Saturday, January 29, 2011

Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia

Nabi SAW pernah membahagikan perolehan harta kepada mereka yang berhak, tiba-tiba berkata seorang lelaki dari satu kaum bahawa mereka lebih berhak menerima lebih banyak dari kaum yang satu lagi. Kemudian, diterangkan selanjutnya :

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :

"Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),

Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata

"Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :

Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".

Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yang tidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"

Baginda membalas :-

إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-

إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر

Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )

Demikian juga dari apa yang dikatakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab :

إنَّمَا كَانُوا يُؤْخَذُونَ بِالْوَحْيِ على عَهْدِ النبي صلى اللَّهُ عليه وسلم وَإِنَّ الْوَحْيَ قد انْقَطَعَ وَإِنَّمَا نَأْخُذُكُمْ الْآنَ بِمَا ظَهَرَ لنا من أَعْمَالِكُمْ

Ertinya : Dahulu diambil ketetapan hukum dari wahyu iaitu di waktu zaman hidupnya Baginda SAW, dan apabila wahyu sudah putus ( dengan wafatnya Nabi) , sesungguhnya kami hanya akan menilai dan mengambil dari apa yang terzahir kepada kami dari perbuatan kamu ( dalam hal kehakiman sebagai contoh dll.) ( Talkhis al-Khabir, Ibn Hajar, 4/192 )

Di dalam satu kisah yang lain yang dinyatakan di dalam hadis :-

بَعَثَنَا رسول اللَّهِ إلى الْحُرَقَةِ فَصَبَّحْنَا الْقَوْمَ فَهَزَمْنَاهُمْ وَلَحِقْتُ أنا وَرَجُلٌ من الْأَنْصَارِ رَجُلًا منهم فلما غَشِينَاهُ قال لَا إِلَهَ إلا الله فَكَفَّ الْأَنْصَارِيُّ عنه فَطَعَنْتُهُ بِرُمْحِي حتى قَتَلْتُهُ فلما قَدِمْنَا بَلَغَ النبي فقال يا أُسَامَةُ أَقَتَلْتَهُ بَعْدَ ما قال لَا إِلَهَ إلا الله قلت كان مُتَعَوِّذًا فما زَالَ يُكَرِّرُهَا حتى تَمَنَّيْتُ أَنِّي لم أَكُنْ أَسْلَمْتُ قبل ذلك الْيَوْمِ

Ertinya : Nabi mengutuskan kami ke Huraqah, dan berperang dengan satu kaum lalu kami menyerang mereka di waktu Subuh dan menewaskan mereka, sehinggalah aku dan seorang lelaki dari Ansar mengejar seorang perajurit (musuh), tatkala kami merapatinya, tiba-tiba dia mengucap La Ilaha Illa Allah, dengan segera lelaki Ansar itu menarik senjatanya dan aku pula terus menikam lelaki itu dengan panahku sehingga membunuhnya. Apabila kami pulang dan menyampaikannya kepada Nabi,

lalu Nabi bertanya : "Adakah kamu membunuhnya selepas ia mengucap? "

Aku menjawab : Kerana dia hanya hendak melindungi dirinya dari kami"

Rasulullah sentiasa mengulang-ngulang pertanyaan (menunjukkan salahnya tindakan membunuh itu) itu sehingga aku merasa aku belum masuk islam hari itu" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4021, 4/1555)

Hadis di atas menunjukkan kepada kita untuk tidak mempersoalkan isi hati seseorang. Soal keikhlasan dan keyakinan itu adalah urusan di antara seorang hamba itu dengan Tuhannya. Nabi tidak pernah menyuruh kita menilai dan memeriksa hingga ke tahap isi hati manusia walaupun Baginda mampu berbuat demikian secara kasyaf ataupun melalui rasa hati dan mukjizat baginda.

Justeru, kita yang kini berada di akhir zaman yang merupakan zaman fitnah ini, seharusnya kita mengutamakan perpaduan dan silaturrahim lebih daripada segalanya. Walaupun berbeza bahtera dan nakhoda namun matlamat kita tetap sama. Janganlah kita terlalu cepat mempertikai dan menilai isi hati seseorang.. Tambah pula sekarang ini dengan isu semasa dan perbezaan pendapat dari segi fahaman politik, berlainan fikrah dan jemaah, hatta berbeza pendapat dari pandangan mazhab sekalipun, itu bukanlah faktor untuk berpecah belah dan memutuskan silaturrahim, jauh sekali untuk mempertikai keikhlasan dan keyakinan seseorang terhadap perjuangan Islam, dan lebih buruk lagi hingga ke tahap melabelkan seseorang itu menjadi penghuni syurga ataupun neraka..! Mengapa hal ini seolah sudah menjadi budaya masyarakat Melayu Islam hari ini..?

Subhanallah..! Ini jelas sama sekali tidak pernah diajar oleh Baginda SAW bahkan Nabi sangat berbaik sangka dengan seseorang hatta terhadap musuhnya sekalipun, bahkan baginda juga sangat mendoakan mereka. Marilah kita menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai Role Model sepanjang zaman kita. Moga2 kita selaku ummat Muhammad diberi panduan dan dianugerahi keikhlasan dan keyakinan seteguh Baginda dalam usaha membantu ke arah memartabatkan Kalimah Allah di muka bumi ini... Moga yang membantu akan dibantu..


No comments:

Post a Comment

Sudilah kiranya memberi sepatah dua kata.. "Tetamu datang membawa rahmat, perginya pula penghapusan dosa kita..."

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...