Friday, September 20, 2013
I Am Only A Traveller In This World
Friday, January 1, 2010
Hikmah Tahun Baru
Tahun baru Masihi atau tahun baru Hijriah walaupun berlainan tempat rujuknya yang satu dirujuk kepada Nabi Isa yang satu dirujuk kepada hijrah Rasulullah
Namun satu tahun adalah mengandungi 12 bulan
Mengapa satu tahun ada 12 bulan?
Mesti ada hikmah yang tersirat mengapa 1 tahun ada 12 bulan?!
12 bulan masa yang singkat,
kalau dibandingkan dengan masa yang jauh di hadapan buat umur yang panjang
Tapi ia masa yang panjang buat ukuran satu dekad ke hadapan
Di dalam satu tahun ada 12 bulan
setiap insan kenalah muhasabah segala perbuatan,
untuk mengukur kejayaan satu tahun
Kalau satu dekad bagaimana pula kejayaan yang dihasilkan akan dapat diagakkan
Lebih-lebih lagi umat Islam di dalam satu tahun kenalah pandang ke belakang
dan pandang jugalah ke hadapan
Bukan memikirkan hendak menyambut tahun baru secara pesta dan perayaan
Agar kita sentiasa membuat perubahan kepada kebaikan
dan seterusnya menjadi umat yang menguasai dunia global yang gemilang,
Ukuran kejayaan satu tahun kenalah diukur di semua bidang
Dengan itu kita akan dapat mengukur kejayaan
atau kegagalan itu di semua bidang
atau di sesetengah bidang atau di semua persoalan
Aspek yang gagal kenalah buat kajian kerana apa ia gagal,
Yang berjaya diteruskan untuk disuburkan
Umat Islam apabila berhadapan dengan tahun baru
di semua aspek kenalah post mortem bukan sibuk membuat perayaan
Kalau mahulah umat Islam ini menjadi maju,
bertamaddun dan menempa sejarah gemilang seperti zaman silam
Mari kita buat muhasabah itu atau post mortem!
Muhasabah atau post mortem ada beberapa aspek untuk kita faham,
yang bersifat peribadi, keluarga, masyarakat
Tugas yang diberi tanggungjawab, bagaimana peranannya,
juga tanggungjawab dalam organisasi dan persatuan,
Bersifat peribadi adakah kita menghayati rukun iman,
mengerjakan rukun Islam, berakhlak mulia seperti tawadhuk,
pemurah, berkasih sayang, sabar, redha, pemaaf.
Jika ada keluarga tanggungjawab kita kepada keluarga disempurnakan atau tidak,
berkasih sayang, bekerjasama, bertolak ansurkah?!
Jika berjiran hormati jiran atau tidak,
selalu memberi bantuan atau sebaliknya,
berlapang dada dengan jiran atau tidak,
jiran susah dibantu atau tidak,
Seterusnya masyarakat sekampung bagaimana pula?!
Masyarakat sekampung adakah kita prihatin kehidupan mereka bekerjasama,
berkasih-sayang, ziarah-menziarahi di waktu lapang
Jika ada tugas atau jawatan didalam kerajaan atau swasta
sudahkah kita menyempurnakan tugas itu dengan baik?!
khidmat kita serius atau sambil lewa, bersungguh-sungguh atau bermalas-malas sahaja
Jika kita berjemaah, berkomuniti atau berpersatuan,
sudahkah kita menyumbang untuk jemaah dan komuniti,
berkasih sayang sesama ahli, dan bekerjasama antara satu sama lain?
Begitulah sepatutnya kita koreksi diri kita di dalam masa setahun
di dalam semua bidang, untuk ukuran,
Jika cemerlang diteruskan, jika malang jangan diulang
yang cacat ditampal, yang baik diteruskan,
yang belum wujud difikirkan dan buatlah tindakan
Jika semua warganegara berfikiran begini,
setiap tahun muhasabah diri, yang rosak dibetulkan,
yang berlubang ditampal, yang kurang ditambah,
yang baik diteruskan bahkan boleh dipertingkatkan lagi
Begitulah setiap tahun terus menerus hingga dekad ke dekad dan seterusnya.
Natijahnya, bangsa dan negara maju, berkasih sayang, bekerjasama,
Tuhan ditaati dan disembah, individu berakhlak mulia
Berlakulah tamadun fizikal, insaniah dan rohani
Terbangun kualiti emosi dan spiritual pada bangsa kita
Bangsa kita bukan sahaja kuat di dalam negara bahkan mampu jadi empayar dunia
Begitulah bangsa yang benar-benar bertanggung jawab apabila setahun hilang
Bukan setahun yang datang sibuk memikirkan
bagaimana hendak berpesta atau membuat keramaian
Marilah kita tukar cara berfikir, mengubah sikap,
dan memikirkan masa hadapan yang akan datang
Bukan asyik berslogan, berpesta, berperayaan,
berfoya-foya dan berangan-angan.
