Friday, September 4, 2009

Ramadhan Oh Ramadhan..

Bulan Ramadhan: Antara Seronok Berpuasa dan Puasa Seronok

Bagi orang mukmin, dia sentiasa berharap, berazam, bercita-cita dan berusaha agar hari ini akan lebih baik berbanding daripada semalam dan esok akan lebih baik berbanding hari ini. Maka seluruh aspek kehidupan sentiasa ada peningkatan, terutama dalam soal-soal ibadah khusus. Kerana ibadah khusus seperti sembahyang, puasa,w irid, zikir, doa dan lain-lain berperanan mendekatkan diri kita dengan Allah.
Orang mukmin yang hidupnya sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT, sangat mengharapkan bantuan, bimbingan dan pmpinan Allah SWT.yakni,amat penting dalam membuat kerja-kerja yang diperintahkan oleh Allah disertai oleh bentuan Allah. Bantuan Allah berkait rapat dengan kedudukan hamba di sisi Allah. Tidak akan berjaya bahkan tiada nilai di sisi Allah bagi mereka yang melupa dan mengabaikanNya. Tuhan tidak pandang, tidak tolong dan tidak akan membantu orang yang jauh dari Tuhan, lalai, leka dan lebih-lebih lagi kalau derhaka kepadaNya.
Untuk terus mendapat pimpinan dan pembelaan dari Tuhan, maka perlu hati sentiasa merintih, mengharap, memohon dan bergantung kepada Tuhan. Perlu selalu muhasabah diri, mengkoreksi diri, membaiki diri dan memperbetulkan kesalahan diri. Ibadah pula,terutamanya sembahyang, bukan sahaja diperhalusi dari segi zahirnya bahkan dari sudut batinnya. Perlu hadirkan hati dengan rasa takut, bimbang, rindu, cinta, harap, gementar, hina diri, rasa dilihat, rasa didengar dan rasa dikuasai dengan penuh khusyuk dan tumpuan dalam sembahyang. Satu waktu yang luput amat rugi andainya sembahyang itu sekadar gerakan fizikal dan kosong dari segi dalaman (ruh) dan batiniahnya. Sembahyang seumpama itu tidak membakar dan menghancurkan sifat-sifat keji (mazmumah). Sembahyang sedemikian mungkin sekadar sah dari sudut rukun dan syarat serta dapat memperolehi pahala, tetapi ia tidak mampu mengubah sikap dan menyuburkan sifat-sifat terpuji (mahmudah) di dalam jiwa.
Tidak terkecuali juga dengan ibadah puasa Ramadhan yang hanya datang setahun sekali. Andainya luput puasa sebulan Ramadhan itu tanpa sebarang kesan dan natijah, adalah amat merugikan bahkan kita terpaksa menunggu pula kedatangan Ramadhan tahun hadapan untuk merebut peluang keemasan ini sekali lagi. Itupun sekiranya direzekikan oleh Allah dan dilanjutkan usia kita hingga bertemu Ramadhan tahun hadapan!
Oleh itu perlu sangat kita umat Islam bersikap serius terhadap bulan istimewa ini dan keistimewaan bulan Ramadhan ini bukan pada makan minum (berbuka) dan hari raya. Tetapi ia bersifat maknawiyah. Sebab itu ia disebut bulan penuh barakah (berkat). Bulan berkat ini langsung tiada kaitannya dengan keistimewaan yang bersifat lahiriah (luaran) ataupun fizikal. Keistimewaannya bersifat batiniah (dalaman) malah mampu mendidik hati dan jiwa.
Marilah kita sama-sama menghayati Ramadhan agar ianya benar-benar menepati kehendak Allah dan RasulNya serta terhindar dari kehendak nafsu dan syaitan.

SERONOK BERPUASA

1. Pahala berganda

Ramadhan ini bolehlah diibaratkan bulan menerima bonus tahunan yang berupa duit. Semua orang menguntum senyum lebar sebagai tanda kegembiraan. Bagi para mukmin pahala berganda adalah rahmat Allah yang tidak terhingga. Setiap kebajikan, para mukmin mendapat bonus pahala yang bakal meninggikan darjat di sisi Tuhan di Akhirat nanti. Gandaan pahala itu menjadi dorongan untuk melebihkan amal.Berebutlah para mukmin memburu bonus pahala selama sebulan ini. Andainya satu pahala dibalasi oleh Allah dengan sekuntum bunga syurga maka nilainya lebih tinggi berbanding dunia dan segala isinya.

