Friday, April 30, 2010

Wasiat Buat Isteri

Wasiat Untuk Isteri Tersayang ~ Kisah Benar Untuk Renungan Kite Bersama (Thanx to Berita Harian Online)

Kira-Kira 15 hari yang lalu, seorang hamba Allah (si A), telah pun kembali ke rahmatullah secara mengejut (kerana sakit jantung). Allahyarham adalah merupakan seorang yang amat dihormati dan disegani di kampung beliau.

Semasa jenazah Allahyarham diletakkan di ruangtamu rumahnya sementara menunggu untuk diuruskan oleh saudara mara dan sahabat handai, isteri Allahyarham tidak berhenti-henti meratapi jenazahnya sambil merungut-rungut.

Si penulis (penulis asal cerita ini) yang kebetulan anak saudara Allahyarham, ada di sebelah balu Allahyarham pada ketika itu. Beliau merasa amat hairan dengan sikap balu arwah itu. Si balu sepatutnya membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk dihadiahkan kepada arwah. Kira-kira 10 minit kemudian, kakak ipar arwah (kakak balunya)pun sampai.

Beliau turut merasa hairan dengan sikap adiknya yang meratapi dan merungut itu, lantas beliau melarang adiknya berbuat demikian sambil bertanya akan sebabnya.
Penulis yang masih berada disitu merasa amat terkejut apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh balu Allahyarham itu.

Antara jawapannya ialah: Suaminya tidak membuat surat wasiat (yang sebenarnya ada). Tanah pusaka milik suaminya tidak sempat ditukarkan ke nama beliau dan anak-anaknya. Suaminya tidak sempat memindahkan saham syarikat suaminya bersama-sama adik-adiknya kepada beliau (Allahyarham memegang saham sebanyak 50% dan 5 orang adik-adiknya memegang 10% setiap seorang).

Untuk makluman, arwah adalah seorang yang agak berjaya dalam perniagaannya. Syarikat yang diuruskan oleh arwah sangat maju dewasa ini. Di samping itu, arwah memiliki kira-kira 12 ekar tanah di pinggir Putrajaya dan kira-kira 50 ekar di sekitar kawasan Sepang/Dengkil.

Setelah seminggu arwah dikebumikan, peguam arwah memanggil waris-warisnya untuk dibacakan surat wasiat arwah. Penulis juga turut dipanggil tanpa mengetahui akan sebabnya. Allahyarham mempunyai 4 orang anak, yang sulong masih lagi bersekolah di tingkatan 4 manakala yang bongsunya berusia 6 tahun.

Antara kandungan surat wasiat Allahyarham ialah: 30% syer perniagaannya diserahkan kepada anak saudara perempuannya yang juga ahli perniagaan, dan 20% lagi diagihkan sama rata kepada anak-anaknya dengan anak saudara perempuannya sebagai pemegang amanah.

Tanah pusakanya seluas 10 ekar di pinggir Putrajaya dibahagikan sama rata kepada anak-anak perempuannya (2 orang) dan 2 ekar untuk anak saudara lelakinya yang juga pemegang amanah untuk anak-anak perempuannya.


Anak-anak lelakinya yang berumur 14 dan 10 tahun, diberikan tanah 15 ekar seorang dengan saudara lelakinya sebagai pemegang amanah. Saham-sahamnya diserahkan kepada anak-anaknya dan dibahagikan mengikut hukum syarak, dan diuruskan oleh saudara perempuannya yang diberi 20%.

Wang tunainya di bank (persendirian diamanahkan kepada kakaknya untuk menampung pembiayaan anak-anaknya jika isterinya tidak berkahwin lagi. Jika isterinya berkahwin lagi, beliau meminta peguamnya meminta mahkamah memberikan hak penjagaan anak-anaknya kepada kakaknya.

