Monday, August 2, 2010

SYARAT JADI PEMIMPIN




SAJAK : SYARAT JADI PEMIMPIN

Kalau engkau INGIN jadi pemimpin

Sanggupkah engkau menjadi AYAH,

bertanggungjawab kepada mereka?

Kalau engkau SUKA menjadi pemimpin

Sanggupkah engkau menjadi IBU,

tempat bermanja-manja?

Jika engkau HENDAK menjadi pemimpin

Sanggupkah engkau menjadi GURU kepada mereka?

Boleh memberi didikan dan ilmu.

Jika engkau MAHU menjadi pemimpin

Sanggupkah engkau menjadi KAWAN yang setia?

Bila-bila masa boleh memberi pertolongan

dan bantuan kepada mereka.


Jika engkau ingin jadi PEMIMPIN,

Ertinya engkau sanggup jadi AYAH, jadi IBU,

jadi GURU, jadi KAWAN SETIA.

Kalau manusia fahamlah kedudukan pemimpin

Kepimpinan tidak akan jadi rebutan di kalangan manusia

Bahkan kalau orang memintanya pun dia akan menolaknya

Kecuali tidak dapat dielakkan, kerana kehendak orang banyak


Sekarang kepimpinan menjadi rebutan dan buruan

Bukan ingin jadi watak-watak manusia yang disebutkan tadi.

Tapi di sana ada kepentingan dan keuntungan

Kerana itulah dunia hari ini huru-hara

Dikeranakan PEMIMPIN

yang tidak bertanggungjawab

dan mementingkan diri

Oleh itulah pemimpin hari ini

dicaci-maki oleh rakyat


Menjelang tidur 17 – 12 – 1999 (9 Ramadhan)














TIPS KEPIMPINAN HARI INI...


TANGGUNGJAWAB ASAS PEMIMPIN:

Satu perkara penting yang mesti diingat ialah tujuan pemimpin mendekati anak buahnya mestilah atas dua dasar, iaitu:


1.Untuk mendidik

Secara langsung atau tidak, sama ada secara cakap atau sikap. Mentarbiah ini merupakan tugas asasi para pemimpin.


2. Memerhatikan kehidupan

Kehidupan anak buah, soal makan minumnya, mata pencariannya dan keadaan rumahnya mesti diperhatikan, supaya yang kurang dapat ditampung. Misalnya, rumah anak buah yang dhaif mestilah ditampung. Manakala dalam soal yang lain adalah perkara sampingan sahaja. Pemimpin hendaklah memastikan bahawa pergaulannya dengan anak buah sampai matlamat. Matlamat itu ialah mendidik dan menjaga kebajikan hidupnya.


SYARAT-SYARAT MENJADI PEMIMPIN


1. Muslim

2. Lelaki

3. Akil (berakal)

4. Baligh

5. Baik pancaindera

6. Merdeka


SIFAT-SIFAT PEMIMPIN


1. Memilik ilmu

Pemimpin mestilah memiliki ilmu yang cukup untuk memimpin. Sebaik-baiknya pemimpin mesti dari kalangan ‘minal mujtahidin’. Ini sangat dikehendaki. Kelayakan ini sangat penting jika seseorang menjadi pemimpin umum.


2. Mengenal diri

Maksudnya mengenal fizikal, akal dan hatinya sendiri.

a. Mengenal fizikal ini mudah. Yakni mengenal sama ada ia masih muda, tua, sakit atau sihat.

b. Mengenal akal pula ialah pemimpin mesti mengenal tahap IQnya sama ada baik atau sebaliknya. Sama ada fikirannya tajam, sederhana atau lemah. Dia juga mesti memahami apa ilmu yang banyak di kepalanya. Apakah ilmu dunia atau Akhirat. Kemudian dia mesti tahu apakah ilmu itu syumul atau tidak. Ilmu mana yang lebih, ilmu sains, ilmu feqah atau sebagainya.

c. Mengenal jiwa inilah yang sangat penting. Pemimpin mesti mengenal sifat positif dan negatifnya. Apakah sifat mahmudah yang ada dalam hatinya dan apakah sifat mazmumahnya pula. Ini penting supaya dia dapat mengungkai yang mazmumah dan menyubur yang mahmudah. Bagi pemimpin, mengenal sifat mazmumahnya lebih penting daripada sifat mahmudahnya.

