Showing posts with label hikmah. Show all posts
Showing posts with label hikmah. Show all posts

Friday, September 20, 2013

I Am Only A Traveller In This World

In Kitab al-Majmu', Imam al-Nawawi mentions that al-Shafi'ee used a walking stick for which he was asked: "Why do you carry a stick when you are neither old nor ailing?" He replied: "To remember I am only a traveller in this world."

*********************************************

Aku Hanyalah Seorang Pengembara Di Dunia Ini

Aku seorang pengembara, musafir di perjalanan,
Melihat keindahan alam dan dunia ciptaan Tuhan
sambil mencari barang dan bekal untuk dibawa pulang
Di dalam permusafiran pulang banyak gangguan
Sering sahaja aku melupakan bahawa aku di dalam perjalanan
Akhirat adalah destinasi akhirku, Akhirat adalah kampung abadi
Dan aku hanyalah pemegang passport sementara di dunia ini

Di dalam perjalanan pulang aku sering sahaja dilekakan
Gangguan-gangguan yang memperdayakan
hingga aku melupakan bekalan ilmu pengetahuan
yang menjadi penyuluh dan panduan sepanjang jalan
Sehingga kadangkalanya aku terlupa bahawa aku adalah di dalam perjalanan pulang
ke kampung Akhirat, kampong halaman, kampung idaman

Aku tidak tahu apakah aku pulang membawa kekayaan iman taqwa dan amal bakti
Ataupun kekayaan yang diperolehi hasil keegoan dan kepentingan diri
Sehingga sanggup menindas dan menjatuhkan orang, bermusuhan dan menzalimi
Kejayaan dan kekayaan yang merupakan barang-barang yang aku bawa ini
Hasil dari permusafiranku di dunia ke kampung Akhirat nanti
Apakah boleh laku dan diterima di kampung abadi
 
Kalau seseorang tidak membawa apa-apa sudah tentulah akan miskin kedana
Namun begitu yang membawa barang-barang pula belum tentu diterima
Kalau tidak diterima, maka senasiblah seperti mereka yang pulang tidak membawa bekal apa-apa
Aduh..! aku bimbang sebenarnya samada aku tidak boleh membawa
Ataupun membawa barang tapi tidak berguna dan sia-sia
Aduh..! kalau setelah sampai di sana baru kutahu barang yang kubawa tidak berguna
Alangkah malangnya seumur hidup permusafiranku di dunia tidak ada erti apa-apa

Tuhan pimpinlah aku di dalam pengembaraan ini
Agar perjalanan dan permusafiranku selamat sampai ke destinasi
dengan membawa pulang barangan yang berharga yang Engkau redhai
Supaya aku pulang tidak kecewa dan menjadi orang yang tersangat rugi
Aku adalah hamba, yang menjadi pengembara,
mencari bekalan dan membawa barangan ke Akhirat sana,
Tuhan, pimpinlah aku dan tunjukkanlah jalan
Di dalam permusafiranku di dunia yang penuh ranjau dan cabaran

Monday, September 9, 2013

Memoir 31 Ogos 1957

Doa Syeikh Ahmad bin Mohd Said (Mufti Pertama) Pada Hari Kemerdekaan 1957

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سَائِرَ العُمَّالِ وَالوُزَرَاءِ وَالسَّلاَطِينَ وَالمُلُوكِ وَالأُمَرَاءِ لِرِعَايَةِ أُمُورِ الدِّينِ وَالمُحَافَظَةِ عَلَى حُقُوقِ المُسْلِمِينَ وَإِقَامَةِ العَدْلِ فِى الأَحْكَامِ وَالتَّمَسُّـكِ بِفَضَائِلِ الإِسْلاَمِ،
اَللَّهُمَّ وَأَصْلِحْ بِهِمْ شُئُونَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ حَتَّى تَتَرَقَّى وَتَتَقَدَّمَ إِلَى أَعْلَى مَا يَتَحَقَّقُ بِهِ بُلُوغُ الأُمْنِيَّةِ. اَللَّهُمَّ وَانْصُرْنَا مَعَاشِرَةَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ وَاهْدِنَا وَسَدِّدْنَا خَيْرَ البَرِيَّةِ وَاهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْـتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّآلِينَ،
اَللَّهُمَّ اكْشِفْ عَنَّا الكُرُبَاتِ وَسَـلِّمْنَا نَحْنُ مِمَّا فِيهِ مِنَ الآفَاتِ وَاحْفَظْنَا مِنْ كُلِّ سُوءٍ وَمَلاَمٍ وَبَـلِّغْنَا كُلَّ مَقْصُودٍ وَمُرَامٍ وَأَصْلِحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ غَيْرِنَا حَتَّى تَكُونَ فِى أَمَانٍ وَسَلاَمٍ. وَفَرِّجْ عَنَّا كُرُبَاتِنَا فَرْجًا عَاجِلاً بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ،
اَللَّهُمَّ كُنْ لَنَا وَلَهُمْ وَلِهَذَهِ البِلاَدِ حَافِظًا مِنْ جَمِيعِ البَلاَيَا وَدَافِعًا عَنَّا وَعَنْهُمْ جَمِيعَ الرَّزَايَا، وَانْصُرْنَا عَلَى الأَعْدَاءِ وَالحُسَّادِ وَاحْلُلْ غَضَبَكَ وَنِقْمَتَكَ عَلَى البَغْيِ وَالفَسَادِ اَللَّهُمَّ وَاحْرُسْ بِعَيْنِكَ الَّتِي لاَ تَنَامُ وَاكْـنُفْ بِكَنَفِكَ وَرُكْنِكَ الَّذِي لاَ يُرَام. اَللَّهُمَّ اِرْمِ رَايَةَ الإِسْلاَمِ مَنْشُورَةً وَمَوَاطِنَ الدِّينِ وَالحَـقِّ مَعْمُورَةً.

Yang bermaksud, Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekelian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan. Ya Allah! Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.

Oleh,
Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, doa ini dibaca ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31hb Ogos 1957.