Rumah dan tapak rumahnya diwakafkan untuk anak-anak yatim Islam dan sebuah surau, dan hendaklah diserahkan kepada Majlis Agama Islam. Harta-hartanya yang lain iaitu 2 buah kereta diberikan kepada adik lelakinya yang ketiga dan kelima; manakala baki tanah 20 ekar dibahagikan sama rata kepada adik-adik dan kakaknya.

Setelah selesai wasiat tersebut dibaca, isterinya membantah keras kerana tiada satu pun harta yang diserahkan kepadanya melainkan sebuah proton saga yang tidak dimasukkan dalam wasiat tersebut (yang memang digunakan oleh isterinya). Belum sempat isterinya terus membantah, peguam Allahyarham membacakan satu kenyataan mengenai isterinya yang terkandung dalam wasiat itu.

‘Isteriku tidak akan kuberikan apa-apa kecuali pengampunan. Terlalu banyak dosanya kepadaku. Maka pengampunan adalah hadiah yang paling berharga.’

‘Tidak pernah aku merasa masakannya sejak mula berkahwin walaupun pernah aku suarakan. Tiada belas kasihan terhadap aku, baik semasa sakit apatah lagi jika aku sihat.’

‘Herdik dan tengking kepada aku dan anak-anak adalah lumrah.. Keluar rumah tidak pernah meminta kebenaran daripada aku. Makan dan minum anak-anak adalah tanggungjawab si pembantu rumah. Kain bajuku tidak pernah diuruskan, dan yang paling menyedihkan, tiada mahunya dia mendengar pandangan dan nasihatku untuk kesejahteraan rumahtangga.’

‘Kebahagiaan aku selama ini hanya dengan amalanku, tugas seharianku, anak-anakku dan adik-beradikku, terutama kakakku yang berperanan sebagai pengganti ibu.’

Selepas peguam Allahyarham membacakan kenyataan itu, barulah penulis faham mengapa balu Allahyarham begitu meratap dan merungut semasa berada di sisi jenazahnya.

Marilah kita renungi bersama. Semoga dengan apa yang terjadi di atas,akan memberikan satu pengajaran yang berguna kepada kita sebagai umat Islam..

- She should be thankful…... She got the forgiveness from her husband-

Wednesday, March 31, 2010

KISAH 5 PERKARA

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa ada satu kisah telah berlaku kepada seorang Nabi yang bukan Rasul yang telah menerima wahyu dalam bentuk mimpi yang hanya kedengaran suara. Maka Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam telah diperintahkan yang berbunyi, “Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke Barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya.”


Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke Barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, “Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan.” Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar sebuku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur “Alhamdulillah”.


Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah
Nabi itu, “Aku telah melaksanakan perintahmu.” Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.


Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, “Wahai Nabi Allah, tolonglah aku.” Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan disembunyikan ke dalam bajunya bertepatan dengan pesanan arahan dalam mimpinya yang ketiga, iaitu menyembunyikan. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, “Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.”


Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, “Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.”

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, “Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit akan tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi kecil bahkan lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”


Kelima-lima perkara di dalam kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, kerana kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Sememangnya di antara perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari berhadapan dengan situasi yang menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati, melakukan kebaikan samada disedari atau tidak, menerima arahan dan amanah, menunaikan hajat dan permintaan serta mengata perihal orang terutamanya keburukan orang lain.


Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, “Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.” Maka berkata Allah S.W.T., “"Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu.” Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata-ngata terutamanya perihal aib dan keburukan orang walaupun ia benar. Dan ingatlah sesungguhnya orang yang paling kuat itu ialah orang yang mampu menahan marah...

Sunday, February 21, 2010

Kelebihan Wanita Berbanding Lelaki

1. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis tersebut. lalu Baginda bertanya, “Adakah kamu menyembahyangkan mayat?” Jawab mereka,”Tidak” Sabda Baginda “Seeloknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat kaum orang lelaki.

2. Wanita yang memerah susu binatang dengan ‘Bismillah’ akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

3. Wanita yang menguli tepung gandum dengan ‘Bismillah’, Allah akan berkatkan rezekinya.

4. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah.

5. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi.”

6. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utas benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat.”

7. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat.”

8. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatit baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian.”

9. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya.”

10. Sabda Nabi s.a.w. : “Ya Fatimah setiap wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum kepadanya dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shiratul Mustaqim.”

11. Jika suami mengajarkan atau menerangkan kepada isterinya satu masalah agama atau dunia dia akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

12. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggu kedatangan suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

13. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

14. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

15. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggembirakan kamu, jika engkau memerintahnya ia mentaati perintah tersebut dan jika engkau bermusafir dia menjaga harta engkau dan dirinya. Maksud hadis: Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah.


Friday, January 8, 2010

Panduan Hijrah

Sayidina Umar Al Khattab, ketika menjadi khalifah, ditabalkannya bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam senarai bulan-bulan Islam, serta dirayakan sebagai bulan untuk tahun baru Islam. Sunnah ini walaupun tidak berlaku sejak Nabi Adam hingga ke zaman Nabi Muhammad, tapi demi kebesaran Rasulullah berhijrah, sunnah ini diambil pakai oleh seluruh umat Islam sedunia, hingga ke hari ini. Setiap 1 Muharram dunia Islam merayakan sambutan tahun baru ini. Dengan mengambil ruh hijrah sebagai temanya. Terima kasih Sayidina Umar kerana besarnya jasamu.

Hijrah di segi bahasa bererti berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Manakala menurut perspektif Islam pengertiannya lebih luas daripada itu. Hijrah ertinya ialah mengubah sikap-sikap negatif yang lahir mahupun yang batin kepada sikap-sikap positif lahir dan batin. Memahami dan menghayati maksud hijrah inilah maka para rasul dan orang-orang mukmin telah berjuang sesungguh hati untuk mengubah diri dan para pengikut daripada seluruh sikap-sikap negatif lahir dan batin kepada seluruh sikap-sikap positif yang lahir dan batin.

Perjuangan untuk hijrah ini sesungguhnya adalah perjuangan maha berat dan besar. Ini merujuk pada perkataan Rasulullah SAW kepada sahabat sekembalinya mereka daripada Perang Badar:

“Sesungguhnya kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan besar.”

Sahabat bertanya, “Peperangan apa Ya Rasulullah.”

Rasulullah bersabda, “Peperangan melawan hawa nafsu.”

Ini bererti, hijrah dan perubahan itu bukan sekadar perubahan sikap yang lahir dan luaran sahaja tetapi termasuk juga sikap yang bersifat rohani dan batiniyah. Penghayatan hijrah itu bukan sekadar di mulut ataupun perubahan secara fizikal, tetapi perubahan fikiran, tindakan, pertuturan, akhlak dan hati. Juga perubahan dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah, hijrah daripada perkara yang didorong dan disukai oleh nafsu kepada perkara yang menyakitkan nafsu. Ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Daripada pemarah kepada penyabar, daripada pendendam kepada pemaaf, daripada sombong kepada rendah diri, daripada mementingkan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain, daripada kedekut dan tamak kepada pemurah dan baik hati, daripada zalim kepada membela nasib orang yang memerlukan, daripada lupakan Tuhan kepada kenal, cinta dan takutkan Tuhan.

Untuk memenangi peperangan ini Rasulullah sendiri mengambil ¾ daripada masa hidup mereka. Ini adalah kerana ia adalah terlalu sulit dan susah. Kemenangan batin inilah yang membawa kepada kemenangan lahir. Namun akhirnya para kekasih Allah dan pengikutnya dijanjikan Allah, dapat memenangi hawa nafsu dan syaitan-syaitan mereka. Mereka benar-benar dapat mengubah seluruh lahir dan batin yang negatif kepada seluruh sifat positif lahir dan batin.

