Friday, January 8, 2010

Panduan Hijrah

Sayidina Umar Al Khattab, ketika menjadi khalifah, ditabalkannya bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam senarai bulan-bulan Islam, serta dirayakan sebagai bulan untuk tahun baru Islam. Sunnah ini walaupun tidak berlaku sejak Nabi Adam hingga ke zaman Nabi Muhammad, tapi demi kebesaran Rasulullah berhijrah, sunnah ini diambil pakai oleh seluruh umat Islam sedunia, hingga ke hari ini. Setiap 1 Muharram dunia Islam merayakan sambutan tahun baru ini. Dengan mengambil ruh hijrah sebagai temanya. Terima kasih Sayidina Umar kerana besarnya jasamu.

Hijrah di segi bahasa bererti berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Manakala menurut perspektif Islam pengertiannya lebih luas daripada itu. Hijrah ertinya ialah mengubah sikap-sikap negatif yang lahir mahupun yang batin kepada sikap-sikap positif lahir dan batin. Memahami dan menghayati maksud hijrah inilah maka para rasul dan orang-orang mukmin telah berjuang sesungguh hati untuk mengubah diri dan para pengikut daripada seluruh sikap-sikap negatif lahir dan batin kepada seluruh sikap-sikap positif yang lahir dan batin.

Perjuangan untuk hijrah ini sesungguhnya adalah perjuangan maha berat dan besar. Ini merujuk pada perkataan Rasulullah SAW kepada sahabat sekembalinya mereka daripada Perang Badar:

“Sesungguhnya kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan besar.”

Sahabat bertanya, “Peperangan apa Ya Rasulullah.”

Rasulullah bersabda, “Peperangan melawan hawa nafsu.”

Ini bererti, hijrah dan perubahan itu bukan sekadar perubahan sikap yang lahir dan luaran sahaja tetapi termasuk juga sikap yang bersifat rohani dan batiniyah. Penghayatan hijrah itu bukan sekadar di mulut ataupun perubahan secara fizikal, tetapi perubahan fikiran, tindakan, pertuturan, akhlak dan hati. Juga perubahan dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah, hijrah daripada perkara yang didorong dan disukai oleh nafsu kepada perkara yang menyakitkan nafsu. Ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Daripada pemarah kepada penyabar, daripada pendendam kepada pemaaf, daripada sombong kepada rendah diri, daripada mementingkan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain, daripada kedekut dan tamak kepada pemurah dan baik hati, daripada zalim kepada membela nasib orang yang memerlukan, daripada lupakan Tuhan kepada kenal, cinta dan takutkan Tuhan.

Untuk memenangi peperangan ini Rasulullah sendiri mengambil ¾ daripada masa hidup mereka. Ini adalah kerana ia adalah terlalu sulit dan susah. Kemenangan batin inilah yang membawa kepada kemenangan lahir. Namun akhirnya para kekasih Allah dan pengikutnya dijanjikan Allah, dapat memenangi hawa nafsu dan syaitan-syaitan mereka. Mereka benar-benar dapat mengubah seluruh lahir dan batin yang negatif kepada seluruh sifat positif lahir dan batin.

Maka di hari dan detik berlaku dan sempurnanya penghijrahan itulah, maka Allah pun menunaikan janji-Nya kepada manusia pilihannya yakni terjadinya mukjizat-mukjizat besar dalam sejarah Islam dan para Nabi terdahulu. Aneh juga mengapa Allah memilih untuk melakukan sejarah yang menggemparkan, pelik, tidak logik serta tidak masuk akal ini di bulan Muharram. Memang terdapat juga kemenangan rahmat itu ditakdirkan di bulan-bulan lain seperti Ramadhan tetapi kebanyakan sejarah dan kisah yang popular dan tercatat di dalam sirah para anbiya' ini terjadi di bulan Muharram. Agung dan maha berkatnya bulan ini, marilah kita merebutnya.

Kita umat Islam seluruh dunia hari ini sedang amat memerlukan berlakunya janji Tuhan seperti terjadinya kepada kaum-kaum dan umat terdahulu. Kita semua adalah hamba-hamba-Nya dan pasti kita juga akan beroleh pertolongan sedemikian rupa sekiranya kita menepati syarat dan mampu mengharungi ujian sepertimana para rasul dan pengikut mereka dahulu. Selaku umat Islam, sepatutnya kita berlumba-lumba untuk mengulangi sejarah agar kita juga dapat menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad yang berjaya di dunia dan akhirat. Namun kita terlebih dahulu perlu mematuhi syarat-syaratnya. Marilah kita ulangi sejarah hijrahnya umat Islam terdahulu daripada seluruh sifat-sifat jahat kepada sifat-sifat yang baik.

