Orang profesional yang sebenarnya itu adalah yang merasa diri tidak
layak dan tidak mampu membuat kerja-kerja yang diberikan kepadanya.
Biarpun dia itu lahirnya memang cukup berbakat dan berpengetahuan dalam
hal kerja yang diberikan tetapi rasa-rasa seperti itu membuatkan dia
menyerahkan segala urusan kerjanya kepada Tuhan. Dia pun berdoa dan
meminta kepada Tuhan, juga memohon dengan berkat gurunya. Hasilnya, akan
datang bantuan-bantuan ghaib datang membantu menyelesaikan kerjanya.
Sehinggakan bila sempurna kerja tersebut, tidak terasa pun yang kerja
itu hasil tangannya. Tidak terasa yang dia itu berbuat. Tidak terasa
yang dia itu ada campurtangan dalam kerja tersebut. Maka, daripada
kejayaan kerja itu, hatinya terselamat daripada dosa batin seperti riyak
dan ujub. Daripada kegagalan kerja itu pula, hatinya merasa itulah
dosa-dosanya. Kegagalan tersebut tidak membuatkan dia buruk sangka
dengan Tuhannya. Jauh sekali merasa kecewa atau dia putus asa.
Bukanlah dikatakan profesional jika dalam hendak membuat kerja, dia itu
merasa diri pandai, merasa diri mampu dan merasa diri dia layak
membuatnya. Dia sebenarnya sombong dengan Tuhannya kerana tidak merujuk
dengan Tuhan sebaliknya merujuk pada kepandaian dan kemampuan diri dalam
hendak membuat kerja. Apabila berjaya, dia akan mendabik dada dan
berkata “Sayalah yang punya idea”, “Sayalah yang membuatnya”, “Jika
tanpa saya, kerja tersebut tak akan berjaya”. Jikapun tidak berkata di
mulut, di hati dia tetap berkata. Apabila gagal, dia tidak redha atas
kegagalan sebaliknya mencari orang lain untuk dipersalahkan. Dia itu
sudah membuat dosa-dosa batin tanpa disedarinya. Dia itu telah tenggelam
dalam syirik khafi yang membawa kepada neraka jika tidak segera
bertaubat atas dosa-dosa tersebut. Orang seperti ini sebenarnya bukanlah
orang yang profesional, sebaliknya adalah orang emosional.
No comments:
Post a Comment
Sudilah kiranya memberi sepatah dua kata.. "Tetamu datang membawa rahmat, perginya pula penghapusan dosa kita..."