Saturday, August 8, 2009

Kadang-Kadang Tak Ada Logika

Sakit mata saya bila melihat klip2 video sekarang ini terutamanya daripada indonesia yang mengandungi lirik dan tajuk lagu yang kurang sesuai untuk masyarakat Islam di Malaysia seperti lagu Makhluk Tuhan paling seksi, Matahariku, Tak Ada Logika, Allah Peduli dan banyak lagi lagu yang memaparkan klip video dengan aksi dan pakaian yang kurang menepati garis panduan dan nilai murni masyarakat negara kita. Bagi saya pula ia tidak jadi masalah kerana di Indonesia perkara ini tidak menjadi isu bahkan sebutan 'Allah Jesus' juga sememangnya sudah menjadi sebutan harian dan kebiasaan masyarakat di sana. Yang saya tidak berpuas hati ini ialah apabila stesen tv tempatan mengambil klip2 video tersebut utk dipaparkan sbg selingan dan selepas selesai rancangan2 utama di televisyen spt Malaysia Hari Ini, Melodi, bahkan sebahagiannya ditayangkan slps rancangan berita Edisi 7 yang merupakan prime time@waktu prima di mana ibu bapa akan duduk bersama anak-anak di hadapan kaca tv...

Sedang asyik meluahkan isi rasa dan suara hati, tiba2 terdetik apabila tersebut sebuah tajuk lagu indonesia berjudul Tidak Ada Logika. Di dalam Islam, banyak perkara yang berlaku di dalam dunia, bahkan dalam kehidupan seharian kita, ada yang berlaku dalam keadaan yang tidak logik dan tidak dapat hendak dihurai dan dijelaskan oleh akal. Bahkan banyak terkandung bukti di dalam sejarah Islam yang tidak dapat diungkai dan diberi penjelasan secara saintifik mahupun logik akal. Contoh, bilangan tentera Islam yang sedikit mampu menewaskan tentera musuh yang berjumlah ratusan ribu lebih daripada tentera Islam dengan kecanggihan peralatan dan kelengkapan tentera dan pengangkutan. Ini belum diambil kira sejarah para Nabi dan Rasul seperti Nabi Musa membelah laut, Nabi Ibrahim dilempar ke dalam api dan sebagainya yang ternyata mencarik adat dan di luar logik akal.

Perkara luar biasa dan mencarik adat ini atau di dalam bahasa Arab disebut 'Khawariqul 'Adah' ini sememang satu perkara yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita. Jika ia berlaku kpd Nabi dan Rasul maka ia dipanggil 'Mukjizat', jika ia berlaku kpd Wali Allah dan orang yg bertakwa ia dipanggil 'Karamah', jika ia berlaku kpd org kebiasaan ataupun org awam maka ia dipanggil 'Maunah', jika ia berlaku pada org kafir dan org fasik yg sudah pasti bukan krn ketakwaan mereka maka perkara mencarik adat itu dipanggil 'Sihir'. Namun istilah 'karamah' dan 'maunah' ini sering disalahertikan dan dimomokkan oleh sesetengah pihak yg takut umat Islam menjadikan perkara khawariqul adah ini sbg senjata mereka. Musuh2 Islam cukup takut akan bantuan Allah melalui saluran taqwa ini kerana itulah sumber kemenangan umat Islam terdahulu dalam memikul misi dakwah dan memerangi musuh-musuh Islam.

Oleh sbb itu kita meyakini bahawa tiada yang mustahil di sisi Allah dan sekiranya Dia berkehendak jadi maka jadilah sesuatu perkara itu. Cuma kita sbg Hamba Allah di dalam era sains dan teknologi ini cenderung utk melihat dan menilai sesuatu perkara itu dari sudut logik dan kajian saintifik. Lantaran kita telah dididik sedemikikan rupa melalui sistem sekular iaitu memisahkan Tuhan dgn urusan hidup seharian. Sbg contoh, bila berlaku tsunami atau tanah runtuh maka masing2 memberi pandangan bahawa berlaku rekahan pada tanah ataupun gegaran dan sebagainya, tidak ramai yg mahu tampil memberi tahu bahawa itu adalah peringatan drp Allah kpd hamba2Nya supaya sentiasa ingat kpd-Nya setiap saat dan dalam apa jua hal sekalipun. Walaupun kita ini bersekolah agama dan lulusan universiti Islam sekalipun, kita tetap sekular kerana tidak ada satu mata pelajaran kita sekalipun yg dikaitkan dengan Tuhan, dgn kebesaran Tuhan, dengan hikmah drpd Tuhan. Hatta ketika makan sekalipun, kita nyaris terpesong bila memikirkan bahawa nasilah yg mengenyangkan, panadol itu yg menyihatkan, sedangkan tanpa sedar kita telah berlaku syirik yakni syirik khafi (syirik kecil) kerana terlupa bhwa sesungguhnya Tuhan itulah yang mengenyangkan kita, menyembuh dan memberi kesihatan kpd tubuh badan kita sehari2.