--------------------------------------------
 Memoir 31 Ogos, adalah hasil nukilan dan lakaran penulis bersempena Cabaran Melukis Komik 24 Jam (24 Hours Comic Challenge 2007) bertempat di Cineleisure Damansara, bermula jam 12 tghari 20 Oktober hingga jam 12 tghari 21 Oktober hari berikutnya. 24 jam untuk 24 mukasurat, sarat dengan mesej dan falsafah kemerdekaan untuk renungan pembaca bersama.. Moga ada manfaatnya.. :)

























Friday, August 10, 2012

Hikmah Al-Quran dan Ramadhan



Firman Allah: “Bulan Ramadhan bulan yang mana diturunkan padanya Al-Quran untuk jadi petunjuk kepada manusia dan untuk menunjukkan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebenaran itu. Dan untuk membuktikan bahawa Al-Quran adalah pemisah antara yang hak dengan yang batil.”

Dalam ayat ini baru kita tahu bulan Ramadhan ini besar, agung. Dan di bulan agung ini Tuhan datangkan ibu ilmu iaitu Al-Quran, ilmu yang tak pernah disentuh lagi oleh manusia, belum ada manusia campur tangan samada yang sebelum mahupun sesudah. Dia merupakan barang pure dari Tuhan untuk manusia. Tuhan tak kata untuk orang beriman sebab waktu Quran mula diturunkan mana ada orang beriman, sebab itu diseru untuk manusia yang belum beriman. Bila datangnya Al-Quran manusia yang tak beriman terus jadi  beriman. Kalau begitu apa yang kita faham kedatangan setiap kali bulan Ramadhan bermakna kedatangan ilmu dari Tuhan. Setiap kali Ramadhan datang, setiap kali pula umat islam yang mungkin di bulan-bulan lain tak ada kesempatan nak mengkaji ilmu Al- Quran maka diperuntukkan satu bulan untuk mengkaji ilmu Al-Quran. Oleh sebab itu Tuhan jadikan bulan Ramadhan puasa.

Bila berpuasa ikut sistem Tuhan, bukan sekadar tak makan tak minum tapi nafsu yang berpuasa, fikiran yang berpuasa, jiwa yang berpuasa, perasaan yang berpuasa. Orang itu saja yang boleh jadikan sebulan itu dia dapat ilmu Al-Quran yang banyak. Sebab puasa itu, sepertimana yang digambarkan tadi. Bukan tak makan tak minum, boleh menerima ilmu wahyu, mudah boleh terima ilmu, mudah faham. Itu untungnya disuruh puasa.

Sebab jiwa yang bersih dari nafsu dan akal yang bersih dari nafsu sangat mudah memahami ilmu Al-Quran, itulah hikmahnya digandingkan Al-Quran dengan puasa. Jadi kalau puasa ikut sistem yang sebenar, kemudian kita belajar Al-Quran, sembahyang sebulan Ramadhan ikut sistem yang sebenar, ertinya kita masuk belajar di universiti Tuhan yang ilmunya sangat banyak, itulah maksudnya. Tapi pelik setiap kali Ramadhan datang  kita tak dapat ilmu Al-Quran, setiap kali Ramadhan datang, kita tak dapat ilmu wahyu. Inikan sudah melanggar sistem, sudah jauh dari apa yang dikehendaki oleh tuhan seolah-olahnya bila Ramadhan fikir nak makan sedap, ini konsep Ramadhan sudah beralih. Yang baik sikit nakkan fadhilat yang banyak. Itu baik sikit tapi itupun dah terseleweng. Padahal kedatangan Ramadhan nak canai hati supaya datang ilmu Al-Quran, dikaji, di tadabbur, mudah difaham, mudah dihayati, mudah diamalkan.

Pernahkah  kita rasa bila Ramadhan datang itu yang kita target dan jadi cita-cita kita. Tak pernah. Jangan-jangan  baru hari ini kita dengar. Padahal Ramadhan ertinya masuk universiti Tuhan nak terima ilmu dari 30 juz Quran, 6666  ayat dan 114 surah. Tuhan ada berkata, Maksudnya:
“Ilmu Tuhan itu sebanyak yang ada dalam Al-Quran. Kalau ditulis dengan dakwat hingga kering dakwat seluruh dunia, datangkan dakwat sebanyak itu lagi, takkan habis ilmu Tuhan yang tersirat dalam Al-Quran”.

Kalau itulah yang digambarkan oleh Tuhan, tak terasa apa-apa Ramadhan kita?  Tak rasa nak berhadapan dengan sesuatu yang besar? Padahal Tuhan berkata, kalau kering dakwat di dunia ini kemudian didatangkan dakwat sebanyak itu juga pun tak habis ilmu Tuhan. Kalau kita nak berhadapan dengan Ramadhan kita berfikir begini jadilah. Sebab ilmu Tuhan itu hebat tak mungkin ditarget semua, kalau sedikit jadilah, masuk sedikit di atas banyak . Kalau sedikit dari seribu atau sejuta itukan banyak. Kalau sedikit dari satu itu memanglah sedikit, ini tidak yang kita maksud  sedikit dari sejuta itu nisbah tapi itu banyak. Tapi pernahkah kita berfikir begitu. Inilah generasi umat Islam. Bulan ilmu tak terasa nak berhadapan dengan ilmu, terasa nak berhadapan dengan lapar saja. Waktu lapar, makan banyak-banyak waktu maghrib, terus rehat-rehat sekejap baru sembahyang. Bukankah sudah jauh dari konsep puasa sebenar.

Bulan Ramadhan bulan ilmu. Tapi 20 tahun berpuasa tak dapat ilmu. Baca juga Al-Quran, bertambahkah ilmu? Padahal Al-Quran itu kalau kita ambil kulit pun jadilah itupun kalau nisbah benda. Kalau ilmunya ibarat barang berketul tak larat nak bawa. Apa itu kulit? Seperti nak dapat ilmu Al Quran bagaimana diturunkan? Malaikat bawa wahyu bagaimana bentuknya? Macamana ayat itu turun? Itu kulit. Ada ayat Mekah,ada ayat Madinah. Apa maksud ayat Mekah, apa maksud ayat Madinah ? Itu pun kulit. Ada yang turun dalam perjalanan, ada ketika bermukim. Itu semua ilmu kulit. Tak tahu tak apa, takkan nak makan kulit? Ilmu kulit pun kalau kita dapat sudah berapa banyak. Ada waktu ayat turun waktu malam ada siang, ada musim sejuk ada musim panas. Itu semua tentang kulit Al-Quran. Kalau kita belajar kulit itu pun dah banyak. Ada kala diturunkan waktu di kenderaan , adakala di rumah isterinya. Itu semua ilmu kulit. Kalau kita nak belajar ilmu Al-Quran itu aduh, kulit pun perlu juga, boleh dibakar. Setengah orang kutip kulit kayu dijual, ada faedah. Ada faedah mengaji tentang kulit Al-Quran pun hebat. Itu belum mengkaji yang dalam Al-Quran.