" Jika kita ingin melihat masa depan sesebuah negara,
Lihatlah pada keadaan remajanya pada hari ini..! "
Pada 1 Januari ini, genaplah 1 tahun usia blog saya yang diberi nama 'BENGKEL ROHANI' ini... Klik di sini untuk membaca semula POSTING PERTAMA saya... Terima kasih kepada semua pembaca dan follower kepada blog saya. Salam Tahun Baru Hijrah juga untuk semua..!
Thursday, October 8, 2009
Peranan Pendakwah dan Penceramah
Di antara para pejuang ialah pendakwah dan penceramah
Pendakwah dan penceramah wajib mengenalkan Tuhan kepada manusia
Agar Tuhan disembah, dicintai, ditakuti, dibesarkan, disanjung sebagai idola
Mengajak manusia menanamkan rasa bertuhan, supaya subur rasa kehambaan
Dari situlah timbulnya rasa hebatnya Tuhan, rasa malu, rasa syukur, rasa harap
Dengan itu lahirlah insan-insan yang tawadhuk dan merendah diri di bumi Tuhan
Setelah wujud rasa bertuhan sekaligus meneballah rasa kehambaan
Bilamana rasa kehambaan subur barulah manusia patuh kepada syariat-Nya
Taat suruhan-Nya, menjauhi larangan-Nya
Itulah dia tugas mubaligh dan para da’i di dalam kuliah dan ceramah-ceramahnya
Tapi amat sedihnya apa yang kita lihat
Para penceramah dan pendakwah sasarannya adalah manusia bukan Tuhannya
Ada yang mensasarkan musuh-musuh peribadinya, terkadang juga musuh politiknya
Menanamkan permusuhan, pergaduhan, dendam-kesumat sesama manusia
Dengan cara mengata, menghina, memfitnah, menuduh dan menjatuhkan air muka
Tuhan tidak diperkata, syariat Tuhan sedikit sekali diperkatakan.
Sembahyang, ibadah, akhlak jarang diperkata
Membaiki diri, membaiki hati, mujahadatunnafsi lebih-lebih lagi
Ada pula berceramah untuk mencipta nama,
Tidak kurang yang menjadikan wang sebagai tujuan utama.
Hakikatnya orang sebegitu itu bukan mubaligh dan da’i
Tetapi pembawa fitnah dan pemecah-belah
Menebalkan mazmumah memusnahkan mahmudah
Menjauhkan masyarakat daripada mengenal Tuhan
Masyarakat rosak dan hilang panduan, maka berlakulah gejala sosial.
Keruntuhan akhlak yang membimbangkan.
Keharmonian rumahtangga semakin pincang.
Kasih sayang dan perpaduan tidak lagi menjadi amalan
Hakikatnya orang sebegini bukan pejuang dan penceramah tetapi penjenayah
Monday, August 31, 2009
Mengisi Kemerdekaan
-->Marilah kita mengisi kemerdekaan kita dgn sgla kebaikan
Wednesday, July 29, 2009
Bila Merajuk Jadi Budaya...
Merajuk telah menjadi budaya manusia
Budaya yang sama-sama manusia tidak mahu
Tapi sama-sama membudayakannya
Budaya merajuk itulah yang menyusahkan manusia
Yang menjadi racun di dalam keluarga dan di dalam pergaulan mereka
Banyak kerja terhalang, tidak kurang kerja terbengkalai dibuatnya
Banyak kerja tidak sempurna, diganggu oleh budaya merajuk
Buat itu tak kena, buat ini tak kena, serba terganggu, merajuk menghantui perasaannya,
Setengah jiwa yang terlalu lemah, jiwanya merana...
Budaya merajuk ini berlaku setiap hari,
Di dalam rumahtangga, di tempat kerja, di dalam parti.
Bahkan lebih sedih, di rumah Allah berlaku juga.
Tidak ada akta dan peraturan yang boleh membendungnya
Justerulah akta dan undang-undang tidak dilagang.
Penyakit merajuk ini dia serang tidak pilih orang.
Semua golongan bisa diserang.
Budaya merajuk ini mudah saja terjadi
Suami lambat balik pun isteri masam muka, hilang manisnya
Layanan kepada suami pun dingin sahaja,
Belum lagi suami berkahwin dua !