Ini kerana mazmumah boleh mencacatkan kepimpinannya. Misalnya jika dia ego atau pemarah, maka ramailah anak buah yang lari dan sakit hati. Jika dia penakut, maka kuranglah anak buah yang ingin bersandar dengannya. Begitu juga pemimpin bakhil atau tamak, anak buah tidak akan rapat dengannya.

Bagi sifat mahmudahnya pula, pemimpin mesti tahu ke mana hendak diarahkan dan apa yang hendak dibuat dengan mahmudahnya itu. Misalnya sabar atau berani, bila dia harus berani atau sabar dan dalam perkara bagaimana dia harus berani dan sabar.

Jika pemimpin tidak kenal dirinya, bagaimana dia boleh mengenal orang lain. Kalau dia tidak mengenal dirinya, sudah pasti dia tidak dapat mendidik dirinya. Jika dia tidak dapat mendidik dirinya, maka sudah pasti pula dia tidak dapat mendidik orang lain. Inilah punca mengapa kadangkala pemimpin diumpat, dimarah oleh anak buah. Di sini pemimpin mesti mengkaji kesalahannya. Jangan melihat kesalahan kepada anak buah sahaja. Jika kita baik sudah tentu disayangi oleh anak buah. Jika tidak, tentu ada yang tidak kena pada diri kita. Sebab itu salahkan diri sendiri, jangan salahkan anak buah sahaja.


Anak-anak buah atau pengikut pula terbahagi dua:


1. Pengikut di dalam kementerian atau jabatan

Mereka yang berjawatan rasmi dan bergaji tidak kira apa bahagian, unit, kementerian dan jabatannya. Mereka ini mungkin terdiri daripada pengarah, pengurus dan pegawai perhubungan.


2. Rakyat umum

Mereka yang berjawatan rasmi sama ada yang bekerja sendiri ataupun dengan pihak swasta. Bilangan mereka ini lebih ramai lagi.


Sikap pemimpin terhadap orang di bawah kementerian dan jabatannya:


1. Adakan usrah-usrah kepada mereka.

Usrah ini sangat penting. Ia akan melahirkan kasih sayang dan ukhwah. Melalui usrah juga dapat disampaikan ilmu ilmu baru. Usrah juga berfungsi untuk menyelesaikan masalah. Kepada orang atau tenaga-tenaga yang penting mesti kerap diadakan usrah, kerana mereka juga adalah pemimpin (di bawah mereka ada anak buah). Bagi mereka yang kurang penting, jarang-jarangkan.


2. Adakan kelas-kelas pengajian kepada mereka.

Ada juga di kalangan mereka yang tidak selesai fardhu ainnya. Maka perlu majlis-majlis ini diadakan. Majlis fardhu ain juga penting untuk melahirkan kasih sayang dan perpaduan yang lebih luas kerana majlis ini selalunya lebih umum, besar dan ramai yang terlibat.


3. Sekali-sekala adakan jamuan.

Jamuan makan boleh menambahkan kemesraan. Ia boleh membuahkan kasih sayang dan memberikan kegembiraan bagi yang menjamu dan juga yang dijamu.


4. Adakan ekspedisi dan perkelahan sekali-sekala.

Ini juga satu program yang penting untuk mencetuskan ukhwah, kasih sayang dan meluaskan pandangan bagi mengatasi kelemahan anak buah. Jangan biarkan anak buah terperap di pejabat sahaja hingga fikiran dan jiwanya keras macam dinding yang mengepungnya.