Ilmu yang dalam kulit sikit tapi belum dalam betul ialah misalnya dikatakan Al-Quran itu petunjuk bagi manusia, dalam Al-Quran ada bukti yang Al Quran itu petunjuk, ada hujah akal membuktikan kebenrannya. Itu kulit dalam, kulit nipis. Kalau ibarat ubi, tadi kulit luar yang ini kulit dalam, sedap dimakan. Tapi bukan itu yang dimaksudkan oleh Tuhan, lebih dari itu. Al-Quran ada ilmu yang mempunyai kekuatan mental, perasaan, fizikal. Lebih-lebih lagi kalau Tuhan anugerahkan kepada seseorang yang dia benar-benar mempunyai perasaan kekuatan fadhilat Al-Quran. Jadi untuk menggambarkan walaupun kita tak dapat isinya. Cuma untuk membuktikan kalau isinya didapati, hebatnya. Seolah-olah nak dapat isi tadi tak munasabah kena mengaji dari ayat ke ayat, lafaz ke lafaz.  Cuma nak dirasakan bersama supaya cara ini  insya Allah terasa Al-Quran luar biasa, ilmu yang agung, siapa yang miliki ilmu Al-Quran ertinya boleh memiliki ilmu dunia akhirat. Memiliki ilmu tentang perkara yang ghaib dan yang lahir. Yang ghaib kalau Al-Quran tak cerita orang tak tahu tentang adanya Tuhan. adanya arasyh, kursi, sirotal mustakim. Sirotal mustakim kalau perah otak pun takkan terbongkar keberadaan itu semua.

Begitu juga tahu ilmu lahir, ilmu kehidupan yang ada hubungan dengan manusia. Al-Quran memberitahu ilmu yang ada hubugan dengan manusia, kita ambil yang besar. Kita mengaji Al-Quran sama ada di sekolah atau faham sedikit banyak bahasa Arab, waktu Ramadhan ambil peluang kaji-kaji, kita akan tahu ilmu manusia, bangsa-bangsa, watak manusia, saikologi, masyrakat, politik, kepimpinan, kebudayaaan, pendidikan, sejarah dan ilmu yang besar-besar yang semua kita dengar ada daalm Al-Quran. Tentang ilmu perhubungan, padang pasir, sungai, perjuangan, tentang bagaimana nak buat kesatuan, bangunkan jemaah, semua ada dalam Al-Quran. Itu baru setakat  kulit lapis kedua.

Ilmu lapis ketiga dah masuk isi bukan pati (santan) itu untuk manusia  luarbiasa.  Kalau dapat santan cukup sudah boleh makan, sudah sampai peringkat boleh diguna pembinaan badan, cukup untuk bangunkan mental, roh, perasaan kita.  Siapa dapat ilmu politik dan sebagainya dari Al-Quran itu sudah cukup orang kagum, orang hairan, orang tak jemu. Bila dengar ustaz itu bersyarah orang nak lagi, kita lapis ketiga pun tak dapat walaupun masuk universiti. Buktinya cuba awak cerita mengenai masyarakat manusia dirujuk pada Al-Quran, tak boleh. Cuba awak cerita sejarah dalam Al-Quran dan hubung kaitkan dengan sejarah akan datang (hari ini), tak boleh. Dia akan cerita seketul-seketul. Cerita Nabi Isa, Nuh, itu anak tadika pun boleh tahu.

Kalau ditanya cuba cerita ilmu ekonomi dirujuk kepada Al-Quran dan Hadis. Cuba cerita ilmu perjuangan dirujuk kepada Al-Quran dan Hadis, watak-watak manusia hasil mempelajari Al-Quran dan Hadis. Kalau setakat itu pun dah agak penting apa yang kita dapat selama ini?  Tak dapat apa-apa, Ramadhan datang habis begitu saja, tak dapat apa-apa. Hanya dapat lapar dan haus saja.

Jadi kalau kita boleh dapat ilmu tahap tiga ini, sebab dia sudah ada hubungan dengan kehidupan manusia di sudut apa pun, sebab Al-Quran itu untuk manusia. Kalau ada ustaz ada ilmu itu orang buru orang tak jemu dengar. Tapi hari ini bila orang Islam nak tahu ilmu, buka kitab orang putih walhal semuanya ada dalam Al Quran. Kalaulah  kita boleh dapat ilmu Al-Quran tahap 3 itu dah cukup hebat. Sebab ilmu itu untuk manusia, ada hubungan dengan manusia. Ertinya matlamat sudah sampai, tapi ada yang lebih dari itu.

Selepas itu supaya terasa Al-Quran maha besarnya Tuhan. Oleh karena Tuhan Maha Agung maka ilmuNya Maha Agung dan Maha Besar. Walaupun apa yang akan dicakapkan ini tak mungkin kita dapat lagi. Hanya nak menyedarkan kita bahawa ada ilmu yang lebih dalam dari Al-Quran itu. Ilmu Al Quran selain lapis 1, 2 dan 3 tadi, yang ketiga itu karena dah susah dia bercampur ada yang tersurat ada yang tersirat. Yang tersurat mungkin boleh faham. Katalah kita baca satu ayat, yang tersurat ½ ayat, yang lain tersirat. Itu susah. Separuh tersurat separuh tersirat. Yang tersurat agak mudah, yang tersirat susah. Kalau tak boleh faham yang tersurat banyaklah tempang macam orang kaki sebelah. Nak jalan betul kena pakai kaki kayu itu pun sudah susah.

