Monday, January 5, 2009

Muharram Bulan Kemenangan


Ahlan wa sahlan dan selamat datang wahai Muharram 1430 Hijrah. Seluruh hari orang mukmin merindui ketibaanmu. Dunia Islam yang sedang muram dan lesu amat ternanti-nanti akan ketibaanmu. Ini adalah kerana Allah telah memilih Muharram sebagai bulan yang terkandung di dalamnya pelbagai peristiwa bersejarah yang cukup agung dan bermakna buat umat Islam.

Maka apabila kamu tiba wahai Muharaam, di saat-saat dunia Islam dilanda pelbagai dugaan dan cabaran, ia membawa makna dan harapan besar buat umat Islam seluruhnya. Bukankah pada bulan Muharram ini juga Allah telah menjanjikan khabar-khabar gembira buat para kekasih-Nya yang terdiri daripada para Rasul dan Nabi ‘alaihimus solatuwassalam dan pengikut-pengikutnya.

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda, riwayat Ibnu Abbas, dicatatkan oleh Syeikh Abdul Kadir Jailani dalam kitabnya Al Ghunniyah, bahawa:

Di antara peristiwa-peristiwa yang Allah lakukan pada peristiwa As Syura (10 Muharram) ialah:

  1. Nabi Adam diciptakan dan dimasukkan ke Syurga.
  2. Nabi Ibrahim dilahirkan.
  3. Nabi Ibrahim diselamatkan daripada dibakar oleh api Namrud.
  4. Nabi Ismail diganti dengan qibas (kambing) dalam peristiwa korban.
  5. Firaun ditenggelamkan di Laut Merah dan Nabi Musa serta pengikutnya diselamatkan.
  6. Nabi Ayub disembuhkan daripada penyakitnya.
  7. Taubat Nabi Adam diterima
  8. Taubat Nabi Daud diterima.
  9. Nabi Isa dilahirkan serta Nabi Isa diangkat ke langit.
  10. Nabi Sulaiman naik takhta dan berkuasa.
  11. Kapal Nabi Nuh selamat berlabuh di bukit Judi, manakala musuh-musuhnya karam.
  12. Pertama kali hujan turun ke bumi.

Sedutan dari kitab lain:

  1. Nabi Yaakob dapat melihat semula.
  2. Nabi Yunus keluar dari perut ikan Nun.

Demikianlah di antara sekian banyak peristiwa yang Allah lakukan kepada kekasih-Nya sempena Muharram. Iaitu setelah mereka melalui pelbagai dugaan dan cabaran, setelah pengikut mereka yang menyerah diri dan taat setia mempertahankan iman diuji dengan pelbagai rintangan dan kesusahan. Demikianlah juga istimewanya Muharram sehingga Allah pilih untuk dijadikan bulan di mana Rasul kita selamat tiba ke Madinah Munawwarah, terlepas daripada kejahatan-kejahatan musuhnya. Sesungguhnya pengikut Nabi Muhammad itu telah berhijrah daripada masyarakat jahiliyyah kepada umat yang bertaqwa.

Sebab itulah Sayidina Umar Al Khattab, ketika menjadi khalifah, ditabalkannya bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam senarai bulan-bulan Islam, serta dirayakan sebagai bulan untuk tahun baru Islam. Sunnah ini walaupun tidak berlaku sejak Nabi Adam, tapi demi kebesaran Rasulullah berhijrah, sunnah ini diambil pakai oleh seluruh umat Islam sedunia, hingga ke hari ini. Setiap 1 Muharram dunia Islam merayakan sambutan tahun baru ini. Dengan mengambil ruh hijrah sebagai temanya. Terima kasih Sayidina Umar kerana besarnya jasamu.

No comments:

Post a Comment

Sudilah kiranya memberi sepatah dua kata.. "Tetamu datang membawa rahmat, perginya pula penghapusan dosa kita..."

Share This

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...