Showing posts with label hadith. Show all posts
Showing posts with label hadith. Show all posts

Monday, February 18, 2013

Uwais Al-Qarni : Terkenal di langit, tidak di bumi


Dia seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang,kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya. Hidup sezaman dengan Rasulullah tetapi mereka tidak pernah bersua muka kerana Uwais tinggal di Yaman. Kerap membaca al-Quran dan selalu menangis tatkala membacanya. Pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut. Satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakan sebagai selendang.  
Siapalah dia di mata manusia. Tidak banyak yang mengenalinya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara yang mentertawa dan mempermainkannya.Ada yang menuduhnya sebagai pencuri. Manusia mengumpat dan mencelanya kerana kemiskinannya.Uwais telah lama yatim, tiada sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua dan lumpuh.

Sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup untuk menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Jika ada wang lebih, Uwais gunakan bagi membantu jirannya yang juga hidup miskin sepertinya.Uwais al-Qarni peluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke negeri Yaman. Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mengurangkan ibadahnya walau sedikit. Dia tetap berpuasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.
Ramai tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru pulang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengannya. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah. Apatah lagi ibunya sakit dan perlu dirawat.


Hari berganti hari, dan kerinduannya untuk bertemu Nabi tidak terbendung. Pada suatu hari Uwais meluahkan juga isi hatinya kepada ibunya dan memohon izin untuk menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.Si ibu dengan rasa terharu meredhai pemergian Uwais dan berpesan agar segera pulang.Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar menemani ibunya selama mana dia pergi.

Maka berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih kurang 400km dari Yaman. Medan yang begitu panas diharunginya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam mahupun padang pasir yang luas yang boleh menyesatkan. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.Namun setibanya Uwais al-Qarni di depan rumah Nabi, 'Aisyah R.A memaklumkan bahawa Nabi berada di medan perang.Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kepulangan Nabi S.A.W dari medan perang.Namun masih terngiang di telinga pesan ibunya agar cepat pulang ke Yaman.Atas ketaatan kepada ibunya, Dia akhirnya pulang dengan hati yang pilu setelah menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W 
 
Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W terus menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Baginda menjelaskan bahawa Uwais adalah anak yang taat kepada ibunya.Walau tidak dikenali di dunia,namanya sangat terkenal di kalangan penghuni di langit sana .Mendengar perkataan baginda S.A.W, 'Aisyah R.A dan para sahabat terpegun.Menurut 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan pemuda itu telah segera pulang ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit.
Rasulullah S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya."

Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:
"Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."
Setelah wafat Nabi S.A.W, suatu ketika khalifah Umar dan Ali K.W. teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni. Sejak itu, setiap kafilah yang datang dari Yaman, mereka selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni sehingga lah satu ketika akhirnya mereka dipertemukan,bilamana Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah.Pada ketika itu ibunya telahpun wafat.Kesempatan itu diambil oleh Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka sebagaimana pesan Nabi S.A.W.Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah, "Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata, "Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripadamu".
Kerana desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.Setelah itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada Uwais, segera sahaja Uwais menolak dengan halus dan berkata,"Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi."

Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah ramai orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada ramai orang yang menunggu untuk mengkafankannya.Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada ramai orang yang menggali kuburnya hingga selesai. 
Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebut untuk mengusungnya.Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang sewaktu hayatnya.Mereka saling bertanya-tanya;
"Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."
Mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahui siapa sebenarnya Uwais al-Qarni. "Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di kalangan penduduk bumi tetapi namanya sangat tersohor di langit sana."

Thursday, January 24, 2013

Salam Maulidurasul 1434H - Rasulullah Yang Sangat Menyayangi Kanak-Kanak

SALAM MAULIDURASUL kepada semua. Nabi Muhammad SAW amat gemar kepada kanak-kanak yang dipanggil sebagai bunga-bunga di dalam kebun Allah. Kanak-kanak adalah generasi pelapis yang bakal menjadi pemimpin pada masa yang akan datang.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan suatu ketika Rasulullah saw. mencium cucu Baginda saw, Hassan dan ketika itu ada duduk bersama Baginda saw. Al-Afra bin Habis At-Tamimi. Al-Afra lalu berkata: “Aku ada sepuluh orang anak tapi aku tak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Maka Rasulullah saw. pun bersabda, “ Sesiapa yang tidak menyayangi anak-anak tidak akan disayangi dan dirahmati Allah.”

Di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a bermaksud: “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak kasihan belas terhadap anak-anak.” 
Baginda saw. pernah pergi ketempat anaknya Ibrahim menyusu di rumah seorang tukang besi walaupun jauh. Ia membelai dan mencium anaknya dengan kasih sayang. Apabila Ibrahim meninggal Baginda saw. mengalirkan air mata. Rasulullah saw. amat menyayangi cucu-cucu beliau. Pernah suatu hari, cucu beliau Saidina Hussin  berada di masjid ketika Baginda saw. sedang sujud. Saidina Hussin memanjat belakang Nabi saw. Baginda saw sengaja memanjangkan sujud  sehingga para sahabat menyangka bahawa ia adalah satu perintah baru dari Allah swt. untuk memanjangkan sujud . Selepas Rasulullah saw . selesai mengerjakan solat, mereka bertanyakan beliau tentang sujud yang lama itu. Rasulullah saw menjawab, Cucuku telah memanjat belakang ku , maka aku mahu memuaskan hatinya. Aku hanya bangun dari sujud apabila ia telah puas hati. 
Dalam satu hadis yang lain Nabi saw. bersabda: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya”. (Riwayat al-Bukhari). 
Jika seorang bayi dibawa kepadanya, baginda meletakkan di atas ribanya. Jika ditemui kanak-kanak di jalan baginda akan mendukung kanak-kanak itu. Apabila Nabi saw diberi buah-buahan pada musimnya untuk pertama kali, akan diberikan buah itu kepada kanak-kanak.

