Friday, September 20, 2013
I Am Only A Traveller In This World
Wednesday, September 12, 2012
Profesionalisme Yang Sebenar
Orang profesional yang sebenarnya itu adalah yang merasa diri tidak layak dan tidak mampu membuat kerja-kerja yang diberikan kepadanya. Biarpun dia itu lahirnya memang cukup berbakat dan berpengetahuan dalam hal kerja yang diberikan tetapi rasa-rasa seperti itu membuatkan dia menyerahkan segala urusan kerjanya kepada Tuhan. Dia pun berdoa dan meminta kepada Tuhan, juga memohon dengan berkat gurunya. Hasilnya, akan datang bantuan-bantuan ghaib datang membantu menyelesaikan kerjanya. Sehinggakan bila sempurna kerja tersebut, tidak terasa pun yang kerja itu hasil tangannya. Tidak terasa yang dia itu berbuat. Tidak terasa yang dia itu ada campurtangan dalam kerja tersebut. Maka, daripada kejayaan kerja itu, hatinya terselamat daripada dosa batin seperti riyak dan ujub. Daripada kegagalan kerja itu pula, hatinya merasa itulah dosa-dosanya. Kegagalan tersebut tidak membuatkan dia buruk sangka dengan Tuhannya. Jauh sekali merasa kecewa atau dia putus asa.
Bukanlah dikatakan profesional jika dalam hendak membuat kerja, dia itu merasa diri pandai, merasa diri mampu dan merasa diri dia layak membuatnya. Dia sebenarnya sombong dengan Tuhannya kerana tidak merujuk dengan Tuhan sebaliknya merujuk pada kepandaian dan kemampuan diri dalam hendak membuat kerja. Apabila berjaya, dia akan mendabik dada dan berkata “Sayalah yang punya idea”, “Sayalah yang membuatnya”, “Jika tanpa saya, kerja tersebut tak akan berjaya”. Jikapun tidak berkata di mulut, di hati dia tetap berkata. Apabila gagal, dia tidak redha atas kegagalan sebaliknya mencari orang lain untuk dipersalahkan. Dia itu sudah membuat dosa-dosa batin tanpa disedarinya. Dia itu telah tenggelam dalam syirik khafi yang membawa kepada neraka jika tidak segera bertaubat atas dosa-dosa tersebut. Orang seperti ini sebenarnya bukanlah orang yang profesional, sebaliknya adalah orang emosional.
Wednesday, November 17, 2010
Budaya Fitnah Menghancurkan Umat Islam
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu. Bahkan ada juga segelintir yang sampai ke tahap melabelkan orang sebagai fasik, munafik, yahudi, kafir dan ahli neraka..! Seolah2 merekalah yang paling baik dan dijanjikan untuk masuk syurga. Sedangkan jaminan seseorang itu masuk ke syurga hanyalah dengan RAHMAT ALLAH.
Kita tak tahu andaikata di akhir hayat seorg pencuri atau pelacur itu entah-entah dia sudahpun insaf sedang menuju ke arah masjid utk bertaubat tp mati kemalangan di dlm perjalanan. Di mulut kita pantas meluncur kata "Tengok tu, di dunia buat dosa, mati pun Tuhan hina!" sedangkan di waktu itu kita tidak tahu entah2 sang malaikat sedang mengukur jarak drp tempat mati beliau ke masjid lebih dkt berbanding tempat maksiat yang ditinggalkannya itu. Kita ambil iktibar juga kisah pelacur memberi minum air kpd anjing (yg telah diabadikan dlm video klip maher zain the chosen one (2:13), yg saya rasakan sbg video klip terbaik utk kurun ini).
Sila ambil perhatian... Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri penyebar fitnah dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah menjadi muflis di akhirat nanti. MAKA SIA-SIALAH SEGALA AMAL IBADAT SEMBAHYANG, PUASA, BERZAKAT, HAJI dll.
Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu laporan palso dan berita yang berunsur fitnah.
Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah Saidina Uthman bin Affan yang berpunca daripada FITNAH.
Penyebaran fitnah turut menjadi faktor kehancuran dan penyebab kepada perselisihan malah telah mencetuskan peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali. Menurut riwayat yang dikemukakan oleh Ibn katsir di dalam Bidayah wan Nihayah, jumlah korban Perang Jamal ialah 10,000 orang manakala Perang Siffin ialah 60,000 orang. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah.