Merasakan diri tidak dihormati, pertengkaran pun terjadi, adakalanya sampai mati!
Suami pula terpelengok, pun merajuk sakit hati, sebagai tindakbalas terhadap isteri...
Ibu bapa pun selalu merajuk, tersinggung dek anak-anak yang berbagai kerenah
Anak-anak lambat ziarah atau lambat menerima surat atau memberi pendapat
Tidak senang sahaja, marah-marah sahaja, merungut-rungut dan membebel tidak tentu hala
Apabila anak-anak balik kerut mukanya, bila ditanya diam sahaja,
Tidak kurang juga ada yang menyergah macam singa!
Di pejabat-pejabat ada staf-staf merungut tidak habis-habis
Merasakan tertekan oleh majikan, kerana terlalu banyak kerja
Atau gaji tidak seimbang dengan kerja, majikan tidak dihormati lagi
Di belakang dikata-kata dan dihina, ada yang terus lari dari kerja
Majikan pula susah hati, merajuk pula, marah-marah kepada staf-stafnya
Adakalanya nafsu gagal dikontrol, maki hamun semahu-mahunya
Merajuk juga berlaku di dalam parti
Setelah jatuh dari jawatan parti oleh undi, tenaga dan pengorbanan dibekukan
Kalau dulu aktif, sekarang pasif. Dahulu cergas, sekarang culas.
Tidak terlantik di dalam pencalonan
Atau digugur di dalam jawatan parti atau barisan pentadbiran
Hati sakit, merajuk pula. Muka pun tidak nampak lagi, membawa diri
Entah mana perginya, kalau mati ada kuburnya
Bila mati barulah media massa membuat berita
Setelah lama menghilang diri dari gelanggang masyarakatnya
Di masjid pun berlaku budaya merajuk
Waktu jadi imam, di masjid setiap waktu, ibarat merpati masjid
Tidak lekang-lekang di masjid, macam rumahnya
Bila jawatan diganti orang, masjid tidak nampak lagi
Bahkan waktu sembahyang pun dia tidak muncul-muncul lagi
Hanya kelihatan pada hari Jumaat, itupun duduk di tepi-tepi
Mukanya masam tidak berseri
Habis sahaja sembahyang tidak sempat sembahyang sunat
Cepat-cepat cabut pergi..!
Orang ramai hairan semua memerhati
Pada tok imam pun boleh berlaku, kata setiap hati...
Marilah kita servis hati di bengkel rohani...
Monday, March 16, 2009
Lagi-Lagi Masalah!
Masalah memang sudah menjadi sunnatullah di dalam kehidupan di kalangan insan.
Yang menjadi masalah, bukan masalah itu,
tetapi yang menjadi masalah ialah orang itu,
iaitu orang yang tidak tahu peranan Tuhan.
Tidak kenal Tuhan dan peranan-Nya, itulah yang sebenarnya masalah.
Jadi sekarang sudah ada dua masalah.

Yang bukan masalah jadi masalah,
Yang masalah memanglah masalah!
Apabila tidak kenal peranan Tuhan,
masalah itu memanglah jadi masalah, dua kali masalah.
Kalaulah masalah itu adalah jadi masalah, kekasih Tuhan tidak akan ditimpakan masalah.
Kalaulah masalah itu adalah masalah, rasul dan nabi, Tuhan tidak akan timpakan masalah.
Tapi Tuhan datangkan berbagai-bagai masalah kepada kekasih-Nya,
Tuhan tahu pada mereka bukan masalah.
Kerana itulah mereka ditimpakan masalah.
Pada mereka masalah itu adalah ibadah.
Masalah itu adalah pahala dan Syurga.
Masalah itu adalah kecintaan dan keredhaan Allah.
Kerana itulah masalah itu mereka tidak jadikan masalah.
Bahkan mereka rasa bahagia dengan masalah.
Dengan masalah rasa kehambaan mereka bertambah.Rasa kehambaan itu adalah ibadah kepada mereka.
Pangkat dan darjat di dalam Syurga.
Oleh itu Tuhan sering sahaja menambahkan mereka itu dengan pelbagai masalah.
Bahkan Tuhan bertambah cinta kepada mereka, dengan masalah yang mereka anggap bukan masalah tetapi ibadah.
Maha Suci Tuhan dari menyeksa hamba dan kekasih-Nya
Orang yang bodoh sahaja yang tidak faham kerja-kerja Allah,
Pada Tuhan masalah yang ditimpakan kepada kekasih-kekasih-Nya bukanlah masalah.
Kerana itulah Tuhan biarkan sahaja mereka bermasalah.