5. Sesetengah tindakan atau perkara hendaklah disyurakan terlebih dahulu.

Ada arahan yang perlu difahami oleh anak buah. Bila ada syura dengan anak buah, mereka akan faham akan sesuatu arahan. Barulah mereka boleh melaksanakannya. Jika tidak, nanti anak buah akan kurang bertanggungjawab. Arahan-arahan dalam perkara penting dan besar yang sukar difahami elok disyurakan dulu, melainkan yang remeh-temeh.


6. Bermesra dengan semua orang di bawah jabatan dan kementerian.

Fitrah semula jadi manusia yang ada kaitannya dengan hubungan kawan sesama kawan, dengan anak-anak, dengan isteri-isteri, memang ada grafnya turun naik. Kecenderungan hati pada sesuatu masa dan pada seseorang memang tidak dapat dielak. Tetapi yang tercetus dari segi lahiriah, mesti cuba disamaratakan.

Senyuman misalnya, kena diagih-agihkan. Begitu juga dengan kemesraan. Pada yang memang sudah disayangi hati, mudahlah. Tetapi pada yang belum, maka mesti juga diusahakan walaupun di tahap tabaqa’ (berlakon-lakon).

Berlakon-lakon memberi kemesraan tidak salah, malah digalakkan. Misalnya, kita digalakkan buat-buat menangis bila membaca Al Quran. Begitulah kita dalam memberi kemesraan kepada orang yang hati belum cenderung. Tidak salah kerana kecenderungan hati kita tidak sama, seperti keluhan hati Rasulullah SAW berhubung dengan isteri-isterinya:

“Hati aku ini ya Allah, bukan dalam kuasaku. Hati ini Engkau yang punya.”


7. Lakukan ziarah.

Ziarah ini penting untuk memperbaiki hati (hubungan) dengan anak buah. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Hendaklah berziarah orang yang tidak ada (jarang berjumpa). Nanti akan menambah kasih sayang.” Sebab itu bila ada hati anak buah yang hendak retak, sudah rasa hendak menjarak (menjauh), maka segeralah menziarahinya.Tetapi perlu diingat, janganlah pemimpin terlalu banyak meluangkan masa untuk ziarah sehingga ada kerja yang lebih penting dan banyak tidak terbuat.


8. Lahirkan kegembiraan di atas kegembiraan mereka.

Pada ketika mereka mendapat anak, kahwin atau naik pangkat, maka tunjukkan kegembiraan atas kegembiraan mereka. Berilah hadiah untuk melahirkan kegembiraan itu. Hadiah itu penting untuk menjalin hubungan hati.


9. Jangan mencari-cari kesalahan mereka.

Mencari-cari kesalahan itu salah menurut syariat. Dalam Al Quran, Allah SWT mengingatkan: Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, jauhilah dari berprasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.” (Al Hujurat: 12)

Justeru itu, cara mengintip, mengendap dan lain-lain seperti yang diamalkan sesetengah pihak untuk mencegah kemungkaran tidak menyelesaikan masalah. Allah tidak berkati cara itu, kerana ia satu kaedah yang mungkar untuk mencegah kemungkaran. Cara yang fasik untuk mencegah kefasikan, cara yang haram untuk mencegah yang haram.

Kaedah membanteras kemungkaran seperti ini akan merebakkan lagi kemungkaran itu seperti mencuci najis dengan air najis. Najis tidak dibersihkan bahkan bertambah merebak lagi najis itu.

10. Jika mereka lakukan kesilapan, buat-buat tidak tahu kecuali kalau sudah merbahaya.

Elok buat tidak tahu akan kesalahan anak buah walaupun sebenarnya kita tahu dia melakukan kesalahan itu. Ini kerana ada anak buah yang terseksa jika dia tahu pemimpin tahu akan kesalahannya. Jadi langkah yang sebaiknya ialah jangan bertindak lagi. Elok ceritakan atau kuliahkan secara umum dahulu, sedarkan secara umum dan doakan. Jangan memanggilnya dahulu.


