Monday, January 31, 2011

Insyaallah.. Ada jalannya..


Andainya kau rasa tak berupaya

Hidup sendirian tiada pembela

Segalanya suram

Bagai malam yang kelam

Tiada bantuan tiada tujuan

Janganlah berputus asa

Kerana Allah bersamamu


c/0

Insya Allah Insya Allah Insya Allah

Ada jalannya

Insya Allah Insya Allah Insya Allah

Ada jalannya


Andainya dosamu berulang lagi

Bagai tiada ruang untuk kembali

Dikau keliru atas kesilapan lalu

Membelenggu hati dan fikiranmu

Janganlah berputus asa

Kerana Allah bersamamu

Kembalilah

Kepada Yang Esa

Yakin padaNya

Panjatkanlah doa

Oh Ya Allah

Pimpinlah daku dari tersasar

Tunjukkan daku ke jalan yang benar

Jalan yang benar

Jalan yang benar

Jalan yang benar...


Credit goes to : http://www.facebook.com/MZMfc

Lyrics by : Frizdan Fizarahman, Youtube credits : Nijimedia,

Photo credits : Firdaus Mahadi and Maher Zain Fan Club

Saturday, January 29, 2011

Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia

Nabi SAW pernah membahagikan perolehan harta kepada mereka yang berhak, tiba-tiba berkata seorang lelaki dari satu kaum bahawa mereka lebih berhak menerima lebih banyak dari kaum yang satu lagi. Kemudian, diterangkan selanjutnya :

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :

"Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),

Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata

"Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :

Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".

Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yang tidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"

Baginda membalas :-

إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-

إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر

Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )

Demikian juga dari apa yang dikatakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab :

إنَّمَا كَانُوا يُؤْخَذُونَ بِالْوَحْيِ على عَهْدِ النبي صلى اللَّهُ عليه وسلم وَإِنَّ الْوَحْيَ قد انْقَطَعَ وَإِنَّمَا نَأْخُذُكُمْ الْآنَ بِمَا ظَهَرَ لنا من أَعْمَالِكُمْ

Ertinya : Dahulu diambil ketetapan hukum dari wahyu iaitu di waktu zaman hidupnya Baginda SAW, dan apabila wahyu sudah putus ( dengan wafatnya Nabi) , sesungguhnya kami hanya akan menilai dan mengambil dari apa yang terzahir kepada kami dari perbuatan kamu ( dalam hal kehakiman sebagai contoh dll.) ( Talkhis al-Khabir, Ibn Hajar, 4/192 )

Di dalam satu kisah yang lain yang dinyatakan di dalam hadis :-

بَعَثَنَا رسول اللَّهِ إلى الْحُرَقَةِ فَصَبَّحْنَا الْقَوْمَ فَهَزَمْنَاهُمْ وَلَحِقْتُ أنا وَرَجُلٌ من الْأَنْصَارِ رَجُلًا منهم فلما غَشِينَاهُ قال لَا إِلَهَ إلا الله فَكَفَّ الْأَنْصَارِيُّ عنه فَطَعَنْتُهُ بِرُمْحِي حتى قَتَلْتُهُ فلما قَدِمْنَا بَلَغَ النبي فقال يا أُسَامَةُ أَقَتَلْتَهُ بَعْدَ ما قال لَا إِلَهَ إلا الله قلت كان مُتَعَوِّذًا فما زَالَ يُكَرِّرُهَا حتى تَمَنَّيْتُ أَنِّي لم أَكُنْ أَسْلَمْتُ قبل ذلك الْيَوْمِ

Ertinya : Nabi mengutuskan kami ke Huraqah, dan berperang dengan satu kaum lalu kami menyerang mereka di waktu Subuh dan menewaskan mereka, sehinggalah aku dan seorang lelaki dari Ansar mengejar seorang perajurit (musuh), tatkala kami merapatinya, tiba-tiba dia mengucap La Ilaha Illa Allah, dengan segera lelaki Ansar itu menarik senjatanya dan aku pula terus menikam lelaki itu dengan panahku sehingga membunuhnya. Apabila kami pulang dan menyampaikannya kepada Nabi,

lalu Nabi bertanya : "Adakah kamu membunuhnya selepas ia mengucap? "

Aku menjawab : Kerana dia hanya hendak melindungi dirinya dari kami"

Rasulullah sentiasa mengulang-ngulang pertanyaan (menunjukkan salahnya tindakan membunuh itu) itu sehingga aku merasa aku belum masuk islam hari itu" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4021, 4/1555)

Hadis di atas menunjukkan kepada kita untuk tidak mempersoalkan isi hati seseorang. Soal keikhlasan dan keyakinan itu adalah urusan di antara seorang hamba itu dengan Tuhannya. Nabi tidak pernah menyuruh kita menilai dan memeriksa hingga ke tahap isi hati manusia walaupun Baginda mampu berbuat demikian secara kasyaf ataupun melalui rasa hati dan mukjizat baginda.