Sekali–sekala Baginda saw. mempunyai masa dan kesempatan bermain dengan kanak-kanak. Pernah Rasulullah saw. berjumpa sekumpulan kanak-kanak sedang bermain, lalu
baginda meminta mereka berdiri sebaris mengadap beliau. Selepas itu Nabi saw. duduk di satu tempat yang agak jauh dari kanak-kanak itu. Kemudian Baginda saw. meminta mereka berlari mendapatkan beliau, siapa yang sampai dahulu akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak itu berlari dengan sekuat-kuatnya menuju baginda, sehingga ada yang sampai melanggar paha dan perut Baginda saw. Selepas itu Nabi saw. memeluk mereka semua dengan penuh kasih sayang.
Rasulullah s.a.w. selalu beramah mesra dengan kanak-kanak dan tidak pernah memukul walaupun seorang kanak-kanak di sepanjang hidupnya. Rasulullah s.a.w. banyak mengamalkan konsep pemberian ganjaran dan bukannya pemberian denda dalam hal mendisiplin kanak-kanak.
Rasulullah saw. selalu memberikan salam dahulu kepada kanak-kanak. Ini mendidik mereka dan menanamkan dalam diri mereka agar bersegera memberi salam. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pernah satu ketika Rasulullah saw mengutus beliau untuk melakukan satu tugas. Dalam perjalanan beliau berjumpa beberapa orang budak lelaki. Maka beliau duduk bersama kanak-kanak tersebut.. Apabila Rasulullah saw mendekati mereka, Rasulullah saw dengan segera memberi salam kepada mereka. Peristiwa ini memberi kesan yang mendalam kepada Anas bin Malik. Sehingga akhir hayat beliau, baginda selalu bersegera memberi salam.  
SALAM MAULIDIRASUL ~ 12 RABI'UL AWAL 1434 HIJRIYYAH

Video clip: Rindu Muhammad Ku - Haddad Alwi feat Anti & Vita

Sunday, June 12, 2011

Ketinggian Akal dan Kesufian Imam Ghazali

Imam Ghazali: Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?

Murid 1: Orang tua

Murid 2: Guru

Murid 3: Teman

Murid 4: Kaum kerabat

Imam Ghazali: Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali: Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?

Murid 1: Negeri Cina

Murid 2: Bulan

Murid 3: Matahari

Murid 4: Bintang-bintang

Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Imam Ghazali: Apa yang paling besar didunia ini ?

Murid 1: Gunung

Murid 2: Matahari

Murid 3: Bumi

Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al Araf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.

IMAM GHAZALI Apa yang paling berat didunia?

Murid 1: Baja

Murid 2: Besi

Murid 3: Gajah

Imam Ghazali: Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

Imam Ghazali: Apa yang paling ringan di dunia ini ?

Murid 1: Kapas

Murid 2: Angin

Murid 3: Debu

Murid 4: Daun-daun

Imam Ghazali: Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat

Imam Ghazali: Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?

Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang

Imam Ghazali: Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.


**********************************

Di dalam sebuah ceramah Al Musnid Al Allamah Al Arif Billah Al Hafidz Habib Umar bin Hafidz telah menceritakan. Bahawa Al Imam Hasan Assadzili salah satu Ulama Tabi'in pernah bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Di dalam mimpinya beliau melihat Rasulullah SAW duduk di tempat yang lebih tinggi dikelilingi olah para Nabi dan Rasul, para sahabat Nabi, para siddiqin, para solihin, para syuhada dan imam-imam besar.

Di dalam majlis itu, Nabi Musa AS telah bertanya kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah SAW, Apakah maksud Hadis: Ulama-ulama di kalangan umatku seperti nabi-nabi Bani Israel?”.

Maka Rasulullah SAW pun memanggil Imam Ghazali dan memperkenalkannya kepada Nabi Musa AS “Ini adalah salah satu ulama di masa kami yang bagaikan para nabi di masa kalian.”

Nabi Musa AS telah bertanya kepada Imam Al-Ghazali, “Siapakah nama mu”. Maka Imam Ghazali pun menjawab, “Namaku ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al Hamid Al Ghazzali. Atau yang lebih dikenal Imam Ghazali At Thu'usi”

Nabi Musa A.S berkata “Aku bertanya nama mu sahaja, kenapa kau menyebut nama ayah dan datuk mu”.

Imam Al-Ghazali meminta izin dari Rasullullah untuk menjawab persoalan dari Nabi Musa Kalimullah. Selepas mendapat keizinan maka Imam Al-Ghazali pun menjawab, “Bukankah Allah telah bertanya kepadamu : “Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa? (Surah Toha:17), dan Nabi Musa menjawab: Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu. (Surah Toha:18) ”

Nabi Musa lantas berkata “Tuhan itu adalah kekasih kita, maka aku mengambil peluang itu untuk bercakap panjang lebar dengannya lantaran rasa kerana senang, nikmat dan lazat dapat bercakap dgn Tuhan. Maka Imam Ghazali pula mengatakan “Begitulah aku, kamu juga adalah kekasih aku, maka aku juga mengambil kesempatan untuk bercakap panjang lebar denganmu”.

Rasulullah SAW berkata: “Wahai Musa, apakah ada ulama di masa kamu bagaikan nabi di masa kami?” Nabi Musa AS menjawab “Tidak ada Ya Rasulullah.”