Maka di hari dan detik berlaku dan sempurnanya penghijrahan itulah, maka Allah pun menunaikan janji-Nya kepada manusia pilihannya yakni terjadinya mukjizat-mukjizat besar dalam sejarah Islam dan para Nabi terdahulu. Aneh juga mengapa Allah memilih untuk melakukan sejarah yang menggemparkan, pelik, tidak logik serta tidak masuk akal ini di bulan Muharram. Memang terdapat juga kemenangan rahmat itu ditakdirkan di bulan-bulan lain seperti Ramadhan tetapi kebanyakan sejarah dan kisah yang popular dan tercatat di dalam sirah para anbiya' ini terjadi di bulan Muharram. Agung dan maha berkatnya bulan ini, marilah kita merebutnya.

Kita umat Islam seluruh dunia hari ini sedang amat memerlukan berlakunya janji Tuhan seperti terjadinya kepada kaum-kaum dan umat terdahulu. Kita semua adalah hamba-hamba-Nya dan pasti kita juga akan beroleh pertolongan sedemikian rupa sekiranya kita menepati syarat dan mampu mengharungi ujian sepertimana para rasul dan pengikut mereka dahulu. Selaku umat Islam, sepatutnya kita berlumba-lumba untuk mengulangi sejarah agar kita juga dapat menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad yang berjaya di dunia dan akhirat. Namun kita terlebih dahulu perlu mematuhi syarat-syaratnya. Marilah kita ulangi sejarah hijrahnya umat Islam terdahulu daripada seluruh sifat-sifat jahat kepada sifat-sifat yang baik.

Di antara syarat itu ialah:

1. Hijrah daripada tidak kenal kepada kenalkan Tuhan.
2. Hijrah daripada tidak takut dan tidak cinta Allah kepada bertaqwa.
3. Hijrah daripada tidak kenal syariat kepada kenal syariat Tuhan.
4. Hijrah daripada tidak mengamalkan syariat kepada mengamalkannya.
5. Hijrah daripada tidak berkasih sayang atau benci membenci kepada berkasih sayang.
6. Hijrah daripada tidak bekerjasama kepada kerjasama.
7. Hijrah daripada kemungkaran dan kejahatan kepada kebajikan dan kebaikan.
8. Hijrah daripada zalim kepada adil.
9. Hijrah daripada sombong kepada merendah diri.
10. Hijrah daripada bakhil kepada pemurah.
11. Hijrah daripada bangsa yang tamak kepada pemurah.
12. Hijrah daripada bangsa yang tidak maaf bermaaf kepada maaf memaafkan.
13. Hijrah daripada bangsa yang berpecah-belah kepada bersatu.
14. Hijrah daripada bangsa yang menipu kepada jujur.
15. Hijrah daripada yang khianat kepada yang amanah.
16. Hijrah daripada yang jahil kepada berilmu.
17. Hijrah daripada yang terkenang-kenangkan dunia kepada terkenang-kenangkan Akhirat.
18. Hijrah daripada bersangka jahat kepada bersangka baik.
19. Hijrah daripada menurutkan nafsu kepada menurut perintah Allah.
20. Hijrah daripada mementingkan diri kepada mementingkan orang lain.
21. Hijrah daripada cinta dunia kepada cinta Akhirat.
22. Hijrah daripada susah dengan hal-hal dunia kepada susahkan hal-hal Akhirat.
23. Hijrah daripada perjuangkan dunia kepada perjuangkan Tuhan.


Selain dari perlunya berlaku penghijrahan seperti yang dinyatakan di atas, umat Islam secara umumnya juga perlu melakukan hijrah dalam aspek sikap iaitu membuang yang negatif dan sebaliknya menyuburkan sikap yang positif. Mengikis sifat pesimis sebaliknya diganti dengan sifat optimis, malas kepada rajin dan kecewa kepada tidak mudah putus asa.

Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk kita beribadah dan mentaati Allah, maka perlu pula kita berusaha untuk meningkatkan taraf hidup umat Islam sendiri. Setiap yang melata di bumi Allah telah disediakan rezeki baginya. Cacing di celah batu lagi kan hidup, inikan pula manusia yang telah dikurniakan kelebihan akal fikiran olah Allah dan dapat berusaha dengan lebih sempurna untuk memburu rezeki tersebut.