Oleh yang demikian, kita haruslah berhati2 bila kita ditakdirkan bertembung dengan sesuatu yang luar biasa dan di luar logik akal kita. Firman Allah sesungguhnya Allah ialah Pembela bagi org2 yg bertaqwa. Tambah lagi sekiranya kita bertaqwa, maka kita akan didatangkan sumber atau bantuan drpd sumber yg x disangka2..! Jangan hanya pandai penampal dan menggantung frame ayat 1000 dinar tanpa memahami konsep taqwa itu sendiri. Kerana taqwa maka seorang tukang kebun bernama Mimar Sinan berjaya menjadi arkitek dan membina masjid biru di turki, Allah campakkan kpdnya ilmu yg tak disangka2 hasil ketakwaannya hingga mampu mebina peralatan anti gempa bumi di dalam masjid dan ruang mengambil wudhu yang mengeluarkan air secara automatik setiap kali tiba 5 waktu sembahyang (yang sudah dirosakkan oleh jurutera2 terkemudian hari krn ingin mengkaji rahsia tempat mengambil wudhu itu). Ia sama sekali tidak menyamai konsep sensor spt di masjid shah alam..! Jadi, kalau inginkan ilmu yang luarbiasa, pergiatkanlah usaha2 taqwa kita.


Seorang lelaki pernah bertanya kepada seorang alim, utk menguji keyakinan dan kepandaiannya melalui hujah logik akal ini. Satu ketika ketika orang alim itu sedang berwudhu, maka lelaki ini bertanya.

Lelaki : Kenapa kamu berwudhuk?
Orang Alim : Wudhu saya tadi terbatal kerana terkentut...
Lelaki : Aku pelik... Kamu kentut di punggung tapi kenapa kamu mencuci muka, tangan dan sebagainya tapi kamu tidak mencuci punggung tempat keluar kentut itu tadi?
Orang Alim : Ini adalah syariat dan arahan daripada Allah... Saya hanya taat kepada apa yang disuruh dan diperintah oleh Tuhan.
Lelaki : Kalau begitu saya rasakan agama kamu ini tidak benar. Arahan dan perintah itu tidak logik sama sekali. Yang menyebabkan batal wudhuk itu di belakang tapi kamu cuci di bahagian muka, tangan dan anggota lain...
Orang Alim : Apa yang benar itu tidak semestinya logik..!
Lelaki : Apa buktinya?
Orang Alim : Mari ikut saya...
Orang Alim membawa lelaki itu ke hadapan rumah dan berdiri di sebelah pintu. Orang Alim meletakkan tangan lelaki itu di tepi pintu dan menutup daun pintu dengan kuat sehingga lelaki itu menjerit kesakitan kerana tangannya tersepit di celah pintu itu..!
Lelaki : Aduh, sakitnya tangan aku..! Apa yang engkau buat? Cepat leppaskan tangan aku! Tolong..! Sakiitt..!!!
Orang Alim : Itu adalah jawapan saya untuk soalan kamu tadi... Logik atau tidak, tangan kamu yang sakit dan tersepit di pintu, tapi kenapa mulut kamu yang menjerit dan terpekik !?
Orang Alim terus meninggal lelaki itu yang terpinga-pinga dan tersipu-sipu menahan sakit di tangan tetapi dilepaskan oleh mulutnya itu..!