Petikan Kitab : Risalatul jam'iyah karya Al Habib Ahmad bin Zain Al Habsyi

Monday, April 25, 2011

Menu Hari Ini : Rojak Kerohanian

Untuk menjadi seorang mukmin dengan menjadi seorang Islam tidak sama. Untuk menjadi orang mukmin, susah tetapi menjadi orang Islam senang. Oleh sebab itu dalam Al Quran tidak ada suatu ayat pun yang Tuhan memberitahu hendak bela, tolong, jamin memberi kemenangan, memberkati dan untuk memberi rezeki yang tidak terduga kepada orang Islam. Yang selalu Tuhan sebut ialah hendak memberi pertolongan, memberi bantuan, memberi rahmat, berkat dan kemenangan kepada orang mukmin dan bertaqwa. Di sinilah kadang-kadang kita terkeliru. Apabila menjadi orang Islam, kita sudah berpuas hati.

Menjadi seorang Islam itu soal lahir atau sikap lahir iaitu mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, seterusnya haji bila cukup syarat. Bila itu dilaksanakan, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang kafir. Malah lebih mudah dari itu iaitu siapa sahaja yang sudah mengucap dua kalimah syahadah, maka jadilah dia seorang muslim atau seorang Islam tetapi belum tentu dia mukmin.

Oleh kerana itulah kita baca dalam sejarah di zaman Rasulullah ada seorang Arab Badwi, dia sudah masuk Islam, maka dia buat pengakuan kepada Rasulullah bahawa dia sudah jadi orang mukmin lantas ditegur oleh Rasulullah masa itu juga. Kata Rasulullah, "Jangan engkau katakan engkau telah beriman. Engkau katakan sajalah engkau sudah Islam."

Mengapa? Ini kerana iman ada hubungan dengan hati, roh, nafsu dan akal. Iman termasuk soal rohaniah. Bukan sahaja orang tidak nampak, bahkan kebanyakan orang yang rohnya tidak hidup, tidak tahu pun perjalanan dalamnya. Dia tidak boleh faham perjalanan rohaninya, tidak boleh membaca nafsu dan akalnya.
Iman ditentukan oleh faktor dalaman, Islam ditentukan oleh faktor luaran. Kesempurnaannya ialah gabungan kedua-duanya sekali tetapi yang penting ialah faktor dalaman. Iman itu isi manakala Islam itu kulit. Kalau tidak dipimpin oleh Tuhan atau ilmu kita tidak halus atau roh kita tidak bercahaya, kita akan banyak terlibat dengan dosa dan kederhakaan dalaman atau rohaniah tanpa kita sedar.

Manakala faktor luar, persoalannya adakah kita boleh melawan nafsu atau tidak, itu sahaja. Kita tahu dan sedar kalau kita terbuat dosa, itu satu kesalahan. Antara contohnya:

1. Kalau kita curi ayam orang, tentu kita tahu kita berdosa. Tanyalah sesiapa pun. Kita tahu perbuatan itu salah tetapi jika hendak curi juga, itu persoalan lain. Namun kita tahu dan akan berkata, "Aku ini buat salah. Kalau polis tahu tentu kena tangkap."

2. Katakanlah kita tampar orang. Bila ditanya tentu kita akan berkata, "Memang saya salah. Saya tidak dapat lawan nafsu saya." Begitu juga kalau orang tampar kita, dia pun akan jawab yang sama.

3. Kalau kita maki orang tentu kita rasa bersalah.

Jadi soal Islam adalah soal luar. Kesalahan lahir yang berbentuk fizikal mudah kita kenal dan tahu. Tetapi yang lebih banyak kita berdosa dan derhaka ialah dalam soal iman, rohaniah, nafsu dan roh kita atau dalam istilah lain, dosa batin atau dosa hati. Bahkan setiap hari kita buat dosa dalaman tetapi kita sedar dan tidak rasa berdosa. Sebenarnya kalau kita faham, dosa dalaman kita lebih banyak dari dosa luar. Apabila kita tidak membuat dosa luar, seperti tidak mencuri, tidak membunuh orang, tidak pukul orang, tidak berzina dan tidak mengata orang, kita terasa senang hati. Terasa tidak ada dosa jadi rasa senang hati dan sudah terbayang mendapat Syurga. Sebenarnya kalau kita terbuat satu dosa lahir, maka dosa batin kita sepuluh. Kalau buat dua dosa lahir maka dosa batin dua puluh. Kalau langsung tidak terlibat dengan dosa lahir pun, pasti kita ada dosa batin. Rasa tidak berdosa itu pun adalah dosa batin. Itulah nisbah antara dosa lahir dan dosa batin. Jadi macam mana kita kata kita sudah bersih? Bagaimana hendak menjadi orang mukmin. Kita hanya boleh jadi orang Islam.


Hari ini kita berbicara tentang rojak kerohanian. Kalau rojak yang dimakan, memang sedap sebab ada udang, ada telur, ada mee dan lain-lain. Yang hendak diperkatakan ini rojak juga tetapi rojak kerohanian. Rojak ini tidak sedap. Rasanya pahit. Yang dimaksudkan rojak kerohanian ialah di dalam diri kita, secara rohaniahnya, bercampur bermacam-macam sifat baik dan buruk.