Justeru, kita yang kini berada di akhir zaman yang merupakan zaman fitnah ini, seharusnya kita mengutamakan perpaduan dan silaturrahim lebih daripada segalanya. Walaupun berbeza bahtera dan nakhoda namun matlamat kita tetap sama. Janganlah kita terlalu cepat mempertikai dan menilai isi hati seseorang.. Tambah pula sekarang ini dengan isu semasa dan perbezaan pendapat dari segi fahaman politik, berlainan fikrah dan jemaah, hatta berbeza pendapat dari pandangan mazhab sekalipun, itu bukanlah faktor untuk berpecah belah dan memutuskan silaturrahim, jauh sekali untuk mempertikai keikhlasan dan keyakinan seseorang terhadap perjuangan Islam, dan lebih buruk lagi hingga ke tahap melabelkan seseorang itu menjadi penghuni syurga ataupun neraka..! Mengapa hal ini seolah sudah menjadi budaya masyarakat Melayu Islam hari ini..?

Subhanallah..! Ini jelas sama sekali tidak pernah diajar oleh Baginda SAW bahkan Nabi sangat berbaik sangka dengan seseorang hatta terhadap musuhnya sekalipun, bahkan baginda juga sangat mendoakan mereka. Marilah kita menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai Role Model sepanjang zaman kita. Moga2 kita selaku ummat Muhammad diberi panduan dan dianugerahi keikhlasan dan keyakinan seteguh Baginda dalam usaha membantu ke arah memartabatkan Kalimah Allah di muka bumi ini... Moga yang membantu akan dibantu..


Wednesday, January 12, 2011

Pesanan Imam Malik

Imam Malik r.h.m pernah berkata:

“Barang siapa berfekah (syariat) tanpa tasawuf (hakikat), maka ia jadi fasik. Barang siapa bertasawuf (hakikat) tanpa fekah (syariat), maka ia jadi kafir zindik (kafir secara tidak sedar).”

Bulan November tahun lalu kita dikejutkan dengan berita ajaran sesat yang menganjurkan solat Jumaat tanpa tauliah dan menghalalkan tulang babi kepada pengikutnya. Akibat ketandusan ilmu, ramai di kalangan umat Islam yang mencari-cari petunjuk dan kebenaran sering tersilap langkah dan cuba mengambil jalan mudah untuk mendapatkan takwa, untuk bertaubat dan membaiki diri serta cuba mendalami ilmu tasawuf iaitu ilmu mengenal diri tanpa memilih guru yang sesuai hingga terlepas pandang perkara-perkara asas yang melibatkan hal-hal aqidah dan syariat. Kata-kata Imam Malik Rahimahullah yang merupakan guru kepada Imam Syafie itu amat sesuai kita jadikan panduan. Supaya lebih jelas lagi, eloklah dibuat beberapa contoh seperti berikut:

BERFEKAH TANPA TASAWUF

Berfeqah tanpa tasawuf bermakna seseorang itu hanya melakukan amalan-amalan lahir. Katalah semua rukun Islam yang lima itu beres dilakukannya. Ditambah lagi dengan berjuang fisabilillah, berdakwah, belajar, mengajar, menziarah, berkorban dan menutup aurat. Dijaga juga dari melakukan perkara-perkara lahir yang haram dan makruh. Ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat. Pendek kata, semua perintah atau larangan lahir ditaati, tetapi amalan batin yakni hatinya tidak diambil pusing.

Dibiarkan saja riyak, ujub, gila nama, ingin glamor, sombong, tamak, bakhil, pemarah, dendam, dengki, cinta dunia dan lain-lain lagi sifat negatif mencorak sikapnya. Inilah dia orang syariat atau orang yang berfekah sahaja. Pada pandangan mata lahir dia seorang yang sangat baik, kerana hukum Islam yang lahir sangat dijaganya. Tetapi di sisi Allah, orang ini masih berdosa yakni derhaka pada Allah kerana dia tidak menjalankan syariat batin yang diperintahkan oleh Allah. Dibiarkan sahaja hatinya dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah.

Seperti juga orang yang sembahyang tetapi tidak takut dengan Tuhan. Kalau ada tasawuf, selepas sembahyang mesti risau, bimbang, takut tidak beradab dengan Tuhan dalam sembahyang. Takut sembahyangnya Tuhan tidak terima. Bila sembahyang atau membuat ibadat-ibadat yang lain, mesti bertambah rasa hamba. Inilah buah tasawuf. Ibadah walaupun tidak timbul riyak dan tidak ujub tetapi kalau tidak rasa takut dengan Tuhan, hakikatnya tertipu. Boleh beribadah tanpa riyak dan ujub baru sekadar selamat. Bila dapat rasa hamba dan rasa bertuhan, itu baru dikatakan darjat.