Di satu kisah dan scenario yang lain, seorang lelaki telah berkata kepada Orang Alim...
Lelaki :Tuhan kamu tidak adil..!
Orang Alim : Kenapa kamu berkata demikian?
Lelaki : Tuhan kamu menghukum manusia yang berbuat jahat dan juga syaitan di dalam neraka yang dibuat dari api. Manusia akan terseksa tetapi syaitan tidak..!
Orang Alim : Kenapa pula begitu?
Lelaki : Cubalah berfikir secara logik, manusia dicipta dari tanah, kalau dibakar dengan api memanglah sakit, melecur, hangus dan rentung! Akan tetapi syaitan itu dicipta daripada api, kalau dibakar dengan api, x rasa ape2lah dia nanti..!
Orang Alim : Bukan macam tu, Tuhan aku kata, baik manusia mahupun syaitan, kedua2nya akan merasa tersiksa bila dibakar dengan api...
Lelaki : Ah...x mungkin. Secara logiknya manusia yang diperbuat drpd tanah saja yg terseksa, tetapi tidak bagi syaitan yang diperbuat daripada api..!
Orang Alim : Kamu perlukan bukti ?
Lelaki : Ya, sekarang ini, semua perkara perlukan bukti dan penjelasan secara akal..!
Orang Alim tunduk dan mengambil sebiji batu bata kemudian membaling ke arah kepala lelaki itu sehingga lelaki itu terduduk menjerit kesakitan...
Lelaki : Aduuhh...!!! Sakitnya..! Kenapa pulak engkau membaling aku dengan batu itu ?
Orang Alim : Secara logiknya manusia diperbuat daripada tanah, tapi kenapa pula bila dibaling dengan batu bata tanah liat yang keras ini maka kamu menjerit kesakitan? Jadi tak semua yang logik itu benar, Kalau ikut logik akal, manusia diperbuat daripada tanah sepatutnya tak kan merasa sakit kalau terkena dengan bahan yang diperbuat daripada tanah juga..! Tapi hasilnya tadi sakit atau tidak ?
Lelaki : Sakit... sakit... sangat sakit..!
Orang Alim : Menjawan persoalan atau tidak..?
Lelaki : Sudah.. dah terjawab dah...!
Orang Alim terus berlalu meninggalkan orang lelaki yang sedang memegang fizikal kepalanya yang benjol kerana terkena batu dan akal dan hatinya yang benjol kerana terdidik dengan ilmu hikmah di luar logik akal orang alim itu tadi...

Moga-moga kita mampu mengusaha dan mempertingkatkan taqwa sehingga Tuhan limpahkan rezeki dan ilmu-ilmu hikmah daripada sumber yang tidak disangka-sangka... Moga lahir generasi ilmuan dan penyambung perjuangan akhir zaman seperti para sahabat, para tabi'in dan tabi' tabi'in serta pejuang kebenaran yang pernah melakar sejarah membina empayar ruh dan tamadun rohani selari dengan pembangunan ekonomi dan tamadun lahiriah negara seperti di zaman kegemilangan Islam yang berjaya menguasai 2/3 dunia satu ketika dahulu.

Wednesday, July 29, 2009

Bila Merajuk Jadi Budaya...

Merajuk telah menjadi budaya manusia

Budaya yang sama-sama manusia tidak mahu

Tapi sama-sama membudayakannya

Budaya merajuk itulah yang menyusahkan manusia

Yang menjadi racun di dalam keluarga dan di dalam pergaulan mereka


Banyak kerja terhalang, tidak kurang kerja terbengkalai dibuatnya

Banyak kerja tidak sempurna, diganggu oleh budaya merajuk

Buat itu tak kena, buat ini tak kena, serba terganggu, merajuk menghantui perasaannya,

Setengah jiwa yang terlalu lemah, jiwanya merana...


Budaya merajuk ini berlaku setiap hari,

Di dalam rumahtangga, di tempat kerja, di dalam parti.

Bahkan lebih sedih, di rumah Allah berlaku juga.

Tidak ada akta dan peraturan yang boleh membendungnya

Justerulah akta dan undang-undang tidak dilagang.

Penyakit merajuk ini dia serang tidak pilih orang.

Semua golongan bisa diserang.


Budaya merajuk ini mudah saja terjadi

Suami lambat balik pun isteri masam muka, hilang manisnya

Layanan kepada suami pun dingin sahaja,

Belum lagi suami berkahwin dua !

Merasakan diri tidak dihormati, pertengkaran pun terjadi, adakalanya sampai mati!

Suami pula terpelengok, pun merajuk sakit hati, sebagai tindakbalas terhadap isteri...


Ibu bapa pun selalu merajuk, tersinggung dek anak-anak yang berbagai kerenah

Anak-anak lambat ziarah atau lambat menerima surat atau memberi pendapat

Tidak senang sahaja, marah-marah sahaja, merungut-rungut dan membebel tidak tentu hala

Apabila anak-anak balik kerut mukanya, bila ditanya diam sahaja,

Tidak kurang juga ada yang menyergah macam singa!