Kebanyakannya tersirat. Kalau tak faham tersurat tidak boleh keluarkan apa maksud atau kehendak Al-Quran dengan kata lain kehendak Tuhan. Kalau ada ulama diberikan ilmu itu Masya Allah yang ketiga sudah luar biasa, itu pun sudah tak ada.  Tapi lapis 4 lebih hebat, lebih dahsyat. Sebab semua yang tersirat nak disuratkan. Kan payah. Kalau Tuhan bagi Ilmu itu pada seseorang bolehkah diremeh-remehkan orang itu?  Tidak. Tuhan tak akan berikan Ilmu itu pada sebarang orang. Mesti orang pilihan.  Siapa dapat bukan sebarang, sekadar itu. Sekadar baru terbelelak terkejut. Ilmu Al-Quran yang tersirat ini, yang ilmu itu hanya ada pada orang yang boleh dibilangan jari saja itu pun di zaman lepas, sekarang tak ada.

Ilmu mengenai  hukum-hakam berkait dengan perkara wajib, sunat, haram, makruh, istilahnya ilmu feqah. Kalau orang itu belajar bahasa Arab tinggi sekalipun, kalau Tuhan tak beri anugerah pada orang itu untuk faham macamana nak kaitkan ayat dengan ayat, Hadits dengan ayat, ayat dengan hadits dia tak boleh keluarkan hukum lagi dia tak boleh nak putuskan haram hukumnya atau tak, dia tak jadi qat’i lagi. Yang ini wajib tak boleh lagi, ini makruh tak boleh lagi, ini haram tak boleh lagi, ini fardhu ain tak boleh lagi. Nak campurkan ayat dengan ayat, nak kaitkan hadits dengan ayat, nak huraikan hadits merujuk dengan ayat itu baru boleh keluarkan hukum yang sebenar, kalau tidak macam samar-samar. Kalau wajib jelas wajib, kalau makruh jelas makruh, kalau haram jelas haram, orang macam itu diberi gelaran mujtahid. Orang itu mengistimbat atau mengeluarkan hukum setelah di hubung-kaitkan satu ayat dengan satu ayat, ayat dengan hadits, hadits dengan ayat baru dapat ditetapkan hukumnya orang itu dikatakan mujtahid.

Dalam sepanjang zaman ada 11 orang saja termasuklah imam mazhab yang 4 , sebab yang 4 ini kitabnya masih ada yang lain kitabnya dah tak ada. 7 lagi mujtahid kita tak tahu mereka sebab kitab mereka dah tak ada dimusnahkan oleh tentera Monggol semasa dia menyerang Baghdad. Jadi kitab dah tak ada, kita tak tahu ajaran mujtahid-mujthahid yang 7 lagi itu. Kalau ada lagi kitab, kita akan berhadapan dengan ahli sunnah yang menganut 11 mazhab sekarang tinggal 4. Diantara namanya Auza’i dan lain-lain. Yang mampu jadi mujtahid setakat ini dalam dunia islam hanya ada 11 orang  kalau adapun yang lain hanya setengah aspek seperti Imam Sayuti setengah aspek saja dia tidak ikut Imam Shafii setengah aspek yang lain. Macam Imam Nawawi walaupun dia ikut Imam Shafii setengah, setengahnya ada yang tak ikut, dia ijtihad sendiri. Tapi sedikit, kecil sangat.  Seolah dia ikut semua. Imam Shafii dengan Imam Nawawi 700 tahun jaraknya. Di antaranya Imam Shafii waktu puasa pakai wangi-wangian makruh, Imam Nawawi tidak, seolah-olah dia berkata Imam Shafii engkau banyak jasa pada aku yang lain aku ikut yang ini aku tak ikut. Guru atas angin, kata Imam Nawawi sunat orang puasa pakai minyak wangi, di sini  kongsi dengan Imam Nawawi. Saya pakai atas dasar ilmu saya buat atas dasar ilmu yang lain semua ikut Imam Shafii.


Ilmu hikmah terbahagi dua. Ilmu hikmah ini sangat tersirat. Kalaulah seseorang itu bukan orang Tuhan memang tak logik,  sebab ilmu itu bukan menggunakan akal lagi, kalau tadi ada juga akal. Akal yang dikuatkan oleh ruh. Orang jadi mursyid akalnya dikuatkan oleh ruh sebab itu dia boleh berijtihad. Yang ini lebih dalam lagi tapi bukan satu kategori. Ilmu hikmah mungkin tak pernah kita dengar. Lebih-lebih lagi dipelajari. Kalau dengar pun bukan ilmu hikmah yang dimaksudkan ini. Kalau kita belajar falsafah dikatakan ilmu hikmah, bukan itu yang dimaksudkan. Sebab itu tak ada hubungan dengan Al-Quran itupun terkeliru sebab dikatakan ilmu hikmah. Itu tak masuk Al-Quran, itu hanya akal, otak, itu adalah failasuf . Kita sedang belajar nak mengetahui ilmu tahap 4.


1) Ilmu hikmah pertama iaitu ilmu yang Tuhan beri pada seorang ulama yang kalau kita baca yang tersurat tak mungkin dapat. Ada rahsia-rahsia Al Quran yang Tuhan beritahu dia, ini dikatakan ilmu hikmah. Diantaranya ilmu murah rezeki, ilmu perubatan, ilmu nak tolak sihir, nak tolak jin, jalan atas air, nak tolak bukit, makan satu hari kenyang sebulan itu ilmu hikmah, tak salah kalau dia ambil berkat Al-Quran bahkan yang ajar ialah wali-wali. Oleh kerana muridnya tak dapat dibagi atas dasar berkat. Kalau engkau buat ini akan jadi begitu.  Bukan senang nak buat ini ambil satu ayat Al-Quran gabung dengan satu ayat Al-Quran keluarlah satu ilmu baru, bukan senang nak buat itu, orang kata ilmu khadam.