11. Setelah tiga kali kesalahan dibuat barulah dinasihat secara empat mata.

Bila kesalahan yang begitu berat, yakni yang melibatkan pelanggaran syariat dan membahayakan keadaan seperti meminum arak, mengambil dadah dan seumpamanya maka perlu ditangani secara cepat. Elok panggil empat mata tetapi jangan sekali-kali menghebahkan aibnya itu. Dalam suatu doa ada menyebut:

Maksudnya: “Lindungi keaiban kami dan kedua ibu bapa kami dan keaiban seluruh umat Muhammad.”


12. Setiap pengaduan hendaklah diteliti dan dikaji dahulu.

a. Pemimpin jangan sekali-kali berdendam, beremosi, mudah salah sangka dan lain-lain anggapan negatif. Tidak dapat tidak, sebagai pemimpin kita mesti menerima pengaduan.

b. Pengaduan-pengaduan itu mestilah dikaji, diteliti dan dinilai dengan adil.

c. Pemimpin adalah pendidik, dia mesti dapat menilai antara

yang mengadu dan yang diadu. Susurlah ke akar umbi akan sesuatu pengaduan, kemudian barulah bertindak.

d. Pemimpin perlu sedar bahawa pengaduan ada hubungan dengan jiwa anak buah. Jangan sampai merosakkan jiwa mereka dengan tindakan yang tidak adil. Misalnya:

i. Jika yang mengadu itu orang yang memang kita sayang, maka kita terus bertindak tanpa usul periksa. Tetapi sebaliknya jika yang mengadu, orang yang kita tidak sayang maka kita usul periksa dengan teliti.

ii. Begitu juga bagi yang kena adu. Jika yang diadu itu orang yang kita sayang, kita tidak bertindak. Tetapi kalau yang diadu itu orang yang kita tidak sayang, maka dengan cepat kita bertindak.

iii. Seperkara lagi yang hendak diteliti, kadangkala yang diadu itu merupakan kesalahan kecil sahaja berbanding kesalahan yang dibuat oleh yang mengadu. Di sudut ini hendaklah pemimpin faham bahawa kesalahan orang yang dimenangkan kerana aduannya diterima lebih besar jika ia bangga dan ego. Sedangkan yang kena adu kalau dia insaf, malah kalau kesalahannya memang kecil, tidak membahayakan dirinya.

Oleh itu pemimpin mesti faham, mana satu salah yang lebih besar, mana satu salah yang kecil. Dia juga mesti faham, kenapa dan mengapa satu kesalahan itu dibuat oleh anak buahnya.


13. Kalau dihukum, hendaklah setimpal dengan kesalahannya.

Kalau kesalahan yang dibuat itu setimpal dihukum 50, jangan sampai dihukum 100. Berpada-padalah. Kerana dalam Islam, salah kerana tidak menghukum lebih ringan

daripada tersalah hukum. Apalagi hukuman yang berat seperti hukuman mati dan sebagainya lebih-lebih lagi hendaklah diteliti.


14. Hendaklah ambil tahu di mana dia tinggal dan bagaimana tempat tinggalnya.

Ini penting bagi memudahkan perhubungan bila terjadi bencana alam dan kecemasan seperti sakit, kematian dan lain-lain. Dengan ini juga mudah dibuat ziarah dan memberi bantuan. Keadaan tempat tinggal pengikut mesti diperhatikan, apakah membahayakan atau selamat. Dan jika didapati tidak mampu, mereka hendaklah diberi bantuan. Malah kadangkala mengikut pemerhatian pemimpin, rumah anak buahnya sangat membahayakan dari segi keselamatan, walaupun tidak disedari oleh tuan punyanya.