Di antara syarat itu ialah:

1. Hijrah daripada tidak kenal kepada kenalkan Tuhan.
2. Hijrah daripada tidak takut dan tidak cinta Allah kepada bertaqwa.
3. Hijrah daripada tidak kenal syariat kepada kenal syariat Tuhan.
4. Hijrah daripada tidak mengamalkan syariat kepada mengamalkannya.
5. Hijrah daripada tidak berkasih sayang atau benci membenci kepada berkasih sayang.
6. Hijrah daripada tidak bekerjasama kepada kerjasama.
7. Hijrah daripada kemungkaran dan kejahatan kepada kebajikan dan kebaikan.
8. Hijrah daripada zalim kepada adil.
9. Hijrah daripada sombong kepada merendah diri.
10. Hijrah daripada bakhil kepada pemurah.
11. Hijrah daripada bangsa yang tamak kepada pemurah.
12. Hijrah daripada bangsa yang tidak maaf bermaaf kepada maaf memaafkan.
13. Hijrah daripada bangsa yang berpecah-belah kepada bersatu.
14. Hijrah daripada bangsa yang menipu kepada jujur.
15. Hijrah daripada yang khianat kepada yang amanah.
16. Hijrah daripada yang jahil kepada berilmu.
17. Hijrah daripada yang terkenang-kenangkan dunia kepada terkenang-kenangkan Akhirat.
18. Hijrah daripada bersangka jahat kepada bersangka baik.
19. Hijrah daripada menurutkan nafsu kepada menurut perintah Allah.
20. Hijrah daripada mementingkan diri kepada mementingkan orang lain.
21. Hijrah daripada cinta dunia kepada cinta Akhirat.
22. Hijrah daripada susah dengan hal-hal dunia kepada susahkan hal-hal Akhirat.
23. Hijrah daripada perjuangkan dunia kepada perjuangkan Tuhan.


Selain dari perlunya berlaku penghijrahan seperti yang dinyatakan di atas, umat Islam secara umumnya juga perlu melakukan hijrah dalam aspek sikap iaitu membuang yang negatif dan sebaliknya menyuburkan sikap yang positif. Mengikis sifat pesimis sebaliknya diganti dengan sifat optimis, malas kepada rajin dan kecewa kepada tidak mudah putus asa.

Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk kita beribadah dan mentaati Allah, maka perlu pula kita berusaha untuk meningkatkan taraf hidup umat Islam sendiri. Setiap yang melata di bumi Allah telah disediakan rezeki baginya. Cacing di celah batu lagi kan hidup, inikan pula manusia yang telah dikurniakan kelebihan akal fikiran olah Allah dan dapat berusaha dengan lebih sempurna untuk memburu rezeki tersebut.

Kemajuan dan pembangunan umat juga perlu sentiasa dikembangkan. Kalaupun tidak lebih maju sekurang-kurangnya setaraf dengan kemajuan bangsa-bangsa lain. Ini bertujuan agar umat ini benar-benar berdikari tanpa bersandar kepada orang lain.

Kegawatan ekonomi yang pernah berlaku juga memberi pengalaman perit kepada kita sepertimana isu berkaitan dengan harga makanan import. Itu dalam keadaan di mana pembekal makanan luar tidak menyekat sumber makanan. Haya kosnya meningkat lantaran kejatuhan nilai ringgit. Bagaimanakah kesnya andai kata mereka memusuhi kita dan menyekat bekalan makanan seperti di Iraq, Libya dan Afghanistan. Justeru kita juga perlu berhijrah dari terlalu banyak bergantung kepada pihak luar ke arah lebih berdikari. Usaha para peniaga dan usahawan bumiputra untuk bergiat dalam bidang perniagaan, penternakan dan pertanian harus dipuji dan disokong oleh semua pihak.,

Kalau kita selaku umat Islam ingin benar-benar berhijrah, sekiranya kita mahu benar-benar memperjuangkannya, nescaya Allah tidak akan sia-siakan. Bila-bila masa dalam setahun ini kita akan dapat hasil yang Allah janjikan itu. Baik di dalam membina rumahtangga cemerlang, dalam menyusun organisasi, dalam mentadbir perniagaan mahupun dalam mengatur pengikut dan masyarakat. Sama-samalah kita rebut kemenangan di bulan Muharram.

Ya Allah, jadikanlah Muharram ini waktu untuk berlakunya perubahan hati dan sifat-sifat kami. Baikilah segala kerosakan diri, kerosakan keluarga, kerosakan masyarakat dan kerosakan negara-negara serta kerosakan di tahap dunia yang sedang berlaku. Ubahlah nasib umat Islam di akhir zaman ini, seperti yang telah Engkau ubah nasib umat Islam sebelum ini, hanya dengan sekelip mata. Kuasa Engkau tidak terbatas Tuhan, pun tiada siapa mampu menghalang.

Demikianlah formula yang Allah rezekikan untuk umat Islam di zaman ini. Segalanya sudah terkandung di dalam sejarah, cuma tidak ramai yang mampu mengungkai hikmah di sebaliknya. Inilah formula kemenangan untuk diri sendiri dan kemenangan untuk umat Islam, iaitu TAQWA. Ia menjadi syarat penentu kemenangan.

Friday, January 1, 2010

Hikmah Tahun Baru

Tahun baru Masihi atau tahun baru Hijriah walaupun berlainan tempat rujuknya

yang satu dirujuk kepada Nabi Isa yang satu dirujuk kepada hijrah Rasulullah

Namun satu tahun adalah mengandungi 12 bulan

Mengapa satu tahun ada 12 bulan?