2)  Ilmu hikmah kedua. Ini diberi pada seorang syeikh atau guru untuk perjuangan dizamannya. Ini diberi pada ahli-ahli tareqat, wirid zikir yang diberikan kepada tuk guru untuk kekuatan di zamannya. Sesuai untuk keperluan dizamannya.  Inilah yang dimaksud ilmu hikmah dua yaitu satu pakej yang diberikan kepada seorang syeikh dizamannya iaitu ilmu wirid, ada kaedah berjuang, ada kaedah melahirkan jemaah termasuk ilmunya satu pakej termasuk wirid. Itulah hikmah diberi kepada seorang syeikh untuk dapat kekuatan perjuangan dizamannya mengikut saiz, ada taraf jemaah, ada taraf negara, ada taraf ummah. Disini memberi faham kepada kita bahawa pejuang yang dimusnahkan Amerika sebenarnya dia tak dapat ilmu hikmah dua ini. Dia reka sendiri, sebab itu terkorban sana terkorban sini. Kalau ada yang mati syahid lihat tidak kalah. Itu anugerah Tuhan. Diilhamkan untuk syeikh tareqat untuk perjuangan di zamannya sesuai dengan saiz.

Kemenangan juga pakej ikut saiz. Itulah ilmu hikmah kedua. Siapa berjuang tidak dapat ilmu itu, tak ada pekej itu, itulah yang teruk. Berjuang  itu bukan direka-reka, agak-agak. baca ayat, berjuang, ayat ada yang tersirat kalau tidak diberitahu Tuhan akan berhadapan dengan kegagalan dan kehinaaan. Ilmu itu bukan senang, itu orang luarbiasa. begitulah secara teorinya ilmu Al-Quran kalau kita faham tentang Al-Quran, setiap Ramadhan kita buat kajian, kita akan dapati Al-Quran jadi luarbiasa kalau dapat kulit pun jadilah tapi kulit pun tak dapat.

Wednesday, February 8, 2012

Salam Maulidurasul 1433 Hijrah

SALAM MAULIDURASUL 1433 HIJRAH
Satu ketika dahulu, di dlm lipatan sejarah, setelah Para Sahabat berjaya membuka Syam dan Baitul Maqdis di zaman Saidina Umar. Setelah mana Saidina Umar menghantar empat pasukan ke sana. Pasukan Saidina Khalid, pasukan Saidina Abu Ubaidah, Pasukan Saidina Amru bin As. Bilamana Saidina Umar datang sendiri ke Palestin untuk menerima kunci Baitul Maqdis selepas Baitul Maqdis berjaya dibebaskan dari tangan Rom. Saidina Umar memanggil keempat-empat pasukan ini berkumpul di Bukit Golan. Dalam Satu pertemuan yang besar di Jabiah, Bukit Golan. Pertemuan ini setelah mana mereka berjaya menundukkan Rom dan Parsi.

Satu pertemuan yang bersejarah di mana para Sahabat berkumpul kembali setelah beberapa tahun tidak bertemu kerana masing masing sibuk berjihad di medan masing masing. Pada pertemuan itu mereka semua teringat kepada Rasulullah Saw. Sebagai untuk mereka dapat lagi menghadirkan suasana sepertimana ketika mereka berada bersama Rasulullah Saw mereka minta kepada Saidina Umar agar meminta Saidina Bilal mengumandangkan azan pada salah satu waktu sembahyang ketika itu. Kata mereka wahai Saidina Umar. Ini satu hari yang agung dari hari hari Allah maka mintalah kepada Bilal supaya dia azan.

Saidina Bilal yang tidak pernah azan selepas kewafatan Rasulullah Saw. Bagi Saidina Bilal setelah kewafatan Rasulullah Saw tanggungjawab yang harus dipikulnya lebih besar lagi untuk meneruskan perjuangan Rasulullah Saw dan itulah yng dilakukan olehnya. Pada hari itu Saidina Umar memintanya di atas permintaan para Sahabat untuk mengumandangkan azan. Di atas permintaan Khalifah dan para Sahabat Saidina Bilal bersetuju. Inilah kali pertama Bilal azan selepas kewafatan Rasulullah Saw. Bilal pun bangun dan melaungkan azan

الله أكبر الله أكبر

الله أكبر الله أكبر
أشهد ان لا إله إلا الله
أشهد ان لا إله إلا الله
Bila mana sampai kepada
أشهد أن محمدا رسو ل الله
Saidina Bilal menangis dan semua para Sahabat turut menangis. Mereka teringat kembali kepada Rasulullah Saw dan perjuangannya yang agung dan suci itu. Islam yang dibawa oleh Rasulullah Saw, Iman yang dibawa oleh Rasulullah Saw, kasih sayang yang dibawa oleh Rasulullah Saw, akhlak mulia yang dibawa oleh Rasulullah Saw, kehidupan yang mulia yang dibawa oleh Rasulullah Saw, pengorbanan yang dicurahkan oleh Rasulullah Saw, penderitaan yang Rasulullah Saw tanggung, penderitaan yang paling berat untuk membawa manusia kepada Tuhan. Pembelaan Rasulullah Saw kepada mereka. Semuanya menjelma kembali dalam ingatan para Sahabat seolah-olah mereka baru saja berpisah dengan Rasulullah Saw. Saidina Bilal sampai teresak-esak. Dia tidak mampu lagi hendak menyambung azannya.

Marilah kita bermohon kepada Tuhan supaya menjatuhkan rasa cinta yang mendalam kepada Rasulullah Saw moga dengan itu kita layak bergelar umat Rasulullah Saw dan moga dengan itu kita direzekikan mendapat syafaat Baginda di Akhirat nanti...

Sunday, June 12, 2011

Ketinggian Akal dan Kesufian Imam Ghazali

Imam Ghazali: Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?

Murid 1: Orang tua

Murid 2: Guru

Murid 3: Teman

Murid 4: Kaum kerabat

Imam Ghazali: Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali: Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?

Murid 1: Negeri Cina

Murid 2: Bulan

Murid 3: Matahari

Murid 4: Bintang-bintang

Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Imam Ghazali: Apa yang paling besar didunia ini ?

Murid 1: Gunung

Murid 2: Matahari

Murid 3: Bumi

Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al Araf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.

IMAM GHAZALI Apa yang paling berat didunia?

Murid 1: Baja

Murid 2: Besi

Murid 3: Gajah

Imam Ghazali: Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

Imam Ghazali: Apa yang paling ringan di dunia ini ?