Lihat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat At Tabrani)

Maka orang yang melanggar syariat batin ini, Imam Malik menjatuhkan hukum fasik. Yakni orang berdosa, kalau mati tanpa taubat akan masuk Neraka tetapi tidak kekal di dalam Neraka.

Makam Imam Malik bersebelahan makam gurunya Imam Nafi' di Makam Baqi' Madinah


BERTASAWUF TANPA FEKAH

Bertasawuf tanpa fekah bermakna seseorang yang menjaga hati sahaja, mengamal seluruh atau sebahagian dari syariat batin (amalan batin) tetapi menolak dan meninggalkan syariat lahir semua sekali. Dia sangat menjaga hati dari hasad, dendam, pemarah, jahat sangka di samping menyuburkan kasih sayang, simpati, tawakal, tawadhuk, sabar dan lain-lain sifat mahmudah tetapi tidak melaksanakan rukun Islam yang lima dan hal-hal berkaitan Islam yang lain. Dia memandang enteng soal halal dan haram, mengenepikan soal aqidah dan hukum hakam. Inilah orang yang berhakikat namanya dan menafikan syariat. Pada Imam Malik dikatakan kafir zindiq iaitu kafir secara tidak sedar. Bila mati tanpa taubat, akan dimasukkan ke Neraka dan kekal di dalamnya. Wal’iyazubillah.

Oleh sebab itu di dalam kehidupan harian kita sebagai umat Islam, kita perlu merujuk setiap satu perkara kepada Al-Quran dan Sunnah serta Jumhur Ulama agar kita tidak kesesatan. Setiap amalan dalam islam itu perlukan gabungan 3 elemen tauhid, fekah dan tasawuf agar berlaku check and balance dan terbentuklah kesyumulan dan keindahan Islam. Dengan sebab itu tidak berlakulah orang yang sembahyang tetapi membuat perkara mungkar, orang yang bersedekah tetapi sombong dan riak, orang yang pergi berdakwah dan membuat kebajikan tetapi mengharapkan liputan akhbar, pujian dan sanjungan orang. Begitu juga tidak akan berlaku orang yang berserban tapi menghisap rokok dan berseluar pendek, orang yang solat sunat dan beriktikaf di masjid sepanjang masa tetapi meninggalkan anak isteri tanpa diberi sebarang nafkah dan keperluan, orang yang ingin berpakaian sunnah tetapi tidak menjaga penampilan dan kebersihan, ataupun yang ingin beramal ibadah tetapi di dalam majlis itu berlaku percampuran lelaki dan wanita yang jelas bertentangan dengan syarak, apatah lagi kalau menjadikan wanita sebagai pemimpin ataupun imam di dalam solat! Hal-hal sedemikian sudahpun dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran dan Sunnah maka sewajarnyalah kita berpegang kepada pesanan Nabi SAW agar berpegang teguh kepada keduanya di akhir zaman ini agar kita tidak kesesatan.

Sungguh menyedihkan bilamana di dalam masyarakat hari ini banyak kita temui orang-orang yang memisahkan ajaran Islam dan beramal dengan salah satu darinya. Ada yang bersyariat sahaja. Ada yang berhakikat sahaja. Bahkan ada yang meninggalkan kedua-duanya sekali. Hal ini sebenarnya menyimpang dari ajaran Islam. Islam yang sebenarnya bukan begitu. Ia mesti diamalkan serentak antara fekah dan tasawuf, antara syariat dan hakikat.

Bila diamalkan, dia akan memperolehi hasilnya iaitu makrifatullah. Seperti sebiji buah, ada kulit, ada isi dan ada rasa. Mana boleh kita pisahkan-pisahkan antara ketiga-tiganya. Semuanya mesti bagus, barulah kita mengatakan buah itu bagus. Kalau kulit saja busuk, tentu sudah ditolak orang kerana dikatakan buah itu tidak bagus. Tidak akan ada kita lihat orang yang memakan buah yang sudah rosak dan busuk kulitnya. dan tidak mungkin juga ada orang yang akan bercakap atau mempertahankan sambil berkata, hanya kulitnya sahaja yang busuk, akan tetapi dalamnya masih segar dan enak dimakan..!

Kesimpulannya, Islam seseorang itu hanya akan sempurna kalau orang itu mengamalkan syariat, tarekat dan hakikat secara serentak. Maka layaklah ia digelar taslim, yakni tunduk lahir dan batin. Siapa yang tidak sedemikian halnya maka Allah menempelak dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Mereka bercakap dengan mulut mereka tetapi tidak seperti apa yang ada di dalam hati-hati mereka.” (Ali Imran: 167)

Ciri-ciri ini menyamai sifat orang munafik, yang lahirnya lain, dalam hati pula lain. Moga-moga kita diberi hidayah dan taufik dari Allah SWT. Amin. Selamat beramal..!

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...