Mesti ada hikmah yang tersirat mengapa 1 tahun ada 12 bulan?!

12 bulan masa yang singkat,

kalau dibandingkan dengan masa yang jauh di hadapan buat umur yang panjang

Tapi ia masa yang panjang buat ukuran satu dekad ke hadapan


Di dalam satu tahun ada 12 bulan

setiap insan kenalah muhasabah segala perbuatan,

untuk mengukur kejayaan satu tahun

Kalau satu dekad bagaimana pula kejayaan yang dihasilkan akan dapat diagakkan

Lebih-lebih lagi umat Islam di dalam satu tahun kenalah pandang ke belakang

dan pandang jugalah ke hadapan

Bukan memikirkan hendak menyambut tahun baru secara pesta dan perayaan

Agar kita sentiasa membuat perubahan kepada kebaikan

dan seterusnya menjadi umat yang menguasai dunia global yang gemilang,


Ukuran kejayaan satu tahun kenalah diukur di semua bidang

Dengan itu kita akan dapat mengukur kejayaan

atau kegagalan itu di semua bidang

atau di sesetengah bidang atau di semua persoalan

Aspek yang gagal kenalah buat kajian kerana apa ia gagal,

Yang berjaya diteruskan untuk disuburkan


Umat Islam apabila berhadapan dengan tahun baru

di semua aspek kenalah post mortem bukan sibuk membuat perayaan

Kalau mahulah umat Islam ini menjadi maju,

bertamaddun dan menempa sejarah gemilang seperti zaman silam

Mari kita buat muhasabah itu atau post mortem!


Muhasabah atau post mortem ada beberapa aspek untuk kita faham,

yang bersifat peribadi, keluarga, masyarakat

Tugas yang diberi tanggungjawab, bagaimana peranannya,

juga tanggungjawab dalam organisasi dan persatuan,

Bersifat peribadi adakah kita menghayati rukun iman,

mengerjakan rukun Islam, berakhlak mulia seperti tawadhuk,

pemurah, berkasih sayang, sabar, redha, pemaaf.


Jika ada keluarga tanggungjawab kita kepada keluarga disempurnakan atau tidak,

berkasih sayang, bekerjasama, bertolak ansurkah?!

Jika berjiran hormati jiran atau tidak,

selalu memberi bantuan atau sebaliknya,

berlapang dada dengan jiran atau tidak,

jiran susah dibantu atau tidak,

Seterusnya masyarakat sekampung bagaimana pula?!

Masyarakat sekampung adakah kita prihatin kehidupan mereka bekerjasama,

berkasih-sayang, ziarah-menziarahi di waktu lapang


Jika ada tugas atau jawatan didalam kerajaan atau swasta

sudahkah kita menyempurnakan tugas itu dengan baik?!

khidmat kita serius atau sambil lewa, bersungguh-sungguh atau bermalas-malas sahaja

Jika kita berjemaah, berkomuniti atau berpersatuan,

sudahkah kita menyumbang untuk jemaah dan komuniti,

berkasih sayang sesama ahli, dan bekerjasama antara satu sama lain?


Begitulah sepatutnya kita koreksi diri kita di dalam masa setahun

di dalam semua bidang, untuk ukuran,

Jika cemerlang diteruskan, jika malang jangan diulang

yang cacat ditampal, yang baik diteruskan,

yang belum wujud difikirkan dan buatlah tindakan

Jika semua warganegara berfikiran begini,

setiap tahun muhasabah diri, yang rosak dibetulkan,

yang berlubang ditampal, yang kurang ditambah,

yang baik diteruskan bahkan boleh dipertingkatkan lagi


Begitulah setiap tahun terus menerus hingga dekad ke dekad dan seterusnya.

Natijahnya, bangsa dan negara maju, berkasih sayang, bekerjasama,

Tuhan ditaati dan disembah, individu berakhlak mulia

Berlakulah tamadun fizikal, insaniah dan rohani

Terbangun kualiti emosi dan spiritual pada bangsa kita

Bangsa kita bukan sahaja kuat di dalam negara bahkan mampu jadi empayar dunia

Begitulah bangsa yang benar-benar bertanggung jawab apabila setahun hilang

Bukan setahun yang datang sibuk memikirkan

bagaimana hendak berpesta atau membuat keramaian

Marilah kita tukar cara berfikir, mengubah sikap,

dan memikirkan masa hadapan yang akan datang

Bukan asyik berslogan, berpesta, berperayaan,

berfoya-foya dan berangan-angan.

" Jika kita ingin melihat masa depan sesebuah negara,

Lihatlah pada keadaan remajanya pada hari ini..! "

Pada 1 Januari ini, genaplah 1 tahun usia blog saya yang diberi nama 'BENGKEL ROHANI' ini... Klik di sini untuk membaca semula POSTING PERTAMA saya... Terima kasih kepada semua pembaca dan follower kepada blog saya. Salam Tahun Baru Hijrah juga untuk semua..!

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...