Murid 1: Kapas

Murid 2: Angin

Murid 3: Debu

Murid 4: Daun-daun

Imam Ghazali: Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat

Imam Ghazali: Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?

Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang

Imam Ghazali: Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.


**********************************

Di dalam sebuah ceramah Al Musnid Al Allamah Al Arif Billah Al Hafidz Habib Umar bin Hafidz telah menceritakan. Bahawa Al Imam Hasan Assadzili salah satu Ulama Tabi'in pernah bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Di dalam mimpinya beliau melihat Rasulullah SAW duduk di tempat yang lebih tinggi dikelilingi olah para Nabi dan Rasul, para sahabat Nabi, para siddiqin, para solihin, para syuhada dan imam-imam besar.

Di dalam majlis itu, Nabi Musa AS telah bertanya kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah SAW, Apakah maksud Hadis: Ulama-ulama di kalangan umatku seperti nabi-nabi Bani Israel?”.

Maka Rasulullah SAW pun memanggil Imam Ghazali dan memperkenalkannya kepada Nabi Musa AS “Ini adalah salah satu ulama di masa kami yang bagaikan para nabi di masa kalian.”

Nabi Musa AS telah bertanya kepada Imam Al-Ghazali, “Siapakah nama mu”. Maka Imam Ghazali pun menjawab, “Namaku ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al Hamid Al Ghazzali. Atau yang lebih dikenal Imam Ghazali At Thu'usi”

Nabi Musa A.S berkata “Aku bertanya nama mu sahaja, kenapa kau menyebut nama ayah dan datuk mu”.

Imam Al-Ghazali meminta izin dari Rasullullah untuk menjawab persoalan dari Nabi Musa Kalimullah. Selepas mendapat keizinan maka Imam Al-Ghazali pun menjawab, “Bukankah Allah telah bertanya kepadamu : “Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa? (Surah Toha:17), dan Nabi Musa menjawab: Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu. (Surah Toha:18) ”

Nabi Musa lantas berkata “Tuhan itu adalah kekasih kita, maka aku mengambil peluang itu untuk bercakap panjang lebar dengannya lantaran rasa kerana senang, nikmat dan lazat dapat bercakap dgn Tuhan. Maka Imam Ghazali pula mengatakan “Begitulah aku, kamu juga adalah kekasih aku, maka aku juga mengambil kesempatan untuk bercakap panjang lebar denganmu”.

Rasulullah SAW berkata: “Wahai Musa, apakah ada ulama di masa kamu bagaikan nabi di masa kami?” Nabi Musa AS menjawab “Tidak ada Ya Rasulullah.”

Petikan Kitab : Risalatul jam'iyah karya Al Habib Ahmad bin Zain Al Habsyi

Monday, April 25, 2011

Menu Hari Ini : Rojak Kerohanian

Untuk menjadi seorang mukmin dengan menjadi seorang Islam tidak sama. Untuk menjadi orang mukmin, susah tetapi menjadi orang Islam senang. Oleh sebab itu dalam Al Quran tidak ada suatu ayat pun yang Tuhan memberitahu hendak bela, tolong, jamin memberi kemenangan, memberkati dan untuk memberi rezeki yang tidak terduga kepada orang Islam. Yang selalu Tuhan sebut ialah hendak memberi pertolongan, memberi bantuan, memberi rahmat, berkat dan kemenangan kepada orang mukmin dan bertaqwa. Di sinilah kadang-kadang kita terkeliru. Apabila menjadi orang Islam, kita sudah berpuas hati.

Menjadi seorang Islam itu soal lahir atau sikap lahir iaitu mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, seterusnya haji bila cukup syarat. Bila itu dilaksanakan, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang kafir. Malah lebih mudah dari itu iaitu siapa sahaja yang sudah mengucap dua kalimah syahadah, maka jadilah dia seorang muslim atau seorang Islam tetapi belum tentu dia mukmin.

Oleh kerana itulah kita baca dalam sejarah di zaman Rasulullah ada seorang Arab Badwi, dia sudah masuk Islam, maka dia buat pengakuan kepada Rasulullah bahawa dia sudah jadi orang mukmin lantas ditegur oleh Rasulullah masa itu juga. Kata Rasulullah, "Jangan engkau katakan engkau telah beriman. Engkau katakan sajalah engkau sudah Islam."

Mengapa? Ini kerana iman ada hubungan dengan hati, roh, nafsu dan akal. Iman termasuk soal rohaniah. Bukan sahaja orang tidak nampak, bahkan kebanyakan orang yang rohnya tidak hidup, tidak tahu pun perjalanan dalamnya. Dia tidak boleh faham perjalanan rohaninya, tidak boleh membaca nafsu dan akalnya.
Iman ditentukan oleh faktor dalaman, Islam ditentukan oleh faktor luaran. Kesempurnaannya ialah gabungan kedua-duanya sekali tetapi yang penting ialah faktor dalaman. Iman itu isi manakala Islam itu kulit. Kalau tidak dipimpin oleh Tuhan atau ilmu kita tidak halus atau roh kita tidak bercahaya, kita akan banyak terlibat dengan dosa dan kederhakaan dalaman atau rohaniah tanpa kita sedar.

Manakala faktor luar, persoalannya adakah kita boleh melawan nafsu atau tidak, itu sahaja. Kita tahu dan sedar kalau kita terbuat dosa, itu satu kesalahan. Antara contohnya:

1. Kalau kita curi ayam orang, tentu kita tahu kita berdosa. Tanyalah sesiapa pun. Kita tahu perbuatan itu salah tetapi jika hendak curi juga, itu persoalan lain. Namun kita tahu dan akan berkata, "Aku ini buat salah. Kalau polis tahu tentu kena tangkap."

2. Katakanlah kita tampar orang. Bila ditanya tentu kita akan berkata, "Memang saya salah. Saya tidak dapat lawan nafsu saya." Begitu juga kalau orang tampar kita, dia pun akan jawab yang sama.