Kemajuan dan pembangunan umat juga perlu sentiasa dikembangkan. Kalaupun tidak lebih maju sekurang-kurangnya setaraf dengan kemajuan bangsa-bangsa lain. Ini bertujuan agar umat ini benar-benar berdikari tanpa bersandar kepada orang lain.

Kegawatan ekonomi yang pernah berlaku juga memberi pengalaman perit kepada kita sepertimana isu berkaitan dengan harga makanan import. Itu dalam keadaan di mana pembekal makanan luar tidak menyekat sumber makanan. Haya kosnya meningkat lantaran kejatuhan nilai ringgit. Bagaimanakah kesnya andai kata mereka memusuhi kita dan menyekat bekalan makanan seperti di Iraq, Libya dan Afghanistan. Justeru kita juga perlu berhijrah dari terlalu banyak bergantung kepada pihak luar ke arah lebih berdikari. Usaha para peniaga dan usahawan bumiputra untuk bergiat dalam bidang perniagaan, penternakan dan pertanian harus dipuji dan disokong oleh semua pihak.,

Kalau kita selaku umat Islam ingin benar-benar berhijrah, sekiranya kita mahu benar-benar memperjuangkannya, nescaya Allah tidak akan sia-siakan. Bila-bila masa dalam setahun ini kita akan dapat hasil yang Allah janjikan itu. Baik di dalam membina rumahtangga cemerlang, dalam menyusun organisasi, dalam mentadbir perniagaan mahupun dalam mengatur pengikut dan masyarakat. Sama-samalah kita rebut kemenangan di bulan Muharram.

Ya Allah, jadikanlah Muharram ini waktu untuk berlakunya perubahan hati dan sifat-sifat kami. Baikilah segala kerosakan diri, kerosakan keluarga, kerosakan masyarakat dan kerosakan negara-negara serta kerosakan di tahap dunia yang sedang berlaku. Ubahlah nasib umat Islam di akhir zaman ini, seperti yang telah Engkau ubah nasib umat Islam sebelum ini, hanya dengan sekelip mata. Kuasa Engkau tidak terbatas Tuhan, pun tiada siapa mampu menghalang.

Demikianlah formula yang Allah rezekikan untuk umat Islam di zaman ini. Segalanya sudah terkandung di dalam sejarah, cuma tidak ramai yang mampu mengungkai hikmah di sebaliknya. Inilah formula kemenangan untuk diri sendiri dan kemenangan untuk umat Islam, iaitu TAQWA. Ia menjadi syarat penentu kemenangan.

Friday, January 1, 2010

Hikmah Tahun Baru

Tahun baru Masihi atau tahun baru Hijriah walaupun berlainan tempat rujuknya

yang satu dirujuk kepada Nabi Isa yang satu dirujuk kepada hijrah Rasulullah

Namun satu tahun adalah mengandungi 12 bulan

Mengapa satu tahun ada 12 bulan?

Mesti ada hikmah yang tersirat mengapa 1 tahun ada 12 bulan?!

12 bulan masa yang singkat,

kalau dibandingkan dengan masa yang jauh di hadapan buat umur yang panjang

Tapi ia masa yang panjang buat ukuran satu dekad ke hadapan


Di dalam satu tahun ada 12 bulan

setiap insan kenalah muhasabah segala perbuatan,

untuk mengukur kejayaan satu tahun

Kalau satu dekad bagaimana pula kejayaan yang dihasilkan akan dapat diagakkan

Lebih-lebih lagi umat Islam di dalam satu tahun kenalah pandang ke belakang

dan pandang jugalah ke hadapan

Bukan memikirkan hendak menyambut tahun baru secara pesta dan perayaan

Agar kita sentiasa membuat perubahan kepada kebaikan

dan seterusnya menjadi umat yang menguasai dunia global yang gemilang,


Ukuran kejayaan satu tahun kenalah diukur di semua bidang

Dengan itu kita akan dapat mengukur kejayaan

atau kegagalan itu di semua bidang

atau di sesetengah bidang atau di semua persoalan

Aspek yang gagal kenalah buat kajian kerana apa ia gagal,

Yang berjaya diteruskan untuk disuburkan


Umat Islam apabila berhadapan dengan tahun baru

di semua aspek kenalah post mortem bukan sibuk membuat perayaan

Kalau mahulah umat Islam ini menjadi maju,

bertamaddun dan menempa sejarah gemilang seperti zaman silam

Mari kita buat muhasabah itu atau post mortem!