Mari kita membaca batin kita. Kita akan dapat hujah-hujah bahawa untuk menjadi orang mukmin itu memang susah. Contoh-contohnya seperti berikut:

1. Kalau lihat kumpulan budak lepak yang jahat, suka mengusik dan meragut barang orang, ada dua perasaan atau dua sikap kita yakni:

a. Kita kata itu dia punya pasallah. Bukan hal kita. Usah ganggu mereka kerana itu hak asasi mereka. Di Barat, orang bunuh orang pun dia anggap itu hak asasinya. Kalau hendak kena tangkap pun dia, bukan kita. Orang lain tidak tolong selamatkan pun tidak apa. Sudah sampai ke peringkat itu di Barat. Sikap yang pertama ini adalah dosa kerana tidak ada rasa tanggungjawab.

b. Bila melihat budak lepak, ada golongan yang mengatakan 'jahat betul', 'tak guna', 'sampah masyarakat'. Terasa tidak berdosa bila berkata begitu. Sikap yang kedua ini lagi berat. Sepatutnya bila melihat budak lepak itu timbul rasa kasihan lalu mendoakan mereka kerana mereka tidak dapat petunjuk. Kalau tidak berani memberi nasihat, takut dipukul oleh budak itu, berdoalah, "Wahai Tuhan, berilah petunjuk kepadanya." Sebaliknya kita menghina mereka. Pernahkah kita rasa berdosa, bila balik ke rumah rasa menyesal lalu istighfar jika tadi sudah terlajak cakap terhadap budak itu. Jika tidak, itulah dosa batin. Ertinya roh sudah rosak.

2. Bila kita melihat orang miskin, ada rasa simpati hendak tolong atau tidak? Kalau kita tidak mampu hendak tolong kerana kita pun miskin, adakah kita doakan semoga dia murah rezeki? Pernahkah kita rasa berdosa kerana tidak rasa begitu terhadap orang miskin? Adakah kita rasa berdosa sebab tidak merasa susah dengan kesusahan orang miskin?

3. Satu hari kita dengar orang puji kita. Hati pun berbunga di dalam. Orang keji, kita terasa sakitnya. Pernahkah hati rasa berdosa? Berdosa kerana berbunga hati bila dipuji dan sakit hati bila dikeji. Walhal pujian itu pakaian Tuhan dan kejian itu pakaian hamba. Sebab itu hendak jadi orang mukmin sangat susah. Hendak jadi Islam, senang.

4. Sepanjang hari kita rasa sombong dan riyak. Pernahkah kita rasa berdosa? Sedangkan sombong, riyak, rasa megah adalah dosa besar. Kalau kita buat dosa lahir, contohnya curi ayam, itu dosa kecil. Jika orang terkenal atau popular yang mencuri telur ayam, beritanya sehingga masuk muka depan surat khabar, padahal itu dosa kecil. Tetapi dosa dalaman iaitu riyak, ujub, sombong, hati berbunga bila dipuji, bila dikeji sakit hati adalah dosa besar tetapi tidak terasa. Mencuri telur ayam semua orang riuh padahal itu dosa kecil. Buat dosa besar dalam hati tidak ada siapa yang kisah. Orang pandang besar dosa yang di luar tetapi yang di dalam itu tidak terasa walaupun dosa besar. Inilah yang dimaksudkan, dosa batin lebih besar daripada dosa lahir. Dosa lahir itu memang kita tidak mahu buat dan susah hendak terbuat. Tetapi dosa dalaman atau dosa batin, sehari berpuluh-puluh kali kita buat.

5. Kadang-kadang kita buat dosa yakni kita tidak sedar bahawa kita ada kepentingan diri. Kita fikir, "Mana aku ada kepentingan diri? Aku tak gila pangkat atau harta. Kalau gila harta atau pangkat, bolehlah kata ada kepentingan diri." Sebenarnya gila pangkat dan harta itu sudah besar sangat. Kalau orang yang ada asas, dia tidak akan buat perkara seperti itu.

Antara contoh kepentingan diri : Adakah kita ziarah ibu bapa kita? Kadang-kadang bila balik kampung, kena marah. Hubungan anak dengan ibu bapa lebih kurang sahaja. Sebab itu malas hendak balik. Baru tiba di depan pintu sudah kena 'sembur'. Kalau orang yang tidak ada kepentingan diri, dia fikir, "Hendak kena marah, hendak kena sembur ke, biarlah. Ziarah ibu bapa adalah tanggungjawab saya."

Ramai yang terperangkap dengan dosa-dosa ini tetapi tidak menyedarinya. Kalau sedar, kita harap Tuhan ampunkan. Ramai orang yang mengerjakan sembahyang, puasa dan haji tetapi tidak sedar dengan dosa-dosa ini. Kita ingat kepentingan diri itu ialah rebut jawatan atau rebut harta tetapi jika suka pergi kenduri dan tidak suka ziarah orang sakit, tidak rasa itulah kepentingan diri. Kita dulukan kehendak kita dari kehendak Tuhan dan kehendak orang lain. Itu kepentingan dirilah namanya. Tidak sedar yang diri telah buat dosa.

6. Orang yang berdakwah sudah biasa terima duit. Ada tempat yang bagi duit atau envelope, ada tempat yang tidak bagi. Di tempat yang biasa ada imbuhan, kita rajin pergi berdakwah walaupun yang dengar lima orang sahaja. Tetapi bila sampai jadual dakwah di masjid atau ditempat yang tidak dapat bayaran, walaupun 500 orang yang dengar, kita tidak mahu pergi dengan alasan sakit-sakit badan. Adakah terfikir bahawa itu ada kepentingan diri. Itu semua adalah dosa batin.

7. Orang yang agak beragama, tidak meninggalkan sembahyang, tidak meninggalkan puasa, sekali-sekala keluar zakat, pergi haji bila cukup syarat, sekali-sekala umrah, baca Al Quran, wirid dan zikir, dia berkata, "Aku tidak cuai. Aku tidak salah." Dia terlupa bahawa dia tidak cuai tetapi lalai. Mana kita perasan kita tidak cuai tetapi lalai. Yang punya diri pun tidak perasan. Kalau tidak sembahyang, dia sudah tahu dia cuai dan terasa kecuaiannya. Kalau sudah cukup syarat tetapi tidak pergi haji, dia rasa cuai.