Di pejabat-pejabat ada staf-staf merungut tidak habis-habis

Merasakan tertekan oleh majikan, kerana terlalu banyak kerja

Atau gaji tidak seimbang dengan kerja, majikan tidak dihormati lagi

Di belakang dikata-kata dan dihina, ada yang terus lari dari kerja

Majikan pula susah hati, merajuk pula, marah-marah kepada staf-stafnya

Adakalanya nafsu gagal dikontrol, maki hamun semahu-mahunya


Merajuk juga berlaku di dalam parti

Setelah jatuh dari jawatan parti oleh undi, tenaga dan pengorbanan dibekukan

Kalau dulu aktif, sekarang pasif. Dahulu cergas, sekarang culas.

Tidak terlantik di dalam pencalonan

Atau digugur di dalam jawatan parti atau barisan pentadbiran

Hati sakit, merajuk pula. Muka pun tidak nampak lagi, membawa diri

Entah mana perginya, kalau mati ada kuburnya

Bila mati barulah media massa membuat berita

Setelah lama menghilang diri dari gelanggang masyarakatnya


Di masjid pun berlaku budaya merajuk

Waktu jadi imam, di masjid setiap waktu, ibarat merpati masjid

Tidak lekang-lekang di masjid, macam rumahnya

Bila jawatan diganti orang, masjid tidak nampak lagi

Bahkan waktu sembahyang pun dia tidak muncul-muncul lagi

Hanya kelihatan pada hari Jumaat, itupun duduk di tepi-tepi

Mukanya masam tidak berseri

Habis sahaja sembahyang tidak sempat sembahyang sunat

Cepat-cepat cabut pergi..!

Orang ramai hairan semua memerhati

Pada tok imam pun boleh berlaku, kata setiap hati...

Marilah kita servis hati di bengkel rohani...

Thursday, May 28, 2009

Pemimpin Bukan Wakil Rakyat Tetapi Wakil Tuhan

Nabi Musa a.s. merupakan salah seorang rasul yang memiliki darjat Ulul Azmi. Darjat Ulul Azmi ini hanya dikurniakan oleh Allah SWT kepada rasul-rasul-Nya yang sangat sabar dengan kerenah atau ragam umatnya.Nabi Musa a.s. sebelum mencapai darjat tersebut telah dianugerahkan oleh Allah SWT satu pengalaman dan sekaligus menjadi pengajaran untuk bagaimana hendak bersabar menghadapi kaumnya.Nabi Musa a.s. pernah diberi pengalaman sebagai seorang pengikut kepada Nabi Khidir a.s. Pengalaman tersebut sengaja Allah SWT lakukan kepada Nabi Musa a.s. Melalui pengalaman itu, Nabi Musa a.s. difahamkan oleh Allah SWT tentang betapa sukar dan susahnya seorang pengikut itu hendak memahami kemahuan dan kehendak seorang pemimpin,lebih-lebih lagi paling sukar ialah hendak berlaku taat kepada pemimpin.


Apabila Nabi Musa a.s. menjadi “pengikut” kepada Nabi Khidir, syarat utama yang diberikan ialah jangan persoalkan tindakan pemimpin. Ertinya pengikut jangan persoalkan apa saja keputusan, rancangan dan tindak-tanduk pemimpin terutamanya dalam aspek yang tidak difahami. Seorang pemimpin sejati yang dipimpin oleh Allah SWT, ideanya, keputusan,perancangan dan tindak-tanduknya adalah tepat dan selaras dengan kehendak Allah SWT.

Itulah ertinya pemimpin yang dipimpin oleh Allah SWT. Pada diri pemimpin itu dikurniakan ilham dan juga dilimpahkan oleh Allah SWT hikmah yang tidak terhingga. Pemimpin saja yang dapat menyelami berbagai hikmah di sebalik sesuatu perkara.

Bagi pengikut pula, mereka jangan mudah mempersoalkan pemimpin. Janganlah kerana ada sesuatu yang kita tidak faham atau sesuatu yang akal tidak dapat mencapainya, lantas mempersoalkannya, lebih-lebih lagilah tidak boleh memprotesnya.Melainkan perlu yakin dan taat saja. Ketaatan itu bukannya satu kesalahan bahkan sangat dituntut. Ini bagi memudahkan seorang pemimpin mengendalikan urusan dan perancangan untuk pengikut. Tentulah akan banyak gangguan apabila pengikut asyik mempersoalkan dan memprotes sesuatu yang datangnya dari pemimpin.

Pengalaman dengan Nabi Khidir itu telah menjadikan Nabi Musa a.s. dapat menyelami dan memahami sikap seorang pengikut. Mulai saat kegagalan dirinya sebagai pengikut yang tidak boleh tahan dengan tindak-tanduk Nabi Khidir a.s. sebagai pemimpinnya, maka Nabi Musa a.s. sangat bersabar terhadap umatnya. Dari sudut kewajaran, memanglah pengikut mesti taat dan menurut saja kepimpinan seseorang pemimpin.

