Thursday, November 26, 2009

Haji Kemuncak Ibadah

Rukun iman dan rukun Islam adalah merupakan constitution ataupun perlembagaan hidup lahir dan batin bagi setiap umat Islam dan juga bagi orang-orang yang cintakan Tuhan. Sepertilah rukun negara bagi orang yang patriotik dan cintakan negara. Gabungan kedua-dua rukun iman dan Islam ini, bila diamal, dihayati dan diperjuangkan sungguh-sungguh maka akan lahirkan patriot agama yang bertaraf muttaqin atau siddiqin, muqarrobin, paling tidak solihin yakni orang-orang yang soleh dan bertaqwa yang begitu dekat dengan Allah. Mereka adalah orang-orang Tuhan yang kekuatannya 1 orang Tuhan bersamaan dengan 10 yang bukan. Hal ini berlaku melalui satu proses pembinaan insan yang cukup profesional, sistematik dan intensif yang diprogramkan melalui rukun Islam yang lima itu.

Rukun Islam yang pertama : Kalimah syahadah

Bermula dengan mengucap dua kalimah syahadat, kita bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah. Seseorang pun mulalah melihat Allah sebagai tujuan dan cita-cita hidupnya dengan berpandukan cara hidup Nabi Muhammad SAW. Cita-cita lain seperti hidup untuk kaya, hidup untuk berilmu semata-mata, hidup untuk enjoy, hidup untuk berjawatan, hidup untuk meraih populariti, pengaruh serta glamour dan lain-lain lagi yang semuanya merupakan penyakit cinta dunia yang ditaja oleh nafsu dan syaitan, mula ditinggalkannya. Sebab dia faham bahawa prinsip hidup untuk Tuhan akan dengan sendirinya menundukkan dunia untuk yang juga harus diseretkan kepada Tuhan. Status dunia hanya sebagai alat bukan matlamat. Syaitan dan nafsu tidak boleh dijadikan Tuhan tanpa kita sedari. Darjat mereka terlalu rendah bahkan bertaraf musuh Tuhan. Kalimah syahadah adalah pemisah antara golongan yang bertuhankan nafsu dengan golongan yang bertuhankan Allah. Bagi orang yang benar-benar faham dan menghayati; Hamba nafsu matlamatnya dunia. Hamba Allah matlamatnya akhirat. Maka dari sinilah seseorang yang bergelar orang Tuhan memulakan langkah untuk bertolak ke destinasinya.

Rukun Islam yang kedua : Sembahyang

Calon-calon pejuang dan patriot agama, dipanggil Tuhan 5 kali sehari menghadapnya di dalam upacara sembahyang. Panggilannya melalui azan dan iqamah cukup tegas dan jelas. Dengan maksud bahawa tiada dibesarkan dan tiada ditaati melainkan Allah. Maka mengadaplah si hamba itu dengan ikrar di dalam doa iftitah dan perilaku rukuk dan sujud yang membawa maksud lagi bahawa hidup mati hanya untuk Allah dengan tidak membesarkan dan tidak mentaati melainkan Allah semata. Hari demi hari jadi kian meneballah rasa berTuhan dan rasa kehambaan si calon. Makin tinggilah kemanusiannya, makin haluslah akhlaknya dan makin membaralah semangat juangnya untuk menjadi khalifah Allah, membela nasib seluruh hamba-hamba Allah di muka bumi ini.

Rukun Islam yang ketiga dan keempat : Puasa dan Zakat

Bagaimana rukun ini berperanan? Cinta mesti dibuktikan. Yakni mesti mampu menahan diri daripada keinginan-keinginan nafsu yang lahir dan yang batin, demi akujanji dan ikrar hidup untuk Allah, mesti mampu mengorbankan hak, perlu ada pembuktian atas nama cinta dan sumpah yang diikrarkan setiap hari. Maka puasa dan zakat adalah buktinya. Kedua-duanya adalah proses pembersihan lahir dan batin untuk seorang wira Tuhan yang bakal memasuki gelanggang perjuangan bersama Tuhan. Dengan puasa dan zakat seseorang jadi cukup kebal bagi mempertahankan status hamba Allah bilamana diserang oleh tuhan-tuhan palsu yakni nafsu dan syaitan.