Bagi yang diuji dengan fenomena hebah dan fitnah ini, antara cara yang turut dicadangkan oleh nabi Muhammad SAW ialah duduk diam sahaja. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim seperti berikut:
انها ستكون فتنة القاعد فيها خير من القائم و القائم خير من الماشي و الماشي خير من الساعي
Sesungguhnya akan terjadi fitnah, orang yang duduk (diam) adalah lebih baik daripada yang berdiri. Orang yang berdiri adalah lebih baik daripada orang yang berjalan. Dan orang yang berjalan adalah lebih baik daripada orang yang berlari.
Ketika berlakunya gejala fitnah, khususnya selepas pembunuhan Saidina Uthman, ramai para sahabat yang mengambil sikap berdiam diri sahaja tanpa menyebelahi mana-mana pihak bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala fitnah. Ini termasuklah Zubair bin al-Awwam serta Abdullah bin Khabab. Ini merupakan tindakan yang betul. Dalam masa yang sama, ada juga yang terpaksa mengharungi dan berhadapan dengan fitnah tersebut, seperti yang dilakukan oleh Saidina al-Hasan. Tindakan beliau bukannya salah, kerana beliau tidak membalas fitnah dengan fitnah, akan tetapi fitnah itu dibalas dengan hikmah, walaupun akhirnya diri beliau yang terpaksa menjadi korban.
Bayangkan berapa puluh tahun fitnah drpd zaman Saidina Uthman berpanjangan sehingga membawa terbunuhnya Saidina Hasan cucu kesayangan Nabi. Betapa maha besarnya dosa yang perlu ditanggung oleh si pembuat fitnah dan juga oleh penyampai2 fitnah. Begitulah juga besarnya dosa orang yang mereka2 cerita dan membuat fitnah di laman sosial dan blog, lalu diperpanjangkan oleh pembaca blog dan status beliau, samada dengan sengaja ataupun tanpa niat (sekadar berbual kosong berkongsi apa yg dibaca di laman sosial) selagi mana fitnah itu berjalan maka selagi itulah dosa akan ditanggung oleh pembuat fitnah dan juga si penyampai, bayangkan kalau cerita palsu itu berpanjangan sehingga ke anak cucu..! Wal-'iyazubillah..
Oleh yang demikian, sekiranya kita menjadi mangsa fitnah, lalu kita membalas dendam dengan melakukan fitnah yang serupa, percayalah bahawa tindakan itu adalah satu kesilapan besar dan tidak langsung menyelesaikan masalah. Kita mungkin puas memfitnah orang lain dalam ucapan dan tulisan kita dalam blog ataupun laman sosial sebagai contohnya, akan tetapi tulisan itu akan terus kekal diingati sama seperti kekal degilnya sikap kita yang enggan memaaf dan melupakan kesalahan orang lain bahkan terus
menyuburkan lagi sifat mazmumah dan nafsu amarah di dalam diri.
Fikir-fikirkanlah, sebelum menghantar SMS, e-mel ataupun respon di dalam laman sosial seperti Facebook. Lebih dahsyat lagi hingga ke tahap membuat profil palsu di dalam Facebook untuk memburuk-burukkan peribadi individu. Ini bukan ciri-ciri pejuang dan pencinta kebenaran. Jika masyarakat Islam sendiri boleh berselisih dan berperang sesama sendiri kerana fitnah, apatah lagi masyarakat umum? Sudahnya umat Islam jualah yang akan rugi.. Marilah kita mengambil berkat tahun baru hijrah untuk mengubah sikap dan menjauhkan budaya fitnah yang sangat menghancurkan umat Islam ini. Moga2 Tuhan membela para pencinta kebenaran di mana jua mereka berada...
Friday, January 8, 2010
Panduan Hijrah
Perjuangan untuk hijrah ini sesungguhnya adalah perjuangan maha berat dan besar. Ini merujuk pada perkataan Rasulullah SAW kepada sahabat sekembalinya mereka daripada Perang Badar:
“Sesungguhnya kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan besar.”
Sahabat bertanya, “Peperangan apa Ya Rasulullah.”