15. Jika ada kesempatan bertemulah dengan keluarga mereka.

Kita berhubung dengan anak buah bukan dalam soal kerja sahaja tetapi juga dengan keluarga mereka. Pemimpin mesti usahakan pertemuan keluarga. Misalnya, perhimpunan hari keluarga untuk merapatkan lagi tali silaturrahim. Pertemuan seperti ini penting untuk merapatkan kasih sayang dan silaturrahim.


16. Berilah hadiah waktu yang sesuai.


17. Pemimpin elok menjadi imam solat. Dan pada hari Jumaat elok menjadi khatib.


18. Di kalangan orang penting elok ziarah di rumahnya, di kalangan orang biasa elok di tempat-tempat umum.


Wednesday, June 2, 2010

50 TANDA-TANDA ORANG MUNAFIK

1. Malas beribadah kepada Allah SWT

2. Lupa kepada Allah SWT

3. Melalaikan solat fardu

4. Mempercepat mengerjakan solat

5 Gemar meninggalkan solat berjemaah

6. Meninggalkan solat Jumaat

7. Menyuruh yang mungkar dan melarang yang makruf

8. Melakukan dosa dan kemungkaran secara sembunyi
- Berpura-pura melakukan kebaikan di tengah2 orang ramai dan gemar melakukan kemungkaran di belakang orang adalah dibenci Allah SWT.

9. Menyembunyikan ilmu pengetahuan
- Orang-orang yang memiliki ilmu dan apabila ditanya orang lain sedang dia mengetahui persoalan yang ditanyakan itu tetapi tidak menjelaskannya. Ini merupakan perbuatan yang menghalang kemajuan ummat Islam dan dapat menutup kebenaran.

10. Riak

11. Hasad dengki

12. Dusta

13. Mungkir janji

14. Bakhil

15. Fitnah
- Menyampaikan keburukan orang lain di kalangan orang ramai supaya mereka membenci atau memusuhinya. Membuat laporan tanpa fakta dan usul periksa serta mengada-adakan cerita. Ia juga tergolong dalam sifat-sifat munafik dan dosa-dosa besar.

16. Mencaci Maki
- Tidak berhikmah di dalam berkata-kata dan dalam menyampaikan dakwah. Menggunakan kata-kata kesat terhadap orang lain terutama yang tidak bersependapat dengannya.

17. Mengumpat

18. Mengungkit kembali pemberian kepada seseorang dan menyakiti hatinya.
-Mengungkit kembali pemberian kepada orang lain dengan harapan dikenang jasa dan sumbangannya serta ingin menyakiti hati orang lain. Perbuatan ini dicela didalam Islam.

19. Mengingkari Takdir Allah
Sesungguhnya orang yang menolak, membenci atau mengingakari takdir Allah, tergolong dalam golongan kufur dan rosak iman dan mendapat azab serta kemurkaan Allah

20. Mempersenda kesucian agama
- Perbuatan mempersenda kesucian dan agama Islam adalah suatu yang amat dibenci dan dilarang dalam Islam kerana ianya seolah-olah menentang sesuatu yang diturunkan Allah.

21. Enggan berjihad di jalan Allah SWT

22. Menghina sahabat Rasullullah SAW

23. Menyembunyikan persaksian pada jalan yang benar

24. Menangguh pembayaran hutang

25. Menipu dalam jual beli
Perbuatan menipu ini adalah melibatkan amalan timbang atau sukat sesuatu barang tanpa kadar yang mencukupi atau menjual barangan yang rosak dimana, menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati pembeli pada akhirnya.

26. Ghasab
Ghasab ialah mengambil atau menguasai harta ( tanah ) orang lain dengan jalan aniaya, iaitu jalan yang tidak diredhai Islam. Perbuatan ini walaupun dengan mengambil Cuma sejengkal, adalah termasuk perbuatan dosa besar dan munafik.

