Showing posts with label munafik. Show all posts
Showing posts with label munafik. Show all posts

Wednesday, November 17, 2010

Budaya Fitnah Menghancurkan Umat Islam

Firman Allah S.W.T. bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu. Bahkan ada juga segelintir yang sampai ke tahap melabelkan orang sebagai fasik, munafik, yahudi, kafir dan ahli neraka..! Seolah2 merekalah yang paling baik dan dijanjikan untuk masuk syurga. Sedangkan jaminan seseorang itu masuk ke syurga hanyalah dengan RAHMAT ALLAH.

Kita tak tahu andaikata di akhir hayat seorg pencuri atau pelacur itu entah-entah dia sudahpun insaf sedang menuju ke arah masjid utk bertaubat tp mati kemalangan di dlm perjalanan. Di mulut kita pantas meluncur kata "Tengok tu, di dunia buat dosa, mati pun Tuhan hina!" sedangkan di waktu itu kita tidak tahu entah2 sang malaikat sedang mengukur jarak drp tempat mati beliau ke masjid lebih dkt berbanding tempat maksiat yang ditinggalkannya itu. Kita ambil iktibar juga kisah pelacur memberi minum air kpd anjing (yg telah diabadikan dlm video klip maher zain the chosen one (2:13), yg saya rasakan sbg video klip terbaik utk kurun ini).


Sila ambil perhatian... Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri penyebar fitnah dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah menjadi muflis di akhirat nanti. MAKA SIA-SIALAH SEGALA AMAL IBADAT SEMBAHYANG, PUASA, BERZAKAT, HAJI dll.

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu laporan palso dan berita yang berunsur fitnah.

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah Saidina Uthman bin Affan yang berpunca daripada FITNAH.

Penyebaran fitnah turut menjadi faktor kehancuran dan penyebab kepada perselisihan malah telah mencetuskan peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali. Menurut riwayat yang dikemukakan oleh Ibn katsir di dalam Bidayah wan Nihayah, jumlah korban Perang Jamal ialah 10,000 orang manakala Perang Siffin ialah 60,000 orang. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah.

Bagi yang diuji dengan fenomena hebah dan fitnah ini, antara cara yang turut dicadangkan oleh nabi Muhammad SAW ialah duduk diam sahaja. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim seperti berikut:

انها ستكون فتنة القاعد فيها خير من القائم و القائم خير من الماشي و الماشي خير من الساعي

Sesungguhnya akan terjadi fitnah, orang yang duduk (diam) adalah lebih baik daripada yang berdiri. Orang yang berdiri adalah lebih baik daripada orang yang berjalan. Dan orang yang berjalan adalah lebih baik daripada orang yang berlari.

Ketika berlakunya gejala fitnah, khususnya selepas pembunuhan Saidina Uthman, ramai para sahabat yang mengambil sikap berdiam diri sahaja tanpa menyebelahi mana-mana pihak bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala fitnah. Ini termasuklah Zubair bin al-Awwam serta Abdullah bin Khabab. Ini merupakan tindakan yang betul. Dalam masa yang sama, ada juga yang terpaksa mengharungi dan berhadapan dengan fitnah tersebut, seperti yang dilakukan oleh Saidina al-Hasan. Tindakan beliau bukannya salah, kerana beliau tidak membalas fitnah dengan fitnah, akan tetapi fitnah itu dibalas dengan hikmah, walaupun akhirnya diri beliau yang terpaksa menjadi korban.

Bayangkan berapa puluh tahun fitnah drpd zaman Saidina Uthman berpanjangan sehingga membawa terbunuhnya Saidina Hasan cucu kesayangan Nabi. Betapa maha besarnya dosa yang perlu ditanggung oleh si pembuat fitnah dan juga oleh penyampai2 fitnah. Begitulah juga besarnya dosa orang yang mereka2 cerita dan membuat fitnah di laman sosial dan blog, lalu diperpanjangkan oleh pembaca blog dan status beliau, samada dengan sengaja ataupun tanpa niat (sekadar berbual kosong berkongsi apa yg dibaca di laman sosial) selagi mana fitnah itu berjalan maka selagi itulah dosa akan ditanggung oleh pembuat fitnah dan juga si penyampai, bayangkan kalau cerita palsu itu berpanjangan sehingga ke anak cucu..! Wal-'iyazubillah..