Rasulullah bersabda, “Peperangan melawan hawa nafsu.”
Ini bererti, hijrah dan perubahan itu bukan sekadar perubahan sikap yang lahir dan luaran sahaja tetapi termasuk juga sikap yang bersifat rohani dan batiniyah. Penghayatan hijrah itu bukan sekadar di mulut ataupun perubahan secara fizikal, tetapi perubahan fikiran, tindakan,
Daripada pemarah kepada penyabar, daripada pendendam kepada pemaaf, daripada sombong kepada rendah diri, daripada mementingkan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain, daripada kedekut dan tamak kepada pemurah dan baik hati, daripada zalim kepada membela nasib orang yang memerlukan, daripada lupakan Tuhan kepada kenal, cinta dan takutkan Tuhan.
Untuk memenangi peperangan ini Rasulullah sendiri mengambil ¾ daripada masa hidup mereka. Ini adalah kerana ia adalah terlalu sulit dan susah. Kemenangan batin inilah yang membawa kepada kemenangan lahir. Namun akhirnya para kekasih Allah dan pengikutnya dijanjikan Allah, dapat memenangi hawa nafsu dan syaitan-syaitan mereka. Mereka benar-benar dapat mengubah seluruh lahir dan batin yang negatif kepada seluruh sifat positif lahir dan batin.
Maka di hari dan detik berlaku dan sempurnanya penghijrahan itulah, maka Allah pun menunaikan janji-Nya kepada manusia pilihannya yakni terjadinya mukjizat-mukjizat besar dalam sejarah Islam dan para Nabi terdahulu. Aneh juga mengapa Allah memilih untuk melakukan sejarah yang menggemparkan, pelik, tidak logik serta tidak masuk akal ini di bulan Muharram. Memang terdapat juga kemenangan rahmat itu ditakdirkan di bulan-bulan lain
Kita umat Islam seluruh dunia hari ini sedang amat memerlukan berlakunya janji Tuhan seperti terjadinya kepada kaum-kaum dan umat terdahulu. Kita semua adalah hamba-hamba-Nya dan pasti kita juga akan beroleh pertolongan sedemikian rupa sekiranya kita menepati syarat dan mampu mengharungi ujian sepertimana para rasul dan pengikut mereka dahulu. Selaku umat Islam, sepatutnya kita berlumba-lumba untuk mengulangi sejarah agar kita juga dapat menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad yang berjaya di dunia dan akhirat. Namun kita terlebih dahulu perlu mematuhi syarat-syaratnya. Marilah kita ulangi sejarah hijrahnya umat Islam terdahulu daripada seluruh sifat-sifat jahat kepada sifat-sifat yang baik.
Di antara syarat itu ialah:
1. Hijrah daripada tidak kenal kepada kenalkan Tuhan.
2. Hijrah daripada tidak takut dan tidak cinta Allah kepada bertaqwa.
3. Hijrah daripada tidak kenal syariat kepada kenal syariat Tuhan.
4. Hijrah daripada tidak mengamalkan syariat kepada mengamalkannya.
5. Hijrah daripada tidak berkasih sayang atau benci membenci kepada berkasih sayang.
6. Hijrah daripada tidak bekerjasama kepada kerjasama.
7. Hijrah daripada kemungkaran dan kejahatan kepada kebajikan dan kebaikan.
8. Hijrah daripada zalim kepada adil.
9. Hijrah daripada sombong kepada merendah diri.
10. Hijrah daripada bakhil kepada pemurah.
11. Hijrah daripada bangsa yang tamak kepada pemurah.
12. Hijrah daripada bangsa yang tidak maaf bermaaf kepada maaf memaafkan.
13. Hijrah daripada bangsa yang berpecah-belah kepada bersatu.
14. Hijrah daripada bangsa yang menipu kepada jujur.
15. Hijrah daripada yang khianat kepada yang amanah.
16. Hijrah daripada yang jahil kepada berilmu.
17. Hijrah daripada yang terkenang-kenangkan dunia kepada terkenang-kenangkan Akhirat.
18. Hijrah daripada bersangka jahat kepada bersangka baik.
19. Hijrah daripada menurutkan nafsu kepada menurut perintah Allah.
20. Hijrah daripada mementingkan diri kepada mementingkan orang lain.
21. Hijrah daripada cinta dunia kepada cinta Akhirat.
22. Hijrah daripada susah dengan hal-hal dunia kepada susahkan hal-hal Akhirat.
23. Hijrah daripada perjuangkan dunia kepada perjuangkan Tuhan.
Selain dari perlunya berlaku penghijrahan seperti yang dinyatakan di atas, umat Islam secara umumnya juga perlu melakukan hijrah dalam aspek sikap iaitu membuang yang negatif dan sebaliknya menyuburkan sikap yang positif. Mengikis sifat pesimis sebaliknya diganti dengan sifat optimis, malas kepada rajin dan kecewa kepada tidak mudah putus asa.
Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk kita beribadah dan mentaati Allah, maka perlu pula kita berusaha untuk meningkatkan taraf hidup umat Islam sendiri. Setiap yang melata di bumi Allah telah disediakan rezeki baginya. Cacing di celah batu lagi kan hidup, inikan pula manusia yang telah dikurniakan kelebihan akal fikiran olah Allah dan dapat berusaha dengan lebih sempurna untuk memburu rezeki tersebut.
Kemajuan dan pembangunan umat juga perlu sentiasa dikembangkan. Kalaupun tidak lebih maju sekurang-kurangnya setaraf dengan kemajuan bangsa-bangsa lain. Ini bertujuan agar umat ini benar-benar berdikari tanpa bersandar kepada orang lain.
Kalau kita selaku umat Islam ingin benar-benar berhijrah, sekiranya kita mahu benar-benar memperjuangkannya, nescaya Allah tidak akan sia-siakan. Bila-bila masa dalam setahun ini kita akan dapat hasil yang Allah janjikan itu. Baik di dalam membina rumahtangga cemerlang, dalam menyusun organisasi, dalam mentadbir perniagaan mahupun dalam mengatur pengikut dan masyarakat. Sama-samalah kita rebut kemenangan di bulan Muharram.
Demikianlah formula yang Allah rezekikan untuk umat Islam di zaman ini. Segalanya sudah terkandung di dalam sejarah, cuma tidak ramai yang mampu mengungkai hikmah di sebaliknya. Inilah formula kemenangan untuk diri sendiri dan kemenangan untuk umat Islam, iaitu TAQWA. Ia menjadi syarat penentu kemenangan.
Thursday, October 8, 2009
Peranan Pendakwah dan Penceramah
Di antara para pejuang ialah pendakwah dan penceramah
Pendakwah dan penceramah wajib mengenalkan Tuhan kepada manusia
Agar Tuhan disembah, dicintai, ditakuti, dibesarkan, disanjung sebagai idola
Mengajak manusia menanamkan rasa bertuhan, supaya subur rasa kehambaan
Dari situlah timbulnya rasa hebatnya Tuhan, rasa malu, rasa syukur, rasa harap
Dengan itu lahirlah insan-insan yang tawadhuk dan merendah diri di bumi Tuhan
Setelah wujud rasa bertuhan sekaligus meneballah rasa kehambaan
Bilamana rasa kehambaan subur barulah manusia patuh kepada syariat-Nya
Taat suruhan-Nya, menjauhi larangan-Nya
Itulah dia tugas mubaligh dan para da’i di dalam kuliah dan ceramah-ceramahnya
Tapi amat sedihnya apa yang kita lihat
Para penceramah dan pendakwah sasarannya adalah manusia bukan Tuhannya
Ada yang mensasarkan musuh-musuh peribadinya, terkadang juga musuh politiknya
Menanamkan permusuhan, pergaduhan, dendam-kesumat sesama manusia
Dengan cara mengata, menghina, memfitnah, menuduh dan menjatuhkan air muka
Tuhan tidak diperkata, syariat Tuhan sedikit sekali diperkatakan.
Sembahyang, ibadah, akhlak jarang diperkata
Membaiki diri, membaiki hati, mujahadatunnafsi lebih-lebih lagi
Ada pula berceramah untuk mencipta nama,
Tidak kurang yang menjadikan wang sebagai tujuan utama.
Hakikatnya orang sebegitu itu bukan mubaligh dan da’i
Tetapi pembawa fitnah dan pemecah-belah
Menebalkan mazmumah memusnahkan mahmudah
Menjauhkan masyarakat daripada mengenal Tuhan
Masyarakat rosak dan hilang panduan, maka berlakulah gejala sosial.