27. Bergaul dengan orang yang memperolok Al-Quran

28. Memakan harta anak yatim
Orang yang mengambil dan menggunakan harta anak yatim serta orang yang tidak amanah di dalam mentadbir harta anak yatim. Berselindung di atas nama pemegang amanah akan tetapi menggunakan harta anak yatim untuk kepentingan diri sendiri

29. Membuka rahsia orang lain
- Suka mencari-cari keaiban dan rahsia orang lain dan kemudian menyebarkan dan mewar-warkan keburukan dan kelemahan itu samada di dalam majlis rasmi dan kuliah ataupun dengan cara menyampaikan daripada individu kepada individu.

30. Berasa aman daripada murka Allah apabila melakukan dosa
- Apabila seseorang melakukan dosa dan merasa selamat dari murka dan seksaan Allah, maka anggapan ini adalah berdosa besar dan amalan orang-orang munafik.

31. Memanggil orang dengan gelaran buruk yang tidak disukai

32. Menghalang orang daripada mengamalkan ajaran islam

33. Suka kepada kesesatan dan suka menyesatkan orang

34. Bermuka-muka

35. Menyanjung dan memuji orang tanpa diketahui keadaan sebenarnya

36. Sombong diantara sesama manusia

37. Melampaui batas yang telah digariskan oleh Allah
- Perbuatan yang menurut kehendak nafsu sehingga boleh tersesat dan menyesatkan pada jalan yang benar sebagaimana Yahudi dan Nasrani.

38. Suka berbantah dan bertengkar sesama Muslim

39. Berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup

40. Membazir dalam memanfaatkan nikmat Allah
- Membuat sesuatu perkara dan keputusan kemudian merubah semula dalam masa yang singkat, umpama membina rumah kemudian diruntuhkan semula.

41. Keluh kesah apabila ditimpa musibah

42. Mengkhianati sesuatu amanah
- Diberi amanah tetapi menyalahgunakan kuasa dan mengkhianati amanah.

43. Memutuskan silaturrahim
- Memisah dan merosakkan hubungan silaturahim, merosakkan hubungan sesama keluarga, sahabat handai, sesama jemaah ataupun organisasi mahupun sesama masyarakat.

44. Memecahbelahkan perpaduan kaum muslimin
- Menjadi batu api serta membuat laporan dan menaburkan fitnah sehingga berlaku perpecahan dan hilang kasih sayang di kalangan sesama umat Islam.

45. Menghalalkan perkara yang haram
- Menjadikan matlamat sebagai sasaran utama sehinggakan sanggup melanggar batas aqidah, syariat dan akhlak. Matlamat tidak menghalalkan cara.

46. Membuat kerosakan dimuka bumi

47. Menuduh orang beriman bodoh
- Orang Munafik mempunyai pendirian yang lemah dan amat sedikit memiliki ilmu pengetahuan tentang perjara yang bermanfaat dan memudharatkan. Justeru, mereka menuduh orang beriman bodoh atau kurangf ilmu pengetahaun dalam urusan kehidupan.

48. Mengubah dan menyalahguna ayat-ayat Allah
- Menggunakan dalil dan ayat Al-Quran untuk kepentingan diri semata-mata. Menjadi perosak agama di atas nama agama.

49. Bersumpah dengan selain nama Allah SWT

50. Berasa gembira apabila musibah menimpa orang beriman.

Sumber : Buku 50 TANDA-TANDA ORANG MUNAFIK. Mohamad, D. H. (2008) Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication.

Friday, April 30, 2010

Wasiat Buat Isteri

Wasiat Untuk Isteri Tersayang ~ Kisah Benar Untuk Renungan Kite Bersama (Thanx to Berita Harian Online)

Kira-Kira 15 hari yang lalu, seorang hamba Allah (si A), telah pun kembali ke rahmatullah secara mengejut (kerana sakit jantung). Allahyarham adalah merupakan seorang yang amat dihormati dan disegani di kampung beliau.

Semasa jenazah Allahyarham diletakkan di ruangtamu rumahnya sementara menunggu untuk diuruskan oleh saudara mara dan sahabat handai, isteri Allahyarham tidak berhenti-henti meratapi jenazahnya sambil merungut-rungut.