Firman Allah: Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.

Firman-Nya lagi : Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata.

Ya, nafsu dan syaitan sangat berhajat untuk menjadikan seluruh umat manusia sebagai hamba-hamba mereka iaitu hamba nafsu dan syaitan. Namun Allah, melalui puasa dan zakat sangat menarik manusia agar menjadi hamba Allah yang tawadhuk, pemurah, penyabar, redha, tawakkal, jujur dan bersyukur. Maka dengan itu, terbendunglah segala sifat-sifat keji dalam diri manusia seperti pemarah, sombong, hasad dengki, tamak, bakhil, pendendam, adu domba dan sebagainya.

Rukun islam yang kelima ialah kemuncak ibadah : Haji.

Setelah selesai melalui proses-proses pembinaan insan yang sebelumnya, maka tibalah giliran upacara kemuncak bagi proses pembinaan rasa hamba dan rasa berTuhan dalam diri seorang hamba Allah. Sekaligus terbakar hanguslah usaha-usaha nafsu dan syaitan membina mazmumah dalam diri-diri manusia, bilamana manusia telah melalui proses kemuncak ini, haji merupakan kunci dan pendinding rohaniah manusia daripada dapat diganggu gugat lagi oleh nafsu dan syaitan. Ia pelengkap dan penyempurna proses pembangunan insaniah untuk manusia layak menjadi orang Tuhan samada menjadi Muqarrobin, Siddiqin, Syuhada' dan Solihin. Kaedah inilah juga yang sering digunapakai oleh raja-raja dan pembesar di dunia bagi memartabatkan tokoh-tokoh ataupun untuk memberi pengiktirafan kepada orang yang telah berjuang bersungguh-sungguh mengharumkan nama negara ataupun yang telah memberi sumbangan yang besar kepada negara tercinta lalu dikurniakanlah pangkat Datuk, Tan Sri, Tun, Dato Seri dan lain-lainnya. Di mana untuk upacara kemuncak itu hanya mereka yang layak sahaja dipanggil khusus ke Istana raja, untuk disematkan bintang-bintang kebesaran tadi.

Justeru, Haji selaku ibadah kemuncak, pelengkap rasa hamba dan rasa berTuhan, maka Allah, raja bagi segala raja-raja di dunia ini memanggil khusus orang-orangNya untuk datang mengadap ke Istana Agung-Nya. Tepat pada tarikh 10 Zulhijjah di sana orang-orang Tuhan ditabalkan rohaniah mereka ke martabat-martabat yang Allah sendiri tetapkan untuk mereka. Orang ini, bila pulang ke tanah air pasti akan membawa perubahan di dalam sikap dan wataknya. Dia akan menjadi lebih baik dari sebelumnya lantaran telah diiktiraf dan diupgrade statusnya oleh Tuhan sehingga orang lain mampu melihat sendiri akan perubahannya.

Demikianlah hebatnya dan agungnya step-step di dalam rukun Islam yang dapat me'malaikat'kan manusia. Tiap-tiap satu dengan fungsinya masing-masing, membekalkan rasa hamba dan rasa berTuhan kepada roh manusia. Memang fungsi ibadah yang utama ialah supaya roh manusia merasa hamba kepada Allah sekaligus roh merasa dia ada Tuhan yang sentiasa bersamanya. Rasa kehambaan dan rasa berTuhan itu saling lazim-melazimi, berkait antara satu sama lain, tidak mungkin bercerai. Jika rasa berTuhan tajam, rasa kehambaan menebal, kalau rasa berTuhan tiada atau tipis, maka rasa hamba juga ikut menipis dan menghilang. Gabungan kedua-duanya inilahlah yang dikatakan Taqwa. Barangkali boleh diumpamakan dengan syahadah dapat membekalkan 10% rasa taqwa, melalui sembahyang 50%, puasa 20%, zakat 10% dan kemuncak dan pelengkapnya haji 10 %.