Dari segi teorinya,begitulah yang sepatutnya dan yang sebaiknya. Namun dalam realitinya, para pengikut tidak mudah untuk taat setia. Kerana untuk berlaku taat, pengikut perlu terlebih dahulu menundukkan nafsunya sendiri terutama sifat egonya.Sangat sedikit di kalangan pengikut ini yang dapat tembus pemahamannya terhadap pemimpin. Lantaran tidak faham dan juga tidak taat pula maka tercetuslah berbagai kontra dan perbezaan pendapat dan pandangan. Maka dari situlah Nabi Musa a.s. menetapkan satu pendirian bahawa selaku pemimpin umat maka dirinya perlu memiliki sifat sabar yang tinggi.Di atas kesabaran Nabi Musa a.s. terhadap kaumnya itulah maka Nabi Musa a.s. mencapai darjat Ulul Azmi.

Nabi Musa a.s. berhadapan dengan Firaun yang kejam. Ancaman keras dan zalim Firaun itu memaksa Nabi Musa a.s. melarikan diri dari bumi Mesir. Nabi Musa a.s. bersembunyi dan mendapat perlindungan Nabi Shuib a.s. di daerah Madyan. Apabila Nabi Musa a.s. kembali ke bumi Firaun, ketika itu bukan sahaja menghadapi ancaman Firaun, Hamman wazir Firaun dan juga Qarun, tetapi juga menghadapi kaumnya Bani Israil yang terkenal degil dan keras kepala. Bani Israil ini seringkali memperlecehkan dan mempermainkan Nabi Musa a.s.

Apabila datang larangan supaya tidak menangkap ikan hari Sabtu, Bani Israil ini sengaja melanggar larangan tersebut malah mempermainkannya. Mereka memasang pukat pada hari Jumaat. Apabila mereka mengangkat pukat pada Hari Sabtu, mereka dengan mudah memberi alasan bahawa ikan itu telah memasuki pukat pada Hari Jumaat, cuma mereka mengangkatnya pada hari Sabtu.

Begitu juga dengan peristiwa lembu betina (Al Baqarah) yang menjadi salah satu surah dalam Al-Quran. Mereka mempertanyakan lembu yang hendak dipilih itu atas maksud mempermain-mainkan Nabi Musa a.s. dan memperlihatkan kedegilan mereka. Dalam tempoh yang singkat saja Nabi Musa a.s. menaiki Thur Sina untuk bermunajat kepada Allah SWT,sekembalinya dari munajat itu sebahagian pengikutnya sudah berpaling menjadi penyembah berhala.

Ragam umat yang bermacam-macam inilah memerlukan sifat sabar seorang pemimpin. Pemimpin yang sabar saja yang bakal berjaya memimpin umat. Kesabaran itu pula hanya akan diperolehi dengan bantuan Allah SWT. Maka pemimpin itu perlu sedar bahawa Allah SWT pilih dirinya menjadi pemimpin itu semata-mata sebagai wakil Allah SWT. Wakil Allah SWT ertinya membuat kerja-kerja bagi pihak Allah SWT. Dirinya hanyalah sekadar salah seorang dari hamba Allah SWT, dan tidak lebih dari itu. Siapanya manusia ini, semuanya adalah hamba ciptaan Allah SWT. Di sisi Allah SWT tiada sebarang perbezaan. Hanya yang membezakan dirinya dengan manusia lain ialah pada fungsi, amanah, tanggungjawab dan tugas.

Pemimpin adalah hamba Allah SWT yang diberi peranan dan tanggungjawab untuk memimpin hamba Allah SWT yang lain. Peranan dan tanggungjawab itu perlu dilaksanakan bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Allah SWT jualah yang akan menyempurnakan urusan kepimpinan itu.

Apabila seseorang pemimpin itu hilang kesabarannya maka dengan sendiri dia sudah cuba memesongkan peranan pemimpin sebagai wakil Allah SWT kepada mewakili dirinya sendiri. Dalam keadaan itu maka bantuan Allah SWT sudah terputus. Maka kepimpinannya gagal dan manusia tidak terpimpin. Jadi pilihlah pemimpin sebaik-baiknya...

Monday, May 11, 2009

Bukan Senang Nak Jadi Pemimpin

Kalau kita lihat sejarah para rasul, walaupun rasul-rasul itu punya kekuatan, hanya tiga orang rasul saja yang memerintah. Mereka ialah Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Rasulullah SAW. Rasul-rasul yang lain tidak memerintah. Mereka cuma memimpin tapi tidak memerintah. Itu Rasul, belum lagi nabi-nabi yang diutuskan. Para nabi diberi wahyu tetapi cukup untuk diri dia sahaja dan bukan untuk disampaikan berbeza dengan peranan rasul yang perlu menyampaikan wahyu itu dan memimpin umatnya.