Oleh yang demikian, sekiranya kita menjadi mangsa fitnah, lalu kita membalas dendam dengan melakukan fitnah yang serupa, percayalah bahawa tindakan itu adalah satu kesilapan besar dan tidak langsung menyelesaikan masalah. Kita mungkin puas memfitnah orang lain dalam ucapan dan tulisan kita dalam blog ataupun laman sosial sebagai contohnya, akan tetapi tulisan itu akan terus kekal diingati sama seperti kekal degilnya sikap kita yang enggan memaaf dan melupakan kesalahan orang lain bahkan terus menyuburkan lagi sifat mazmumah dan nafsu amarah di dalam diri.

Fikir-fikirkanlah, sebelum menghantar SMS, e-mel ataupun respon di dalam laman sosial seperti Facebook. Lebih dahsyat lagi hingga ke tahap membuat profil palsu di dalam Facebook untuk memburuk-burukkan peribadi individu. Ini bukan ciri-ciri pejuang dan pencinta kebenaran. Jika masyarakat Islam sendiri boleh berselisih dan berperang sesama sendiri kerana fitnah, apatah lagi masyarakat umum? Sudahnya umat Islam jualah yang akan rugi.. Marilah kita mengambil berkat tahun baru hijrah untuk mengubah sikap dan menjauhkan budaya fitnah yang sangat menghancurkan umat Islam ini. Moga2 Tuhan membela para pencinta kebenaran di mana jua mereka berada...

Wednesday, June 2, 2010

50 TANDA-TANDA ORANG MUNAFIK

1. Malas beribadah kepada Allah SWT

2. Lupa kepada Allah SWT

3. Melalaikan solat fardu

4. Mempercepat mengerjakan solat

5 Gemar meninggalkan solat berjemaah

6. Meninggalkan solat Jumaat

7. Menyuruh yang mungkar dan melarang yang makruf

8. Melakukan dosa dan kemungkaran secara sembunyi
- Berpura-pura melakukan kebaikan di tengah2 orang ramai dan gemar melakukan kemungkaran di belakang orang adalah dibenci Allah SWT.

9. Menyembunyikan ilmu pengetahuan
- Orang-orang yang memiliki ilmu dan apabila ditanya orang lain sedang dia mengetahui persoalan yang ditanyakan itu tetapi tidak menjelaskannya. Ini merupakan perbuatan yang menghalang kemajuan ummat Islam dan dapat menutup kebenaran.

10. Riak

11. Hasad dengki

12. Dusta

13. Mungkir janji

14. Bakhil

15. Fitnah
- Menyampaikan keburukan orang lain di kalangan orang ramai supaya mereka membenci atau memusuhinya. Membuat laporan tanpa fakta dan usul periksa serta mengada-adakan cerita. Ia juga tergolong dalam sifat-sifat munafik dan dosa-dosa besar.

16. Mencaci Maki
- Tidak berhikmah di dalam berkata-kata dan dalam menyampaikan dakwah. Menggunakan kata-kata kesat terhadap orang lain terutama yang tidak bersependapat dengannya.

17. Mengumpat

18. Mengungkit kembali pemberian kepada seseorang dan menyakiti hatinya.
-Mengungkit kembali pemberian kepada orang lain dengan harapan dikenang jasa dan sumbangannya serta ingin menyakiti hati orang lain. Perbuatan ini dicela didalam Islam.

19. Mengingkari Takdir Allah
Sesungguhnya orang yang menolak, membenci atau mengingakari takdir Allah, tergolong dalam golongan kufur dan rosak iman dan mendapat azab serta kemurkaan Allah

20. Mempersenda kesucian agama
- Perbuatan mempersenda kesucian dan agama Islam adalah suatu yang amat dibenci dan dilarang dalam Islam kerana ianya seolah-olah menentang sesuatu yang diturunkan Allah.