Keruntuhan akhlak yang membimbangkan.
Keharmonian rumahtangga semakin pincang.
Kasih sayang dan perpaduan tidak lagi menjadi amalan
Hakikatnya orang sebegini bukan pejuang dan penceramah tetapi penjenayah
Friday, September 4, 2009
Ramadhan Oh Ramadhan..
Bagi orang mukmin, dia sentiasa berharap, berazam, bercita-cita dan berusaha agar hari ini akan lebih baik berbanding daripada semalam dan esok akan lebih baik berbanding hari ini. Maka seluruh aspek kehidupan sentiasa ada peningkatan, terutama dalam soal-soal ibadah khusus. Kerana ibadah khusus seperti sembahyang, puasa,w irid, zikir, doa dan lain-lain berperanan mendekatkan diri kita dengan Allah.
Orang mukmin yang hidupnya sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT, sangat mengharapkan bantuan, bimbingan dan pmpinan Allah SWT.yakni,amat penting dalam membuat kerja-kerja yang diperintahkan oleh Allah disertai oleh bentuan Allah. Bantuan Allah berkait rapat dengan kedudukan hamba di sisi Allah. Tidak akan berjaya bahkan tiada nilai di sisi Allah bagi mereka yang melupa dan mengabaikanNya. Tuhan tidak pandang, tidak tolong dan tidak akan membantu orang yang jauh dari Tuhan, lalai, leka dan lebih-lebih lagi kalau derhaka kepadaNya.
Untuk terus mendapat pimpinan dan pembelaan dari Tuhan, maka perlu hati sentiasa merintih, mengharap, memohon dan bergantung kepada Tuhan. Perlu selalu muhasabah diri, mengkoreksi diri, membaiki diri dan memperbetulkan kesalahan diri. Ibadah pula,terutamanya sembahyang, bukan sahaja diperhalusi dari segi zahirnya bahkan dari sudut batinnya. Perlu hadirkan hati dengan rasa takut, bimbang, rindu, cinta, harap, gementar, hina diri, rasa dilihat, rasa didengar dan rasa dikuasai dengan penuh khusyuk dan tumpuan dalam sembahyang. Satu waktu yang luput amat rugi andainya sembahyang itu sekadar gerakan fizikal dan kosong dari segi dalaman (ruh) dan batiniahnya. Sembahyang seumpama itu tidak membakar dan menghancurkan sifat-sifat keji (mazmumah). Sembahyang sedemikian mungkin sekadar sah dari sudut rukun dan syarat serta dapat memperolehi pahala, tetapi ia tidak mampu mengubah sikap dan menyuburkan sifat-sifat terpuji (mahmudah) di dalam jiwa.
Tidak terkecuali juga dengan ibadah puasa Ramadhan yang hanya datang setahun sekali. Andainya luput puasa sebulan Ramadhan itu tanpa sebarang kesan dan natijah, adalah amat merugikan bahkan kita terpaksa menunggu pula kedatangan Ramadhan tahun hadapan untuk merebut peluang keemasan ini sekali lagi. Itupun sekiranya direzekikan oleh Allah dan dilanjutkan usia kita hingga bertemu Ramadhan tahun hadapan!

Oleh itu perlu sangat kita umat Islam bersikap serius terhadap bulan istimewa ini dan keistimewaan bulan Ramadhan ini bukan pada makan minum (berbuka) dan hari raya. Tetapi ia bersifat maknawiyah. Sebab itu ia disebut bulan penuh barakah (berkat). Bulan berkat ini langsung tiada kaitannya dengan keistimewaan yang bersifat lahiriah (luaran) ataupun fizikal. Keistimewaannya bersifat batiniah (dalaman) malah mampu mendidik hati dan jiwa.
Marilah kita sama-sama menghayati Ramadhan agar ianya benar-benar menepati kehendak Allah dan RasulNya serta terhindar dari kehendak nafsu dan syaitan.