3. Kalau kita maki orang tentu kita rasa bersalah.

Jadi soal Islam adalah soal luar. Kesalahan lahir yang berbentuk fizikal mudah kita kenal dan tahu. Tetapi yang lebih banyak kita berdosa dan derhaka ialah dalam soal iman, rohaniah, nafsu dan roh kita atau dalam istilah lain, dosa batin atau dosa hati. Bahkan setiap hari kita buat dosa dalaman tetapi kita sedar dan tidak rasa berdosa. Sebenarnya kalau kita faham, dosa dalaman kita lebih banyak dari dosa luar. Apabila kita tidak membuat dosa luar, seperti tidak mencuri, tidak membunuh orang, tidak pukul orang, tidak berzina dan tidak mengata orang, kita terasa senang hati. Terasa tidak ada dosa jadi rasa senang hati dan sudah terbayang mendapat Syurga. Sebenarnya kalau kita terbuat satu dosa lahir, maka dosa batin kita sepuluh. Kalau buat dua dosa lahir maka dosa batin dua puluh. Kalau langsung tidak terlibat dengan dosa lahir pun, pasti kita ada dosa batin. Rasa tidak berdosa itu pun adalah dosa batin. Itulah nisbah antara dosa lahir dan dosa batin. Jadi macam mana kita kata kita sudah bersih? Bagaimana hendak menjadi orang mukmin. Kita hanya boleh jadi orang Islam.


Hari ini kita berbicara tentang rojak kerohanian. Kalau rojak yang dimakan, memang sedap sebab ada udang, ada telur, ada mee dan lain-lain. Yang hendak diperkatakan ini rojak juga tetapi rojak kerohanian. Rojak ini tidak sedap. Rasanya pahit. Yang dimaksudkan rojak kerohanian ialah di dalam diri kita, secara rohaniahnya, bercampur bermacam-macam sifat baik dan buruk.

Mari kita membaca batin kita. Kita akan dapat hujah-hujah bahawa untuk menjadi orang mukmin itu memang susah. Contoh-contohnya seperti berikut:

1. Kalau lihat kumpulan budak lepak yang jahat, suka mengusik dan meragut barang orang, ada dua perasaan atau dua sikap kita yakni:

a. Kita kata itu dia punya pasallah. Bukan hal kita. Usah ganggu mereka kerana itu hak asasi mereka. Di Barat, orang bunuh orang pun dia anggap itu hak asasinya. Kalau hendak kena tangkap pun dia, bukan kita. Orang lain tidak tolong selamatkan pun tidak apa. Sudah sampai ke peringkat itu di Barat. Sikap yang pertama ini adalah dosa kerana tidak ada rasa tanggungjawab.

b. Bila melihat budak lepak, ada golongan yang mengatakan 'jahat betul', 'tak guna', 'sampah masyarakat'. Terasa tidak berdosa bila berkata begitu. Sikap yang kedua ini lagi berat. Sepatutnya bila melihat budak lepak itu timbul rasa kasihan lalu mendoakan mereka kerana mereka tidak dapat petunjuk. Kalau tidak berani memberi nasihat, takut dipukul oleh budak itu, berdoalah, "Wahai Tuhan, berilah petunjuk kepadanya." Sebaliknya kita menghina mereka. Pernahkah kita rasa berdosa, bila balik ke rumah rasa menyesal lalu istighfar jika tadi sudah terlajak cakap terhadap budak itu. Jika tidak, itulah dosa batin. Ertinya roh sudah rosak.

2. Bila kita melihat orang miskin, ada rasa simpati hendak tolong atau tidak? Kalau kita tidak mampu hendak tolong kerana kita pun miskin, adakah kita doakan semoga dia murah rezeki? Pernahkah kita rasa berdosa kerana tidak rasa begitu terhadap orang miskin? Adakah kita rasa berdosa sebab tidak merasa susah dengan kesusahan orang miskin?

3. Satu hari kita dengar orang puji kita. Hati pun berbunga di dalam. Orang keji, kita terasa sakitnya. Pernahkah hati rasa berdosa? Berdosa kerana berbunga hati bila dipuji dan sakit hati bila dikeji. Walhal pujian itu pakaian Tuhan dan kejian itu pakaian hamba. Sebab itu hendak jadi orang mukmin sangat susah. Hendak jadi Islam, senang.

4. Sepanjang hari kita rasa sombong dan riyak. Pernahkah kita rasa berdosa? Sedangkan sombong, riyak, rasa megah adalah dosa besar. Kalau kita buat dosa lahir, contohnya curi ayam, itu dosa kecil. Jika orang terkenal atau popular yang mencuri telur ayam, beritanya sehingga masuk muka depan surat khabar, padahal itu dosa kecil. Tetapi dosa dalaman iaitu riyak, ujub, sombong, hati berbunga bila dipuji, bila dikeji sakit hati adalah dosa besar tetapi tidak terasa. Mencuri telur ayam semua orang riuh padahal itu dosa kecil. Buat dosa besar dalam hati tidak ada siapa yang kisah. Orang pandang besar dosa yang di luar tetapi yang di dalam itu tidak terasa walaupun dosa besar. Inilah yang dimaksudkan, dosa batin lebih besar daripada dosa lahir. Dosa lahir itu memang kita tidak mahu buat dan susah hendak terbuat. Tetapi dosa dalaman atau dosa batin, sehari berpuluh-puluh kali kita buat.

5. Kadang-kadang kita buat dosa yakni kita tidak sedar bahawa kita ada kepentingan diri. Kita fikir, "Mana aku ada kepentingan diri? Aku tak gila pangkat atau harta. Kalau gila harta atau pangkat, bolehlah kata ada kepentingan diri." Sebenarnya gila pangkat dan harta itu sudah besar sangat. Kalau orang yang ada asas, dia tidak akan buat perkara seperti itu.

Antara contoh kepentingan diri : Adakah kita ziarah ibu bapa kita? Kadang-kadang bila balik kampung, kena marah. Hubungan anak dengan ibu bapa lebih kurang sahaja. Sebab itu malas hendak balik. Baru tiba di depan pintu sudah kena 'sembur'. Kalau orang yang tidak ada kepentingan diri, dia fikir, "Hendak kena marah, hendak kena sembur ke, biarlah. Ziarah ibu bapa adalah tanggungjawab saya."

