Wednesday, January 7, 2009

Hijrah Dulu dan Kini

Hijrah di segi bahasa bererti berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Manakala menurut perspektif Islam pengertiannya lebih luas daripada itu. Hijrah ertinya ialah mengubah sikap-sikap negatif yang lahir mahupun yang batin kepada sikap-sikap positif lahir dan batin. Memahami dan menghayati maksud hijrah inilah maka para rasul dan orang-orang mukmin telah berjuang sesungguh hati untuk mengubah diri dan para pengikut daripada seluruh sikap-sikap negatif lahir dan batin kepada seluruh sikap-sikap positif yang lahir dan batin.

Perjuangan untuk hijrah ini sesungguhnya adalah perjuangan maha berat dan besar. Ini merujuk pada perkataan Rasulullah SAW kepada sahabat sekembalinya mereka daripada Perang Badar:

“Sesungguhnya kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan besar.”

Sahabat bertanya, “Peperangan apa Ya Rasulullah.”

Rasulullah bersabda, “Peperangan melawan hawa nafsu.”

Ini bererti, hijrah dan perubahan itu bukan sekadar perubahan sikap yang lahir dan luaran sahaja tetapi termasuk juga sikap yang bersifat rohani dan batiniyah. Penghayatan hijrah itu bukan sekadar di mulut ataupun perubahan secara fizikal, tetapi perubahan fikiran, tindakan, pertuturan, akhlak dan hati. Juga perubahan dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah, hijrah daripada perkara yang didorong dan disukai oleh nafsu kepada perkara yang menyakitkan nafsu. Ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Daripada pemarah kepada penyabar, daripada pendendam kepada pemaaf, daripada sombong kepada rendah diri, daripada mementingkan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain, daripada kedekut dan tamak kepada pemurah dan baik hati, daripada zalim kepada membela nasib orang yang memerlukan, daripada lupakan Tuhan kepada kenal, cinta dan takutkan Tuhan.

Untuk memenangi peperangan ini Rasulullah sendiri mengambil ¾ daripada masa hidup mereka. Ini adalah kerana ia adalah terlalu sulit dan susah. Kemenangan batin inilah yang membawa kepada kemenangan lahir. Namun akhirnya para kekasih Allah dan pengikutnya dijanjikan Allah, dapat memenangi nafsu dan syaitan-syaitan mereka. Mereka benar-benar dapat mengubah seluruh lahir dan batin yang negatif kepada seluruh sifat positif lahir dan batin.

Maka di hari dan detik berlaku dan sempurnanya penghijrahan itulah, maka Allah pun menunaikan janji-Nya kepada manusia pilihannya yakni terjadinya mukjizat-mukjizat besar yang disenaraikan di atas ini. Aneh juga mengapa Allah memilih untuk melakukan sejarah yang menggemparkan, pelik, tidak logik serta tidak masuk akal ini di bulan Muharram. Memang terdapat juga kemenangan rahmat itu ditakdirkan di bulan-bulan lain seperti Ramadhan tetapi kebanyakan sejarah dan kisah yang popular dan tercatat di dalam sejarah ini terjadi di bulan Muharram. Agung dan Maha berkatnya bulan ini, marilah kita merebutnya.

Kita umat Islam seluruh dunia hari ini sedang amat memerlukan berlakunya janji Tuhan seperti terjadinya kepada kaum-kaum di zaman mereka. Kita semua adalah hamba-hamba-Nya dan pasti kita juga akan beroleh pertolongan sedemikian rupanya sekiranya kita menepati syarat dan mampu mengharungi ujian sepertimana para rasul dan pengikut mereka. Selaku umat Islam, sepatutnya kita berlumba-lumba untuk mengulangi sejarah agar kita juga dapat menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad yang berjaya di dunia dan akhirat. Namun kita terlebih dahulu perlu mematuhi syarat-syaratnya. Marilah kita ulangi sejarah hijrahnya umat Islam terdahulu daripada seluruh sifat-sifat jahat kepada sifat-sifat yang baik.

Di antara syarat itu ialah:

  1. Hijrah daripada tidak kenal kepada kenalkan Tuhan.
  2. Hijrah daripada tidak takut dan tidak cinta Allah kepada bertaqwa.
  3. Hijrah daripada tidak kenal syariat kepada kenal syariat Tuhan.
  4. Hijrah daripada tidak mengamalkan syariat kepada mengamalkannya.
  5. Hijrah daripada tidak berkasih sayang atau benci membenci kepada berkasih sayang.
  6. Hijrah daripada tidak bekerjasama kepada kerjasama.
  7. Hijrah daripada kemungkaran dan kejahatan kepada kebajikan dan kebaikan.
  8. Hijrah daripada zalim kepada adil.
  9. Hijrah daripada sombong kepada merendah diri.
  10. Hijrah daripada bakhil kepada pemurah.
  11. Hijrah daripada bangsa yang tamak kepada pemurah.
  12. Hijrah daripada bangsa yang tidak maaf bermaaf kepada maaf memaafkan.
  13. Hijrah daripada bangsa yang berpecah-belah kepada bersatu.
  14. Hijrah daripada bangsa yang menipu kepada jujur.
  15. Hijrah daripada yang khianat kepada yang amanah.
  16. Hijrah daripada yang jahil kepada berilmu.
  17. Hijrah daripada yang terkenang-kenangkan dunia kepada terkenang-kenangkan Akhirat.
  18. Hijrah daripada bersangka jahat kepada bersangka baik.
  19. Hijrah daripada menurutkan nafsu kepada menurut perintah Allah.
  20. Hijrah daripada mementingkan diri kepada mementingkan orang lain.
  21. Hijrah daripada cinta dunia kepada cinta Akhirat.
  22. Hijrah daripada susah dengan hal-hal dunia kepada susahkan hal-hal Akhirat.
  23. Hijrah daripada perjuangkan dunia kepada perjuangkan Tuhan.