SERONOK BERPUASA
1. Pahala berganda
Ramadhan ini bolehlah diibaratkan bulan menerima bonus tahunan yang berupa duit. Semua orang menguntum senyum lebar sebagai tanda kegembiraan. Bagi para mukmin pahala berganda adalah rahmat Allah yang tidak terhingga. Setiap kebajikan, para mukmin mendapat bonus pahala yang bakal meninggikan darjat di sisi Tuhan di Akhirat nanti. Gandaan pahala itu menjadi dorongan untuk melebihkan amal.Berebutlah para mukmin memburu bonus pahala selama sebulan ini. Andainya satu pahala dibalasi oleh Allah dengan sekuntum bunga syurga maka nilainya lebih tinggi berbanding dunia dan segala isinya.
2. Allah SWT membuka pintu Syurga
Ini sebagai tanda bahawa Allah membentangkan rahmatNya dengan luas di bulan Ramadhan agar hambaNya lebih seronok memperbanyakkan amalan dan mendekatkan diri kepada Allah.
3. Ditutup pintu Neraka
Malah sepanjang bulan Ramadhan seksa kubur juga turut direhatkan. Para mukmin tentulah mengharapkan keampunan Allah. Penutupan pintu neraka sebagai isyarat bahawa Allah mengampuni dosa para hambaNya yang memohon dan meminta keampunan di bulan Ramadhan
4. Syaitan dibelenggu
Bagi memudahkan para mukmin memperoleh kesempurnaan puasa dan beribadat, maka dibebaskan mereka dari gangguan syaitan. Tentulah lebih ringan beribadah dalam keadaan hanya sekadar berhadapan dengan dorongan nafsu sahaja. Ertinya dua musuh utama sudah dikurangkan kepada satu sahaja. Tentu lebih mudah bertarung dengan satu musuh berbanding dengan dua.
5. Pengisian rohani
Walaupun sekadar sunat muakkad, tarawih bermaksud untuk mengisi ruang rohani. Dalam keadaan fizikal yang sedikit lemah, nafsu sedikit dikekang dan didera, maka serentak dengan itu ada pula program pengisian rohani. Kekuatan rohani (dalaman) amat penting dalam memikul beban dan tanggungjawab sebagai mukmin. Inilah faktor penentu sama ada seseorang itu mampu memikul perintah Allah dan meninggalkan larangan. Apabila rohani kosong atau lemah, ibadah yang lain pun turut cuai, syariat longgar, disiplin hidup pun tiada, akhlak pula hancur musnah. Maka banyaklah berlaku berbagai gejala negatif dalam kehidupan lalu hilanglah kebahagiaan dan keharmonian hidup.
6. Kesihatan jasmani dan rohani
Ramai pakar kesihatan bersetuju iaitu makanan memainkan peranan besar dalam menentukan kesihatan manusia. Manakala makan yang berlebihan pula adalah punca berbagai penyakit. Setiap agama juga ada anjuran untuk berpuasa bagi penganutnya.
Secara tidak langsung Allah Taala memerintahkan hambaNya agar merehatkan perut mereka selama sebulan dalam setahun. Kerehatan itu mengembalikan semula fungsi sempurna perut yang telah bekerja sepenuh masa di bulan lain. Sebab itu tidak digalakkan mensendatkan perut di waktu malam walaupun telah kosong di waktu siang. Prinsip umat Islam dalam soal makan ialah “makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang”, terbukti memberi natijah pengurangan penyakit di kalangan umat Islam.
7. Penjimatan
Waktu siang sudah tentu tiada perbelanjaan untuk makan minum yang menurut lazimnya tiga kali sehari, ini belum dihitung kos berbelanja untuk makanan sampingan dan tambahan yang lain. Bulan Ramadhan juga kurang aktiviti lepak-lepak, berpeleseran dan seumpamanya. Waktu malam pula selain berbuka sedikit, makan malam serta bersahur, tentulah tiada tumpuan kepada makan kerana beribadah, rehat dan tidur. Sekiranya penghayatan sebegini berlaku tentulah dapat menjimatkan perbelanjaan serta tanpa berlebihan dan berlaku pembaziran. Bahkan elok juga kalau dialih perbelanjaan itu kepada amalan sedekah dan kebajikan lain demi meraikan golongan yang memerlukan serta untuk mendapatkan pahala berganda.