Bagaimanakah yang dikatakan tidak cuai tetapi lalai? Ertinya tidak cuai itu kerana ibadah dilaksanakan dan dibuat tetapi adakah ibadah itu dapat dihayati? Bila rukuk dan sujud apakah yang dibaca? Apakah yang kita rasa? Ini adalah kes atau contoh tidak cuai tetapi lalai. Inilah yang Tuhan maksudkan dalam ayat Al Quran yang bermaksud: "Neraka Wail bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." (Al Ma'un: 4-5)

Masuk Neraka bukan kerana cuai tetapi kerana lalai sebab dalam ibadah tidak ada roh dan tidak dihayati. Kalau kerana cuai lebih teruk lagi, kerana langsung tidak berbuat. Tapi pernah terfikirkah kita yang kita membuat dosa lalai?

Lalai adalah satu dosa. Kita tidak cuai berpuasa dalam bulan Ramadhan tetapi berdosa kerana sepanjang puasa itu kita lalai, tidak ada rasa kehambaan, tidak ada rasa bertuhan, tidak takut dan tidak cinta dengan Tuhan. Sepanjang hari kita mengumpat, marah anak buah, benci pada majikan, bermasam muka suami isteri, tidak bertegursapa sesama jiran, lalai sehingga berkurangan pahala puasa kita. Pernahkah ada merasa berdosa kerana lalai dalam berpuasa?

Itulah hujah untuk mengatakan menjadi orang Islam senang sebaliknya untuk menjadi orang mukmin susah. Kita tidak cuai tetapi lalai. Tidak berbuat dosa lahir tetapi berbuat dosa batin. Ada kepentingan diri secara tidak sedar. Disangkakan orang yang berebut jawatan dalam parti dan dalam kerajaan, itulah orang yang berkepentingan diri. Sedangkan itu sudah besar sangat, tetapi kepentingan yang setiap hari kita buat, kita tidak sedar. Bagaimana kita boleh sedar bahawa kita sedang mengharungi dosa kejahatan batin?

8. Kalau sembahyang seorang diri, kita sembahyang lebih kurang sahaja tetapi berbeza kalau bersembahyang ramai atau berjemaah. Waktu berjemaah, kita begitu tertib. Apatah lagi kalau menjadi imam, sedap bacaannya. Sedangkan kalau sembahyang seorang diri, bacaan tidak sedap. Ada dosa di situ iaitu ada rasa kepentingan diri. Tidak sedar yang kita berbuat dosa.



Sebab itu Tuhan menyuruh kita sama ada ada dosa atau tidak, buat dosa atau tidak, nampak dan perasan ada dosa atau tidak, tetap disuruh rasa berdosa kerana memang ada dosa-dosa yang kita tidak sedar, iaitu dosa-dosa yang sangat tersirat. Lebih-lebih lagi kalau kita tidak ada pemimpin dan mursyid, banyak perkara-perkara halus dan seni yang kita tidak nampak. Sebab itu rasa kehambaan dan rasa bertuhan perlu dikekalkan. Termasuklah taubat dan rasa menyesal. Rasa berdosa mesti dikekalkan kerana walaupun tidak nampak dosa yang dibuat tetapi pasti ada dosa tersembunyi yang tidak dapat hendak dicungkil.

Orang mukmin yang sejati, hatinya seperti gelombang ombak di laut, berombak-ombak tetapi tidak nampak. Lantaran merasai setiap detik dan saat terlalu banyaknya dosa-dosa yang telah dibuat dalam sehari. Bahkan dosa batin lebih banyak daripada dosa lahir tetapi tidak disedari. Biasanya dosa yang tidak terampun adalah dosa batin. Oleh kerana tidak ada rasa berdosa maka kita tidak bertaubat. Dosa lahir mudah disedari dan ditaubatkan. Di Akhirat, ramai orang tidak lepas dan masuk ke Neraka kerana dosa batin mereka.

Kalau begitu, masih banyak lagi yang tidak selesai. Banyak lagi kejahatan batin yang berlaku. Oleh itu, banyakkan bertaubat dengan Tuhan. Cari ilmu lagi supaya boleh baiki diri. Tidak cukup hanya menjadi orang Islam sahaja. Kita mesti menjadi orang mukmin. Tuhan tidak akan menolong orang Islam kerana Tuhan hanya menolong orang mukmin. Kalau hendak mengharapkan bantuan dan pertolongan Tuhan, mestilah kemaskinikan diri untuk mendapat bantuan Tuhan itu.


(credit video clip goes to See Sharp Minor)

Saturday, January 29, 2011

Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia

Nabi SAW pernah membahagikan perolehan harta kepada mereka yang berhak, tiba-tiba berkata seorang lelaki dari satu kaum bahawa mereka lebih berhak menerima lebih banyak dari kaum yang satu lagi. Kemudian, diterangkan selanjutnya :

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :

"Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),

Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata

"Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :

Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".

Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yang tidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"

Baginda membalas :-

إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-

إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر

Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )

Demikian juga dari apa yang dikatakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab :

إنَّمَا كَانُوا يُؤْخَذُونَ بِالْوَحْيِ على عَهْدِ النبي صلى اللَّهُ عليه وسلم وَإِنَّ الْوَحْيَ قد انْقَطَعَ وَإِنَّمَا نَأْخُذُكُمْ الْآنَ بِمَا ظَهَرَ لنا من أَعْمَالِكُمْ

Ertinya : Dahulu diambil ketetapan hukum dari wahyu iaitu di waktu zaman hidupnya Baginda SAW, dan apabila wahyu sudah putus ( dengan wafatnya Nabi) , sesungguhnya kami hanya akan menilai dan mengambil dari apa yang terzahir kepada kami dari perbuatan kamu ( dalam hal kehakiman sebagai contoh dll.) ( Talkhis al-Khabir, Ibn Hajar, 4/192 )

Di dalam satu kisah yang lain yang dinyatakan di dalam hadis :-

بَعَثَنَا رسول اللَّهِ إلى الْحُرَقَةِ فَصَبَّحْنَا الْقَوْمَ فَهَزَمْنَاهُمْ وَلَحِقْتُ أنا وَرَجُلٌ من الْأَنْصَارِ رَجُلًا منهم فلما غَشِينَاهُ قال لَا إِلَهَ إلا الله فَكَفَّ الْأَنْصَارِيُّ عنه فَطَعَنْتُهُ بِرُمْحِي حتى قَتَلْتُهُ فلما قَدِمْنَا بَلَغَ النبي فقال يا أُسَامَةُ أَقَتَلْتَهُ بَعْدَ ما قال لَا إِلَهَ إلا الله قلت كان مُتَعَوِّذًا فما زَالَ يُكَرِّرُهَا حتى تَمَنَّيْتُ أَنِّي لم أَكُنْ أَسْلَمْتُ قبل ذلك الْيَوْمِ

Ertinya : Nabi mengutuskan kami ke Huraqah, dan berperang dengan satu kaum lalu kami menyerang mereka di waktu Subuh dan menewaskan mereka, sehinggalah aku dan seorang lelaki dari Ansar mengejar seorang perajurit (musuh), tatkala kami merapatinya, tiba-tiba dia mengucap La Ilaha Illa Allah, dengan segera lelaki Ansar itu menarik senjatanya dan aku pula terus menikam lelaki itu dengan panahku sehingga membunuhnya. Apabila kami pulang dan menyampaikannya kepada Nabi,

lalu Nabi bertanya : "Adakah kamu membunuhnya selepas ia mengucap? "

Aku menjawab : Kerana dia hanya hendak melindungi dirinya dari kami"

Rasulullah sentiasa mengulang-ngulang pertanyaan (menunjukkan salahnya tindakan membunuh itu) itu sehingga aku merasa aku belum masuk islam hari itu" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4021, 4/1555)

Hadis di atas menunjukkan kepada kita untuk tidak mempersoalkan isi hati seseorang. Soal keikhlasan dan keyakinan itu adalah urusan di antara seorang hamba itu dengan Tuhannya. Nabi tidak pernah menyuruh kita menilai dan memeriksa hingga ke tahap isi hati manusia walaupun Baginda mampu berbuat demikian secara kasyaf ataupun melalui rasa hati dan mukjizat baginda.

Justeru, kita yang kini berada di akhir zaman yang merupakan zaman fitnah ini, seharusnya kita mengutamakan perpaduan dan silaturrahim lebih daripada segalanya. Walaupun berbeza bahtera dan nakhoda namun matlamat kita tetap sama. Janganlah kita terlalu cepat mempertikai dan menilai isi hati seseorang.. Tambah pula sekarang ini dengan isu semasa dan perbezaan pendapat dari segi fahaman politik, berlainan fikrah dan jemaah, hatta berbeza pendapat dari pandangan mazhab sekalipun, itu bukanlah faktor untuk berpecah belah dan memutuskan silaturrahim, jauh sekali untuk mempertikai keikhlasan dan keyakinan seseorang terhadap perjuangan Islam, dan lebih buruk lagi hingga ke tahap melabelkan seseorang itu menjadi penghuni syurga ataupun neraka..! Mengapa hal ini seolah sudah menjadi budaya masyarakat Melayu Islam hari ini..?

Subhanallah..! Ini jelas sama sekali tidak pernah diajar oleh Baginda SAW bahkan Nabi sangat berbaik sangka dengan seseorang hatta terhadap musuhnya sekalipun, bahkan baginda juga sangat mendoakan mereka. Marilah kita menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai Role Model sepanjang zaman kita. Moga2 kita selaku ummat Muhammad diberi panduan dan dianugerahi keikhlasan dan keyakinan seteguh Baginda dalam usaha membantu ke arah memartabatkan Kalimah Allah di muka bumi ini... Moga yang membantu akan dibantu..


Sunday, February 21, 2010

Kelebihan Wanita Berbanding Lelaki

1. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis tersebut. lalu Baginda bertanya, “Adakah kamu menyembahyangkan mayat?” Jawab mereka,”Tidak” Sabda Baginda “Seeloknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat kaum orang lelaki.

2. Wanita yang memerah susu binatang dengan ‘Bismillah’ akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

3. Wanita yang menguli tepung gandum dengan ‘Bismillah’, Allah akan berkatkan rezekinya.

4. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah.

5. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi.”

6. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utas benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat.”

7. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat.”

8. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatit baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian.”

9. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya.”

10. Sabda Nabi s.a.w. : “Ya Fatimah setiap wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum kepadanya dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shiratul Mustaqim.”

11. Jika suami mengajarkan atau menerangkan kepada isterinya satu masalah agama atau dunia dia akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

12. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggu kedatangan suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

13. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

14. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

15. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggembirakan kamu, jika engkau memerintahnya ia mentaati perintah tersebut dan jika engkau bermusafir dia menjaga harta engkau dan dirinya. Maksud hadis: Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah.


