
20. Hijrah daripada mementingkan diri kepada mementingkan orang lain.
21. Hijrah daripada cinta dunia kepada cinta Akhirat.
22. Hijrah daripada susah dengan hal-hal dunia kepada susahkan hal-hal Akhirat.
23. Hijrah daripada perjuangkan dunia kepada perjuangkan Tuhan.


Selain dari perlunya berlaku penghijrahan seperti yang dinyatakan di atas, umat Islam secara umumnya juga perlu melakukan hijrah dalam aspek sikap iaitu membuang yang negatif dan sebaliknya menyuburkan sikap yang positif. Mengikis sifat pesimis sebaliknya diganti dengan sifat optimis, malas kepada rajin dan kecewa kepada tidak mudah putus asa.

Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk kita beribadah dan mentaati Allah, maka perlu pula kita berusaha untuk meningkatkan taraf hidup umat Islam sendiri. Setiap yang melata di bumi Allah telah disediakan rezeki baginya. Cacing di celah batu lagi kan hidup, inikan pula manusia yang telah dikurniakan kelebihan akal fikiran olah Allah dan dapat berusaha dengan lebih sempurna untuk memburu rezeki tersebut.

Kemajuan dan pembangunan umat juga perlu sentiasa dikembangkan. Kalaupun tidak lebih maju sekurang-kurangnya setaraf dengan kemajuan bangsa-bangsa lain. Ini bertujuan agar umat ini benar-benar berdikari tanpa bersandar kepada orang lain.

Kegawatan ekonomi yang pernah berlaku juga memberi pengalaman perit kepada kita sepertimana isu berkaitan dengan harga makanan import. Itu dalam keadaan di mana pembekal makanan luar tidak menyekat sumber makanan. Haya kosnya meningkat lantaran kejatuhan nilai ringgit. Bagaimanakah kesnya andai kata mereka memusuhi kita dan menyekat bekalan makanan seperti di Iraq, Libya dan Afghanistan. Justeru kita juga perlu berhijrah dari terlalu banyak bergantung kepada pihak luar ke arah lebih berdikari. Usaha para peniaga dan usahawan bumiputra untuk bergiat dalam bidang perniagaan, penternakan dan pertanian harus dipuji dan disokong oleh semua pihak.,

Kalau kita selaku umat Islam ingin benar-benar berhijrah, sekiranya kita mahu benar-benar memperjuangkannya, nescaya Allah tidak akan sia-siakan. Bila-bila masa dalam setahun ini kita akan dapat hasil yang Allah janjikan itu. Baik di dalam membina rumahtangga cemerlang, dalam menyusun organisasi, dalam mentadbir perniagaan mahupun dalam mengatur pengikut dan masyarakat. Sama-samalah kita rebut kemenangan di bulan Muharram.

Ya Allah, jadikanlah Muharram ini waktu untuk berlakunya perubahan hati dan sifat-sifat kami. Baikilah segala kerosakan diri, kerosakan keluarga, kerosakan masyarakat dan kerosakan negara-negara serta kerosakan di tahap dunia yang sedang berlaku. Ubahlah nasib umat Islam di akhir zaman ini, seperti yang telah Engkau ubah nasib umat Islam sebelum ini, hanya dengan sekelip mata. Kuasa Engkau tidak terbatas Tuhan, pun tiada siapa mampu menghalang.

Demikianlah formula yang Allah rezekikan untuk umat Islam di zaman ini. Segalanya sudah terkandung di dalam sejarah, cuma tidak ramai yang mampu mengungkai hikmah di sebaliknya. Inilah formula kemenangan untuk diri sendiri dan kemenangan untuk umat Islam, iaitu TAQWA. Ia menjadi syarat penentu kemenangan.

Monday, March 16, 2009

Lagi-Lagi Masalah!

Ada masalah di dalam kehidupan, bukanlah satu masalah.
Masalah memang sudah menjadi sunnatullah di dalam kehidupan di kalangan insan.
Yang menjadi masalah, bukan masalah itu,
tetapi yang menjadi masalah ialah orang itu,
iaitu orang yang tidak tahu peranan Tuhan.
Tidak kenal Tuhan dan peranan-Nya, itulah yang sebenarnya masalah.

Jadi sekarang sudah ada dua masalah.
Yang bukan masalah jadi masalah,
Yang masalah memanglah masalah!
Apabila tidak kenal peranan Tuhan,
masalah itu memanglah jadi masalah, dua kali masalah.

Kalaulah masalah itu adalah jadi masalah, kekasih Tuhan tidak akan ditimpakan masalah.
Kalaulah masalah itu adalah masalah, rasul dan nabi, Tuhan tidak akan timpakan masalah.
Tapi Tuhan datangkan berbagai-bagai masalah kepada kekasih-Nya,
Tuhan tahu pada mereka bukan masalah.
Kerana itulah mereka ditimpakan masalah.

Pada mereka masalah itu adalah ibadah.
Masalah itu adalah pahala dan Syurga.
Masalah itu adalah kecintaan dan keredhaan Allah.
Kerana itulah masalah itu mereka tidak jadikan masalah.
Bahkan mereka rasa bahagia dengan masalah.

Dengan masalah rasa kehambaan mereka bertambah.
Rasa kehambaan itu adalah ibadah kepada mereka.
Pangkat dan darjat di dalam Syurga.
Oleh itu Tuhan sering sahaja menambahkan mereka itu dengan pelbagai masalah.
Bahkan Tuhan bertambah cinta kepada mereka, dengan masalah yang mereka anggap bukan masalah tetapi ibadah.
Maha Suci Tuhan dari menyeksa hamba dan kekasih-Nya

Orang yang bodoh sahaja yang tidak faham kerja-kerja Allah,
Pada Tuhan masalah yang ditimpakan kepada kekasih-kekasih-Nya bukanlah masalah.
Kerana itulah Tuhan biarkan sahaja mereka bermasalah.
Dengan masalah-masalah itulah, mereka mendapat ketinggian darjat di dalam Syurga.
Sungguh pelik kerja Tuhan, payah hendak difaham oleh orang biasa.

Marilah kita menilai dan melihat sesuatu masalah itu dengan mata hati, dengan penuh hikmah dan bijaksana.
Agar masalah yang menimpa kita, tidak lagi jadi masalah.
Kerana kita tahu Tuhan sedang ambil perhatian kepada kita, Tuhan ingin memberi Syurga.
Bila sudah melihat kasih sayang Tuhan, masalah besar jadi kecil, yang kecil tidak nampak lagi.

Jadi apa yang menjadi masalah kita sebenarnya?
Punca masalah ialah tidak kenal Tuhan dan tidak tahu kenapa Tuhan datangkan masalah...

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...