8. Kehalusan perasaan dan ketajaman akal
Rasulullah dan para sahabat hingga kepada ahli sufi dan para solafussoleh, mereka memilih makan sedikit, sekadar memperoleh tenaga untuk beribadah dan bekerja. Sedikit makan menjadikan perasaan bertambah halus, sensitif dan peka. Dapat merasai kebesaran Allah serta mudah tersentuh hati terhadap dosa. Akal juga tajam dan dapat mengenal kebenaran. Ahli tafsir dan hadis sangat mementingkan kehalusan perasaan untuk dapat merasai roh wahyu dan hadis. Tajam pula akal hingga mudah memahami sesuatu maksud sama ada tersurat atau tersirat daripada nas Al Quran dan Hadis itu. Para pemimipin pula mudah dapat merasakan gelombang kehidupan masyarakat. Susah senang masyarakat mudah terkesan oleh hatinya.
9. Merasai kesusahan fakir miskin
Orang yang sentiasa kenyang, seolah-olah menyangka dan berperasaan bahawa orang lain juga kenyang seperti dirinya. Bagi dirinya tidak pernah merasai bagaimana peritnya penderitaan dan kelaparan golongan fakir miskin. Melalui puasa bulan Ramadhan, golongan kaya dan para pemimpin turut merasai bagaimana nasib fakir miskin yang sering kelaparan. Agar dengan itu datangnya rasa simpati golongan kaya dan pemimpin terhadap mereka yang dalam kesempitan hidup. Para petani, pesawah dan nelayan membanting tulang empat kerat agar orang lain mendapat nikmat menjamah nasi, ikan dan juadah enak yang lain, belum tentu lagi mereka dapat menjamah makanan seumpama itu di rumah mereka.
10. Fitrah
Manifestasi dari simpati golongan kaya itu maka Allah mengajarkan pula tanggungjawab sosial dengan diwajibkan zakat fitrah.Fitrah itu selain mensucikan kecacatan berpuasa, ianya juga merupakan satu bentuk jalan penyelesaian bagi meringankan sedikit beban golongan kurang berada. Ini termasuk memberi kegembiraan kepada mereka ketika berhari raya. Selain itu Allah juga menganjurkan agar jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin ini tidak terlalu ketara.
PUASA SERONOK
1. Makan berganda
Jualan berbagai juadah ada di mana-mana saja yang memang pula wujud di bulan Ramadhan saja. Juadah pula memang merangsang nafsu makan. Berbuka dan makan malam seolah-olah menebus kembali perut kosong sepanjang hari di siangnya. Malah juadah juga dipilih berdasarkan apa yang dipersetujui oleh selera dan nafsu ketika membeli, hingga sering berlaku juadah yang dibeli tidak pun habis dimakan.
2. Belanja berlebihan
Kedapatan mereka yang sepanjang Ramadhan perbelanjaannya lebih banyak berbanding hari biasa. Selera waktu siang tanpa kawalan hingga mendorong seseorang itu memborong apa saja. Selepas berbuka sedikit, sudah terasa sendat kerana penguncupan perut. Akhirnya berlakulah pembaziran. Seharusnya belanja untuk makan tidak lari dari kelaziman di bulan Ramadhan.
3. Kekenyangan
Lantaran asyik membesarkan makan, sembahyang maghrib seringkali terlewat. Malah ada yang terus menghadap makanan hingga ke hujung waktu. Sembahyang terawih pula hilang rasa kehambaan sebaliknya rasa terpaksa, malas, terbeban, letih, mengantuk dan dibuat kerana menjadi kelaziman atau budaya di bulan ramadhan.
4. Hari rayaBelumpun tiba bulan puasa, ada di antara gedung membeli belah sudah mempromosikan jualan Hari raya. Inilah satu tradisi yang sukar untuk dipecahkan. Di kalangan umat Islam pula terlalu memberi tumpuan kepada sambutan Hari raya. Akibatnya hilang pengertiannya hari raya yang sebenar. Kesibukan dengan pakaian baru, perabut baru, langsir baru, pinggan mangkuk baru, bunga plastik baru, cat rumah baru, kuih muih resepi baru menyebabkan hilang tumpuan membesarkan puasa dan mencapai kemenangan(perayaan) menewaskan kerakusan nafsu. Lebih merugikan bila kita hilang nikmat untuk merebut pahala ibadat berganda di sepuluh malam terakhir kerana terlalu menumpukan untuk merebut kuih raya dan pakaian pilihan hati yang dijual secara lelong di sepuluh hari terakhir Ramadhan.