Si penulis (penulis asal cerita ini) yang kebetulan anak saudara Allahyarham, ada di sebelah balu Allahyarham pada ketika itu. Beliau merasa amat hairan dengan sikap balu arwah itu. Si balu sepatutnya membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk dihadiahkan kepada arwah. Kira-kira 10 minit kemudian, kakak ipar arwah (kakak balunya)pun sampai.

Beliau turut merasa hairan dengan sikap adiknya yang meratapi dan merungut itu, lantas beliau melarang adiknya berbuat demikian sambil bertanya akan sebabnya.
Penulis yang masih berada disitu merasa amat terkejut apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh balu Allahyarham itu.

Antara jawapannya ialah: Suaminya tidak membuat surat wasiat (yang sebenarnya ada). Tanah pusaka milik suaminya tidak sempat ditukarkan ke nama beliau dan anak-anaknya. Suaminya tidak sempat memindahkan saham syarikat suaminya bersama-sama adik-adiknya kepada beliau (Allahyarham memegang saham sebanyak 50% dan 5 orang adik-adiknya memegang 10% setiap seorang).

Untuk makluman, arwah adalah seorang yang agak berjaya dalam perniagaannya. Syarikat yang diuruskan oleh arwah sangat maju dewasa ini. Di samping itu, arwah memiliki kira-kira 12 ekar tanah di pinggir Putrajaya dan kira-kira 50 ekar di sekitar kawasan Sepang/Dengkil.

Setelah seminggu arwah dikebumikan, peguam arwah memanggil waris-warisnya untuk dibacakan surat wasiat arwah. Penulis juga turut dipanggil tanpa mengetahui akan sebabnya. Allahyarham mempunyai 4 orang anak, yang sulong masih lagi bersekolah di tingkatan 4 manakala yang bongsunya berusia 6 tahun.

Antara kandungan surat wasiat Allahyarham ialah: 30% syer perniagaannya diserahkan kepada anak saudara perempuannya yang juga ahli perniagaan, dan 20% lagi diagihkan sama rata kepada anak-anaknya dengan anak saudara perempuannya sebagai pemegang amanah.

Tanah pusakanya seluas 10 ekar di pinggir Putrajaya dibahagikan sama rata kepada anak-anak perempuannya (2 orang) dan 2 ekar untuk anak saudara lelakinya yang juga pemegang amanah untuk anak-anak perempuannya.


Anak-anak lelakinya yang berumur 14 dan 10 tahun, diberikan tanah 15 ekar seorang dengan saudara lelakinya sebagai pemegang amanah. Saham-sahamnya diserahkan kepada anak-anaknya dan dibahagikan mengikut hukum syarak, dan diuruskan oleh saudara perempuannya yang diberi 20%.

Wang tunainya di bank (persendirian diamanahkan kepada kakaknya untuk menampung pembiayaan anak-anaknya jika isterinya tidak berkahwin lagi. Jika isterinya berkahwin lagi, beliau meminta peguamnya meminta mahkamah memberikan hak penjagaan anak-anaknya kepada kakaknya.

Rumah dan tapak rumahnya diwakafkan untuk anak-anak yatim Islam dan sebuah surau, dan hendaklah diserahkan kepada Majlis Agama Islam. Harta-hartanya yang lain iaitu 2 buah kereta diberikan kepada adik lelakinya yang ketiga dan kelima; manakala baki tanah 20 ekar dibahagikan sama rata kepada adik-adik dan kakaknya.

Setelah selesai wasiat tersebut dibaca, isterinya membantah keras kerana tiada satu pun harta yang diserahkan kepadanya melainkan sebuah proton saga yang tidak dimasukkan dalam wasiat tersebut (yang memang digunakan oleh isterinya). Belum sempat isterinya terus membantah, peguam Allahyarham membacakan satu kenyataan mengenai isterinya yang terkandung dalam wasiat itu.