Dengan masalah-masalah itulah, mereka mendapat ketinggian darjat di dalam Syurga.
Sungguh pelik kerja Tuhan, payah hendak difaham oleh orang biasa.
Marilah kita menilai dan melihat sesuatu masalah itu dengan mata hati, dengan penuh hikmah dan bijaksana.Agar masalah yang menimpa kita, tidak lagi jadi masalah.
Kerana kita tahu Tuhan sedang ambil perhatian kepada kita, Tuhan ingin memberi Syurga.
Bila sudah melihat kasih sayang Tuhan, masalah besar jadi kecil, yang kecil tidak nampak lagi.
Jadi apa yang menjadi masalah kita sebenarnya?
Punca masalah ialah tidak kenal Tuhan dan tidak tahu kenapa Tuhan datangkan masalah...
Tuesday, January 13, 2009
Kenapa Umat Islam Terhina Di Mana-Mana
Apabila ahli ibadah tidak takutkan Tuhan, akhlak mereka hilang,
mereka telah menjatuhkan maruah Islam secara tidak sedar kepada pandangan orang
Apabila pejuang-pejuang Islam menjadi militan, keindahan Islam hilang
Kepercayaan orang kepada Islam hilang,
mereka takut dengan Islam dan umat Islam
Apabila orang yang rajin ke masjid tidak ada disiplin
orang yang tidak datang lebih baik daripada yang datang
Orang yang datang telah mencemarkan rumah Allah, yang tidak datang mungkin ada keuzuran
Apabila umat Islam mundur,
orang lain akan menyangka ajaran Islamlah yang menjadi penyebab kemunduran
Padahal umat Islam telah lari daripada ajarannya
Di antaranya umat Islam hidup nafsi-nafsi
Rasa bersama dan bekerjasama di antara yang miskin dan yang kaya tidak ada
Cerdik pandai dengan yang tidak terpelajar tidak seia sekata
Kekayaan individu tidak dapat dirasa merata dan bersama
Tenaga orang miskin tidak punya bersama masing-masing ada haluan
Orang bandar dengan orang kampung macam ayam hutan dengan ayam kampung
Akhirnya perpaduan dan persatuan tidak ada
Tidak terjadi satu di dalam ramai, ramai di dalam satu
Maka terjadilah salah satu sebab bangsa menjadi lemah
Lebih-lebih lagilah Tuhan sudah tidak dipeduli sekalipun ahli-ahli ibadah
Tuhan ada dengan tiada sama aja pada mereka
Pejuang-pejuang Islam pula banyak memperkatakan syariat, mempromosikan Tuhan sedikit sangat
Padahal Tuhan adalah aset pertama dan utama
Tuhan tidak dimanfaatkan oleh umat Islam
kerana harta lebih besar dan utama kepada mereka
Tuhan pun membiarkan kita
Padahnya kita rasa bersama, kita hina di mana-mana
Insaflah wahai umat Islam!
Kembalilah kepada Tuhan yang Maha Esa dan Maha Kuasa
Tuhan akan membela kita…
Thursday, January 8, 2009
Hari Pertama Persekolahanku - Satu Penilaian Semula...

Hari ini hari pertama persekolahan ku.. Hari Jumaat penuh berkat..
Aku perlu menghadiri ujian diagnostik utk menentukan kelas mana yg akan aku duduki di kalangan pelajar tahun 1 di sekolah rendah ini.
Seawal subuh lagi aku sudah bangun dan bersiap-siap.
Selesai sahaja solat fardhu subuh bersama ibu dan ayahku, aku terus mengenakan pakaian sekolah baru yang dibeli oleh kedua ibubapa ku.
Mama, hari ni Huda akan pergi sekolah ye..?
Huda akan dapat ramai kawan..
Huda nak belajar bersungguh-sungguh..
Nak jadi anak solehah, taat cakap guru, taat cakap ibu ayah..
Mama dan Babah turut hadir ke sekolah untuk mendaftarkan aku.
Ramai sungguh para pelajar tahun 1 dengan pelbagai gaya dan ragam.
Namun ketika ujian diagnostik, ibu bapa tak dibenarkan hadir di kelas.
Mama dan Babah menunggu di kantin sambil mendengar taklimat dari Guru Besar.
Selesai ujian cikgu berpesan supaya datang semula pada hari Isnin untuk melihat keputusan.
Cikgu kata pelajar tahun 1 masuk kelas sesi petang,
jadi aku perlu datang sebelum jam 1 ke sekolah..
Hari Isnin berikutnya Mama dan Babah sekali lagi menghantar aku ke sekolah,
Suasana agak sesak dengan kehadiran pelajar tahun lain, serta pelajar sesi pagi yang pulang.