Ramai yang terperangkap dengan dosa-dosa ini tetapi tidak menyedarinya. Kalau sedar, kita harap Tuhan ampunkan. Ramai orang yang mengerjakan sembahyang, puasa dan haji tetapi tidak sedar dengan dosa-dosa ini. Kita ingat kepentingan diri itu ialah rebut jawatan atau rebut harta tetapi jika suka pergi kenduri dan tidak suka ziarah orang sakit, tidak rasa itulah kepentingan diri. Kita dulukan kehendak kita dari kehendak Tuhan dan kehendak orang lain. Itu kepentingan dirilah namanya. Tidak sedar yang diri telah buat dosa.

6. Orang yang berdakwah sudah biasa terima duit. Ada tempat yang bagi duit atau envelope, ada tempat yang tidak bagi. Di tempat yang biasa ada imbuhan, kita rajin pergi berdakwah walaupun yang dengar lima orang sahaja. Tetapi bila sampai jadual dakwah di masjid atau ditempat yang tidak dapat bayaran, walaupun 500 orang yang dengar, kita tidak mahu pergi dengan alasan sakit-sakit badan. Adakah terfikir bahawa itu ada kepentingan diri. Itu semua adalah dosa batin.

7. Orang yang agak beragama, tidak meninggalkan sembahyang, tidak meninggalkan puasa, sekali-sekala keluar zakat, pergi haji bila cukup syarat, sekali-sekala umrah, baca Al Quran, wirid dan zikir, dia berkata, "Aku tidak cuai. Aku tidak salah." Dia terlupa bahawa dia tidak cuai tetapi lalai. Mana kita perasan kita tidak cuai tetapi lalai. Yang punya diri pun tidak perasan. Kalau tidak sembahyang, dia sudah tahu dia cuai dan terasa kecuaiannya. Kalau sudah cukup syarat tetapi tidak pergi haji, dia rasa cuai.

Bagaimanakah yang dikatakan tidak cuai tetapi lalai? Ertinya tidak cuai itu kerana ibadah dilaksanakan dan dibuat tetapi adakah ibadah itu dapat dihayati? Bila rukuk dan sujud apakah yang dibaca? Apakah yang kita rasa? Ini adalah kes atau contoh tidak cuai tetapi lalai. Inilah yang Tuhan maksudkan dalam ayat Al Quran yang bermaksud: "Neraka Wail bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." (Al Ma'un: 4-5)

Masuk Neraka bukan kerana cuai tetapi kerana lalai sebab dalam ibadah tidak ada roh dan tidak dihayati. Kalau kerana cuai lebih teruk lagi, kerana langsung tidak berbuat. Tapi pernah terfikirkah kita yang kita membuat dosa lalai?

Lalai adalah satu dosa. Kita tidak cuai berpuasa dalam bulan Ramadhan tetapi berdosa kerana sepanjang puasa itu kita lalai, tidak ada rasa kehambaan, tidak ada rasa bertuhan, tidak takut dan tidak cinta dengan Tuhan. Sepanjang hari kita mengumpat, marah anak buah, benci pada majikan, bermasam muka suami isteri, tidak bertegursapa sesama jiran, lalai sehingga berkurangan pahala puasa kita. Pernahkah ada merasa berdosa kerana lalai dalam berpuasa?

Itulah hujah untuk mengatakan menjadi orang Islam senang sebaliknya untuk menjadi orang mukmin susah. Kita tidak cuai tetapi lalai. Tidak berbuat dosa lahir tetapi berbuat dosa batin. Ada kepentingan diri secara tidak sedar. Disangkakan orang yang berebut jawatan dalam parti dan dalam kerajaan, itulah orang yang berkepentingan diri. Sedangkan itu sudah besar sangat, tetapi kepentingan yang setiap hari kita buat, kita tidak sedar. Bagaimana kita boleh sedar bahawa kita sedang mengharungi dosa kejahatan batin?

8. Kalau sembahyang seorang diri, kita sembahyang lebih kurang sahaja tetapi berbeza kalau bersembahyang ramai atau berjemaah. Waktu berjemaah, kita begitu tertib. Apatah lagi kalau menjadi imam, sedap bacaannya. Sedangkan kalau sembahyang seorang diri, bacaan tidak sedap. Ada dosa di situ iaitu ada rasa kepentingan diri. Tidak sedar yang kita berbuat dosa.



Sebab itu Tuhan menyuruh kita sama ada ada dosa atau tidak, buat dosa atau tidak, nampak dan perasan ada dosa atau tidak, tetap disuruh rasa berdosa kerana memang ada dosa-dosa yang kita tidak sedar, iaitu dosa-dosa yang sangat tersirat. Lebih-lebih lagi kalau kita tidak ada pemimpin dan mursyid, banyak perkara-perkara halus dan seni yang kita tidak nampak. Sebab itu rasa kehambaan dan rasa bertuhan perlu dikekalkan. Termasuklah taubat dan rasa menyesal. Rasa berdosa mesti dikekalkan kerana walaupun tidak nampak dosa yang dibuat tetapi pasti ada dosa tersembunyi yang tidak dapat hendak dicungkil.

Orang mukmin yang sejati, hatinya seperti gelombang ombak di laut, berombak-ombak tetapi tidak nampak. Lantaran merasai setiap detik dan saat terlalu banyaknya dosa-dosa yang telah dibuat dalam sehari. Bahkan dosa batin lebih banyak daripada dosa lahir tetapi tidak disedari. Biasanya dosa yang tidak terampun adalah dosa batin. Oleh kerana tidak ada rasa berdosa maka kita tidak bertaubat. Dosa lahir mudah disedari dan ditaubatkan. Di Akhirat, ramai orang tidak lepas dan masuk ke Neraka kerana dosa batin mereka.

Kalau begitu, masih banyak lagi yang tidak selesai. Banyak lagi kejahatan batin yang berlaku. Oleh itu, banyakkan bertaubat dengan Tuhan. Cari ilmu lagi supaya boleh baiki diri. Tidak cukup hanya menjadi orang Islam sahaja. Kita mesti menjadi orang mukmin. Tuhan tidak akan menolong orang Islam kerana Tuhan hanya menolong orang mukmin. Kalau hendak mengharapkan bantuan dan pertolongan Tuhan, mestilah kemaskinikan diri untuk mendapat bantuan Tuhan itu.


(credit video clip goes to See Sharp Minor)

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...