Begitulah besarnya peranan rukun Islam sebagai rukun hidup seorang hamba Allah, satu sama lain kuat menguatkan. Sepatutnya orang Islam kalau mahu jadi bangsa yang kuat ambillah rukun Allah ini sebagai rukun hidup, rukun perjuangannya, rukun negaranya. Barulah bangsa kita boleh maju menandingi Amerika, Jepun, Eropah, Korea dan lain-lain dari segi tamadun insaniah dan lahiriahnya.

Umat Islam yang kuat itu ialah kuat Taqwanya, jitu perpaduannya dan selaras fikiran serta tindakannya. Tamadun lahir hanya sebagai tambahan dan sokongannya. Dan ini hanya dibuat bilamana dalam dada-dada mereka penuh tebal rasa hamba dan rasa berTuhan iaitu rasa takut dan cintakan Tuhan yang terhasil daripada mengamal dan menghayati rukun iman dan Islam. Sebab hanya dengan rasa-rasa inilah akan tercabutnya rasa sombong, pemarah, riak, ujub, bakhil, tamak, dengki, mementingkan diri, dendam, zalim, gila pangkat dan kuasa, pecah amanah, jatuh menjatuhkan dan lain-lain. Yang mana semua mazmumah inilah yang menjadi punca pecah belahnya imat Islam hari ini. Kalaulah sifat negatif ini sudah musnah oleh rasa hamba dan rasa berTuhan, yang dibangunkan oleh rukun Islam, maka automatik manusia akan memiliki sifat-sifat positif atau mahmudah seperti sabar, redha, tawakkal, merendah diri, pemurah, timbang rasa, pemaaf, meminta maaf, bertolak ansur, kasih sayang, rasa bersama dan kerjasama, semua mahmudah ini amat penting, menjadi punca untuk manusia dapat bersatu padu dan selaras dalam bertindak dan berfikir. Mereka dapat benar-benar berlaku jujur berkhidmat kepada seluruh manusia.

Tanpa Taqwa, mustahil manusia dapat disatukan secara hakiki dan praktikal. Perpaduan-perpaduan palsu yang dibuat-buat dan hidup berpura-pura telah terbukti gagal membina tamadun bangsa sampai ke penghujungnya. Kebanyakannya bubar di tengah jalan. Hanya Taqwa yang boleh menjamin orang Islam untuk dibantu Allah, menjadi empayar yang mampu menaungi bangsa-bangsa lain di dunia. Jiwa yang sudah di'seal' atau dimateri dengan mahmudah, akan menarik dan mempengaruhi semua orang sekalipun yang bukan Islam untuk menerima kepimpinan mereka. Kebaikan akhlak mereka dalam mengendalikan urusan-urusan hidup cukup menawan hati hingga semua orang sanggup taat dan hormat dengan sistem hidup yang mereka bawa. Ini semua sudah terbukti di dalam sejarah pemerintahan Rasul kita, para sahabat dan juga generasi solafussoleh terdahulu. Mengapa kita tidak mahu belajar dan mengambil iktibar daripada mereka dan menggunapakai formula pembinaan insan yang telah digariskan oleh Tuhan dalam membina kekuatan dan membentuk perpaduan generasi hari ini. Moga musim haji pada kali ini menjadi titik tolak kepada kita untuk muhasabah dan mempersiapkan diri kita, apakah kita benar-benar telah mengahayati falsafah dan mengamalkan segala tuntutan di dalam setiap rukun iman dan Islam yang telah kita pelajari sejak di bangku sekolah itu lagi...

Salam 'Eidul Adha buat semua..!

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...