Thursday, February 5, 2009

Islam, Bangsa Cina & Timur

Malam semalam, saya berkesempatan untuk hadir ke Majlis Makan Malam sempena Tahun Baru Cina di Damansara. Saya dipelawa utk turut serta ke Open House tertutup Uncle Lee melalui rakan motivator saya, Saudara Shuib Sulaiman atau lebih dikenali dengan gelaran Ustaz Shuib, penulis blog Era Timur yang sudah mengenali Uncle Lee sekian lama. Uncle Lee yang juga agak aktif di area pem'blog'an turut mengundang penulis2 blog lain dan antara yang turut hadir pada malam tadi ialah penulis blog tidak asing lagi dengan motto 'No Holds Barred'nya iaitu Saudara Raja Petra Kamarudin.

Di satu sudut meja, apabila Uncle Lee ini disapa dan ditanya oleh tetamu2 Melayu berkenaan situasi politik di Negeri Perak yang agak kritikal sekarang ini, Uncle Lee mengatakan bahawa sistem politik negara bahkan dunia sekarang ini sedang menuju kehancuran. Tidak pernah berlaku di dalam sejarah politik negara kita, perihal lompat keluar masuk parti yang cukup ketara tambah lagi yang menjadi taruhannya adalah sebuah negeri!

Apa yang mengejutkan saya, ialah bilamana Uncle Lee yang berbangsa Cina dan menganut agama Buddha itu dengan yakin mengatakan bahawa segala kemelut dan permasalahan ini akan selesai dengan kedatangan seorang penyelamat atau pemimpin yang dia istilahkan sebagai 'Orang Tuhan'. Apabila ditanya oleh tetamu itu lagi, apa yang dimaksudkan dengan orang Tuhan itu, maka Uncle Lee menjawab dia adalah seorang yang seperti Ayatullah Khomeini! iaitu orang yang kuat agamanya, religious, berwibawa serta mampu melagangkan sistem yang tersendiri (barangkali yang dimaksudkan ialah sistem politik Islam yang bersih, adil dan tersendiri)

Terpinga2 tetamu Melayu itu mendengar jawapan yang tidak disangka2 keluar dari mulut seorang yang berbangsa Cina. Saya tidak hairan, kerana bangsa Cina sudah menerima Islam jauh lebih awal daripada bangsa Melayu! Bahkan sekiranya umat Islam yang menjadi kaum minoriti di China itu dipanggil ke negara kita, nescaya tidak muat kerana bilangan mereka adalah lebih ramai daripada bilangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini! Sungguh luarbiasa bilamana seorang berbangsa cina boleh memberi pandangan tentang scenario politik negara dan memberi sokongan kepada kepimpinan Islam.

Mari kita lihat dari sudut sejarah, bilamana Nabi junjungan tercinta kita pernah mengatakan bahawa Konstantinopal akan jatuh ke tangan sebaik2 pemimpin,sebaik2 tentera dan sebaik2 rakyat. Maka bermula daripada saat itu, para sahabat pun berbondong menuju ke kota konstantinopal utk merealisasikan hadith tersebut termasuklah Abu Ayub Al-Ansari yang sudah berumut di waktu itu. Namun atas keyakinan dengan janji Tuhan itu maka Abu Ayub pun memimpin tentera Islam di waktu itu namun beliau telah syahid di pintu masuk kota itu. Diikuti dengan ribuan lagi para sahabat yang pergi menyahut seruan di era khulafa' arrasyidin , tabi'in dan tabi' tabi'in. Namun rupa2nya, hadith itu dibuktikan kebenarannya di tangan Sultan Muhammad Al-Fateh, dari empayar Uthmaniah iaitu selepas 600 tahun baginda junjungan memberi isyarat kemenangan itu. Segala isyarat drpd Nabi SAW berupa janji Tuhan yg merupakan khabar gembira buat umat Islam, malah perlu disambut, diusahakan dan dibuktikan kebenarannya.

Satu khabar gembira yg ingin saya utarakan di sini ialah janji atau isyarat yang telah dikhabarkan oleh kita melalui lidah baginda SAW iaitu di akhir zaman nanti, Islam akan bangkit semula daripada Timur. Ini adalah khabar gembira yang cukup ditakuti oleh musuh Islam terutama yahudi. Perlu diingat, orang yahudi ialah orang yang cukup mengkaji hadith terutama hadith akhir zaman. Sebaliknya umat Islam ialah orang yang cetek pengetahuan tentang ilmu hadith bahkan cukup takut untuk mengenengahkan hadith2 akhir zaman!

Bila dilihat daripada perkataan 'Timur', ia agak umum bahkan mana2 negara yang terletak di bahagian timur peta dunia boleh claim bahawa merekalah timur yg dimaksudkan. sepertimana juga para sahabat yang berbondong pergi ke kota konstantinopal untuk melihat samada mereka itukah yg baginda maksudkan dengan sebaik2 pemimpin, sebaik2 tentera dan sebaik2 rakyat. sekiranya bukan mereka sekalipun yg dijanjikan, namun mereka sudahpun menempa sejarah dan menempah tempat di Syurga Allah lantaran syahid kerana ingin membuktikan kebenaran hadith tersebut.