Muhasabah atau post mortem ada beberapa aspek untuk kita faham,

yang bersifat peribadi, keluarga, masyarakat

Tugas yang diberi tanggungjawab, bagaimana peranannya,

juga tanggungjawab dalam organisasi dan persatuan,

Bersifat peribadi adakah kita menghayati rukun iman,

mengerjakan rukun Islam, berakhlak mulia seperti tawadhuk,

pemurah, berkasih sayang, sabar, redha, pemaaf.


Jika ada keluarga tanggungjawab kita kepada keluarga disempurnakan atau tidak,

berkasih sayang, bekerjasama, bertolak ansurkah?!

Jika berjiran hormati jiran atau tidak,

selalu memberi bantuan atau sebaliknya,

berlapang dada dengan jiran atau tidak,

jiran susah dibantu atau tidak,

Seterusnya masyarakat sekampung bagaimana pula?!

Masyarakat sekampung adakah kita prihatin kehidupan mereka bekerjasama,

berkasih-sayang, ziarah-menziarahi di waktu lapang


Jika ada tugas atau jawatan didalam kerajaan atau swasta

sudahkah kita menyempurnakan tugas itu dengan baik?!

khidmat kita serius atau sambil lewa, bersungguh-sungguh atau bermalas-malas sahaja

Jika kita berjemaah, berkomuniti atau berpersatuan,

sudahkah kita menyumbang untuk jemaah dan komuniti,

berkasih sayang sesama ahli, dan bekerjasama antara satu sama lain?


Begitulah sepatutnya kita koreksi diri kita di dalam masa setahun

di dalam semua bidang, untuk ukuran,

Jika cemerlang diteruskan, jika malang jangan diulang

yang cacat ditampal, yang baik diteruskan,

yang belum wujud difikirkan dan buatlah tindakan

Jika semua warganegara berfikiran begini,

setiap tahun muhasabah diri, yang rosak dibetulkan,

yang berlubang ditampal, yang kurang ditambah,

yang baik diteruskan bahkan boleh dipertingkatkan lagi


Begitulah setiap tahun terus menerus hingga dekad ke dekad dan seterusnya.

Natijahnya, bangsa dan negara maju, berkasih sayang, bekerjasama,

Tuhan ditaati dan disembah, individu berakhlak mulia

Berlakulah tamadun fizikal, insaniah dan rohani

Terbangun kualiti emosi dan spiritual pada bangsa kita

Bangsa kita bukan sahaja kuat di dalam negara bahkan mampu jadi empayar dunia

Begitulah bangsa yang benar-benar bertanggung jawab apabila setahun hilang

Bukan setahun yang datang sibuk memikirkan

bagaimana hendak berpesta atau membuat keramaian

Marilah kita tukar cara berfikir, mengubah sikap,

dan memikirkan masa hadapan yang akan datang

Bukan asyik berslogan, berpesta, berperayaan,

berfoya-foya dan berangan-angan.

" Jika kita ingin melihat masa depan sesebuah negara,

Lihatlah pada keadaan remajanya pada hari ini..! "

Pada 1 Januari ini, genaplah 1 tahun usia blog saya yang diberi nama 'BENGKEL ROHANI' ini... Klik di sini untuk membaca semula POSTING PERTAMA saya... Terima kasih kepada semua pembaca dan follower kepada blog saya. Salam Tahun Baru Hijrah juga untuk semua..!

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...