Selain dari perlunya berlaku penghijrahan seperti yang dinyatakan di atas, umat Islam secara umumnya juga perlu melakukan hijrah dalam aspek sikap iaitu membuang yang negatif dan sebaliknya menyuburkan sikap yang positif. Mengikis sifat pesimis sebaliknya diganti dengan sifat optimis, malas kepada rajin dan kecewa kepada tidak mudah putus asa.

Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk kita beribadah dan mentaati Allah, maka perlu pula kita berusaha untuk meningkatkan taraf hidup umat Islam sendiri. Setiap yang melata di bumi Allah telah disediakan rezeki baginya. Cacing di celah batu lagi kan hidup, inikan pula manusia yang telah dikurniakan kelebihan akal fikiran olah Allah dan dapat berusaha dengan lebih sempurna untuk memburu rezeki tersebut.

Kemajuan dan pembangunan umat juga perlu sentiasa dikembangkan. Kalaupun tidak lebih maju sekurang-kurangnya setaraf dengan kemajuan bangsa-bangsa lain. Ini bertujuan agar umat ini benar-benar berdikari tanpa bersandar kepada orang lain.

Kegawatan ekonomi yang pernah berlaku juga memberi pengalaman perit kepada kita sepertimana isu berkaitan dengan harga makanan import. Itu dalam keadaan di mana pembekal makanan luar tidak menyekat sumber makanan. Haya kosnya meningkat lantaran kejatuhan nilai ringgit. Bagaimanakah kesnya andai kata mereka memusuhi kita dan menyekat bekalan makanan seperti di Iraq, Libya dan Afghanistan. Justeru kita juga perlu berhijrah dari terlalu banyak bergantung kepada pihak luar ke arah lebih berdikari. Usaha para peniaga dan usahawan bumiputra untuk bergiat dalam bidang perniagaan, penternakan dan pertanian harus dipuji dan disokong oleh semua pihak.

Kalau kita selaku umat Islam ingin benar-benar berhijrah, sekiranya kita mahu benar-benar memperjuangkannya, nescaya Allah tidak akan sia-siakan. Bila-bila masa dalam setahun ini kita akan dapat hasil yang Allah janjikan itu. Baik di dalam membina rumahtangga cemerlang, dalam menyusun organisasi, dalam mentadbir perniagaan mahupun dalam mengatur pengikut dan masyarakat. Sama-samalah kita rebut kemenangan di bulan Muharram.

Ya Allah, jadikanlah Muharram ini waktu untuk berlakunya perubahan hati dan sifat-sifat kami. Baikilah segala kerosakan diri, kerosakan keluarga, kerosakan masyarakat dan kerosakan negara-negara serta kerosakan di tahap dunia yang sedang berlaku. Ubahlah nasib umat Islam di akhir zaman ini, seperti yang telah Engkau ubah nasib umat Islam sebelum ini, hanya dengan sekelip mata. Kuasa Engkau tidak terbatas Tuhan, pun tiada siapa mampu menghalang.

Demikianlah formula yang Allah rezekikan untuk umat Islam di zaman ini. Segalanya sudah terkandung di dalam sejarah, cuma tidak ramai yang mampu mengungkai hikmah di sebaliknya. Inilah formula kemenangan untuk diri sendiri dan kemenangan untuk umat Islam, iaitu TAQWA. Ia menjadi syarat penentu kemenangan.

5 comments:

  1. salam tuan ghumahh!!!! ada oghang kaaa???

    ReplyDelete
  2. Ada.. jemput masuk.. terima kasih sudi berkunjung..
    Art.. apa hang punya azam utk hijrah tahun ni?

    ReplyDelete
  3. Bagus juga baca tulisan ko ni Lifi...berisi gak dada aku! Canteeeeek!!!!

    ReplyDelete
  4. samada ni soalan saja2 atau hang memang tera aku tak tau. he he he aku azam taun ni yang menghala ke akhirat buleh kata takdak pa lagi aduuhhh (tau tapi buat2 ralit he he he). tapi kalau bab meniaga ngan hala ke donnia ni belambak2 almaklumlah azam donnia taun lepaih tercapai. tu yang semangat semacam ni he he he

    ReplyDelete
  5. Hamid, sama2 kita memenuhkan ilmu di dada dgn segala macam ilmu yg dianugerah Tuhan..

    Doremon.. ok lah tue.. sama2lah kita menuai benih di dunia utk dapat hasil di Akhirat nanti.. bukankah Ad-Dunya Mazra'atul Akhirah..

    ReplyDelete

Sudilah kiranya memberi sepatah dua kata.. "Tetamu datang membawa rahmat, perginya pula penghapusan dosa kita..."

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...