2. Allah SWT membuka pintu Syurga

Ini sebagai tanda bahawa Allah membentangkan rahmatNya dengan luas di bulan Ramadhan agar hambaNya lebih seronok memperbanyakkan amalan dan mendekatkan diri kepada Allah.

3. Ditutup pintu Neraka

Malah sepanjang bulan Ramadhan seksa kubur juga turut direhatkan. Para mukmin tentulah mengharapkan keampunan Allah. Penutupan pintu neraka sebagai isyarat bahawa Allah mengampuni dosa para hambaNya yang memohon dan meminta keampunan di bulan Ramadhan

4. Syaitan dibelenggu

Bagi memudahkan para mukmin memperoleh kesempurnaan puasa dan beribadat, maka dibebaskan mereka dari gangguan syaitan. Tentulah lebih ringan beribadah dalam keadaan hanya sekadar berhadapan dengan dorongan nafsu sahaja. Ertinya dua musuh utama sudah dikurangkan kepada satu sahaja. Tentu lebih mudah bertarung dengan satu musuh berbanding dengan dua.


5. Pengisian rohani

Walaupun sekadar sunat muakkad, tarawih bermaksud untuk mengisi ruang rohani. Dalam keadaan fizikal yang sedikit lemah, nafsu sedikit dikekang dan didera, maka serentak dengan itu ada pula program pengisian rohani. Kekuatan rohani (dalaman) amat penting dalam memikul beban dan tanggungjawab sebagai mukmin. Inilah faktor penentu sama ada seseorang itu mampu memikul perintah Allah dan meninggalkan larangan. Apabila rohani kosong atau lemah, ibadah yang lain pun turut cuai, syariat longgar, disiplin hidup pun tiada, akhlak pula hancur musnah. Maka banyaklah berlaku berbagai gejala negatif dalam kehidupan lalu hilanglah kebahagiaan dan keharmonian hidup.

6. Kesihatan jasmani dan rohani

Ramai pakar kesihatan bersetuju iaitu makanan memainkan peranan besar dalam menentukan kesihatan manusia. Manakala makan yang berlebihan pula adalah punca berbagai penyakit. Setiap agama juga ada anjuran untuk berpuasa bagi penganutnya.
Secara tidak langsung Allah Taala memerintahkan hambaNya agar merehatkan perut mereka selama sebulan dalam setahun. Kerehatan itu mengembalikan semula fungsi sempurna perut yang telah bekerja sepenuh masa di bulan lain. Sebab itu tidak digalakkan mensendatkan perut di waktu malam walaupun telah kosong di waktu siang. Prinsip umat Islam dalam soal makan ialah “makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang”, terbukti memberi natijah pengurangan penyakit di kalangan umat Islam.

7. Penjimatan

Waktu siang sudah tentu tiada perbelanjaan untuk makan minum yang menurut lazimnya tiga kali sehari, ini belum dihitung kos berbelanja untuk makanan sampingan dan tambahan yang lain. Bulan Ramadhan juga kurang aktiviti lepak-lepak, berpeleseran dan seumpamanya. Waktu malam pula selain berbuka sedikit, makan malam serta bersahur, tentulah tiada tumpuan kepada makan kerana beribadah, rehat dan tidur. Sekiranya penghayatan sebegini berlaku tentulah dapat menjimatkan perbelanjaan serta tanpa berlebihan dan berlaku pembaziran. Bahkan elok juga kalau dialih perbelanjaan itu kepada amalan sedekah dan kebajikan lain demi meraikan golongan yang memerlukan serta untuk mendapatkan pahala berganda.


8. Kehalusan perasaan dan ketajaman akal

Rasulullah dan para sahabat hingga kepada ahli sufi dan para solafussoleh, mereka memilih makan sedikit, sekadar memperoleh tenaga untuk beribadah dan bekerja. Sedikit makan menjadikan perasaan bertambah halus, sensitif dan peka. Dapat merasai kebesaran Allah serta mudah tersentuh hati terhadap dosa. Akal juga tajam dan dapat mengenal kebenaran. Ahli tafsir dan hadis sangat mementingkan kehalusan perasaan untuk dapat merasai roh wahyu dan hadis. Tajam pula akal hingga mudah memahami sesuatu maksud sama ada tersurat atau tersirat daripada nas Al Quran dan Hadis itu. Para pemimipin pula mudah dapat merasakan gelombang kehidupan masyarakat. Susah senang masyarakat mudah terkesan oleh hatinya.