Peliknya, mengapa kita berjuang, ghairah sangat hendak memerintah? Padahal para nabi yang mana nabi itu orangnya luar biasa, bukan saja memerintah, kalau dia tidak memimpin orang pun tidak menjadi satu kesalahan. Cukup dia menjaga dirinya sahaja. Maksudnya, hendak pimpin orang bukan senang. Mesti ada satu keistimewaan khususiah yang Allah bagi pada orang itu. Di sini kita hendak bawakan suatu cerita. Cerita ini semua orang tahu, iaitu cerita Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s. Tapi hikmahnya banyak orang tidak tahu. Cerita ini sama ada diceritakan dalam kitab mahupun disampaikan oleh tok-tok guru, hanya dikatakan Allah hendak beritahu pada Nabi Musa bahawa ada orang yang lebih alim dari dia. Itu kupasan dan ulasan yang biasa kita dengar.

Tapi di sini yang hendak diceritakan adalah satu kupasan baru yang lebih penting lagi daripada kupasan yang di atas. Seperti yang kita sedia maklum, Nabi Musa bertaraf rasul dan Nabi Khidir bertaraf nabi, masing-masing memikul peranan yang berbeza. Maka Allah SWT telah pertemukan Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s. untuk memberi ilmu kepada kita di akhir zaman ini, dan Allah telah tukar peranan masing-masing. Seolah-olah Allah berkata, Hai Musa engkau pemimpin, sekarang Aku tukar kedudukan engkau jadi pengikut. Tiga hari saja. Nak tengok, berjaya tak jadi pengikut. Seolah-olah Allah bercakap pada Nabi Khidir, Hai Khidir, kamu bukan pemimpin, tapi kali ini aku nak lantik engkau jadi pemimpin tiga hari saja. Berjaya tak?

Jadi bila ditemukan Nabi Musa dan Nabi Khidir, Nabi Musa pun ikutlah Nabi Khidir. Nabi Khidir yang kini jadi pemimpin berkata, Kalau nak ikut aku, jangan banyak cakap, ikut saja. Kalau banyak tanya nanti berpisahlah kita.

Jadi, mereka pun mula berjalan lalu berlakulah episod pertama. Terjadilah hal yang pelik. Nabi Khidir memecahkan perahu. Nabi Musa tidak tahan, dia tidak boleh terima dan bertanya, sedangkan dia sudah berjanji tidak akan bertanya. Nabi Khidir pun mengingatkan, Bukankah aku cakap jangan tanya, nanti berpisah kita. Nabi Musa meminta maaf dan Nabi Khidir pun memberi peluang lagi kepada Nabi Musa mengikutinya.

Berjalan lagi, jumpa peristiwa pelik kedua. Nabi Khidir bunuh budak. Nampak macam melanggar syariat. Nabi Musa tidak tahan, dia bertanya lagi mempersoalkan pemimpinnya. Sekali lagi dia diingatkan oleh Nabi Khidir akan janjinya. Kali ketiga berlaku lagi. Nabi Khidir pun memutuskan untuk berpisah.

Apa yang kita faham, bila bertukar peranan, kedua-duanya gagal. Pemimpin gagal, pengikut pun gagal. Pengikut tidak sanggup taat. Yang pemimpin pula, kerana dia hanya seorang nabi, Allah tidak kuatkan dia seperti rasul. Sebagai seorang pemimpin sepatutnya perlu bersabar dalam mendidik dan berhadapan dengan karenah anak buah. Itulah keistimewaannya. Sebab itulah rasul-rasul yang dapat ulul azmi adalah mereka yang paling sabar.

Jadi apa yang kita faham, seorang itu walaupun bukan rasul, tapi dia bertaraf mujaddid yang ditunjuk oleh Allah, maka Allah akan bekalkan kesabaran yang luar biasa kepadanya. Orang lain tidak boleh buat dan tidak akan tahan. Begitu juga hendak jadi pengikut pada seorang pemimpin yang sebenar, bukan senang hendak taat. Nampak lain sikit, sudah mula hendak persoalkan. Ada perkara yang pelik sikit, dia rasa itu tidak betul. Seolah-olah dia lebih pandai dari pemimpin.