21. Enggan berjihad di jalan Allah SWT

22. Menghina sahabat Rasullullah SAW

23. Menyembunyikan persaksian pada jalan yang benar

24. Menangguh pembayaran hutang

25. Menipu dalam jual beli
Perbuatan menipu ini adalah melibatkan amalan timbang atau sukat sesuatu barang tanpa kadar yang mencukupi atau menjual barangan yang rosak dimana, menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati pembeli pada akhirnya.

26. Ghasab
Ghasab ialah mengambil atau menguasai harta ( tanah ) orang lain dengan jalan aniaya, iaitu jalan yang tidak diredhai Islam. Perbuatan ini walaupun dengan mengambil Cuma sejengkal, adalah termasuk perbuatan dosa besar dan munafik.

27. Bergaul dengan orang yang memperolok Al-Quran

28. Memakan harta anak yatim
Orang yang mengambil dan menggunakan harta anak yatim serta orang yang tidak amanah di dalam mentadbir harta anak yatim. Berselindung di atas nama pemegang amanah akan tetapi menggunakan harta anak yatim untuk kepentingan diri sendiri

29. Membuka rahsia orang lain
- Suka mencari-cari keaiban dan rahsia orang lain dan kemudian menyebarkan dan mewar-warkan keburukan dan kelemahan itu samada di dalam majlis rasmi dan kuliah ataupun dengan cara menyampaikan daripada individu kepada individu.

30. Berasa aman daripada murka Allah apabila melakukan dosa
- Apabila seseorang melakukan dosa dan merasa selamat dari murka dan seksaan Allah, maka anggapan ini adalah berdosa besar dan amalan orang-orang munafik.

31. Memanggil orang dengan gelaran buruk yang tidak disukai

32. Menghalang orang daripada mengamalkan ajaran islam

33. Suka kepada kesesatan dan suka menyesatkan orang

34. Bermuka-muka

35. Menyanjung dan memuji orang tanpa diketahui keadaan sebenarnya

36. Sombong diantara sesama manusia

37. Melampaui batas yang telah digariskan oleh Allah
- Perbuatan yang menurut kehendak nafsu sehingga boleh tersesat dan menyesatkan pada jalan yang benar sebagaimana Yahudi dan Nasrani.

38. Suka berbantah dan bertengkar sesama Muslim

39. Berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup

40. Membazir dalam memanfaatkan nikmat Allah
- Membuat sesuatu perkara dan keputusan kemudian merubah semula dalam masa yang singkat, umpama membina rumah kemudian diruntuhkan semula.

41. Keluh kesah apabila ditimpa musibah

42. Mengkhianati sesuatu amanah
- Diberi amanah tetapi menyalahgunakan kuasa dan mengkhianati amanah.

43. Memutuskan silaturrahim
- Memisah dan merosakkan hubungan silaturahim, merosakkan hubungan sesama keluarga, sahabat handai, sesama jemaah ataupun organisasi mahupun sesama masyarakat.

44. Memecahbelahkan perpaduan kaum muslimin
- Menjadi batu api serta membuat laporan dan menaburkan fitnah sehingga berlaku perpecahan dan hilang kasih sayang di kalangan sesama umat Islam.

45. Menghalalkan perkara yang haram
- Menjadikan matlamat sebagai sasaran utama sehinggakan sanggup melanggar batas aqidah, syariat dan akhlak. Matlamat tidak menghalalkan cara.

46. Membuat kerosakan dimuka bumi

47. Menuduh orang beriman bodoh
- Orang Munafik mempunyai pendirian yang lemah dan amat sedikit memiliki ilmu pengetahuan tentang perjara yang bermanfaat dan memudharatkan. Justeru, mereka menuduh orang beriman bodoh atau kurangf ilmu pengetahaun dalam urusan kehidupan.

48. Mengubah dan menyalahguna ayat-ayat Allah
- Menggunakan dalil dan ayat Al-Quran untuk kepentingan diri semata-mata. Menjadi perosak agama di atas nama agama.

49. Bersumpah dengan selain nama Allah SWT

50. Berasa gembira apabila musibah menimpa orang beriman.

Sumber : Buku 50 TANDA-TANDA ORANG MUNAFIK. Mohamad, D. H. (2008) Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication.

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...