“Orang yang seronok berpuasa, Ramadan ditunggu dengan kegembiraan dan sedih apabila tamat. Orang yang berpuasa seronok, terseksa jiwanya kerana kedatangan Ramadhan dan merasa lega dan gembira apabila ianya tamat...”
Wednesday, July 29, 2009
Bila Merajuk Jadi Budaya...
Merajuk telah menjadi budaya manusia
Budaya yang sama-sama manusia tidak mahu
Tapi sama-sama membudayakannya
Budaya merajuk itulah yang menyusahkan manusia
Yang menjadi racun di dalam keluarga dan di dalam pergaulan mereka
Banyak kerja terhalang, tidak kurang kerja terbengkalai dibuatnya
Banyak kerja tidak sempurna, diganggu oleh budaya merajuk
Buat itu tak kena, buat ini tak kena, serba terganggu, merajuk menghantui perasaannya,
Setengah jiwa yang terlalu lemah, jiwanya merana...
Budaya merajuk ini berlaku setiap hari,
Di dalam rumahtangga, di tempat kerja, di dalam parti.
Bahkan lebih sedih, di rumah Allah berlaku juga.
Tidak ada akta dan peraturan yang boleh membendungnya
Justerulah akta dan undang-undang tidak dilagang.
Penyakit merajuk ini dia serang tidak pilih orang.
Semua golongan bisa diserang.
Budaya merajuk ini mudah saja terjadi
Suami lambat balik pun isteri masam muka, hilang manisnya
Layanan kepada suami pun dingin sahaja,
Belum lagi suami berkahwin dua !
Merasakan diri tidak dihormati, pertengkaran pun terjadi, adakalanya sampai mati!
Suami pula terpelengok, pun merajuk sakit hati, sebagai tindakbalas terhadap isteri...
Ibu bapa pun selalu merajuk, tersinggung dek anak-anak yang berbagai kerenah
Anak-anak lambat ziarah atau lambat menerima surat atau memberi pendapat
Tidak senang sahaja, marah-marah sahaja, merungut-rungut dan membebel tidak tentu hala
Apabila anak-anak balik kerut mukanya, bila ditanya diam sahaja,
Tidak kurang juga ada yang menyergah macam singa!
Di pejabat-pejabat ada staf-staf merungut tidak habis-habis
Merasakan tertekan oleh majikan, kerana terlalu banyak kerja
Atau gaji tidak seimbang dengan kerja, majikan tidak dihormati lagi
Di belakang dikata-kata dan dihina, ada yang terus lari dari kerja
Majikan pula susah hati, merajuk pula, marah-marah kepada staf-stafnya
Adakalanya nafsu gagal dikontrol, maki hamun semahu-mahunya
Merajuk juga berlaku di dalam parti
Setelah jatuh dari jawatan parti oleh undi, tenaga dan pengorbanan dibekukan
Kalau dulu aktif, sekarang pasif. Dahulu cergas, sekarang culas.
Tidak terlantik di dalam pencalonan
Atau digugur di dalam jawatan parti atau barisan pentadbiran
Hati sakit, merajuk pula. Muka pun tidak nampak lagi, membawa diri
Entah mana perginya, kalau mati ada kuburnya
Bila mati barulah media massa membuat berita
Setelah lama menghilang diri dari gelanggang masyarakatnya
Di masjid pun berlaku budaya merajuk
Waktu jadi imam, di masjid setiap waktu, ibarat merpati masjid
Tidak lekang-lekang di masjid, macam rumahnya
Bila jawatan diganti orang, masjid tidak nampak lagi
Bahkan waktu sembahyang pun dia tidak muncul-muncul lagi
Hanya kelihatan pada hari Jumaat, itupun duduk di tepi-tepi
Mukanya masam tidak berseri
Habis sahaja sembahyang tidak sempat sembahyang sunat
Cepat-cepat cabut pergi..!
Orang ramai hairan semua memerhati
Pada tok imam pun boleh berlaku, kata setiap hati...
Marilah kita servis hati di bengkel rohani...