‘Isteriku tidak akan kuberikan apa-apa kecuali pengampunan. Terlalu banyak dosanya kepadaku. Maka pengampunan adalah hadiah yang paling berharga.’

‘Tidak pernah aku merasa masakannya sejak mula berkahwin walaupun pernah aku suarakan. Tiada belas kasihan terhadap aku, baik semasa sakit apatah lagi jika aku sihat.’

‘Herdik dan tengking kepada aku dan anak-anak adalah lumrah.. Keluar rumah tidak pernah meminta kebenaran daripada aku. Makan dan minum anak-anak adalah tanggungjawab si pembantu rumah. Kain bajuku tidak pernah diuruskan, dan yang paling menyedihkan, tiada mahunya dia mendengar pandangan dan nasihatku untuk kesejahteraan rumahtangga.’

‘Kebahagiaan aku selama ini hanya dengan amalanku, tugas seharianku, anak-anakku dan adik-beradikku, terutama kakakku yang berperanan sebagai pengganti ibu.’

Selepas peguam Allahyarham membacakan kenyataan itu, barulah penulis faham mengapa balu Allahyarham begitu meratap dan merungut semasa berada di sisi jenazahnya.

Marilah kita renungi bersama. Semoga dengan apa yang terjadi di atas,akan memberikan satu pengajaran yang berguna kepada kita sebagai umat Islam..

- She should be thankful…... She got the forgiveness from her husband-

Wednesday, March 31, 2010

KISAH 5 PERKARA

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa ada satu kisah telah berlaku kepada seorang Nabi yang bukan Rasul yang telah menerima wahyu dalam bentuk mimpi yang hanya kedengaran suara. Maka Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam telah diperintahkan yang berbunyi, “Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke Barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya.”


Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke Barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, “Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan.” Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar sebuku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur “Alhamdulillah”.


Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah
Nabi itu, “Aku telah melaksanakan perintahmu.” Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.


Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, “Wahai Nabi Allah, tolonglah aku.” Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan disembunyikan ke dalam bajunya bertepatan dengan pesanan arahan dalam mimpinya yang ketiga, iaitu menyembunyikan. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, “Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.”


Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, “Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.”

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, “Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit akan tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi kecil bahkan lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”


Kelima-lima perkara di dalam kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, kerana kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Sememangnya di antara perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari berhadapan dengan situasi yang menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati, melakukan kebaikan samada disedari atau tidak, menerima arahan dan amanah, menunaikan hajat dan permintaan serta mengata perihal orang terutamanya keburukan orang lain.


Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, “Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.” Maka berkata Allah S.W.T., “"Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu.” Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata-ngata terutamanya perihal aib dan keburukan orang walaupun ia benar. Dan ingatlah sesungguhnya orang yang paling kuat itu ialah orang yang mampu menahan marah...

Sunday, February 21, 2010

Kelebihan Wanita Berbanding Lelaki

1. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis tersebut. lalu Baginda bertanya, “Adakah kamu menyembahyangkan mayat?” Jawab mereka,”Tidak” Sabda Baginda “Seeloknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat kaum orang lelaki.

2. Wanita yang memerah susu binatang dengan ‘Bismillah’ akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

3. Wanita yang menguli tepung gandum dengan ‘Bismillah’, Allah akan berkatkan rezekinya.

4. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah.

5. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi.”

6. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utas benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat.”

7. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat.”

8. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatit baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian.”

9. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya.”

10. Sabda Nabi s.a.w. : “Ya Fatimah setiap wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum kepadanya dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shiratul Mustaqim.”

11. Jika suami mengajarkan atau menerangkan kepada isterinya satu masalah agama atau dunia dia akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

12. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggu kedatangan suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

13. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

14. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

15. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggembirakan kamu, jika engkau memerintahnya ia mentaati perintah tersebut dan jika engkau bermusafir dia menjaga harta engkau dan dirinya. Maksud hadis: Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah.


Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...