Timur? apakah negara matahari terbit jepun yang dimaksudkan. kita tolak tepi kesemua negara2 bukan Islam utk memudahkan kita membuat perkiraan. Malaysia dan Indonesia terletak di sebelah timur peta dunia... Bahkan antara sebab para sahabat berhijrah dan berdakwah sampai ke Tanah Melayu ialah kerana mereka sendiri ingin merealisasikan hadith tersebut, mereka amat berharap agar mereka jugalah yang akan mempelopori kebangkitan Islam kali kedua ini. Oleh sebab itu kita dapat melihat banyak makam para sahabat dan ulama tabi'in itu berada di luar daripada Tanah Arab. Kedatangan pedagang Arab satu ketika dahulu itu sebenarnya bukanlah bertujuan utk berdagang atau berekonomi semata2, sebaliknya untuk mencari dan melihat sendiri bumi bertuah manakah di sebelah timur yg dimaksudkan oleh hadith Baginda SAW. Dan perlu diingat juga, kedatangan penjajah ke bumi bertuah kita ini juga bukanlah semata2 utk meluaskan empayar dan jajahan takluk mereka, tetapi mereka juga ingin mencari negara timur mana yg bakal menggugat empayar mereka satu hari nanti.

Pihak barat, yahudi dan Amerika pula mengandai bahawa timur yang dimaksudkan ialah Afghanistan atau mungkin juga Iraq, kerana kecanggihan tentera mereka. pelbagai usaha (dan alasan) mereka lakukan utk menyerang dan memusnahkan kedua negara itu - dan mereka berjaya melakukannya. Namun bahang kebangkitan Islam itu masih terasa. Saya berani jamin, selepas ini berkemungkinan besar Presiden Obama akan mencari alasan pula untuk mengebom Iran ataupun Syria. Tambah pula Iran memang ada membangunkan senjata nuklearnya sendiri, alasan dan bukti yg ckup kuat utk Amerika menyerang Iran.

Mereka juga turut mengandaikan Malaysia dan Indonesia sbg timur yang dijanjikan itu. Bahkan mereka sudah awal2 lagi menghantar penjajah untuk menjajah negara kita, dan yg lebih penting untuk menjajah minda, pemikiran, sistem dan cara hidup kita. Sehingga akhirnya mereka membuat kesimpulan, xkan lah org Melayu yang terkenal dengan lemah lembut dan sopan santun ini yang akan menggugat mereka di akhir zaman nanti. Lihat sahajalah kerosakan dan keruntuhan akhlak remaja mereka, pergolakan politik mereka, ekonomi yang turun naik, x mungkin mereka yang akan mengepalai kebangkitan Islam kali kedua! Namun mereka tidak sedar, bahawa di Tanah Melayu ini pernah lahir dan menjadi tempat bergelanggang golongan ulama dan Wali Allah sehingga mengalir keberkatan dan kesejahteraan di muka bumi ini. Lihat saja buktinya negara kita bebas daripada bencana alam yg dahsyat, kaya dengan sumber bumi, bahkan kesedaran dan pengamalan Islam di negara kita adalah lebih bagus drp negara2 Islam yg lain.

Namun mereka lupa, kekuatan umat Islam yang terbina sejak zaman Nabi SAW dan digunapakai sehingga zaman Sultan Muhammad Alfateh itu ialah kekuatan ruh iaitu iman dan taqwa. Kekuatan ruh inilah yang bisa melumpuhkan kekuatan lahiriah (quwwah) dan juga senjata. Tidak salah sekiranya kita mengandaikan bahawa di tangan negara kita Malaysia inilah kebangkitan yg dimaksudkan di dlm hadith itu akan terjadi, sptmana Abu Ayub Alansari mengandaikan di tangan dia dan tenteranyalah constantinople akan jatuh.

Dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan, pihak musuh telah dikaburi sehingga mereka tersilap membuat andaian. ada sahaja sebab musabab yg menyebabkan mereka gagal memusnahkan negara kita ataupun merosakkan kepercayaan umat Islam negara kita hingga ke akar umbi. Bahkan mereka juga tidak tahu, bahawa umat Islam minoriti di negara China itu nanti akan turut sama bangun dan menyertai kebangkitan Islam kedua apabila terkena tempias aura kebangkitan Islam yg dicetuskan di nusantara ini.

Setiap perkara perlu dinilai dan dilihat hikmah di sebaliknya, suluhlah dengan pandangan mata hati yang dipandu oleh iman dan taqwa. kelebihan inilah yg tidak dipunyai oleh musuh2 Islam dan yahudi sehingga mereka tersilap dan melihat, menilai dan membaca jadual kebangkitan Islam dan hadith akhir zaman. Ini adalah berita gembira untuk umat Islam... Namun ramai yang masih belum menyedari, biarpun yahudi terlebih dahulu menyerang palestin beberapa hari sebelum kedatangan bulan muharram, kerana mereka cukup tahu bahawa bulan muharram itu adalah bulan kemenangan bagi umat Islam. Sama2lah kita berdoa agar kebenaran itu dizahirkan dan yang batil itu segera dihapuskan. Sama2lah kita berdoa juga, agar Allah SWT segera mendatangkan seorang pemimpin, ulama, Presiden, Perdana Menteri atau sesiapa juga yang layak digelar tokoh untuk memimpin ummah secara keseluruhannya sepertimana yang disebut oleh Uncle Lee di awal2 tadi sebagai 'Orang Tuhan' itu. Tuhan pasti tidak akan mengecewakan doa dan permintaan daripada hamba2Nya. Ketahuilah bahawa sekarang ini ialah Era Timur...

* Kepada sesiapa yang ingin meminta pandangan dan komen tentang isu semasa, scenario politik dlm mahupun luar negara mahupun tentang scenario kebangkitan Islam bolehlah menghubungi mereka melalui email mereka :- Encik Shuib Sulaiman (ustshuib@yahoo.com) & Uncle Lee (yauhui@gmail.com) ataupun layari blog www.eratimur.com

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...