Antara pemimpin dengan pengikut, Allah bagi jarak ilmu yang terlalu jauh. Jadi pengikut juga perlu sabar untuk taat. Cuba tengok Nabi Khidir, atas dasar ilmu dia layak jadi pemimpin, tapi atas dasar ketabahan hati dia tidak layak. Sebab itu, jika kita lihat Nabi Adam selepas dia dibuang ke bumi dan bertaubat dengan bersujud selama 40 tahun sampai pokok tumbuh besar di kelilingnya, pun tidak dapat gelaran Ulul Azmi. Mengapa? Dia sujud itu bukan memimpin. Itu antara dia dengan Tuhan sahaja. Dengan Tuhan dia rasa lazat, tapi cuba pimpin manusia dengan bermacam-macam ragam, susah dalam berhadapan dengan musuh, berhadapan dengan kerenah anak buah. Ini bukan sesuatu yang senang untuk dihadapi. Nabi Musa sampai tersesat di padang pasir 40 tahun lamanya kerana memimpin Bani Israil, barulah beliau mendapat darjat Ulul Azmi.

Jadi setiap orang kenalah redha dengan kedudukan masing-masing. Mungkin keupayaan yang dikurniakan oleh Allah itulah merupakan saluran untuk kita berbuat kebaktian. Oleh itu janganlah kecil hati dan bersyukurlah Allah tidak pilih kita jadi pemimpin kerana ditakuti kita tidak layak. Bila tidak layak tapi ingin juga memimpin, ia boleh menjadi punca kerosakan yang besar kepada manusia. Moga kita sentiasa mendapat petunjuk dan pimpinan Allah sentiasa.

Thursday, April 9, 2009

Pemimpin Naik dan Turun


Enam muka baru jadi menteri :

Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Menteri Wilayah Persekutuan), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (Menteri Kewangan Kedua), Datuk Kong Cho Ha (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan)Datuk Jamil Khir Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (HAl Ehwal Agama Islam)) dan Datuk Anifah Aman (Menteri Luar).

Lapan muka lama digugurkan :

Datuk Seri Syed Hamid Albar (Menteri Dalam Negeri), Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamad (Menteri Kerja Raya), Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Zulhasnan Rafique (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Amrisham A.Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) , Datuk Shahrir Abdul Samad (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Ong Ka Chuan (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Azalina Othman Said (Menteri Pelancongan)


SENARAI PENUH KABINET BARU KERAJAAN MALAYSIA

(3.00 p.m. 9 April 2009)

PERDANA MENTERI : Datuk Seri Najib Tun Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI: Tan Sri Muhyiddin Yassin

JABATAN PERDANA MENTERI:

Menteri:

1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)

2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)

3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)

4. Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)

Timbalan Menteri:

1. Datuk Liew Vui Keong

2. Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

3. Datuk S.K. Devamany

4. Ahmad Maslan

5. T. Murugiah

KEMENTERIAN KEWANGAN:

Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak

Menteri II: Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Timbalan Menteri:

1. Datuk Chor Chee Heung

2. Datuk Dr. Awang Adek Hussin

KEMENTERIAN PELAJARAN:

Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Menteri:

1. Datuk Dr Wee Ka Siong

2. Dr. Mohd Puad Zarkashi

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN:

Menteri: Datuk Ong Tee Keat

Timbalan Menteri:

1. Datuk Abdul Rahim Bakri

2. Datuk Robert Lau Hoi Chew

KEMENTERIAN PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:

Menteri: Tan Sri Bernard Dompok

Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainudin

KEMENTERIAN DALAM NEGERI:

Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan Menteri:

1. Datuk Wira Abu Seman Yusop

2. Jelaing anak Mersat

KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:

Menteri: Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim

Timbalan Menteri:

1. Datuk Joseph Salang Gandum

2. Senator Heng Seai Kie

KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:

Menteri: Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan Menteri: Noriah Kasnon

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:

Menteri: Datuk Seri Shafie Apdal

Timbalan Menteri:

1. Datuk Hassan Malek

2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI:

Menteri: Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Timbalan Menteri:

1. Datuk Dr. Hou Kok Chung

2. Datuk Saifuddin Abdullah

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:

Menteri: Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan Menteri:

1. Datuk Mukhriz Mahathir

2. Datuk Jacob Dungau Sagan

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:

Menteri: Datuk Dr. Maximus Ongkili

Timbalan Menteri: Fadillah Yusof

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:

Menteri: Datuk Douglas Uggah Embas

Timbalan Menteri: Tan Sri Joseph Kurup

KEMENTERIAN PELANCONGAN:

Menteri: Datuk Ng Yen Yen

Timbalan Menteri: Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:

Menteri: Datuk Noh Omar

Timbalan Menteri:

1. Datuk Johari Baharum

2. Datuk Rohani Abdul Karim

KEMENTERIAN PERTAHANAN:

Menteri: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Menteri: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

KEMENTERIAN KERJA RAYA:

Menteri: Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan Menteri: Datuk Yong Khoon Seng

KEMENTERIAN KESIHATAN:

Menteri: Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN:

Menteri: Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan Menteri:

1. Datuk Razali Ibrahim

2. Wee Jeck Seng

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA:

Menteri: Datuk Dr S.Subramaniam

Timbalan: Datuk Maznah Mazlan

KEMENTEIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:

Menteri: Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan Menteri: Datuk Tan Lian Hoe

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:

Menteri: Datuk Kong Cho Ha

Timbalan Menteri: Datuk Lajim Ukin

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:

Menteri: Datuk Seri Sharizat Jalil

Timbalan Menteri: Datin Paduka Chew Mei Fun

KEMENTERIAN LUAR:

Menteri: Datuk Anifah Aman

Timbalan Menteri:

1. A. Kohilan Pillay

2. Datuk Lee Chee Leong

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN:

Menteri: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Timbalan Menteri: Datuk M. Saravanan

______________________________________________________

PANDUAN UNTUK MENJADI PEMIMPIN

(ringkasan Modul Kursus Motivasi Kepimpinan di dalam Islam)

MODUL 1 - KATEGORI MANUSIA

  1. Manusia yang jahil tentang diri sendiri hingga tidak mengenali dirinya adalah hamba yang diciptakan oleh Allah SWT
  2. Manusia yang tidak tahu dirinya sebagai khalifah Allah SWT
  3. Perbahasan sifat-sifat manusia sebagai hamba dan khalifah.
  4. Siapa yang paling layak memimpin umat manusia.
  5. Perbezaan di antara nabi dan rasul dalam kategori kepimpinan.

MODUL 2 - BAIK TIANG-TIANG SERI MASYARAKAT, BAIKLAH MASYARAKAT

  1. Kejahatan masyarakat mendatangkan kesusahan kepada semua pihak samada secara langsung ataupun tidak.
  2. Masyarakat sahaja yang seringkali dipersalahkan.
  3. Sebahagian besar kerosakan masyarakat adalah sumbangan pemimpin.
  4. Para pemimpin hendaklah menjadi kayu yang lurus yang akan membentuk bayangnya (masyarakat) menjadi lurus.

MODUL 3 - BAGAIMANA ORANG JAHAT MEMIMPIN ORANG JAHAT

  1. Apabila manusia tidak merasai kehambaan serta tiada rasa bertuhan maka mazmumah akan menguasai hati.
  2. Mazmumah adalah punca segala kejahatan.
  3. Apa akan terjadi apabila orang jahat memimpin orang baik.
  4. Apa akan terjadi apabila orang jahat memimpin orang jahat.
  5. Golongan yang berperanan dalam bidang kepipmpinan hendaklah lebih baik.

MODUL 4 - TANGGUNGJAWAB PEMIMPIN ISLAM

  1. Pemimpin umum menguasai perlbagai bidang, pemimpin khusus menguasai satu bidang sahaja.
  2. Pemimpin akan dipersoalkan tentang agama dan akhlak masyarakat yang dipimpinnya.
  3. Agama dan akhlak mesti dimiliki oleh semua manusia.
  4. Kepatuhan kepada agama dan akhlak boleh mendisiplinkan manusia.
  5. Pemimpin mesti mampu memimpin diri dan mengekang nafsu.
MODUL 5 - SEBAB KEMENANGAN DAN KEJAYAAN SESUATU BANGSA
  1. Kejayaan kerana taqwa.
  2. Kejayaan kerana berkat
  3. Kejayaan kerana kekuatan
  4. Kejayaan kerana istidraj (moga dijauhkan Tuhan)
Ringkasan modul disediakan oleh Pusat Motivasi Fathusshudur, Rawang, Selangor.

Maklumat lanjut untuk sebarang pengisian berbentuk motivasi, kuliah, ceramah, forum, seminar, khemah ibadah, fardhu ain, summer camp, latihan kepimpinan, latihan korporat, kursus smart solat, kursus rumahtangga super, hari keluarga, konsert teater muzikal Islam dan lain-lain bentuk pengisian dan acara,
sila hubungi : 013-2545389 / 013-2545398 / 012-3213747
atau email kepada : fathusshudur@yahoo.com
laman web : http://fathusshudur.carbonmade.com

Fathus Shudur... Pembuka Hati...

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...