9. Merasai kesusahan fakir miskin

Orang yang sentiasa kenyang, seolah-olah menyangka dan berperasaan bahawa orang lain juga kenyang seperti dirinya. Bagi dirinya tidak pernah merasai bagaimana peritnya penderitaan dan kelaparan golongan fakir miskin. Melalui puasa bulan Ramadhan, golongan kaya dan para pemimpin turut merasai bagaimana nasib fakir miskin yang sering kelaparan. Agar dengan itu datangnya rasa simpati golongan kaya dan pemimpin terhadap mereka yang dalam kesempitan hidup. Para petani, pesawah dan nelayan membanting tulang empat kerat agar orang lain mendapat nikmat menjamah nasi, ikan dan juadah enak yang lain, belum tentu lagi mereka dapat menjamah makanan seumpama itu di rumah mereka.

10. Fitrah

Manifestasi dari simpati golongan kaya itu maka Allah mengajarkan pula tanggungjawab sosial dengan diwajibkan zakat fitrah.Fitrah itu selain mensucikan kecacatan berpuasa, ianya juga merupakan satu bentuk jalan penyelesaian bagi meringankan sedikit beban golongan kurang berada. Ini termasuk memberi kegembiraan kepada mereka ketika berhari raya. Selain itu Allah juga menganjurkan agar jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin ini tidak terlalu ketara.


PUASA SERONOK

1. Makan berganda

Jualan berbagai juadah ada di mana-mana saja yang memang pula wujud di bulan Ramadhan saja. Juadah pula memang merangsang nafsu makan. Berbuka dan makan malam seolah-olah menebus kembali perut kosong sepanjang hari di siangnya. Malah juadah juga dipilih berdasarkan apa yang dipersetujui oleh selera dan nafsu ketika membeli, hingga sering berlaku juadah yang dibeli tidak pun habis dimakan.

2. Belanja berlebihan

Kedapatan mereka yang sepanjang Ramadhan perbelanjaannya lebih banyak berbanding hari biasa. Selera waktu siang tanpa kawalan hingga mendorong seseorang itu memborong apa saja. Selepas berbuka sedikit, sudah terasa sendat kerana penguncupan perut. Akhirnya berlakulah pembaziran. Seharusnya belanja untuk makan tidak lari dari kelaziman di bulan Ramadhan.

3. Kekenyangan

Lantaran asyik membesarkan makan, sembahyang maghrib seringkali terlewat. Malah ada yang terus menghadap makanan hingga ke hujung waktu. Sembahyang terawih pula hilang rasa kehambaan sebaliknya rasa terpaksa, malas, terbeban, letih, mengantuk dan dibuat kerana menjadi kelaziman atau budaya di bulan ramadhan.

4. Hari raya

Belumpun tiba bulan puasa, ada di antara gedung membeli belah sudah mempromosikan jualan Hari raya. Inilah satu tradisi yang sukar untuk dipecahkan. Di kalangan umat Islam pula terlalu memberi tumpuan kepada sambutan Hari raya. Akibatnya hilang pengertiannya hari raya yang sebenar. Kesibukan dengan pakaian baru, perabut baru, langsir baru, pinggan mangkuk baru, bunga plastik baru, cat rumah baru, kuih muih resepi baru menyebabkan hilang tumpuan membesarkan puasa dan mencapai kemenangan(perayaan) menewaskan kerakusan nafsu. Lebih merugikan bila kita hilang nikmat untuk merebut pahala ibadat berganda di sepuluh malam terakhir kerana terlalu menumpukan untuk merebut kuih raya dan pakaian pilihan hati yang dijual secara lelong di sepuluh hari terakhir Ramadhan.

“Orang yang seronok berpuasa, Ramadan ditunggu dengan kegembiraan dan sedih apabila tamat. Orang yang berpuasa seronok, terseksa jiwanya kerana kedatangan Ramadhan dan merasa lega dan gembira apabila ianya tamat...”

1 comment:

  1. Slm 'Eidulfitri ampun maaf zahir batin. Mg 'eidulfitri ini m'nambah taqwa pd Allah. Slmt m'jalani p'fitrahan semula. amzb.

    ReplyDelete

Sudilah kiranya memberi sepatah dua kata.. "Tetamu datang membawa rahmat, perginya pula penghapusan dosa kita..."

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...