Mama kata Huda dapat masuk kelas satu, markah ujian dapat penuh..!
Alhamdulillah, InsyaAllah Huda akan belajar bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu dunia dan Akhirat..! Supaya dapat memberi contoh teladan dan manfaat kepada semua.

Jam 1.30 ptg semua pelajar berkumpul di gelanggang sepak takraw,
Aku pun beratur di dalam barisan 1 Utarid, kelas pertama, planet pertama di dalam cakerawala
Aku sempat menghulur tangan utk bersalam dgn Mama dan Babah sebelum pergi meninggalkan mereka untuk masuk ke kelas ku di tingkat 4 bangunan sekolah.
Bermacam-macam perasaan bermain di benak hatiku..
Nak kata sedih pun ada, gembira pun ada jugak..!
Aku amat berharap agar dapat menjadi anak murid yang bagus di dalam sistem pendidikan yang bersepadu ini.
Aku cukup seronok, belajar, berkawan, sehingga aku tidak sedar loceng sekolah sudah berbunyi menandakan tamat sesi persekolahan jam 6.00 ptg.
Aku pulang ke rumah dengan penuh rasa teruja, tidak sabar untuk menceritakan pengalaman kepada Mama dan Babah.
Kembali ke rumah aku terus mandi dan bersiap-siap, aku melihat Mama dan Babah sudah bersiap-siap di tikar sembahyang menunggu masuk waktu maghrib.
Aku terdiam sejenak.. seketika kemudian aku terfikir...
Aku tertanya-tanya, apa yang Mamah dan Babah selalu ajar, awal-awal pendidikan mengenal Allah, Tuhan yang mencipta.
Falsafah Pendidikan terkandung di dalam Sembahyang lima waktu yang didirikan sehari semalam.
Rasa kehambaan, rasa bertuhan, disiplin, ketepatan waktu, ketaatan, kepimpinan dan kepengikutan, semuanya terkandung dan terangkai ketika kita menunaikan solat berjemaah,
Seterusnya diaplikasi ke dalam kehidupan harian, barulah kita dapat mencapai kejayaan dunia dan Akhirat...
Tapi aku musykil, sekiranya sistem pendidikan bersepadu ini bertujuan untuk melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang,
Kenapa aku tidak diperingatkan untuk menunaikan solat zohor dan asar di sekolah tadi..?
???
11.21 pm
8 Januari 2009
Rawang, Selangor.
Friday, January 2, 2009
Tik.. Tik.. Tik...

Tik...
Tik...
Tik...
Setiap detik ia berbunyi, semakin jauh melangkah pergi...
Tik, tik, tik... Perginya tetap pergi, samada kita mengiringi atau membatu diri.
Tik, tik, tik... Kita yang masih alpa, tidak menyedari, terkadang tidak peduli.
Masa yang berlalu... tidak akan kembali...
Tap, tap, tap...
Satu demi satu, langkah diatur kemas,
Tap, tap, tap... Semakin ke hadapan, semakin ramai, semakin rimas.
Tap, tap, tap... Bunyian bising, hiruk pikuk, suasana semakin panas.
Makin ramai manusia berhimpun, menunggu, menanti cemas...
Prap, prap, pap...
Tangan ditepuk, tanda kegembiraan.
Prap, prap, pap... Tangan bertepuk lagi, teruja kegirangan.
Prap, prap, pap... Manusia bertepuk tangan, menggunung harapan
Seketika kemudian, suasana bungkam...
Tik, tik, tik...
Detik itu kembali terngiang,
Tik, tik, tik... Jarum saat bergerak mengiringi jarum panjang.
Tik, tik, tik... angka dua belas jelas terpampang
Tik, tik, TUPP..! sekujur tubuh, rebah di atas padang...
Dub, dub, dub...
Dadaku berdegup kencang, cemas teramat sangat
Dub, dub, dub... seorang lelaki rebah, tatkala jam berdenting kuat.
Dub, dub, dub... tahun baru kali ini, aku sedar dan ingin bertaubat.
Dub, dub, dub... usiaku bukan bertambah, tetapi ajal ku yang semakin dekat...
Ya Allah... Kau jadikanlah tahun baru 2009 dan Muharram 1430 Hijrah ini, sebagai tahun untuk aku memperbaiki diri, mempertingkatkan keimanan dan menanam keazaman utk menjadi seorang Hamba Allah yang beriman dan Khalifah Allah yang bertaqwa.
12.04 am,
3 Januari 2009,
Rawang, Selangor.















